OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
Antara Tauhid yang perlu diimani dan diamalkan oleh seorang mukmin muslim adalah Tauhid al-Asma’ wal Sifat yakni mengesakan Allah Taala dalam Nama-namaNya yang Maha Elok dan Sifat-sifatNya yang Maha Sempurna. Namun, setelah munculnya aliran pemikiran yang menyeleweng dalam kalangan kaum muslimin seperti al-Jahmiah, al-Muktazilah, al-Kullabiah, al-Asyairah, dan al-Maturidiah yang kesemua mereka ini berkiblat kepada hawa nafsu dalam memahami nas-nas al-Quran dan al-Hadis umat Islam telah terpecah kepada beberapa golongan dalam masalah Sifat-sifat Allah Taala.
Antara golongan yang termasyhur dalam masalah ini adalah kaum Mutaawwilah yakni mereka yang melakukan takwil tafsili dengan mengubah makna sifat-sifat Allah Taala kepada makna yang sesuai dengan hawa nafsu mereka dan terdapat pula kaum yang disebut sebagai Mufawwidah yakni mereka melakukan takwil Ijmali dengan menyatakan bahawa sifat-sifat Allah Taala ini makna yang zahirnya tidak dikehendaki bahkan hanya Allah jua yang mengetahui maknanya.
Kedua-dua kaum ini merupakan pecahan daripada al-Asyairah dan al-Maturidiah yang diiktiraf di rata-rata negara Islam dewasa ini sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah (yakni secara batil dan tertipu), namun akidah Tafwid yang dicetuskan oleh mereka tidaklah mendapat sambutan hangat daripada pengikut aliran ini sendiri.
Namun, apa yang menjadi tragedi adalah disandarkan akidah Tafwid ini sebagai akidah yang diikuti oleh al-Salaf al-Soleh ridwanullahi alaihim ajmain. Ini merupakan musibah yang dahsyat dan fitnah yang jelek kepada kaum Salaf yang termasuk dalam kalangan mereka itu Rasulullah s.a.w dan para Sahabat baginda ridwanullahi alaihim ajmain. Oleh itu, menjadi satu kesedaran tanggungjawab untuk saya menjelaskan kekeliruan yang amat kabur ini supaya kita tidak tertipu dan terjebak ke dalam najis Ilmu Kalam ini.
Takrif Tafwid:
Kalimah Tafwid (تفويض) adalah masdar kepada kalimah ‘Fawwada’, ‘Yufawwidu’ (فوَّض، يفوِّض) seperti dalam perkataan arab: فوَّضت الأمر إليك ertinya: “Aku menyerahkan urusan ini kepada kamu”. Allah Taala berfirman menceritakan perkataan Ahli keluarga Firaun yang beriman:
وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ
Maksudnya: “dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku)…” [al-Mu’min/Ghafir: 44].
Imam al-Mufassirin Ibn Jarir al-Tabari r.h menyatakan tafsir ayat ini sebagai berikut:
وأسلم أمري إلى الله، وأجعله إليه وأتوكل عليه، فإنه الكافي من توكل عليه.
Maksudnya: “dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah, meletakkannya pada kehendakNya, dan bertawakkal kepadaNya, kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mencukupi bagi sesiapa yang bertawakkal kepadaNya”. [Tafsir al-Tabari, 21/394].
Maka Tafwid daripada segi bahasa adalah ‘menyerahkan’ demikian dinamakan jawatan Perdana Menteri dalam syarak sebagai Wizarah al-Tafwid kerana ketua negara (sama ada Raja, Presiden, dan lainnya) akan menyerahkan segala urusan pentadbiran kepadanya untuk dilaksanakan bagi pihak Ketua Negara tersebut. [Rujuk: al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniah, Bab Kedua: Perlantikan Kementerian, m.s 36].
Adapun Tafwid dalam masalah nas-nas Sifat Allah Taala bermaksud: “Mengubah lafaz daripada zahirnya tetapi tidak menetapkan makna yang dikehdendaki bahkan menyerahkan makna lafaz itu kepada Ilmu Allah dengan berkata: ‘Allah lebih mengetahui akan maksudnya’”. [Mazhab Ahli al-Tafwid fi Nusus al-Sifat , Dr. Ahmad bin Abdul Rahman al-Qadi, m.s 18, cet. Ke-2 , Tab’ah Muktasarah, 2003 M].
Dalam Nazam Akidah Asyairah yang terkenal, Jauhirah al-Tauhid, Ibrahim al-Laqqoni berkata:
وَكُلُّ نَصٍّ أَوْهَمَ التَّشْبِيْهَا * أَوِّلْهُ أَوْ فَوِّضْ وَرُمْ تَنْزِيْهَا
Maksudnya: “Dan tiap-tiap nas yang memberi sangka akan keserupaan, maka takwilkanlah dia atau serahkan (kepada Allah) dan maksudkanlah untuk mensucikan”. [Rujuk: Permata Ilmu Tauhid (terjemhan Syarah Jauhirah al-Tauhid lil Bajuri), m.s 202, Pustaka Jiwa Kuala Lumpur, 2000].
Al-Bajuri ketika mensyarahkan bait ini berkata:
“Perkataan Musannif dengan أَوْ فَوِّضْ maksudnya: Bahawa sesudah takwil Ijmali yakni memalingkan lafaz daripada zahirnya serahkanlah makna yang dikehendaki dari nas yang memberi persangkaan itu kepada Allah Taala sebagaiman dia adalah mazhab salaf…” [Ibid, m.s 203].
Jelas dalam perkataan al-Bajuri ini, maksud Tafwid adalah memalingkan nas daripada makna yang zahir tetapi berbeza dengan takwil, kita tidak menyatakan apakah makna sebenar nas itu, maka tafwid dinamakan juga Takwil Ijmali.
Berkata al-Bajuri:
“Perkataan Musannif dengan وَرُمْ تَنْزِيْهَا ertinya: Dan bermaksudlah untuk mensucikan Allah Taala dari apa-apa yang tidak layak dengannya beserta menyerahkan ilmu perihal maknanya yang dikehendaki. Maka nampaklah apa yang telah ditetapkan adanya kesepakatan dari ulama salaf dan khalaf atas takwil Ijmali kerana mereka memalingkan nas yang memberi persangkaan zahirnya yang mustahil atas Allah Taala. Akan tetapi mereka berselisih pendapat sesudah yang demikian itu dalam hal menentukan makna yang dikehendaki dari nas tersebut atau tidak menentukannya”. [Ibid, 203].
Maka jelas daripada kenyataan ini maksud Tafwid di sisi kaum al-Asyairah dan konco-konco mereka adalah takwil tetapi secara ijmali yakni meyakini bahawa lafaz-lafaz sifat itu tidaklah mengandungi makna yang difahami secara zahir tetapi makna lafaz itu adalah hanya Allah jua yang mengetahuinya. Maka apabila terdapat ayat yang menyatakan Allah Taala beristiwa’ (bersemayam) di atas Arasy maka menurut fahaman Tafwid maksud Istiwa’ adalah majhul (tidak diketahui) sedang menurut kaum yang takwil tafsili mereka berkata Istiwa’ bermakna Istila’ (menguasai). [Ibid: 205].
Sifat-sifat yang ditakwil sama ada secara Ijmali atau Tafsili ini di sisi mereka bukanlah semua sifat tetapi sifat yang mereka namakan sebagai sifat-sifat mutasyabihat atau sam’iyyat seperti Wajah, Tangan, Mata, Kaki, Turun, Istiwa, dan seumpamanya. Adapun sifat-sifat Wujud, Qidam, Baqa’, Mukhalafatuhu Taala lil Hawadis, Qiyamuhu bi Nafsih, Wahdaniah, Qudrah, Iradah, Ilmu, Hayat, dan Kalam maka ini tidak ditafwid atau ditakwil bahkan dijelaskan. [Mazhab Ahli al-Tafwid fi Nusus al-Sifat, m.s 18].
Asas Pembentukan Akidah Tafwid:
Jika diperhatikan daripada kenyataan Ulama al-Asyairah di atas, asas manhaj Tafwid mempunyai dua rukun. Rukun yang pertama dikongsi padanya dengan manhaj Takwil yakni Takwil Tafsili iaitu:
Pertama: Ayat-ayat dan hadis-hadis Sifat yang mutasyabihat ini (menurut sangkaan mereka) adalah nas yang membawa kepada penyerupaan Tuhan dengan makhluk. Maka tidak ada zahir pada nas ini kecuali tasybih dan taswir dengan apa yang ada pada makhluk.
Kedua: Makna nas-nas ini tidak diketahui oleh makhluk bahkan disembunyi oleh Allah Taala akan maknanya dan tidak mungkin dapat kita tentukan makna yang sebenar. [Ibid, 19, dan al-Sawiq al-Mursalah, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, m.s 423].
Hasil daripada penjelasan ini, menurut kaum Mufawwidah, nas-nas sifat adalah umpama rumuz (bahasa isyarat dan simbol), tidak difahami apakah maknanya tetapi yang mengetahui maknanya hanyalah yang mencipta rumuz itu atau mereka yang diberitakan berkenaannya. Manhaj Tafwid dengan ini menyandarkan kejahilan kepada para Ulama Salaf ridwanullahi alaihim ajmain di mana mereka ini tidak mengetahui dan tidak memahami makna-makna nas ini seumpama kita tidak faham bahasa ayam dan itik. Oleh itu, Imam Ibn Qayyim menamakan mereka ini sebagai Ahli Tajhil (Kaum yang menjahilkan Salaf). [al-Sawaiq al-Mursalah, 422-423].
Sebab Munculnya Mazhab Tafwid:
Syeikh Ahmad al-Qadi Hafizahullah menyatakan terdapat lima sebab yang membawa kepada wujudnya mazhab Tafwid dan penisbatannya kepada Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah al-Salafiah:
1- Kefahaman yang salah berkenaan mazhab Salaf.
2- Kemasukan unsur-unsur akal yang batil terutama Ilmu Kalam dan Falsafah Aristotle.
3- Takut orang-orang awam yang jahil terjebak dalam tasybih (ini terdapat unsur pengaruh sufi di mana mereka membahagikan manusia kepada awam dan khawas).
4- Jahil dan sangkaan bahawa mazhab tafwid adalah mazhab yang sahih.
5- Cubaan untuk keluar daripada pertelingkahan dan mencari titik kesamaan pada sangkaan mereka. (Hal ini berlaku kepada Hasan al-Banna r.h apabila cuba hendak menyatukan Salafi dan kaum bidaah dalam partinya al-Ikhwan). [Mazhab Ahli al-Tafwid, m.s 41 dan rujuk juga muka surat sebelumnya].
Kefahaman yang salah berkenaan manhaj salaf berlaku apabila terdapat kalangan kaum al-Asyairah yang cuba hendak memahami akidah Salaf namun mereka melihatnya daripada kaca mata manhaj kalam mereka yang batil. Demikian juga mereka ini mengikut mutasyabihat daripada perkataan Ulama Salaf seperti yang akan kita bentangkan dalam perbahasan menolak syubhat mereka.
Mutasyabihat dalam perkataan salaf tidak dapat dinafikan kewujudannya kerana mutasyabihat berlaku dalam Kalam Allah Taala yang bukan makhluk maka lebih utama berlaku dalam kalam makhluk yang daif. Demikian Ahli Kalam mereka terlalu mengikut mutasyabihat dalam al-Quran dan Hadis maka amat mudah untuk mereka terjebak dalam mengikut mutasyabihat dalam perkataan salaf.
Manhaj Tafwid merupakan manhaj yang marjuh di sisi Ulama al-Asyairah bahkan yang rajih menurut mereka adalah manhaj Takwil Tafsili namun kerana hendak menjaga hati sekutu dan rakan separti seperti yang berlaku kepada Hasan al-Banna r.h, maka manhaj Tafwid ini telah dihidupkan semula dan diulang-ulang oleh pemimpin mereka selepas beliau seperti Fathi Yakan dalam Maza Yakni Intimai lil Islam.
Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dalam Masalah Sifat.
Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan bagi Allah Taala sifat-sifat yang sabit dalam al-Quran dan al-Sunnah tanpa menyamakan dengan makhluk dan tidak juga mentakwilnya. Mereka memahami nas-nas sifat sesuai dengan makna zahirnya tanpa melakukan takwil sama ada ijmali (tafwid) atau tafsili.
Dasar yang menjadi pegangan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah adalah firman Allah Taala:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: “tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” [al-Syura: 11].
Dalam ayat ini Allah Taala menetapkan bahawa diriNya tidak menyamai dengan sesuatu pun daripada makhluk dan pada akhir ayat ini Allah Taala menetapkan bagi zatNya sifat mendengar dan melihat. Maka al-Quran dalam masalah sifat Allah Taala mengambil jalan pertengahan antara manhaj Mu’attilah dan Nufat yang menafikan bagi Allah Taala sifat dan Manhaj Musyabbihah dan Mumassilah yang menyamakan antara Allah dan makhluk atau makhluk dengan Allah Taala.
Imam Nuaim bin Hammad r.h berkata:
من شبه الله بشيء من خلقه فقد كفر،ومن أنكر ما وصف الله به نفسه فقد كفر، وليس فيما وصف الله به نفسه ولا رسوله تشبيه
Maksudnya: “Sesiapa yang menyamakan Allah dengan sesuatu daripada makhlukNya maka dia telah kafir, dan sesiapa yang mengingkari suatu sifat yang Allah sifatkan kepada diriNya maka dia telah kafir, dan tidak ada dalam perkara yang Allah dan RasulNya sifatkan kepada diriNya itu tasybih (penyamaan dengan makhluk)”. [Syarah al-Tahawaih, Ibn Abil Izz al-Hanafi, m.s 117 & 118, cet. Darul Salam].
Pernyataan Guru Imam al-Bukhari r.h ini jelas menunjukkan bahawa antara iktiqad salaf juga mereka sama sekali tidak pernah melihat atau berpandangan ayat-ayat dan nas-nas sifat merupakan nas yang mengandungi tasybih pada zahirnya.
Dalam Taqrib Tadmuriah dinyatakan:
الأصل الأول في الصفات وهو : أن يوصف الله بما وصف به نفسه وبما وصفته به رسله إثباتا بلا تمثيل، وتنزيها بلا تعطيل كما جمع الله تعالى بينهما في قوله: { لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ }
Maksudnya: “Asal pertama dalam masalah Sifat adalah: Hendaklah disifatkan Allah dengan apa yang Dia sifatkan kepada diriNya dan dengan apa yang RasulNya sifatkan kepada diriNya, penetapan yang tidak mengandungi padanya tamsil (penyamaan dengan makhkluk), penyucian yang tidak pula membawa kepada ta’til (menafikan sifat) seperti mana Allah Taala telah menghimpunkan antara keduanya dalam firmanNya:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: “tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” [al-Syura: 11].” [Taqrib al-Tadmuriah li Ibn Taimiah, Allamah Ibn Usaimin, Majmuk Fatawa wa Rasil Ibn Usaimin, 4/112].
Maka Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan bagi Allah Taala itu sifat bukan lafaz sifat, dua perkara ini berbeza sama sekali kerana Sifat itu menurut bahasa arab: Isim (kata nama) yang menunjukkan kepada makna atau zat (Syarah Ibn Aqil, 3/140).
Demikian juga perkataan (Kalam) Allah dan Rasul itu merupakan kalam yang suci dan sempurna maka hendaklah mengandungi makna. Takrif kalam sendiri dalam kalangan ulama nahu adalah: Lafaz yang memberi faedah yakni membawa makna yang berfaedah, adapun kalam yang tidak memberi faedah maka ia adalah kalam yang tidak suci dan keadaan ini ternafi pada wahyu sama ada al-Quran atau al-Sunnah.
Demikian juga telah sabit dalam bahasa Sifat itu adalah daripada jenis isim, dan isim itu sesuatu yang menunjuk kepada makna dengan dirinya sendiri tanpa diikat dengan zaman. Jika kita mengatakan bahawa lafaz-lafaz ini tidak membawa apa-apa makna atau makna yang tidak difahami maka ini menetapkan sifat sia-sia kepada Allah Taala dan tindakan ini adalah kufur yang jelas-nauzubillah min zalik-.
Berkata Imam Abu Usman Ismail al-Sabuni r.h:
وكذلك يقولون في جميع الصفات التي نزل بذكرها القرآن، ووردت بها الأخبار الصحاح من السمع والبصر والعين والوجه والعلم والقوة والقدرة، والعزة والعظمة والإرادة، والمشيئة والقول والكلام، والرضا والسخط والحياة، واليقظة والفرح والضحك وغرها من غير تشبيه لشيء من ذلك بصفات المربوبين المخلوقين، بل ينتهون فيها إلى ما قاله الله تعالى، وقاله رسوله صلى الله عليه وآله وسلم من غير زيادة عليه ولا إضافة إليه، ولا تكييف له ولا تشبيه، ولا تحريف ولا تبديل ولا تغيير، ولا إزالة للفظ الخبر عما تعرفه العرب، وتضعه عليه بتأويل منكر، ويجرونه على الظاهر، ويكلون علمه إلى الله تعالى، ويقرون بأن تأويله لا يعلمه إلا الله، كما أخبر الله عن الراسخين في العلم أنهم يقولونه في قوله تعالى: (والراسخون في العلم يقولون: آمنا به، كل من عند ربنا. وما يذكر إلا أولو الألباب).
Maksudnya: “dan demikian juga mereka beriman dengan semua sifat yang turun padanya al-Quran membicarakan berkenaannya dan datang khabar yang sahih seperti mendengar, melihat, mata, wajah, ilmu, kekuatan, kudrat, kemuliaan, kebesaran, kehendak, masyiah, perkataan dan berkata-kata, reda, marah, hidup, jaga (tidak tidur), gembira, ketawa, dan selainnya tanpa menyamakan dengan sesuatupun daripada sifat itu dengan makhluk bahkan mereka berhenti setakat apa yang Allah katakan dan RasulNya sallallahu alaihi wa ala Aalihi wa sallam katakan tanpa menambah, menyandarkannya kepada sesuatu, memberi kaifiat, menyerupakan, mengubah, mengganti, dan merubah, dan tidak juga menghilangkan lafaz khabar daripada apa yang diketahui (maknanya) di sisi orang Arab dengan memberikan takwil yang munkar bahkan mereka melalukan atas zahirnya dan menyandarkan ilmunya kepada Allah dan mengakui bahawa hakikat sebenar (kaifiat) tidak diketahui siapa pun kecuali Allah seperti mana diberitakan Allah berkenaan orang-orang yang kukuh dalam ilmu mereka berkata seperti dalam firman Allah Taala (maksudnya): “dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran”. [Ali Imran: 7]”. [Akidah al-Salaf Ashabul Hadis, Abu Usman Al-Sabuni, m.s 3].
Pernyataan beliau ini jelas bahawa Ulama Salaf memahami makna sifat sesuai dengan khitab yang Allah Taala gunakan yang bahasa Arab yang Mubin (fasih), mereka tidak melakukan takwil sama ada ijmali mahupun tafsili. Maka dakwaan kaum al-Asyairah dan al-Maturidiah bahawa kaum Salaf melakukan takwil ijmali adalah tidak benar sama sekali.
Imam Ibn Abdil Barr r.h menyatakan setelah mendatangkan hadis-hadis berkenaan sifat Allah Taala seperti Istiwa (bersemayam) dan nuzul (turun) dan perkataan salaf berkenaannya:
أهل السنة مجمعون على الإقرار بالصفات الواردة كلها في القرآن والسنة والإيمان بها وحملها على الحقيقة لا على المجاز إلا أنهم لا يكيفون شيئا من ذلك ولا يحدون فيه صفة محصورة وأما أهل البدع والجهمية والمعتزلة كلها والخوارج فكلهم ينكرها ولا يحمل شيئا منها على الحقيقة ويزعمون أن من أقر بها مشبه وهم عند من أثبتها نافون للمعبود والحق فيما قاله القائلون بما نطق به كتاب الله وسنة رسوله وهم أئمة الجماعة والحمد لله
Maksudnya: “Ahli Sunnah bersepakat untuk berikrar dengan sifat-sifat yang warid semuanya dalam al-Quran dan al-Sunnah dan beriman dengannya dan membawanya kepada makna hakiki bukan majazi tetapi mereka tidak memberikan kaifiat suatupun daripada sifat itu, tidak menghadkan dalam bentuk tertentu, adapun Ahli Bidaah, al-Jahmiah, dan al-Muktazilah semuanya dan al-Khawarij, kesemua mereka mengingkarinya dan tidak membawanya kepada makna hakiki dan menyangka sesiapa yang berikrar dengannya adalah musyabbihah sedangkan mereka ini di sisi kaum yang menetapkanny (Ahli Sunnah) adalah kaum yang menafikan Tuhan dan yang benar itu berada bersama mereka yang berpendapat sesuai dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya iaitulah Imam-imam al-Jamaah wal Hamudlillah”. [al-Tamhid lima fi al-Muwatta’ minal Ma’ani wal Asanid, 7/145].
Jelas daripada perkataan Ibn Abdil Barr ini bahawa kaum salaf memahami nas-nas sifat dengan makanany yang hakiki bukan makna majazi maka mereka dengan itu menetapkan makna bagi nas-nas ini bukan lafaz semata-mata.
Demikian juga setelah menyebutkan ayat-ayat berkenaan Istiwa’ (bersemayam) Allah Taala di atas ArasyNya beliau berkata:
وهذه الآيات كلها واضحات في إبطال قول المعتزلة وأما ادعاؤهم المجاز في الاستواء وقولهم في تأويل استوى استولى فلا معنى له لأنه غير ظاهر في اللغة ومعنى الاستيلاء في اللغة المغالبة والله لا يغالبه ولا يعلوه أحد وهو الواحد الصمد ومن حق الكلام أن يحمل على حقيقته حتى تتفق الأمة أنه أريد به المجاز إذ لا سبيل إلى اتباع ما أنزل إلينا من ربنا إلا على ذلك وإنما يوجه كلام الله عز وجل إلى الأشهر والأظهر من وجوهه ما لم يمنع من ذلك ما يجب له التسليم ولو ساغ ادعاء المجاز لكل مدع ما ثبت شيء من العبارات وجل الله عز وجل عن أن يخاطب إلا بما تفهمه العرب في معهود مخاطباتها مما يصح معناه عند السامعين والاستواء معلوم في اللغة ومفهوم وهو العلو والارتفاع على الشيء والاستقرار والتمكن فيه قال أبو عبيدة في قوله تعالى: {اسْتَوَى} قال علا قال وتقول العرب استويت فوق الدابة واستويت فوق البيت وقال غيره استوى أي انتهى شبابه واستقر فلم يكن في شبابه مزيد
Maksudnya: “Semua ayat-ayat ini jelas dalam membatalkan pendapat Muktazilah, adapun dakwaan mereka berkenaan majaz dalam istiwa’ dan perkataan mereka takwil istawa’ dengan istaula (menguasai) maka tiada makna baginya kerana makna ini tidak zahir pada bahasa dan makan al-Istila’ dalam bahasa adalah ‘mughalabah’(merebut dan merampas) sedangkan Allah Taala tidaklah direbut dan dikuasai sesiapa pun (yakni takwilan ini membawa kepada makna Allah merampas Arasyh daripada orang lain), sedang Dia lah yang Maha Esa lagi Maha Menjadi Tumpuan dan di antara hak kalam itu dibawa kepada makna hakiki sehinggalah umat bersepakat bahawa maknanya majaz kerana tiada cara bagi kita untuk mengikut perintah yang diturunkan kepada kita kecuali dengan cara ini (membawa asal kalam kepada hakikat) dan sesungguhnya dibawa kalam Allah itu kepada makna yang paling masyhur dan paling zahir selama tidak ada penghalang daripada itu, yang mewajibkan kita menyerah kepadaNya. Jika boleh sesiapa sahaja sesuka hati mendakwa majaz maka tiadalah ibarat yang kekal pada maknanya lagi dan maha luhur Allah Azza wa Jalla daripada Dia bercakap kecuali dengan apa yang difahami orang Arab yang telah terbiasa dalam percakapan mereka yang difahami maknanya pada pendengarnya, dan Istiwa itu maklum pada bahasa lagi difahami iaitulah al-Uluw dan al-Irtifa’ (Meninggi) atas sesuatu dan menetap padanya. Berkata Abu Ubaidah dalam mentafsirkan firman Allah Taala: اسْتَوَى kata beliau: maksudnya ‘Ala (meninggi) , berkata orang arab: ‘aku beristiwa di atas tunggangan dan aku beristiwa di atas rumah. Berkata selain beliau: istawa yakni berhenti keremajaannya dan tetap maka tidak bertambah lagi umur remajanya”. [Ibid, 7/131].
Jelas dalam penjelasan beliau ini kaum salaf tidaklah mentafwid makna sama sekali bahkan mereka memahami makna nas sifat dengan jelas namun mereka tidak menyamakan cara (kaifiat sifat tersebut) dengan kaifiat sifat makhluk. Jika mereka tidak memahami makna nas-nas sifat mana mungkin mereka mentafsirkan istiwa’ dengan Uluww dan Irtifa’ (meninggi)?. Demikianlah batilnya dakwaan al-Asyairah terhadap salaf.
Imam al-Zahabi r.h berkata:
فَالحَقّ أَنْ يَقُوْلَ:إِنَّهُ سمِيْع بَصِيْر، مُرِيْدٌ متكلّم، حَيٌّ عَلِيْم، كُلّ شَيْء هَالك إِلاَّ وَجهَهُ، خلق آدَمَ بِيَدِهِ، وَكلَّم مُوْسَى تَكليماً، وَاتَّخَذَ إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلاً، وَأَمثَال ذَلِكَ، فَنُمِرُّه عَلَى مَا جَاءَ، وَنَفهَمُ مِنْهُ دلاَلَةَ الخِطَابِ كَمَا يَليق بِهِ تَعَالَى، وَلاَ نَقُوْلُ:لَهُ تَأْويلٌ يُخَالِفُ ذَلِكَ.
Maksudnya: “Maka yang benarnya hendaklah dia berkata: Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar, melihat, berkehendak, berkata-kata, hidup, mengetahui, semua benda akan musnah kecuali wajahNya, Dia mencipta Adam dengan tanganNya, bercakap dengan Musa dengan sebenar-benar percakapan, dan mengambil Ibarahim sebagai Khalil (kekasih) dan seumpama demikian, kita jalankan sebagaimana ia datang dan kita fahami daripadanya dilalah al-Khitab seperti yang layak bagiNya Taala dan kita tidak berkata: Baginya takwil yang menyalahi lafaz itu”. [Siyar A’lam al-Nubalaa, 19/499].
Pernyataan al-Zahabi ini terang bagaikan mentari bahawa nas-nas sifat tidak ada baginya makna melainkan apa yang difahami daripada dilalah khitab yang difahami Arab, tidak boleh kita berkata baginya ada takwil yang lain selain dilalah Khitab. Perkataan al-Zahabi ini menafikan dua akidah batil iaitu Tafwid yang menyatakan makna zahir nas tidak dikehendaki bahkan baginya takwil yang diketahui Allah sahaja, dan menolak juga Takwil (Tafsili) yang berkata maksud nas adalah begini dan begitu atau tafsirannya begini dan begitu.
Namun kaum Mufawwidah berpegang dengan mutasyabihat perkataan Imam al-Zahabi yang menunjukan seolah tafwid makna dan melupakan perkataan beliau yang jelas dan muhkam ini sebagaimana kita akan terangkan nanti.
Antara dalil kaum salaf menetapkan makna tetapi mentafwidkan kaifiat sifat kepada Ilmu Allah Taala adalah perkataan mereka yang masyhur ketika ditanya: Bagaimana Allah itu beristiwa’?
Jawab mereka:
استواؤه معقول وكيفيته مجهولة وسؤالك عن هذا بدعة وأراك رجل سوء
Maksudnya: “IstiwaNya adalah ma’qul (difahami akal maknanya) dan kaifiatnya majhul (tidak diketahui) dan soalan kamu ini bidaah dan aku berpendapat kamu ini seorang lelaki yang teruk”. [al-Tamhid lima fil Muwatta’ minal Ma’ani wal Asanid, Ibn Abdil Barr, 7/138].
Ucapan ini diucapkan oleh Imam Malik bin Anas r.h, Imam Ahli Madinah ketika seorang lelaki bertanya beliau bagaimana Allah bersemayam. Jika makna sifat ini tidak diketahui sama sekali sebagaimana dakwaan al-Asyairah maka jawapan yang sepatut diberi adalah sebagaimana kata kaum Mufawwidah dalam kitab mereka: “Istiwa’ yang tidak kita mengetahuinya”. [Permata Ilmu Tauhid (terjemahan Syarah al-Bajuri atas Jauhirah al-Tauhid), m.s 205]. Lihatlah perbezaan jawapan yang diberi oleh Imam Malik dengan jawapan kaum Mufawwidah, maka jelas menunjukkan bahawa kaum Salaf mengetahui makna nas-nas sifat namun yang dijahili adalah kaifiatnya oleh kerana itu mereka menafikan kaifiat bukan makna. Jika makna nas ini majhul maka tidak perlu sama sekali menafikan kaifiat seperti perkataan mufawwidah yang kita nyatakan itu.
Imam Ibn Qutaibah al-Dainuri r.h ketika menjawab syubaht takwil sifat al-Yad (tangan) pada hak Allah Taala berkata:
فإن قال لنا: ما اليدان ههنا قلنا هما اليدان اللتان تعرف الناس كذلك قال ابن عباس في هذه الآية: اليدان اليدان وقال النبي صلى الله عليه وسلم: كلتا يديه يمين فهل يجوز لأحد أن يجعل اليدين ههنا نعمة أو نعمتين وقال: لما خلقت بيدي [ص: 75] فنحن نقول كما قال الله تعالى وكما قال رسوله ولا نتجاهل ولا يحملنا ما نحن فيه من نفي التشبيه على أن ننكر ما وصف به نفسه ولكنا لا نقول كيف اليدان ولئن سئلنا نقتصر على جملة ما قال ونمسك عما لم يقل.
Maksudnya: “Jika bertanya dia kepada kita: Apakah maksud dua tangan di sini (yakni dalam ayat 64 surah al-Maidah) kita katakan: maksud adalah dua tangan yang diketahui manusia akan maknanya demikianlah berkata Ibn Abbas berkenaan ayat ini: Dua tangan maksudnya Dua tangan dan bersabda Nabi s.a.w: Kedua tanganNya adalah kanan. Maka adakah boleh bagi seseorang untuk mantafsir makna dua tangan di sini sebagai nikmat atau dua nikmat. Berfirman Allah (maksudnya): kepada apa yang Aku cipta dengan dua tanganKu [Sad: 75] Maka kita berkata seperti mana Allah Taala kata dan RasulNya kata dan kita tidak akan menjahilkan (maknanya) dan tidaklah pula kerana kita menafikan persamaan (antara Allah dan makhluk) menyebabkan kita mengingkari apa yang Allah telah sifatkan kepada diriNya tetapi kita tidak akan berkata: Bagaimana dua tangan itu? Dan jika kita ditanya kita hanya cukup menjawab dengan perkataan yang Dia telah katakan dan kami berhenti (menahan diri) daripada apa yang tidak dikatakanNya”. [al-Ikhtilaf fil Lafz wal Raddu ‘alal Jahmiah wal Musyabbihah, Ibn Qutaibah al-Dainuri, m.s 41-42, cet. Dar al-Rayah].
Demikian jelas sekali perkataan seorang Imam yang mulia ini yang telah disepakati para Ulama akan kemuliaan dan kesahihan akidahnya. Adapun tuduhan bahawa beliau ini musyabbihah hanyalah dilontarkan oleh mereka yang tidak memahami akidah salaf sahaja dan Imam al-Zahabi r.h dengan keras membantah sesiapa sahaja yang mempertikaikan Ibn Qutaibah al-Dainuri, bahkan al-Silafi r.h mengecam al-Hakim kerana mendustakan Ibn Qutaibah dan berkata: Ibn Qutaibah daripada orang yang siqah dan Ahli Sunnah. [Siyar, 13/299].
Dalil yang jelas juga datang daripada seorang lagi Ulama Lughah yang digelar oleh al-Zahabi sebagai Sahib al-Sunnah yang merupakan gelaran kepada Imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah [Siyar, 10/687] menunjukkan bahawa kaum salaf beriman dengan lafaz dan makna sifat Allah:
وأنبأنا الأزهري أنبأنا محمد بن العباس أنبأنا نفطويه حدثنا داود بن علي قال كان عند ابن الأعرابي فأتاه رجل فقال يا أبا عبد الله ما معنى قوله تعالى الرحمن على العرش استوى قال هو على عرشه كما أخبر فقال الرجل ليس كذاك إنما معناه إستولى فقال اسكت ما يدريك ما هذا العرب لا تقول للرجل إستولى على الشيء حتى يكون له فيه مضاد فأيهما غلب قيل إستولى والله تعالى لا مضاد له وهو على عرشه كما أخبر
Maksudnya: “dan meriwayatkan kepada kami (al-Zahabi) al-Azhari (katanya) memberitakan kepada kami Muhammad bin al-Abbas (katanya) meriwayatkan kepada kami Naftuwaih (katanya) memberitakan kepada kami Daud bin Ali kata beliau: Adalah di sisi Ibn al-A’rabi lalu datang seorang lelaki berkata: Wahai Abu Abdillah apakah makna firmanNya (maksudnya): al-Rahman yang bersemayam (beristiwa) di atas Arasy. Kata Ibn al-A’rabi: Dia berada di atas ArasyNya seperti mana yang dia beritakan. Maka berkata lelaki itu: Bukan begitu maksudnya tetapi maknanya adalah Istaula (menguasai) maka berkata Ibn al-A’rabi: Diamlah! Apa yang mendapatkan engkau berkata begini, ini bukan bahasa Arab, tidak dikatakan kepada seseorang: Dia berIstaula atas sesuatu kecuali baginya lawan maka sesiapa yang berjaya menawan benda tersebut maka dikatakan padanya: Dia beristaula atasnya (menguasai secara rampas) sedangkan Allah tiada lawan bagiNya dan Dia berada di atas ArasyNya seperti mana yang Dia beritakan”. [al-Uluww lil Aliyyil Ghaffar, al-Zahabi, no. 490, m.s 180].
Lihatlah perbezaan antara soalan yang diajukan kepada Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah apabila ditanya: ‘Bagaimana Allah beristiwa?’ dengan apabila ditanya: ‘Apakah maksud Istiwa?’. Mereka tidak ingkar kepada orang yang bertanya maksud istiwa’ bahkan mereka menjawab sesuai dengan makna bahasa arab kerana seperti kata Imam Malik r.h Istiwa itu maklum yakni maknanya.
Lihat pula Imam Ahmad bin Hanbal r.h mentafsirkan maksud Istiwa:
فقال يوسف بن موسى القطان شيخ أبي بكر الخلال قيل لأبي عبد الله الله فوق السماء السابعة على عرشه بائن من خلقه وقدرته وعلمه بكل مكان قال نعم هو على عرشه ولا يخلو شيء من علمه
Maksudnya: “Maka berkata Yusuf bin Musa al-Qattan Guru Abu Bakar al-Khallal: ditanya kepada Abu Abdillah (Imam Ahmad): “Allah itu berada di atas (fauqa) langit yang ketujuh di atas arasyNya terpisah daripada makhlukNya sedangkan kudrat dan ilmuNya meliputi semua tempat?” Jawab beliau: Ya, Dia berada di atas ArasyNya dan IlmuNya tidak lekang daripada suatu pun”. [al-Uluww, no.474, m.s 176].
Seorang sahabat yang mulia, Abdullah bin Rawahah r.a bersyair:
شهدت بأن وعد الله حق … وأن النار مثوى الكافرينا
وأن العرش فوق الماء طاف … وفوق العرش رب العالمينا
Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa sesungguhnya janji Allah itu benar dan neraka itu tempat kembalinya orang-orang kafir, dan sesungguhnya Arasy berada di atas air ia bertawaf dan di atas Arasy (fauqal Arsy) berada Tuhan sekalian alam”. [al-Uluww, no. 83, m.s 49].
Telah sabit banyak sekali perkataan salaf sama ada daripada Sahabat, Tabiin mahupun Tabi Tabiin menggunakan kalimah ‘Fauqal Arsy’ menggantikan ‘Istawa ‘alal Arsy’, maka jika makna nas ini tidak diketahui mana mungkin mereka akan mengubah lafaznya, jika benar salaf hanya beriman dengan lafaz tanpa makna mana mungkin mereka akan mengubah apa-apa lafaz yang warid kerana mereka tidak tahu apakah maknanya istiwa itu. Jelas para salaf mentafsirkan Istawa ‘ala dengan makna Fauqa yakni ‘Ala wa Irtafa’a (meninggi/ di atas).
Kalimah ‘Bain’ (terpisah) daripada makhlukNya menunjukkan bahawa Allah Taala bersemayam di atas Arasy dengan zatNya kerana jika ‘berada di atas Arasy’ itu majaz seperti perkataan manusia: ‘Kedudukan raja lebih tinggi daripada menteri’, maka ini bukan sahaja khusus bagi Arasy bahkan semua makhluk itu rendah kedudukannya daripada Allah dan Allah lebih tinggi daripada mereka. Namun, yang dimaksudkan di sini adalah Allah berada di atas ArasyNya dengan zatNya kerana itu mereka menyebut: IlmuNya meliputi semua tempat.
Imam al-Muzanni al-Syafii r.h berkata:
ولا كان ربنا ناقصا فيزيد جلت صفاته عن شبه المخلوقين عال على عرشه بائن عن خلقه
Maksudnya: “dan tidaklah Tuhan kita itu kurang lalu bertambah maha luhurlah Sifat-sifatNya daripada menyamai makhluk, Dia meninggi di atas ArasyNya terpisah daripada makhlukNya”. [al-Uluww,no. 495, m.s 185].
Jika kaum salaf tidak memahami makna nas sifat masakan mereka mentafsir istawa dengan ‘Ala dan jika meninggi Allah itu hanya nisbi bukan hakiki masakan disebut ‘bain’ yakni terpisah daripada makhlukNya. Para Ulama Salaf menyebut kalimah ini untuk menolak Jahmiah yang berakidah Allah berada di semua tempat dengan zatNya, maka difahami apabila Salaf menyatakan Allah Taala berada di atas Arasy terpisah daripada makhlukNya adalah dikehendaki yang berada di atas Arasy Zat Allah Taala jika tidak tiadalah faedah pada kalam mereka ini.
Riwayat daripada Abdullah bin Jaafar al-Razi r.h berikut menjelaskan hal ini:
قال محمد بن يحيى الذهلي أخبرني صالح بن الضريس قال جعل عبد الله يضرب رأس قرابة له يرى برأي جهم فرأيته يضرب بالنعل على رأسه ويقول لا حتى تقول الرحمن على العرش استوى بائن من خلقه
Maksudnya: “Berkata Muhammad bin Yahya al-Zahli: telah memberiathu kepadaku Soleh bin al-Doris katanya: Adalah Abdullah memukul kepada seorang ahli kerabatnya yang berfahaman Jahmiah maka aku lihat dia memukulnya dengan selipar di kepala lelaki itu dan berkata: Aku tidak akan berhenti sehingga kau berkata: al-Rahman berada di atas Arasy terpisah daripada makhlukNya”. [al-Uluww, no.441, m.s 161].
Ali bin al-Hasan bin Syaqiq r.h berkata:
قلت لابن المبارك كيف نعرف ربنا قال في السماء السابعة على عرشه ولا نقول كما تقول الجهمية انه ههنا وههنا
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Ibn al-Mubarak: Bagaimana kita mengenal Tuhan kita? Jawab beliau: Dia berada di atas langit ke tujuh di atas ArasyNya dan tidak kita berkata seperti Jahmiah bahawa Dia berada di sini dan sini”. [Isbat Sifatil Uluw, Ibn Qudamah al-Maqdisi, m.s 117 & 118].
Jelas bahawa yang dimaksudkan berada meninggi di atas Arasy itu adalah meninggi zat Allah Taala di atas Arasy bukan sekadar tinggi kebesarannya seperti pendapat Mutaawwilah (kaum yang mentakwil secara tafsil) atau Ketinggian yang tidak diketahui sebagaimana kata Mufawwidah (kaum yang mentakwil secara ijmal). Secara langsung ini menunjukkan para Ulama Salaf memahami makna nas sifat dan mereka beriman dengan zahirnya yang memang zahir nas itu tidak pernah sama sekali membawa makna tasybih atau tamsil dengan makhlukNya Taala.
Imam Ibn Jarir al-Tabari r.h, Syeikhul Mufassirin wal Muarrikhin dalam tafsir beliau dengan jelas menetapkan makna bagi sifat Allah Taala antaranya sifat al-Istiwa’ :
وقوله( الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى ) يقول تعالى ذكره: الرحمن على عرشه ارتفع وعلا.
Maksudnya: “dan firmanNya: ( الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى ) (maksudnya: al-Rahman yang bersemayam di atas Arasy), Allah Taala menyatakan bahawa: Dialah al-Rahman yang berada di atas Arasy meninggi di atasnya”. [Tafsir al-Tabari, 18/270].
Imam Ibn Jarir r.h dalam kitab beliau khusus dalam ilmu akidah, al-Tabsir fi Ma’alim al-Din (bukan al-Tabsir fi al-Din karangan al-Razi al-Asy’ari) berkata:
فنثبت كل هذه المعاني التي ذكرنا أنها جاءت بها الأخبار والكتاب والتنزيل على ما يعقل من حقيقة الإثبات وننفي عنه التشبيه فنقول: يسمع جل ثناؤه الأصوات لا بخرق في أذن ولا جارحة كجوارح بني آدم. وكذلك يبصر الأشخاص ببصر لا يشبه أبصار بني آدم التي هي جوارح لهم. وله يدان ويمين وأصابع وليست جارحة ولكن يدان مبسوطتان بالنعم على الخلق لا مقبوضتان عن الخير. ووجه لا كجوارح الخلق من دم ولحم. ونقول يضحك إلى من شاء من خلقه ولا نقول ذلك كشر عن أسنان. ويهبط كل ليلة إلى سماء الدنيا.
Maksudnya: “Maka kami sabitkan (tetapkan) semua makna-makna yang kami sebutkan yang telah datang padanya akan khabar, al-Kitab, dan al-Tanzil (al-Quran) atas apa yang difahami daripada hakikat isbat dan kami nafikan sebarang tasybih maka kami katakan: ‘Dia mendengar –Jalla Sana uh- segala suara tanpa lubang telinga dan anggota seperti anggota mansia. Demikian juga Dia melihat dengan penglihatan yang tidak sama dengan penglihatan mansuia yang merupakan anggota mereka dan bagiNya dua tangan, tangan kanan, jari-jari yang bukan anggota tetapi dua tangan yang terbuka dengan nikmat-nikmat kepada makhlukNya bukan tertutup daripada kebaikan. BaginNya wajah yang tidak sama dengan anggota makhluk yang terdiri daripada darah dan daging dan kami beriktiqad bahawa Dia ketawa kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada makhlukNya dan kami tidak mengatakan ianya dengan terbuka gigi dan Dia turun ke langit dunia setiap malam”. [al-Tabsir fi Ma’alim al-Din, m.s 142, cet. Dar al-Asimah].
Apa yang kami petik ini jelas menunjukkan bahawa Ibn Jarir r.h menetapkan makna sehingga beliau menamakan sifat-sifat dengan ‘ma’ani’ (makna-makna) kerana seperti yang kami jelaskan sifat itu adalah isim yang menunjukkan kepada makna atau hakikat. Demikian kita lihat beliau menafikan kaifiat sifat dan persamaan dengan makhluk. Jika beliau hanya beriman dengan lafaz tanpa makna maka tidak perlulah beliau bersusah payah menafikan kaifiat sifat dan menolak tasybih demikian rupa, cukuplah sekadar beliau berkata: ‘Bagi Allah wajah, tangan, dan jari-jari yang tidak kita ketahuinya’. [Rujuk Pertama Ilmu Tauhid, m.s 211].
Demikian juga jika kita hanya perlu beriman dengan lafaz sahaja tanpa makna maka tidak boleh kita mengubah lafaznya seperti tindakan Ibn Jarir r.h yang mengubah lafaz nuzul (yanzilu) kepada hubut (yahbitu), ini menunjukkan makna yanzilu (turun) diketahui maknanya oleh sebab itu beliau mentafsirkan makna Yanzilu (turun) dengan perkataan seertinya Yahbitu (turun).
Perkataan Ulama Salaf ridwanullah alaihim ajmain apabila ditanya berkenaan masalah-masalah nas-nas sifat dan lainnya daripada perkara Iman dan akidah mereka menjawab:
أمروها كما جاءت بلا كيف
Maksudnya: “Jalankannya seperti mana ia datang tanpa memberikan kaifiat”. [Syarah Usul al-I’tiqad Ahli al-Sunnah wal Jamaah, al-Lalikaie, 2/469].
Jelas daripada perkataan Ulama Salaf ini, nas-nas sifat tidak diubah daripada asalnya sama ada secara takwil tafsili mahupun takwil ijmali (yakni tafwid). Perlu difahami bahawa setiap ayat al-Quran itu datang secara bermakna, tidak ada ayat al-Quran yang asalnya tiada makna kerana jika tiada makna maka tidaklah dinamakannya sebagai ‘Kalam’. Maka apabila ulama salaf berkata biarkan ia sebagaimana ia datang maksudnya fahamilah ia sebagaimana ia datang dengan maknanya yang zahir.
Perintah ini juga membawa kepada makna kita tidak boleh mengubah makna nas-nas itu, jika kita mentafwid maknanya maka kita telah mengubah makna nas itu kerana tafwid itu maksudnya di sisi al-Asyairah: “Mengubah makna zahir tanpa menentukan makna tertentu”. Jadi dengan tafwid kita telah lari daripada asal keadaan nas itu datang maka ternafilah akidah tafwid daripada salaf. Demikian juga penafian kaifiat menunjukkan ditetapkan bagi nas ini makna kerana jika tiada makna tiadalah faedah menafikan kaifiat lagi, cukuplah dikatakan: “Allah lebih mengetahui akan maknanya” sebagaimana perkataan sebahagian mufassirin terhadap huruf-huruf hijaiyah pembuka surah.
Ulama Salaf tidak pernah membezakan antara sifat mendengar, melihat, qudrah, iradat, wajah, tangan, istiwa’, nuzul dan lainnya dalam kaedah beriman iaitu hendaklah dijalankan sebagaimana ia datang tanpa diberi kaifiat. Maka jelas semua makna sifat ini maklum maknanya, sebagaimana makna sama’ (mendengar) maklum (diketahui) maka demikian juga makna Wajah, jika makna melihat itu diketahui maka demikian juga makna tangan dan tangan kanan, maklum, namun semua sifat ini majhul dari segi kaifiatnya.
Lihat perkataan Imam al-Baghawi r.h ini:
ويد الله صفة من [صفاته] كالسمع، والبصر والوجه، وقال جل ذكره: “لما خلقت بيدي”(ص، 75)، وقال النبي صلى الله عليه وسلم: “كلتا يديه يمين” والله أعلم بصفاته، فعلى العباد فيها الإيمان والتسليم.
Maksudnya: “dan tangan Allah adalah satu sifat daripada sifat-sifatNya seperti mendengar, melihat, dan wajah. Allah Jalla Zikruh berfirman (maksudnya): “kepada apa yang Aku ciptakan dengan dua tanganKu” [Sad: 75], dan Nabi s.a.w bersabda (maksudnya): “Kedua-dua tanganNya adalah kanan”, dan Allah jua lebihn mengetahui berkenaan sifat-sifatNya maka atas para hamba beriman dan menyerah”. [Tafsir al-Baghawi, 3/77].
Jelas huruf ‘kaf’ tasybih digunakan menyamakan kedudukan kaedah iman dengan sifat wajah dan tangan dengan sifat mendengar dan melihat, maka apa masalahnya jika al-Asyairah boleh menerima makna al-Sama’ dengan mendengar sebagaimana maknanya yang zahir mereka terima juga wajah dan tangan dengan maknanya yang zahir?. Mungkin si Asy’ari al-Mudill (yang menyesatkan) ini akan berkata: Sifat Mendengar dan Melihat adalah sifat yang sabit dengan akal dan naqal sementara sifat wajah, tangan, dan lain-lain adalah sifat khabariah yang sabit dengan naqal sahaja. Baik mari kita lihat kenyataan Ulama Salaf adakah betul perbezaan ini:
ولله تعالى ذكره أسماء وصفات جاء بها كتابه وأخبر بها نبيه صلى الله عليه وسلم أمته لا يسع أحدا من خلق الله قامت عليه الحجة بأن القرآن نزل به وصح عنده قول رسول الله صلى الله عليه وسلم فيما روي عنه به الخبر منه خلافه، فإن خالف ذلك بعد ثبوت الحجة عليه به من جهة الخبر على ما بينت فيما لا سبيل إلى إدراك حقيقة علمه إلا حسا فمعذور به الجهل به الجاهل لأن علم ذلك لا يدرك بالعقل ولا بالروية والفكرة. وذلك نحو إخبار الله تعالى ذكره إيانا أنه سميع بصير وأن له يدين لقوله (بل يداه مبسوطتان) وأن له يمينا لقوله (والسموت مطويت بيمينه) وأن له وجها لقوله (كل شيء هالك إلا وجهه) ….إلخ
Maksudnya: “dan bagi Allah Taala Zikruh nama-nama dan sifat-sifat yang datang dengannya KitabNya dan diberitahu NabiNya s.a.w kepada umat baginda yang tidak boleh bagi sesiapa pun daripada makhluk Allah yang telah tegak padanya hujah bahawa al-Quran turun menyatakannya dan sahih daripada hadis Rasulullah s.a.w berkenaan khabarnya untuk menyalahinya, jika dia menyalahinya juga setelah didirikan hujah daripada khabar (naqal) seperti yang telah aku jelaskan dalam perkara yang tidak jalan untuk mengetahuinya kecuali secara hissi maka dia diberi uzur atas kejahilannya kerana ilmu berkenaan perkara seperti ini tidak dapat diketahui dengan fikiran. Perkara ini adalah seumpama pemberitahuan Allah Taala Zikruh kepada kita bahawa Dia maha mendengar, melihat, dan sesungguh bagiNya dua tangan sebagaimana firmanNya (maksud): “bahkan dua tanganNya terbuka”, dan bagiNya tangan kanan sebagaimana firmanNya (maksud): “dan langit-langit digulung dengan tangan kananNya”, dan bagiNya wajah sebagaimana firmanNya (maksud): “semua benda akan musnah kecuali wajahNya”…” [al-Tabsir fi Ma’alim al-Din, Imam al-Tabari, m.s 133-134].
Nah, jelas di sini Imam al-Tabari r.h menyatakan bahawa sifat-sifat Allah Taala mendengar, melihat, dua tangan, tangan kanan, wajah, dan lain-lain adalah hanya sabit melalui khabar (naqli) bukan aqli sebagaimana dakwaan Ahli Kalam selama ini. Maka jika sifat Sama’ dan Basar itu maklum maknanya maka demikian juga sifat Yad, Wajah, Istiwa’ dan lain-lain maklum maknanya, majhul kaifiatnya, demikianlah kaedah ulama salaf: Perbicaraan pada sebahagian sifat merangkumi semua sifat.
Kesimpulan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam Sifat-sifat Allah Taala:
Telah jelas daripada kenyataan-kenaytaan ulama salaf di atas dan banyak lagi kenyataan mereka boleh didapati dalam kitab-kitab seperti Syarah Usul I’tiqad Ahli Sunnah wal Jamaah oleh al-Lalikaie, Isbat Sifat al-Uluww oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Uluww lil Aliyyil Ghaffar oleh Imam al-Zahabi, al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah oleh al-Asbahani, al-Ibanah al-Shugra oleh Ibn Battah al-Akbari, al-Tauhid wa Isbat Sifat al-Rabb oleh Ibn Khuzaimah, dan banyak lagi, semuanya menetapkan sifat-sifat Allah tanpa membezakan antara satu sifat dengan sifat yang lain.
Dapatlah disimpulkan kaedah beriman dengan al-Asma’ wal Sifat di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah adalah menerima dan beriman dengan semua sifat-sifat dan nama-nama Allah Taala yang sabit dalam al-Quran dan al-Hadis sesuai dengan makna zahirnya tanpa memberikan kaifiat, tanpa menyerupakan dengan makhkluk, tanpa melakukan tamsil yang tidak layak bagi Allah Taala, dan tanpa mengosongkan sifat-sifat itu daripada maknanya yang asli.
Menurut Ulama Salaf juga, makna zahir nas-nas sifat sama sekali tidak membawa kepada tasybih sama sekali sebagaimana perkataan Syeikh Nuaim bin Hammad r.h: “dan tidak ada dalam sifat yang Allah dan RasulNya sifatkan kepada zatNya itu tasybih (penyerupaan dengan makhluk)”. Ini berbeza dengan perkataan kaum al-Asyairah sebagaimana perkataan al-Laqqoni: “Semua nas yang memberi waham kepada tasybih maka takwilkan ia atau tafwid dan niatkanlah untuk menyeucikan (Tuhan)”. Maka al-Asyairah membina akidah mereka sama ada takwil ijmali (tafwid) atau tafsili atas dasar mereka menyangka nas-nas ini ada unsur tasybih berbeza dengan salaf al-Soleh, secara otomatis dua aliran ini tidak sama bahkan dua jalan yang berbeza seperti berbezanya Iblis dengan malaikat.
Apakah Maksud Zahir Nas Tidak Ada Tasybih?:
Imam al-Allamah Ibn Usaimin r.h menjelaskan hal ini dalam kitab beliau, al-Qawaid al-Musla sebagai berikut:
“Zahir nas-nas itu adalah apa yang segera difahami daripada makna dan ianya berbeza bersesuaian dengan siyaq ayat (gaya bahasa dan susunan ayat), dan apa yang disandarkan kepadanya daripada kalam”. [al-Qawaid al-Musla, Majmuk Fatawa wa Rasail Ibn Usaimin, 3/298].
Contohnya apabila kita menyebut perkataan ‘Buku’, maka segera difahami bahawa ianya merujuk kepada tempat untuk menulis. Tetapi apabila kita menyebut buku tulis dan buku teks maka kita segera faham yang dikehendaki dengan buku tulis adalah alat digunakan untuk kita menulis padanya, adapun buku teks adalah buku untuk dibaca dan dijadikan rujukan apa yang terkandung dan sedia tertulis padanya, namun kedua-dua benda ini (buku teksa dan buku tulis) adalah buku yang hakiki bukan satunya hakiki dan satu lagi majazi.
Bila kita menyebut perkataan ‘sayap’ segera difahami sifat yang dengannya membolehkan suatu zat terbang. Namun bila kita menyebut sayap burung, sayap kapal terbang, dan sayap malaikat, ketiga-tiga sayap ini adalah sifat yang membolehkan zat yang mempunyainya terbang namun berbeza dari segi kaifiat dan bentuk namun ketiga-tiganya adalah sayap hakiki.
Demikian apabila kita menyebut ‘tangan’ segera difahami ianya sifat yang wujud dengannya berlaku perbuatan memegang, menggenggam, dan mengambil dan memberi. Bila disebut tangan Allah dan tangan Zaid, segera difahami pada kita tangan Allah itu sifat yang dengannya Allah memberi, mengambil, menggulung langit dan memegang alam ini yang tidak diketahui bagaimana bentuknya, adapun tangan Zaid adalah sifat dengannya dia mengambil, memberi, memegang, memnggulung kertas, kain, dan sebagainya dan ianya merupakan anggota badannya berdaging dan berdarah. Namun, kedua-dua ini adalah tangan hakiki, bukan satu majazi dan satu hakiki.
Demikian juga apabila disebut ‘mendengar’, sifat yang dengannya dapat mendengar segala suara dan bunyi. Apabila kita menyatakan Allah mendengar, mansuia juga mendengar, Allah dan manusia sama-sama mendengar suara dan bunyi namun pada Allah, pendengaranNya adalah yang maha sempurna tidak dibatasi suatu pun dan tidak berlaku kekeliruan sedikit pun berbeza dengan pendengaran manusia yang terbatas dan memerlukan alat bahkan perbezaan yang sangat ketara, pendengaran Allah adalah sedia dengan sendirinya bukan dicipta daripada tiada tetapi pendengaran manusia itu Allah yang ciptakan pada mereka.
Demikianlah dikatakan kepada semua sifat-sifat yang Allah nyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah yang sahih berkenaan diriNya dan semua sifat ini secara otomatis bagi mereka yang mempunyai jiwa yang bersih, akal yang sihat dan akidah yang sahih tidak akan sama kaifiatnya dengan makhluk walaupun berkongsi pada nama dan makna, tidak perlu kepada qias dan rumuz mantiq Yunani untuk mereka mengetahuinya. Wallahua’lam.
Imam al-Zahabi r.h pula mempunyai penjelasan yang mungkin lebih mudah difahami bagi mereka yang tidak mendalami Ilmu Bahasa dan ilmu alat lain:
قَدْ صَارَ الظَّاهِرُ اليَوْم ظَاهِرَيْنِ:أَحَدُهُمَا حقّ، وَالثَّانِي بَاطِل، فَالحَقّ أَنْ يَقُوْلَ:إِنَّهُ سمِيْع بَصِيْر، مُرِيْدٌ متكلّم، حَيٌّ عَلِيْم، كُلّ شَيْء هَالك إِلاَّ وَجهَهُ، خلق آدَمَ بِيَدِهِ، وَكلَّم مُوْسَى تَكليماً، وَاتَّخَذَ إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلاً، وَأَمثَال ذَلِكَ، فَنُمِرُّه عَلَى مَا جَاءَ، وَنَفهَمُ مِنْهُ دلاَلَةَ الخِطَابِ كَمَا يَليق بِهِ تَعَالَى، وَلاَ نَقُوْلُ:لَهُ تَأْويلٌ يُخَالِفُ ذَلِكَ.
وَالظَّاهِرُ الآخر وَهُوَ البَاطِل، وَالضَّلاَل:أَنْ تَعتَقِدَ قيَاس الغَائِب عَلَى الشَّاهد، وَتُمَثِّلَ البَارِئ بِخلقه، تَعَالَى الله عَنْ ذَلِكَ، بَلْ صفَاتُهُ كَذَاته، فَلاَ عِدْلَ لَهُ، وَلاَ ضِدَّ لَهُ، وَلاَ نَظيرَ لَهُ، وَلاَ مِثْل لَهُ، وَلاَ شبيهَ لَهُ، وَلَيْسَ كَمثله شَيْء، لاَ فِي ذَاته، وَلاَ فِي صفَاته، وَهَذَا أَمرٌ يَسْتَوِي فِيْهِ الفَقِيْهُ وَالعَامِيُّ – وَاللهُ أَعْلَمُ – .
Maksudnya: “Maksud zahir pada hari ini (yakni setelah kemunculan kaum bidaah seperti Muktazilah, Asyairah, dan Jahmiah) telah menjadi dua jenis zahir: Satunya benar dan satu lagi batil. Maka yang benar itu adalah kita berkata: sesungguhnya Dia maha mendengar, melihat, berkehendak, berkata-kata, hidup, mengetrahui, semuanya akan musnah kecuali wajahNya, Dia mencipat Adam dengan tanganNya, Dia bercakap dengan Musa dengan sebenar-benar perkataan, Dia mengambil Ibrahim sebagai kekasih, dan seumpama demikian, maka kita biarkan sebagaimana ia datang dan kita fahaminya daripada dilalah khitab (yakni sesuai dengan bahasa arab) sebagaimana yang layak dengan Allah Taala dan kita tidak berkata: Ia mempunyai takwil yang menyalahi maksud zahir itu. Zahir yang kedua adalah batil dan sesat iaitu engkau percaya dengan persamaan yang ghaib dengan yang nampak dan engkau misalkan al-Bari Taala dengan makhlukNya, Maha Tinggi Allah daripada semua itu, bahkan sifatNya sama seperti zatNya yakni tiada bagiNya persamaan, lawan, perumpamaan, misal, keserupaan, dan tiada suatu pun yang menyamaiNya sama ada pada zatNya atau sifatNya, dan perkara ini difahami secara saksama oleh orang awam dan seorang faqih (alim)-wallahu a’lam-“. [Siyar A’lam al-Nubalaa, 19/499].
Jelas daripada kenyataan al-Zahabi r.h ini, akidah salaf adalah memahami makna sifat sesuai dengan khitab yang ditunjukkan al-Quran yakni bahasa arab dengan menafikan persamaan kaifiat sifat Allah dengan makhluk. Demikian juga salaf tidak pernah memahami bahawa nas sifat itu mempunyai takwil yang menyalahi zahirnya (lihat tempat bergaris), ini menafikan akidah Tafwid dan Takwil kerana mereka yang mentafwid perlu berkeyakinan bahawa zahir nas sifat tidaklah dikehendaki bahkan baginya takwil. Cuma berbeza dengan kaum takwil, kaum tafwid menyatakan maksud daripada takwil itu hanya diketahui Allah namun kaum takwil menentukan maksudnya seperti maksud al-Yad (tangan) adalah Qudrah (kuasa). Maka perkataan al-Zahabi r.h ini menafikan sama sekali akidah salaf adalah Tafwid mahupun takwil. Wallahua’la wa a’lam.
Lanjutan: TAFWID: ANTARA MAKNA DAN KAIFIAT (II)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan