Selasa, 22 Ogos 2017

MENJAWAB ZAHID AL-KAUTHARI DAN HASAN AL-SAQQAF BERKENAAN HADIS AINA ALLAH

Kapten Hafiz Firdaus

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bertanya kepada seorang hamba wanita:

أَيْنَ الله ؟ قالت: فِي السَّمَاءِ. قال: مَنْ أَنَا ؟ قالت: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ. قال: أَعْتِقْهَا. فَإِنَهَا مُؤْمِنَةٌ.

Di manakah Allah ? Hamba itu menjawab: Di langit. Baginda bertanya lagi: Siapakah saya ? Hamba itu menjawab: Anda Rasulullah. Maka bersabda baginda: Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman.

Sebahagian hadis daripada Mu‘awiyah bin al-Hakam radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Malik, Muslim, Abu Daud dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 537 (Kitab Masjid dan tempat solat, Bab Larangan bercakap ketika solat.....)

Zahid al-Kauthari dan Hasan al-Saqqaf telah mengemukakan beberapa alasan untuk menolak hadis di atas. Berikut akan dibahas 3 alasan utama dan terpenting yang mereka kemukakan:

Pertama:

Hasan al-Saqqaf telah menghukum hadis sahih riwayat Imam Muslim ini sebagai: Aneh, bahkan yang benar ianya adalah mungkar [al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar, ms. 118, notakaki no: 105.] Beliau juga berkata: Aneh, tertolak dan mungkar [al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar, ms. 118, notakaki no: 106]

Alasan beliau ialah kerana hadis yang seumpama lebih masyhur dengan lafaz: “Adakah anda bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah……” dan bukannya dengan lafaz: “Di manakah Allah ?”. Lafaz yang lebih masyhur ini menurut al-Saqqaf dikeluarkan dengan sanad yang sahih oleh [1] Ahmad, [2] ‘Abd al-Razzaq, [3] al-Bazzar, [4] al-Darimi, [5] al-Baihaqi, [6] al-Thabarani, [7] Ibn al-Jauzi, [8] Ibn Abi Syaibah dan lain-lain.

Jawapan:

Saya berkata, jika lafaz “Adakah anda bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah……” dikuatkan semata-mata atas dasar ianya lebih masyhur, maka yang sebenarnya lebih masyhur adalah lafaz “Di manakah Allah ?” kerana ianya dikemukakan oleh lebih ramai para ahli hadis, antaranya:

1.      Malik bin Anas (179H) dalam al-Muwattha’ (tahqiq: Fuad ‘Abd al-Baqi; Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut tp.thn) no: 1468.
2.      Abu Daud al-Tayalisi (204H) dalam al-Musnad (Dar al-Ma’refah, Beirut tp.thn.) no: 1105.
3.      Muhammad bin Idris al-Shafi’i (204H) dalam Kitab al-Umm (Dar al-Ma‘arif, Beirut 1393H), jld. 5, ms. 280 dan al-Risalah, ms. 75, riwayat no: 242.
4.      ‘Abd al-Razzaq (211H) dalam al-Musannaf (tahqiq: Habib al-Rahman al-‘Azami; Maktabah al-Islami, Beirut 1983) no: 16851.
5.      Ibn Abi Syaibah (235H) dalam al-Musannaf (tahqiq: M. ‘Abd al-Salim Shahin; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995) no: 30333.
6.      Ahmad bin Hanbal (241H) dalam al-Musnad – no: 7906, 23762, 23765 & 23767.
7.      Muslim bin Hajjaj (261H) dalam Sahih Muslim – no: 537.
8.      Abu Daud al-Sajastani (275H) dalam Sunan Abu Daud (tahqiq: M. Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid; Dar al-Fikir, Beirut tp.thn.) no: 930 & 3282.
9.      Ibn Qutaibah (276H) dalam Takwil Mukhtalaf al-Hadith (tahqiq: Muhammad Zuhri; Dar al-Jail, Beirut 1972), ms. 272.
10.   ‘Uthman bin Sa‘id al-Darimi (280H) dalam al-Rad ‘ala al-Jahmiyyah (tahqiq: Badr ‘Abd Allah al-Badr; Dar Ibn Athir, Kuwait 1406H) no: 62.
11.   al-Harith bin Abi Usamah (282H) dalam al-Musnad (bersama Zawa’id al-Haithami, tahqiq: Husain Ahmad Saleh; Markaz al-Sunnah wa al-Sirah al-Nubuwwah, Madinah 1992) no: 015.
12.   ‘Amr bin Abi ‘Ashim al-Shaibani (287H) dalam al-Sunnah li Ibn Abi ‘Ashim (tahqiq: al-Albani; Maktabah al-Islami, Beirut 1993) no: 489.
13.   al-Nasai (303H) dalam Sunan al-Nasai (bersama syarah al-Suyuti dan hasyiyah al-Sindi; Dar al-Ma’refah, Beirut 1999) no: 1218 dan al-Sunan al-Kubra (tahqiq: Hasan ‘Abd al-Mun‘aim; Muassasah al-Risalah, Beirut 2001) no: 1142, 7708, 8535 & 11401.
14.   Ibn Jarud (‘Abd Allah bin ‘Ali al-Naisaburi) (307H) dalam al-Muntaqa (tahqiq: ‘Abd Allah bin ‘Umar al-Barudi; Muassasah al-Kitab al-Thaqafiyyah, Beirut 1988) – no: 212.
15.   Ibn Khuzaimah (311H) dalam Kitab al-Tauhid wa Ithbat Sifat al-Rabb ‘Azza wa Jalla, no: 178, 179, 180, 181 & 182.
16.   Abi ‘Uwanah (Yakob bin Ishaq) (316H) dalam al-Musnad (tahqiq: Aiman bin ‘Araf al-Damsyiqi; Dar al-Marefah, Beirut 1998) no: 1727 &  1728.
17.   Abu al-Husain ‘Abd al-Baqi (351H) dalam al-Mu’jam al-Sahabah (tahqiq: Saleh bin Salim; Maktabah al-Ghuraba’, Madinah 1418H) no: 735.
18.   Ibn Hibban (354H) dalam Sahih Ibn Hibban – no: 165 & 2247.
19.   al-Thabarani (360H) dalam al-Mu’jam al-Kabir (tahqiq: Hamdi ‘Abd al-Majid; Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut tp.thn.), jld. 19, ms. 398, no: 937, 938.
20.   Muhammad bin Ishaq bin Manduh (395H) dalam al-Iman (tahqiq: ‘Ali bin Muhammad bin Nasr; Muassasah al-Risalah, Beirut 1406H) no: 091.
21.   al-Lalaka’i (418H) dalam Syarah Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah, jld. 3, ms. 392, no: 652.
22.   Abu Nu‘aim al-Asbahani (430H) dalam al-Musnad al-Mustakharaj ‘ala Sahih Imam Muslim (tahqiq: Muhammad Hasan bin Ismail; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996) no: 1183.
23.   Ibn Hazm (456H) dalam al-Muhalla, masalah no: 1664.
24.   al-Baihaqi (458H) dalam al-Sunan al-Kubra (tahqiq: Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999) – no: 15266, 15268, 19984 & 19985.
25.   ‘Abd Allah bin Muhammad bin ‘Ali al-Harawi (481H) dalam al-Arba‘in fi Dalail al-Tauhid (tahqiq: ‘Ali bin Muhammad bin Nasr; Madinah 1404H) no: 011.

Demikianlah yang benar, bahawa yang lebih masyhur adalah dengan lafaz “Di manakah Allah ?” Maka apa yang didakwa oleh al-Saqqaf adalah tertolak.

Kedua:

Hasan al-Saqqaf mendakwa bahawa salah seorang perawi hadis ini: Hilal bin Abi Maimunah adalah dha‘if.

Jawapan:

Hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dan lain-lain di atas memiliki jalan: ‘an Yahya bin Abi Katsir, ‘an Hilal bin Abi Maimunah, ‘an ‘Atha’ bin Yasir, ‘an Muawiyah bin al-Hakam al-Salami …… seperti di atas.

Hilal bin Abi Maimunah, beliau ialah Hilal bin ‘Ali bin Usamah al-Madani, darjatnya adalah thiqah sebagaimana nilai al-Nasai, Ibn Hibban, al-Daruquthni, Maslamah bin Qasim dan lain-lain. Merupakan perawi para kitab hadis yang masyhur termasuk al-Bukhari dan Muslim.

Berkata ‘Abd al-Rahman bin Abi Hatim al-Razi, aku bertanya ayahku tentangnya, lalu dia berkata: Ditulis hadisnya dan dia adalah Shaikh.

Lihat [1] ‘Abd al-Rahman bin Abi Hatim al-Razi – al-Jarh wa al-Ta’dil (Dar al-Fikir, Beirut tp.thn.) jld. 9, ms. 76, perawi no: 300, [2] al-Dzahabi – Siyar A’lam al-Nubala, jld 5, ms. 265-266, perawi no: 125 dan [3] al-Mizzi – Tahzib al-Kamal (tahqiq: Basyir Ma‘arof, Muassasah al-Risalah, Beirut 1996) , jld. 30, ms. 343-344, perawi no: 6626.

Ini di sisi Abu Hatim al-Razi, komentar “Ditulis hadisnya” bererti “Tidak boleh dijadikan hujah” sebagaimana sebut al-Dzahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala, jld. 6, ms. 360 ketika membahas biografi Hasyim bin Hassan.

Komentar “Shaikh” bererti Ditulis hadisnya dan dikaji terhadapnya. Ini sebagaimana terang ‘Abd al-Rahman bin Abi Hatim sepertimana nukil al-Hafiz al-Munziri dalam Jawabu al-Hafiz al-Munziri ‘an As’ilatin fi al-Jarh wa al-Ta’dil (tahqiq: Abu Fatah Abu Ghadah; Mathba‘ah al-Islamiyyah 1411H), ms. 52. al-Dzahabi mengulas bahawa komentar Shaikh bukanlah penunjuk kepada sesuatu kecacatan mahupun keterpercayaan tetapi memiliki erti Tidak boleh dijadikan hujah. Lihat al-Mizan al-Iktidal, jld. 4, ms. 53, ketika membahas biogarfi al-‘Abbas bin al-Fadhli al-‘Adani.

Komentar “Tidak boleh dijadikan hujah” bukanlah bererti seseorang perawi itu dan hadis yang diriwayatkannya tertolak secara mutlak tetapi ia bererti hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujah jika ia berdiri dengan sendirinya. Namun jika hadis yang dibawanya memiliki penyokong dan penguat sama ada dari sudut sanad atau matan maka hadis tersebut tetap diterima. [Lebih lanjut lihat penerangan Ibn Taimiyyah dalam al-Sorim al-Maslul ‘ala Shatim al-Rasul (tahqiq: Muhammad bin ‘Abd Allah dan rakan-rakan; Dar Ibn Hazm, Beirut 1997), jld 3, ms 1080-1081; juga penjelasan para pentahqiq di bahagian notakaki no: 1 di mukasurat yang sama]

Di sini penguat yang jelas adalah dari sudut matan kerana hadis “Di manakah Allah ?…… Allah di Langit……” adalah selari dengan ayat-ayat al-Qur’an yang telah dikemukakan di ruangan utama di atas beberapa mukasurat sebelum ini. Bahkan al-Nasai sendiri telah meletakkan hadis ini dalam kitabnya Sunan  al-Kubra, jld. 10, ms. 245 dalam bab Kitab al-Tafsir, Tafsir surah al-Fussilat, firman Allah Ta‘ala: Kemudian Dia istiwa’ ke arah langit dan langit itu masih merupakan asap. [Maksud ayat 11 surah al-Fussilat (41)].

al-Saqqaf menghukum Dha‘if ke atas Hilal bin Abi Maimunah dengan merujuk kepada kata-kata Abu Hatim al-Razi dalam al-Jarh wa al-Ta’dil, jld. 6, ms. 109 di mana berkata Ibn Abi Hatim: Aku bertanya ayah aku tentang ‘Umar bin Radih maka dia menjawab: “Shaikh”. Aku berkata kepada dia bahawa Yahya bin Main berkata (tentang ‘Umar bin Radih): “Dia saleh al-hadis”. Maka berkata (ayahku): Yang benar dia dha‘if al-Hadis. Daripada komentar ini al-Saqqaf membuat rumusan bahawa komentar “Shaikh” di sisi Abu Hatim al-Razi bererti Dha‘if.

Saya berkata, hal ini adalah tidak benar kerana hukum Dha‘if memiliki pelbagai jenis dan kategori di bawahnya. Maka apa yang diperlukan di sini ialah perincian dan perincian yang sebenar di sisi Abu Hatim al-Razi adalah ia bermaksud “Tidak boleh dijadikan hujah”. Tindakan al-Saqqaf memutlakkan kata-kata Abu Hatim al-Razi untuk mendha‘ifkan seseorang perawi secara total adalah satu tindakan yang terburu-buru.

Mungkin ada para pembaca yang bertanya, bagaimana dihukumkan kedudukan Hilal bin Abi Maimunah berdasarkan kaedah ilmu ­al-Jarh wa al-Ta’dil: Apabila bertembung antara Pujian (al-Ta’dil) dan Celaan (al-Jarh) maka Celaan  diunggulkan daripada Pujian ? Saya berkata, kaedah ini adalah benar secara umumnya tetapi tidak secara khususnya kerana:

[1]           Sesuatu celaan perlu disertai dengan penjelasan tentang apa yang menyebabkan seseorang perawi itu dianggap tercela, sehingga kaedah di atas diikuti dengan kaedah: Sesuatu celaan tidaklah merosakkan pujian ke atas seseorang melainkan disertai sebab celaan tersebut. Dalam kes ini Abu Hatim al-Razi tidak menerangkannya sebab sebenar celaan beliau ke atas Hilal bin Abi Maimunah.

[2]           Telah juga diterangkan sebelum ini bahawa komentar Abu Hatim al-Razi ke atas Hilal bin Abi Maimunah sebagai: Ditulis hadisnya dan dia adalah Shaikh, bukanlah merupakan satu celaan yang pasti tetapi adalah satu peringatan agar diperhatikan dengan lebih lanjut hadis-hadis yang diriwayatkannya sama ada dari sudut sanad atau matan.

[3]           Kemungkinan timbul kesilapan atau perbezaan penilaian dan penggunaan istilah di sisi Abu Hatim al-Razi berbanding jumhur ahli hadis sehingga adakalanya penilaian beliau ke atas seseorang perawi ditinggalkan apabila ia berbeza dengan penilaian jumhur ahli hadis. Yang terakhir ini telah dibahas secara tuntas oleh Abu Fatah Abu Ghadah dalam risalah beliau yang khas dalam bab ini: Tatimmatun fi Bayani Qauli al-Imam Abi Hatim al-Razi fi al-Rawi: Yuktabu Hadithuhu wa la Yuhtajju bihi (Mathba‘ah al-Islamiyyah 1411H). Di sini jelas bahawa Hilal bin Abi Maimunah adalah seorang perawi yang dinilai thiqah oleh jumhur ahli hadis termasuk al-Bukhari dan Muslim.

Ketiga:

Zahid al-Kauthari mendakwa bahawa salah seorang perawi hadis ini, iaitu Yahya bin Abi Kathir adalah seorang yang dituduh Tadlis. [Lihat notakaki no: 2, ms. 421 dalam komentar al-Kauthari terhadap kitab al-Asma’ wa al-Sifat li al-Baihaqi]

Jawapan:

Yahya bin Abi Katsir, beliau ialah Abu Nasr Saleh bin al-Mutawakil al-Yamami, diiktiraf oleh Syu‘aib bin al-Hajjaj, Ahmad bin Hanbal, Abu Hatim al-Razi, Ibn Hibban dan lain-lain. Juga merupakan perawi para kitab hadis yang masyhur termasuk al-Bukhari dan Muslim.

Berkata al-‘Uqaili dalam al-Dhu‘afa’ al-Kabir (tahqiq: Abdul al-Mu‘atiy Amin Qal’aji, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998), jld. 4, ms. 423, perawi no: 2051: “(Dia) disebut dengan sifat tadlis.”
Saya berkata, hal ini tidaklah mencacatkan Yahya bin Abi Katsir mahupun mendha‘ifkan hadis yang diriwayatkannya kerana dua sebab:

[1]           Beliau dikenali sebagai seorang perawi yang thiqah yang tidak mengambil hadis melainkan daripada perawi yang thiqah juga. Berkata Abu Hatim al-Razi: “Yahya bin Abi Katsir seorang imam, tidak dia mengambil hadis melainkan daripada orang yang thiqah.” Lihat al-Jarh wa al-Ta’dil, jld. 9, ms. 141-142, perawi no: 599; Siyar A’lam al-Nubala, jld. 6, ms 27-31, perawi no: 09 dan lain-lain. Justeru sifat tadlis yang disandarkan kepada beliau – seandainya ia adalah benar – tidaklah mencacatkan hadis yang diriwayatkannya.

[2]           Seandainya tetap diragui sanad ini dari jalan Yahya bin Abi Katsir, ‘an Hilal bin Abi Maimunah, ‘an ‘Atha’ bin Yasir; ketahuilah bahawa Malik bin Anas juga telah meriwayatkan hadis ini daripada Hilal bin Abi Maimunah dengan sanad yang sama di atas. Lihat al-Muwattha’ – no: 1468 dan al-Sunan al-Kubra li al-Baihaqi – no: 15266.

Oleh itu hadis “Di manakah Allah ?” yang diriwayatkan oleh Yahya bin Abi Katsir adalah tetap sahih.

Demikian ulasan dan jawapan ke atas 3 hujah terpenting yang dikemukakan oleh Zahid al-Kauthari dan Hasan al-Saqqaf untuk menolak hadis yang dikeluarkan oleh Muslim bin al-Hajjaj dalam kitab Sahih-nya. Perlu diingatkan bahawa apabila seseorang ahli hadis mensahihkan sesuatu hadis, mereka bukan sahaja mengkaji sanad tetapi juga matan hadis tersebut. Dalam hal ini seandainya sesuatu hadis itu dalam sanadnya memiliki perbincangan tetapi matannya adalah benar, hadis tersebut tetap menduduki darjat sahih. Apabila Muslim bin al-Hajjaj menyusun kitab Sahih-nya, beliau mengkaji dan menilai kedua-dua sanad dan matan. Apabila Muslim bin al-Hajjaj mensahihkan hadis ini, beliau sedia mengetahui segala perbincangan yang terdapat dalam sanadnya tetapi berdasarkan ilmu beliau yang luas dalam hal ini, beliau tidaklah mendha‘ifkan hadis ini sepertimana yang dilakukan oleh Zahid al-Kauthari dan Hasan al-Saqqaf.

Dalam rangka menolak hadis “Di manakah Allah ?” , Zahid al-Kauhari dan Hasan al-Saqqaf telah mengemukakan hadis “Adakah anda bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah……” Menurut mereka inilah lafaz hadis yang sebenar. Marilah kita mengkaji hadis ini.

Hadis ini sebagaimana lafaz Ahmad adalah:

عن عبد الله بن عبد الله عن رجل من الأنصار أنه جاء بأمة سوداء وقال:-يا رسول الله إن علي رقبة مؤمنة أعتقتها. فقال لها رسول الله صلى الله عليه وسلم: أتشهدين أن لا إله إلا الله ؟ قالت: نعم. قال أتشهدين أني رسول الله ؟ قالت: نعم. قال أتؤمنين بالبعث بعد الموت ؟ قالت: نعم. قال: أعتقها.

Daripada ‘Ubaidullah bin ‘Utbah: Bahawasanya seseorang lelaki daripada (golongan) al-Ansar telah datang kepada Rasulullah dengan seorang budak (hamba) perempuan berkulit hitam lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku mempunyai kewajipan untuk memerdekakan seorang budak mukminah.”

Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada dia: “Adakah anda bersaksi bahwa Tiada Tuhan melainkan Allah ?” Wanita tersebut menjawab: “Ya.”

“Adakah anda bersaksi bahawa aku adalah Rasul Allah ?” Wanita tersebut menjawab: “Ya.”

“Adakah anda menyakini dengan kebangkitan sesudah mati ?” Wanita tersebut menjawab: “Ya.”

Maka bersabda Rasulullah: “Bebaskanlah dia.”

Hadis in dikeluarkan oleh:

1.      Malik bin Anas (179H) dalam al-Muwattha’ – no: 1469.
2.      ‘Abd al-Razzaq (211H) dalam al-Musannaf – no: 16814.
3.      Ibn Abi Syaibah (235H) dalam al-Musannaf – no: 30334.
4.      Ahmad (241H) dalam al-Musnad – no: 15743.
5.      Ibn Jarud (307H) dalam al-Muntaqa – no: 931
6.      Ibn Khuzaimah (311H) dalam Kitab al-Tauhid – no: 185.
7.      al-Thabarani (360H) dalam al-Mu’jam al-Kabir – no: 12369 dan dalam al-Mu’jam al-Ausath (tahqiq: Mahmud Hasan Ismail; Dar al-Fikir, Jordan 1999) no: 7070.
8.      al-Baihaqi (458H) dalam al-Sunan al-Kubra – no: 12751 & 19986.

Sanad yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq, Ahmad, Ibn Jarud adalah sahih sebagaimana nilai Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakan beliau terhadap kitab Musnad Ahmad, jld. 25, ms. 19-20. Namun ketiga-tiganya, malah kesemuanya di atas mengeluarkan hadis ini daripada “Seseorang lelaki” atau “Seseorang lelaki daripada (golongan) al-Ansar.” Tidak disebut nama sahabat yang datang menghadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dengan hamba wanitanya.

Di sini jelas terdapat petunjuk bahawa hadis ini dan hadis “Di manakah Allah ?” bukanlah saling bercanggah dan berlawanan antara satu sama lain tetapi ia sebenarnya merujuk kepada dua “hamba wanita” yang berbeza yang dibawa menghadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam oleh Tuan yang berbeza lalu disoal oleh Rasulullah dengan soalan yang berbeza.

Hal ini seumpama sebuah kes lain yang dikemukakan oleh al-Darimi dengan sanad yang hasan daripada al-Syarid radiallahu ‘anhu di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bertanya kepada hamba wanita yang dibawanya hanya dengan satu soalan: “Adakah anda bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah ?” Wanita tersebut menjawab: “Ya.” Maka Rasulullah bersabda: “Bebaskanlah dia kerana dia seorang Mukminah.” [Lihat Musnad al-Darimi (tahqiq: H. Salim Asad; Dar Ibn Hazm, Beirut 2000) – no: 2393]
Justeru yang benar tidak ada percanggahan antara hadis “Di mana Allah ?” dan hadis “Adakah anda bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah ?” kerana kedua-duanya merujuk kepada kes yang berbeza. Perkara ini adalah sesuatu yang amat lazim dalam sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadis-hadis “Amal apakah yang paling utama ?” di mana bagi kes yang berbeza Rasulullah akan memberikan jawapan yang berbeza.
Perhatikan juga bahawa kedua-dua hadis “Di mana Allah ?” dan “Adakah anda bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah ?” telah dikeluarkan secara bersamaan oleh Malik, ‘Abd al-Razzaq, Ibn Abi Syaibah, Ibn Jarud, Ibn Khuzaimah, al-Thabarani dan al-Baihaqi. Tidak seorangpun daripada mereka menganggap kedua-dua hadis ini adalah saling bercanggah antara satu sama lain sehingga perlu ditolak atau dihukum syadz salah satu daripadanya.

Kesimpulannya hadis “Di manakah Allah ?” adalah sahih dan dapat dikemukakan sebagai hujah, baik dari sudut ‘aqidah mahupun hukum fiqh. Tidak ada percanggahan atau keanehan antara hadis ini dan hadis “Adakah anda bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah ?” sehingga perlu ditolak atau dihukum syadz salah satu daripadanya kerana kedua-duanya merujuk kepada kes yang berbeza.

(Dinukil dari Buku: Pembongkaran Jenayah Ilmiah buku Salafiyah Wahabiyah, terbitan Jahabersa, dalam nota kaki no: 191, hlm 290-297)

Boleh juga baca di sini: http://www.hafizfirdaus.com/ebook/SWSP/E1.htm#_ftn10

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails