Sabtu, 23 Januari 2010

Lakukan Nas-Nas Sesuai Zahirnya

Oleh: Syeikh Muhammad bin Sholeh Al-‘Utsaimin

Zahir dari nas ialah makna-makna yang segera difahami dari nas-nas tersebut sesuai dengan hal-hal yang ditambahkan kepadanya serta qarinah yang menyertainya. Wajib terhadap nas-nas tersebut adalah melakukannya (membiarkan/menjalankan - edt) sesuai zahirnya, tanpa melakukan tahrif (mengubah makna), berdasarkan firman Allah Ta’ala:

وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ. نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الأمِينُ. عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ. بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ.

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Rabb (Tuhan) semsta alam, yang dibawa oleh Ar-Ruhul Amin (Jibril) ke dalam hatimu (wahai Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan dengan bahasa Arab yang jelas.” (Asy-Syu’ara: 192-195)

Dan firmanNya:

إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksunya: “Sesungguhnya Kami menjadikan Al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahaminya.” (Az-Zukhruf: 3)

Serta firmanNya:

اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلا تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ قَلِيلا مَا تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Ikutilah apa yang diturunkan kepada kamu dari Rabb (Tuhan) kamu, dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain Dia.” (Al-A’raf: 3)

Jika Allah Ta’ala menurunkan Al-Quran ini dengan bahasa Arab agar difahami, dan memerintahkan kita untuk mengikutinya, maka wajib bagi kita untuk memperlakukannya (membiarkan/menjalankan – edt) menurut zahirnya sesuai dengan tuntutan bahasa Arab, kecuali hakikat syariat tidak mengkehendakinya (yakni dikehendaki yang lain). Tidak ada perbezaan dalam permasalahan ini antara nas-nas sifat dan yang lainnya. Bahkan terkadang wajibnya berpegang kepada makna zahir pada nas-nas lebih utama dan lebih jelas kerana hal-hal yang ditunjukkan oleh nas-nas tersebut adalah tauqifi mahdh (توقفي محض) : (murni ditentukan berdasarkan dalil), tidak ada tempat bagi akal untuk memperincikannya.

Jika seseorang berkata mengenao nas-nas tentang sifat, bahawa tidak boleh memperlakukannya (membiarkannya/menjalankannya) sesuai zahirnya kerana zahirnya bukan hal yang dikehendaki, maka jawapannya adalah dengan menyebutkan pertanyaan: Apa yang engkau maksudkan terhadap zahir dari nas-nas tersebut?

· Adakah yang engkau maksudkan dengan zahir (makna yang segera nampak) dari nas-nas tersebut adalah makna-makna yang sesuai bagi Allah tanpa adanya tamsil (penyerupaan)? (Kalau yang demikian), maka zahir seperti inilah yang secara pasti dikehendaki oleh Allah dan RasulNya, serta wajib atas para hamba secara syar’i untuk menerima dan mengimaninya kerana itulah yang benar. Dan tidak mungkin Allah mengajak berbicara dengan hamba-hambaNya tentang hal-hal yang dikehendakiNya dari mereka dengan makna yang menyelisihi zahirnya tanpa penjelasan yang sepatutnya. Allah telah berfirman:

يُرِيدُ اللَّهُ لِيُبَيِّنَ لَكُمْ وَيَهْدِيَكُمْ سُنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَيَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Allah hendak menerangkan (hukum syariat-Nya) kepada kamu, dan menunjuki kamu kepada jalan-jalan orang sebelum kamu (dari kalangan para nabi dan orang-orang soleh).” (An-Nisa’: 26)

Allah pun berfirman:

يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ أَنْ تَضِلُّوا

Maksudnya: “Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat.” (An-Nisa’: 176)

Juga Allah berfirman mengenai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad), agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.” (An-Nahl: 44)

Dan Allah berfirman:

وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ


Maksudnya: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus.” (Asy-Syura: 52)

Dan barangsiapa yang mengajak bicara orang lain tentang sesuatu yang diinginkan darinya dalam bentuk yang menyelisihi zahir pembicaraannya tanpa penjelasan, maka sesungguhnya dia belum memberikan penjelasan dan petunjuk kepadanya.

· Ataukah yang engkau maksudkan dengan zahir (dari nas-nas tersebut) adalah adanya tamsil (penyerupaan) sebagaimana pemahamanmu? Maka ini bukanlah yang dimaksudkan, kerana ini bukanlah zahir dari nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah. Sebab zahir yang engkau fahami seperti ini adalah pemahaman kufur dan batil menurut nas dan ijmak. Jelas tidak mungkin zahir perkataan Allah dan RasulNya mengandungi kekufuran dan kebatilan, bahkan hal itu tidak diredhai oleh seseorangpun dari kaum muslimin.

Telah menjadi kesepakatan para salaf umat ini dan para ulama mereka bahawa nas-nas tentang sifat tersebut diperlakukan (dibiarkan/dijalankan – edt) menurut yang sesuai bagi Allah Azza wa Jalla dengan tanpa tahrif (perubahan). Dan zahir nas-nas tersebut tidaklah semestinya ada tamsil (penyerupaan) antara Allah dengan makhluk.

Maka mereka pun sepakat bahawa Allah Ta’ala memiliki sifat hayat (hidup), ‘ilm (ilmu), qudrah (kekuatan), sama’ (mendengar) dan basar (melihat) secara hakiki, juga Allah beristiwa’ di atas ‘Arasy secara hakiki, serta memiliki sifat hubb (mencintai), redha (meredhai), karahah (benci), dan ghadhab (murka/marah) secara hakiki, Allah juga memiliki wajah dan dua tangan yang hakiki (bukan majazi/kiasan – edt). Ini berdasarkan firmanNya:

وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لا يَمُوتُ

Maksudnya: “Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Maha Hidup, Yang tidak pula mati.” (Al-Furqan: 58)

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” (Al-An’aam: 101)

وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Maidah: 120)

وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura: 11)

Serta firmanNya:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Maksudnya: “(Iaitu) Allah Yang Maha Penyayang beristiwa di atas ‘Arasy.” (Thaha: 5)

فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

Maksudnya: “...Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka juga mencintai-Nya.” (Al-Maidah: 54)

رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

Maksudnya: “Allah redha terhadap mereka dan mereka juga redha terhadapNya.” (Al-Maidah: 119)

وَلَكِنْ كَرِهَ اللَّهُ انْبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ

Maksudnya: “...Tetapi Allah tidak menyukai (benci) terhadap keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka.” (At-Taubah: 46)

وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ

Maksudnya: “Dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya.” (An-Nisa’: 93)

وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلالِ وَالإكْرَامِ

Maksudnya: “Dan tetap kekal wajah Rabbmu (Tuhanmu) yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Ar-Rahman: 27)

بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ

Maksudnya: “...Bahkan kedua-dua tangan Allah terbuka (terbentang).” (Al-Maidah: 64)

Mereka (yakni para salaf dan para ulama) meperlakukan/membiarkan nas-nas Al-Quran tersebut dan nas lainnya dari nas-nas mengenai sifat sesuai dengan zahirnya, dan mereka menyatakan bahawa itu yang dikehendaki, dalam bentuk yang sesuai bagi Allah Ta’ala tanpa tahrif (penyelewengan) dan tamsil (penyerupaan kepada makhluk).

Penjelasan terhadap hal itu:

Bahawasanya di antara sifat-sifat kita ada yang berupa kejiwaan dan bentuk batin yang terdapat pada diri kita seperti hidup, ilmu (mengetahui), dan kuasa (kemampuan). Ada pula yang berupa jasad dan bentuk lahiriah (zahir) yang pada diri kita merupakan bahagian anggota-anggota tubuh kita seperti wajah serta kedua tangan. Dan sebagaimana diketahui bahawa Allah Ta’ala mensifati diriNya bahawa Dia Maha Hidup, Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa. Tidak pernah kaum muslimin menyatakan bahawa yang dapat difahami dari sifat hidup, mengetahui dan sifat kuasa pada diri Allah adalah sama seperti apa yang difahami dari sifat hidup, mengetahui dan sifat kuasa pada kita (makhluk). Juga ketika Allah mensifati diriNya memiliki wajah dan dua tangan, maka tidaklah difahami bahawa wajah dan kedua-dua tanganNya adalah sama seperti yang difahami dari wajah-wajah dan tangan-tangan kita (makhluk).

Yang hanya dinyatakan oleh kaum muslimin ialah bahawa yang dapat difahami dari sifat-sifat Allah, dari dua jenis sifat itu ialah tidak adanya keserupaan sifat-sifat itu dengan apa yang dapat difahami pada sifat-sifat kita. Bahkan, setiap sifat akan sesuai dan selaras dengan pemilik sifat tersebut. Sehingga apabila zat Allah tidak sama dengan zat para makhluk, maka demikian juga sifat-sifatNya tidak pula serupa dengan sifat-sifat para makhluk. Dan telah dihuraikan bahawa pembicaraan mengenai sifat sama hukumnya seperti pembicaraan mengenai zat.

Dengan keterangan ini jelaslah bahawa barangsiapa yang menyatakan bahawa “zahir dari nas-nas tentang sifat tersebut bukan makna yang dikehendaki.” Sungguh dia telah keliru dari penentuan mana-mana jua pun:

· Ini kerana jika difahami bahawa zahir nas merupakan makna yang batil (yakni makna tamsil/penyerupaan kepada makhluk), maka sungguh dia telah salah dalam memahami makna zahir nas, dan bererti dia benar dalam memahami makna zahir nas, dan bererti dia benar dalam perkataannya. “...bukan makna yang dikehendaki” (kerana zahir nas dengan makna tamsil memang bukan makna yang benar yang dikehendaki – pent)

· Jika dia memahami makna zahir nas dengan makna yang benar (yakni makna yang sesuai/layak bagi Allah), maka dia telah benar dalam pemahaman mengenai zahir nas, namun dia salah dalam perkataannya. “...bukan makna yang dikehendaki” (kerana zahir nas dengan makna yang benar itulah yang dikehendaki – pent)

Jadi, kalaupun dia benar tentang makna zahir nas, namun dia salah ketika menyatakan zahir nas (yang benar) itu bukan makna yang dikehendakinya. Dan jika dia salah tentang makna zahir nas, maka dia benar ketika menyatakan zahir nas (yang salah) itu bukan makna yang dikehendaki. Sehingga pernyataan orang tersebut (bahawa zahir nas bukan makna yang dikehendaki) mengandungi kekeliruan dari penentuan mana-mana pun. Yang paling benar dan tidak mengandungi kesalahan adalah pernyataan bahawa “zahir dari nas-nas tersebut adalah makna yang dikehendaki, dan itu tidak lain merupakan makna yang sesuai bagi Allah.”

Adapun orang-orang yang menganggap zahir dari nas-nas tersebut merupakan makna yang batil, kemudian mereka mengingkari zahir nas, maka kesalahan mereka terjadi dari dua sisi:

Pertama: Mereka menafsirkan zahir nas dengan makna batil yang tidak ditunjukkan oleh lafaznya, kerana itu mereka mengingkari zahir nas (yang benar) dan mengatakan bahawa zahir nas bukanlah makna yang dikehendaki.

Contoh dalam hal ini adalah firman Allah Ta’ala dalam sebuah hadis Qudsi:

“Wahai anak Adam, Aku sakit, sedangkan engkau tidak mengjenguk-Ku... Wahai anak Adam, Aku meminta makan kepadamu, sedangkan engkau tidak memberi-Ku makan... Wahai anak Adam, Aku meminta minum kepadamu, sedangkan engkau tidak memberi-Ku minum...” (HR. Muslim 2569 dari Abu Hurairah).

Mereka mengatakan: Zahir hadis ini menerangkan bahawa Allah sakit, lapar, dan haus. Ini adalah makna yang batil, maka zahir nas bukanlah makna yang dikehendaki.

Kita katakan: Bahawa seandainya kamu memberikan nas tersebut dengan hak (yakni memahaminya dengan lengkap dan benar), tentulah akan jelas bagi kamu bahawa memang makna yang batil ini bukanlah zahir dari lafaz nas itu sendiri, kerana konteks kalimat pada hadis tidak menghendakinya (kerana hadis tersebut tidak lengkap). Dan sungguh kalimat-kalimat tersebut telah ada penafsirannya melalui firman Allah Ta’ala dalam hadis yang sama (sambungan kepada hadis di atas):

“Tidakkah engkau tahu bahawa hamba-Ku fulan sakit, sedangkan engkau tidak menjenguknya?... Tidakkah engkau tahu bahawa hamba-Ku fulan meminta makan kepadamu, sedangkan engkau tidak memberinya makan?... Dan hamba-Ku fulan meminta minum kepadamu, sedangkan engkau tidak memberinya minum?...”

Konteks ini (yang merupakan zahir nas) jelas sekali menerangkan bahawa bukan Allah Ta’ala yang sakit, lapar, dan haus. Hanya saja yang sakit, lapar, dan haus adalah salah seorang dari hamba-hambaNya.

Contoh lain adalah firman Allah Ta’ala tentang bahtera Nabi Nuh ‘alaihissalam:

تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا

Maksudnya: “Bahteranya yang berlayar daam pengawasan kami.” (Al-Qamar: 14)

Mereka mengatakan: Bahawa zahir ayat itu yakni bahtera tersebut berlayar dalam mata Allah, dan ini adalah makna yang batil. Maka zahir nas bukanlah makna yang dikehendaki.

Kita jawab: Bahawasanya dakwaan kamu bahawa zahir ayat menyatakan bahtera tersebut berlayar dalam mata Allah -subhanallah- tertolak, baik dari segi susunan kalimatnya mahupun dari maknanya.

- Dari susunan kalimatnya:

Jika ada seseorang mengatakan:

فلان يسير بعيني

(Fulan berjalan dengan kedua mataku)

Maka tidak ada seorang pun yang memahami dari susunan kalimat tersebut bahawa Fulan berjalan “di dalam” kedua mata orang itu. Seandainyalah ada orang yang mengatakan itu merupakan makna zahir kalimat tersebut, tentu orang-orang jahil akan ramai menggelakkannya, lebih-lebih lagi di hadapan orang-orang berakal. Bahawasanya yang difahami dari makna zahir kalimat itu bahawa kedua mata orang itu mengikuti Fulan dengan pandangan dan pengamatan. Kerana huruf ba’ dalam kalimat tersebut berfungsi sebagai al-Mushahabah (penyertaan/pengiringan) bukan sebagai adz-dzarifiyah (keterangan tempat).

- Dari segi makna:

Telah difahami bahawasanya nabi Nuh ‘alaihissalam berada di bumi, baginda membuat bahtera itu di bumi, dan bahtera itu pun berlayar di atas air di muka bumi (bukan di mata Allah), sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلأ مِنْ قَوْمِهِ سَخِرُوا مِنْهُ

Maksudnya: “Dan mulailah Nuh membuat bahtera. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewatinya, mereka pun mengejeknya.” (Hud: 38)

Dan firmanNya:

دَعَا رَبَّهُ أَنِّي مَغْلُوبٌ فَانْتَصِرْ. فَفَتَحْنَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ. وَفَجَّرْنَا الأرْضَ عُيُونًا فَالْتَقَى الْمَاءُ عَلَى أَمْرٍ قَدْ قُدِرَ. وَحَمَلْنَاهُ عَلَى ذَاتِ أَلْوَاحٍ وَدُسُرٍ. تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا جَزَاءً لِمَنْ كَانَ كُفِرَ

Maksudnya: “Maka Nuh mengadu kepada Tuhannya, Bahawasanya aku ini adalah orang yang dikalahkan, oleh sebab itu tolonglah aku? Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang tercurah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata-mata air, maka bertemulah air-air itu untuk Nuh ke atas (bahtera) yang terbuat dari papan dan paku, yang berlayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan bagi orang-orang yang diingkari (oleh Nuh).” (Al-Qamar: 10-14)

Tidak mungkin bagi siapa pun untuk membuat pengakuan bahawa makna dari zahir nas tersebut adalah bahawa bahtera itu berlayar di dalam mata Allah Azza wa Jalla, kerana hal itu adalah puncak kemustahilan terhadap hak Allah Ta’ala. Dan tidak mungkin bagi orang yang mengenal Allah, dan mengagungkanNya dengan pengagungan yang semestinya, serta mengetahui bahawa Dia beristiwa di atas ‘Arasy, terpisah dari makhlukNya, serta tidak ada sesuatu pun dari makhlukNya yang menyatu denganNya, akan memahami lafaz nas tersebut dengan makna yang batil seperti itu.

Berdasarkan ini, maka makna ayat tersebut yang merupakan zahir nas adalah bahawa bahtera tersebut berlayar (di muka bumi), sedangkan Allah Ta’ala (di atas ‘Arasy) mengawasinya dengan mata-Nya.

- Contoh yang ketiga, dalam sebuah riwayat:

“Hajar Al-Aswad adalah tangan kanan Allah di muka bumi. Barangsiapa yang menyentuhnya dan menciumnya, maka seakan-akan dia menjabat Allah dan mencium tangan kananNya.” (HR. Al-Azraq dalam kitab Akhbaru Makkah 1/323 dan 324)

Mereka mengatakan: Zahir riwayat ini adalah bahawa Hajar Aswad itu sendiri adalah tangan kanan Allah di muka bumi, dan ini adalah makna yang batil. Sehingga zahir nas bukanlah makna yang dikehendaki.

Kita katakan:

(1) Atsar ini diriwayatkan dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang tidak sahih dan dikenali merupakan periwayatan dari Ibnu Abbas.

Saya katakan: Ibnul Jauzi mengatakan: “Ini adalah hadis yang tidak sahih.” Dan Ibnul ‘Arabi berkata: “Ini adalah hadis yang batil, maka tidak perlu lagi untuk dilirik (diolah).”

(2) Riwayat tersebut -sekiranya sahih pun- maka telah jelas bahawa Hajar Aswad bukanlah tangan kanan Allah itu sendiri:

  • Kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah berkata (pada konteks riwayat tersebut), “...tangan kanan Allah di muka bumi...” Jadi baginda membatasi “tangan kanan” tersebut dengan “di muka bumi”, sehingga lafaz “tangan kanan” tersebut tidak mutlak. Sedangkan hukum lafaz yang muqayyad (dibatasi oleh hal tertentu) berbeza dengan lafaz yang mutlak. Dan telah sama-sama difahami bahawa Allah Ta’ala itu berada di atas langit.
  •  Juga disebabkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Barangsiapa yang menyentuhnya (Hajar Aswad) dan menciumnya, maka seakan-akan dia menjabat Allah dan mencium tangan kanan-Nya.” Telah difahami pula bahawasanya al-musyabbah (sesuatu yang hendak diserupakan) bukan al-musyabbah bih (sesuatu yang diserupai). Maka riwayat tersebut zahirnya menunjukkan bahawa orang yang menyentuh Hajar Aswad tidak sedang menjabat Allah, dan Hajar Aswad bukanlah tangan kanan Allah itu sendiri, sehingga bagaimana mungkin dianggap zahir riwayat mengandungi makna kekafiran (sehingga) perlu ditakwil (yakni mentahrif/mengubah kepada makna yang lain)?

Kedua: Mereka menafsirkan satu lafaz dengan makna yang benar sesuai dengan zahir nas, akan tetapi mereka menolaknya (menafikannya) kerana keyakinan (aqidah) mereka yang menganggapnya batil, padahal ianya tidaklah batil.

- Contoh hal itu adalah firman Allah Ta’ala:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Maksudnya: “(Iaitu) Allah Yang Maha Penyayang beristiwa di atas ‘Arasy.” (Thaha: 5)

Mereka mengatakan: Zahir ayat tersebut ialah Allah berada tinggi di atas ‘Arasy, sedangkan ‘Arasy merupakan benda yang terbatas, sehingga menimbulkan akibat bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala dibatasi (oleh ‘Arasy), dan ini makna yang batil, maka zahir ayat bukanlah makna yang dikehendaki.

Kita katakan: Keberadaan Allah tinggi di atas ‘ArasyNya -meskipun ‘Arasy adalah benda yang terbatas- tidak semestinya maknanya batil. Kerana Allah Ta’ala benar-benar berada tinggi di atas ‘ArasyNya dengan sifat ketinggian yang sesuai dengan kebesaran dan keagunganNya, serta tidak serupa dengan sifat ketinggian makhluk di atas makhluk lainnya. Sehingga tidak pula semestinya Allah itu terbatasi. Dan ketinggian ini khusus berkaitan dengan ‘Arasy, sedangkan ‘Arasy adalah makhluk Allah yang paling tinggi (paling atas). Maka Allah Ta’ala berada paling tinggi di atas segala sesuatu. Ini merupakan kesempurnaanNya dan kesempurnaan sifat-sifatNya. Lantas bagaimana boleh makna zahir tersebut dianggap batil dan bukan merupakan maka yang dikehendaki?

- Contoh lain adalah firman Allah Ta’ala:

بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنْفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ

Maksudnya: “...Bahkan kedua-dua tangan Allah itu terbuka (terbentang luas), Dia memberikan sebagaimana yang Dia kehendaki.” (Al-Maidah: 64)

Mereka mengatakan: Bahawa zahir ayat tersebut menyatakan Allah Ta’ala memiliki dua tangan yang hakiki, padahal kedua-duanya adalah merupakan anggota tubuh. Ini adalah makna yang batil. Maka zahir ayat bukanlah makna yang dikehendaki.

Kita jawab: Bahawasanya penetapan dua tangan secara hakiki bagi Allah ‘Azza wa Jalla tidak semestinya maknanya batil. Kerana Allah Ta’ala memiliki kedua tangan yang hakiki, sesuai dengan kebesaran dan keagunganNya. Dengan kedua-dua tangan itu, Dia mengambil dan menggenggam, dan keduanya tidak serupa dengan tangan makhluk. Bahkan ini termasuk kesempurnaanNya dan kesempuranaan sifat-sifatNya. Allah Ta’ala berfirman:

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالأرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّماوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ

Maksudnya: “Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhannya dalam genggamanNya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan tangan kananNya.” (Az-Zumar: 67)

Dalam sahih Muslim, dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dia mengatakan bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidaklah seseorang bersedekah dengan satu sedekah dari sesuatu yang baik -dan Allah tidak menerima kecuali yang baik- melainkan Allah yang Maha Pengasih mengambilnya dengan tangan kananNya. Jika sedekah itu sebutir kurma kering, maka ia akan tumbuh di telapak tangan Allah yang Maha Pengasih hingga menjadi sesuatu yang lebih besar dari sebuah gunung.” (Hadis riwayat Muslim, no: 1014)

Maka makna batil mana yang harus timbul dari zahir nas hadis ini, sehingga dinyatakan bahawa zahir nas (hadis) bukanlah makna yang dikehendaki?

Dan boleh jadi terkumpul dua kesalahan dari dua sisi pada satu contoh, seperti sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sesungguhnya hati Bani Adam seluruhnya berada di antara dua jari dari jari-jemari Allah yang Maha Pengasih, ibarat hati yang satu itu Allah kendalikan menurut kehendakNya.” (HR. Muslim, no: 2654 dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash radiallahu ‘anhuma)

Pada sisi pertama, mereka (yang mengingkari makna zahir) mengatakan: Zahir hadis menegaskan bahawa seluruh hati Bani Adam berada “di antara” jari-jemari Allah, maka akibatnya ialah adanya hubungan langsung dan saling bersentuhan, dan jari-jemari Allah -Subhanah- masuk ke rongga tubuh kita. Ini adalah makna yang batil, sehingga zahir hadis bukanlah makna yang dikehendaki.

Mereka juga mengatakan pada sisi kedua: Zahir hadis menyatakan bahawasanya Allah memiliki jari-jemari yang hakiki, sedangkan jari-jemari adalah anggota badan. Ini adalah makna yang batil. Maka zahir hadis bukanlah makna yang dikehendaki.

Tentang sisi pertama, kita katakan: Bahawa seluruh hati Bani Adam berada di antara dua jari dari jari-jemari Allah yang hakiki. Dan itu tidak semestinya bermakna adanya hubungan langsung dan saling bersentuhan, tidak pula bererti jari-jemari Allah ‘Azza wa Jalla masuk ke dalam rongga badan kita.

Tidakkah anda melihat firman Allah Ta’ala:

وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ

Maksudnya: “...Dan awan yang dikendalikan ‘di antara’ langit dan bumi.” (Al-Baqarah: 164)

Maka sungguh, awan-awan itu ternyata tidak langsung mengenai langit dan bumi, bahkan tidak pula bersentuhan dengan keduanya.

Boleh juga diungkapkan, bahawa sutrah (pembatas sujud) orang yang solat itu berada “di antara” ke dua tangannya (maksudnya di hadapannya), dan ini tidak semestinya bermaksud sutrah tersebut terkena dan menyentuh orang yang solat itu.

Jika kedudukan “di antara” itu tidak mewajibkan adanya hubungan langsung dan saling bersentuhan pada keadaan di antara makhluk. Maka bagaimana lagi dengan kedudukan “di antara” yang terjadi antara makhluk dengan Allah, yang kursiNya seluas langit dan bumi, dan Dia Maha Meliputi segala sesuatu (tentu lebih patut lagi tidak ada saling bersentuhan).

Sungguh dalil-dalil sam’i (Al-Quran dan As-Sunnah) dan akal telah menunjukkan bahawa Allah Ta’ala terpisah dari makhlukNya. Tidak menyatu dengan sesuatupun dari makhlukNya dan tidak pula sesuatupun dari kalangan makhluk yang menyatu denganNya. Para salaf juga telah bersepakat (ijma’) atas prinsip tersebut.

Adapun sisi yang kedua, kita katakan: Bahawasanya penetapan jari-jemari yang hakiki bagi Allah Ta’ala tidaklah semestinya maknanya batil, sehingga ketika itu dapat dipastikan bahawa itulah makna yang dikehendaki. Kerana sememangnya Allah Ta’ala memiliki jari-jemari yang hakiki,sesuai dengan (Zat) Allah dan tidak menyerupai jari-jemari makhlukNya.

Dalam kitab sahih Al-Bukhari dan sahih Muslim dari ‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhuma berkata:

“Datanglah salah seorang dari kalangan para pendita kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata: “Wahai Muhammad, kami menjumpai (pada kitab kami) bahawa Allah menjadikan langit pada satu jariNya, dan bumi pada satu jariNya, pepohonan pada satu jariNya, dan seluruh makhluk pada satu jariNya. Lalu Allah berkata: Akulah Maha Raja.” Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pun tertawa sehingga terlihat gigi geraham baginda, membenarkan perkataan pendita itu lalu baginda membaca:

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالأرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّماوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ

Maksudnya: “Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhannya dalam genggamanNya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan tangan kananNya.” (Az-Zumar: 67) (HR. Bukhari no: 1184, 7414 dan lainnya, dan Muslim, no: 2786)

Lafaz tersebut merupakan lafaz yang dimiliki oleh Al-Bukhari dalam tafsir surah Az-Zumar. Maka makna batil mana lagi yang mesti timbul dari zahir nas tersebut, sehingga boleh dikatakan bahawa zahir nas bukanlah makna yang dikehendaki?

Ada pula kejadian yang serupa dengan kesalahan tersebut, yakni menjadikan satu nas sepadan dengan nas lainnya padahal tidak serupa pun. Sebagaimana komentar yang mengatakan tentang firman Allah Ta’ala:

لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ

Maksudnya: “...kepada yang telah Aku ciptakan dengan kedua tanganKu.” (Shad: 75)

Bahawa ayat tersebut sepadan dengan firman Allah Ta’ala:

مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا

Maksudnya: “...Iaitu sebahagian dari apa yang telah diciptakan dengan tangan-tangan Kami.” (Yasin: 71)

Sehingga yang dimaksudkan dengan kata “Yad” (tangan) adalah subjek/pelaku perbuatan itu sendiri yang ada pada kedua ayat tersebut (seakan berusaha menafikan makna “Yad” yang hakiki pada ayat-ayat itu).

Ini merupakan komentar yang salah kerana perbezaan di antara kedua ayat tersebut telah jelas dari tiga sisi:

1. Dari segi konteks kalimah, bahawa Allah Ta’ala berfirman:

“...kepada yang telah Aku ciptakan dengan kedua tanganKu.” (Shad: 75)

Firman Allah pada ayat yang pertama ini berbeza dengan konteks kalimah yang ada pada ayat kedua, di mana Allah berfirman:

“...Iaitu sebahagian dari apa yang telah diciptakan dengan tangan-tangan Kami.” (Yasin: 71)

Seandainya ayat pertama sepadan dengan ayat kedua, tentu pada ayat pertama lafaznya berbunyi:

لِمَا خَلَقَتْ بِيَدَيَّ

“...kepada yang telah diciptakan oleh kedua tanganKu.” (tanpa menyandarkan Aku pada penciptaan tersebut – edt)

Sehingga perbuatan “penciptaan” dikaitkan langsung pada kedua tangan, sebagaimana perbuatan “penciptaan” pada ayat kedua dikaitan terus kepada tangan.

2. Allah Ta’ala pada ayat pertama mengaitkan terus “penciptaan” kepada diriNya dengan menjadikannya muta’addi melalui huruf ba’ (ب) kepada kedua tangan. Sehingga Allah-lah pelaku penciptaan. Dia menciptakannya dengan kedua tanganNya. Tidakkah anda perhatikan ungkapan seseorang:

كَتَبْتُ بِالْقَلَمِ

(Saya menulis dengan pen)

Maka si penulis adalah orang yang melakukan penulisan, sedangkan yang diletakkan huruf ba’ (ب) yakni pen adalah alat yang dengannya terjadinya tulisan.

Adapun pada ayat kedua:

“...iaitu sebahagian dari apa yang telah diciptakan oleh tangan-tangan Kami.” (Yasin: 71)

Pada ayat tersebut perbuatan “mencipta” dikaitkan terus kepada tangan-tangan yang dinisbahkan kepada Allah. Sedangkan penyandaran perbuatan “mencipta” kepda tangan-tangan sama dengan menyandarkan perbuatan “mencipta” itu kepada diri Allah, sehingga seakan-akan Allah berfirman:

مِمَّا عَمِلَناَ

“...Iaitu sebahagian dari apa yang telah Kami ciptakan.”

Tidakkah anda melihat kepada firman Allah Ta’ala:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُم

Maksudnya: “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri.” (Asy-Syura: 30)

Maksudnya adalah “...disebabkan oleh perbuatan kamu sendiri.” Dengan dalil firman Allah di ayat yang lain:

فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Maksudnya: “Maka mereka ditimpa oleh akibat buruk dari apa yang telah mereka lakukan.” (Az-Zumar: 51)

3. Allah Ta’ala berfirman:

لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ

Maksudnya: “...kepada yang telah Aku ciptakan dengan kedua tanganKu.” (Shad: 75)

Pada ayat yang pertama ini, Allah Ta’ala mengaitkan perbuatan “mencipta” yang telah dimuta’addikan melalui huruf ba’ (ب) kepada kedua tangan, dan tidak mungkin yang dimaksudkan dengan kedua tangan itu adalah diri Allah, kerana jumlah “dua” (pada tangan) menunjukkan bilangan terbatas (iaitu dua). Sedangkan Allah Jalla wa ‘Ala adalah sesembahan yang satu (Esa), maka tidak mungkin Dia menyebut diriNya “dua” kerana jelas menunjukkan berbilang dan terbatas. Namun Allah Ta’ala terkadang menyebut diriNya dalam bentuk tunggal untuk menegaskan ketauhidanNya. Dan terkadang menyebut diriNya dalam bentuk jamak untuk menunjukkan pengagungan. Bahkan boleh jadi bentuk jamak itu menunjukkan makna-makna dari nama-namaNya.

Adapun pada ayat kedua, Allah mengaitkan terus dengan perbuatan “mencipta” kepada tangan-tangan yang dinisbahkan kepada diriNya dalam bentuk jamak untuk pengagungan. Sehingga jadilah makna yang dikehendaki dengan “tangan-tangan” itu adalah diri Allah yang Maha Suci Jalla wa ‘Ala.

Dengan itu jelaslah perbezaan antara firman Allah (yang bermaksud):

“...kepada yang telah Aku ciptakan dengan kedua tangan Ku.”

Dengan firmanNya:

“...Iaitu sebahagian dari apa yang telah Kami perbuat (ciptakan) dengan tangan-tangan Kami.”

Bahawa ayat pertama itu tidaklah sepadan dengan ayat kedua. Dan menjadi jelas pula bahawa zahir nas tentang sifat adalah perkara yang haq (benar), dan telah tetap, serta merupakan makna yang dikehendaki terhadap Allah Ta’ala dalam bentuk yang sesuai bagiNya. Zahir nas juga tidak semestinya adanya sifat kekurangan terhadap hak Allah, dan tidak pula memiliki keserupaan dengan makhlukNya.

Namun jika kita mengajak berbicara kepada seseorang yang tidak faham terhadap zahir nas melainkan sesuatu yang mewajibkan adanya keserupaan hakikat, maka kita katakan: Bahawa zahir nas yang anda fahami bukanlah zahir nas, kerana makna tersebut batil dan tidak sesuai dengan tuntutan konteks kalimah, sebagaimana penjelasan-penjelasan yang telah lalu.

[Disalin serta disunting dari buku Taqrib At-Tadmuriyah, Penulis: Asy-Syaikh Muhammad bin Sholeh Al-Utsaimin, Judul Indonesia: Kemudahan Memahami Sifat-Sifat ALLAH, Penerjemah: Abu ‘Abdir-Rahman Muhammad Daz, Penerbit: Ash-Shaf Media, halaman 113-136]

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails