Jumaat, 13 Februari 2009

Atsar-Atsar Dari Salaf Tentang Ketinggian Allah Di Atas 'Arasy

Berikut ini saya nyatakan atsar-atsar berkenaan sifat ketinggian Allah (Al-'Uluw) di atas 'ArasyNya menunjukkan kesepakatan para salaf bahawa Allah di atas 'ArasyNya bercanggah dengan apa yang difahami oleh sebahagian golongan seperti 'Asya'irah, Mu'tazilah dan Jahmiyah yang saya nukilkan dari kitab Al-Atsaru Al-Mar'wiyah Fi Sifatu Al-Ma'iyyah karangan Dr. Muhammad Khalifah Ali At-Tamimi. Beliau merupakan Rektor Universiti Antarabangsa Al-Madinah Shah Alam (MEDIU). Untuk mendapatkan kitab ini boleh download dari http://saaid.net (http://saaid.net/Doat/altamimi/2.doc)


Pertama: Abdullah bin Mas'ud


وعن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال: "ما بين السماء القصوى والكرسي خمسمائة عام، ويبن الكرسي والماء كذلك، والعرش فوق الماء والله فوق العرش، ولا يخفى عليه شيء من أعمالكم"


Dari Abdullah bin Mas'ud, dia berkata, "Di antara langit yang paling tinggi dengan kursi adalah lima ratus tahun, dan di antara kursi dengan air juga demikian. 'Arasy di atas air dan Allah di atas 'Arasy, dan tidak sesuatupun yang tersembunyi atas-Nya dari amal perbuatan kalian."


Dikeluarkan Oleh:

  1. Al-Lalika'i, Syarah Usul I'tiqad Ahlis Sunnah Wal Jamaah, 3/395-396, no: 659.
  2. Al-Baihaqi, Al-Asma' Was Sifat, 2/186-187.
  3. Ad-Darimi, Ar-Raddu Al-Jahmiyyah, 275.
  4. Ibn Khuzaimah, At-Tauhid, 1/242-243, no: 149.
  5. Al-Thabrani, Mu'jam al-Kabir, 9/228.
  6. Abu al-Syeikh, Al-Azhamah, 2/688-689, no: 279.
  7. Ibn Abdil Barr, At-Tamhid, 7/...
  8. Ibn Qudamah Itsbat Sifat Al-Uluw, 104-105, no: 75.
  9. Al-Dzahabi, Al-Uluw, 64, katanya sanadnya sahih.
  10. Ibn Qayyim al-Jauzi, Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, 122.
  11. Al-Haitsami, Majma' Az-Zawa'id, 1/86, katanya perawi-perawinya adalah sahih.


Kedua: Ka'ab Al-Ahbar


قال: "قال الله في التوراة: أنا الله فوق عبادي، وعرشي فوق خلقي، وأنا على عرشي، أدبر أمر عبادي، ولا يخفى علي شيء في السماء، ولا في الأرض"


Ka'ab berkata, Allah berfirman di dalam Taurat, "Aku Allah di atas hamba-hamba-Ku, 'Arasy-Ku di atas makhluk-makhluk-Ku, dan Aku di atas 'Arasy mengatur semua urusan hamba-hamba-Ku. Tidak ada sesuatupun yang tersembunyi dari-Ku dan tidak juga di bumi."


- Dikeluarkan Oleh:

  1. Abu al-Syeikh, Al-Azhamah, 2/625-626, no: 244.
  2. Ibn Baththah, Al-Ibanah, 3/185-186, no: 137.
  3. Abu Nu'aim, Al-Hilyah, 6/7.
  4. Abu Ya'la, Ibthal At-Ta'wilat, 149.
  5. Abdul Qadir al-Jailani, Al-Ghunyah Li Thalibi Thariq Al-Haq, 1/57.
  6. Al-Dzahabi, Al-Uluw, 92, katanya perawi-perawinya tsiqah.
  7. Ibn Qayyim al-Jauzi, Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, 129 & 260, pada nombor 129 ia berkata diriwayatkan oleh Abu Nu'aim dengan sanad sahih dari Ka'ab.


Ketiga: Abdullah bin Mubarak (181 H)


ثبت عن علي بن الحسن بن شقيق، شيخ البخاري، قال: قلت لعبد الله ابن المبارك كيف نعرف ربنا؟ قال: "في السماء السابعة على عرشه". وفي لفظ "على السماء السابعة على عرشه، ولا نقول كما تقول الجهمية إنه هاهنا في الأرض". وقال أيضاً: سألت ابن المبارك: كيف ينبغي لنا أن نعرف ربنا؟. قال: "على السماء السابعة، على عرشه، ولا نقول كما تقول الجهمية إنه هاهنا في الأرض"


Dari Ali Ibnul Hasan bin Syaqiq guru Imam Bukhari, dia berkata, "Saya pernah bertanya kepada Abdullah bin Mubarak bagaimana kita mengetahui Tuhan kita?" katanya, "Di langit ke tujuh di atas 'Arasy-Nya." Dalam lafaz lain, "Di atas langit ke tujuh di atas 'Arasy-Nya, dan kita tidak mengatakan sebagaimana yang dikatakan Jahmiyah bahawasanya Allah di sini, di bumi."


Ali juga berkata, "Saya pernah bertanya kepada Abdullah bin Mubarak, bagaimana seharusnya kita mengenali Tuhan kita?" Dia menjawab, "Di atas langit yang ke tujuh, di atas 'Arasy-Nya, dan kita tidak mengatakan sebagaimana Jahmiyah berkata bahawasanya Allah ada di bumi ini."


- Dikeluarkan Oleh:

  1. Bukhari, Khalqu Af'al 'Ibad, 8.
  2. Ad-Darimi, Ar-Raddu 'Ala Al-Marisi, 103.
  3. Ar-Raddu 'Ala Al-Jahmiyah, 50.
  4. Abdullah bin Imam Ahmad, As-Sunnah, 1/111, no: 22 & 1/174-176, no: 216.
  5. Ibn Baththah, Al-Ibanah, 3/155-156, no: 112.
  6. Ibn Mandah, At-Tauhid, 3/308, no: 899.
  7. As-Shabuni, Aqidah As-Salaf, 20, no: 28.
  8. Al-Baihaqi, Al-Asma' Wa As-Sifat, 2/336, no: 903.
  9. Ibn Abdil Barr, At-Tamhid, 7/142.
  10. Ibn Qudamah, Itsbat Sifat Al-Uluw, 117-118, no: 99 & 100.
  11. Ibn Taimiyyah, Dar-u Ta'arud Al-'Aql wa an-Naql, 6/264, Al-Fatawa Al-Hamawiyah, 91.
  12. Al-Dzahabi, Al-Uluw, 110, Siyar A'lam An-Nubala', 8/402, Al-Arba'in, 40, no: 10, Al-'Arasy, 2/187, no: 161-162.
  13. Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, 134-135, katanya diriwayatkan oleh Ad-Darimi, al-Hakim, al-Baihaqi dengan sanad yang paling sahih kepada Ali Ibnul Hasan bin Syaqiq.


Keempat: Ashbagh Ibnul Al-Faraj Al-Maliki (225 H)


"وهو مستو على عرشه وبكل مكان علمه وإحاطته"


Ashbagh berkata: "Allah beristiwa' di atas 'ArasyNya, dan ilmuNya serta jangkauanNya ada di setiap tempat."


- Lihat: Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah oleh Ibnul Qayyim, halaman 142 dan Tahzib Sunan Abu Daud, 7/102. Ashbagh Ibnul Faraj bin Sa'id bin Nafi' merupakan seorang ahli fiqh di antara ulama besar mazhab Maliki di Mesir. Biografinya boleh lihat dalam Wafayat Al-A'yan (1/79) dan Al-A'lam (1/333).


Kelima: Hammad bin Hannad (230 H)


قال: "هذا ما رأينا عليه أهل الأمصار وما دلت عليه مذاهبهم فيه، وإيضاح مناهج العلماء وطرق الفقهاء، وصفة السنة وأهلها أن الله فوق السماء السابعة على عرشه بائن من خلقه وعلمه وقدرته وسلطانه بكل مكان"


Hammad berkata: "Inilah keyakinan ulama-ulama di seluruh pelusuk dunia dan ditunjukkan oleh pandangan-pandangan mazhab mereka, menjelaskan manhaj para ulama' dan jalan ahli fiqh dan merupakan sifat As-Sunnah; bahawa Allah di atas langit yang ke tujuh di atas 'ArasyNya, terpisah dari hamba-hambaNya. IlmuNya, kuasaNya dan kekuasaanNya di setiap tempat."


- Lihat: Al-Uluw oleh Az-Dzahabi, halaman 151, dan Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah oleh Ibnul Qayyim, halaman 242.


Keenam: Ahmad bin Nashr Al-Khuza'I (231 H)


قال إبراهيم الحربي فيما صح عنه: قال أحمد بن نصر وسئل عن علم الله فقال: "علم الله معنا وهو على عرشه"


Berkata Ibrahim Al-Harbi berdasarkan riwayat yang sahih darinya, berkata Ahmad bin Nashr ketika beliau ditanya tentang ilmu Allah: "Ilmu Allah bersama kita sedangkan Allah di atas 'Arasy-Nya."


- Lihat: Al-Uluw oleh Az-Dzahabi, halaman 128. Ahmad bin Nashr bin Malik Al-Khuza'I seorang yang tsiqah (terpecaya). Ia dibunuh sebagai seorang syahid tahun 231 H di waktu pemerintahan khalifah Al-Watsiq kerana beliau tidak mahu mengatakan Al-Quran itu makhluk. Biografinya boleh dilihat dalam Siyar A'lam An-Nubala (11/166) dan Tahzib At-Tahzib (1/87).


Ketujuh: Imam Ahmad bin Hanbal (241 H)


قال يوسف بن موسى القطان: وقيل لأبي عبد الله: الله فوق السماء السابعة على عرشه، بائن من خلقه، وعلمه وقدرته بكل مكان. قال: "نعم"


Berkata Yusuf Ibnul Qatthan: "Dikatakan kepada Abu Abdillah, Allah di atas langit ketujuh di atas 'Arasy-Nya, terpisah dengan makhlukNya, dan ilmuNya serta kuasaNya di setiap tempat?" Jawabnya: "Ya." (Dikeluarkan oleh Ibn Batthah dalam Al-Ibanah (3/159), no: 115)


قال أحمد بن حنبل رحمه الله في كتاب "الرد على الجهمية" مما جمعه ورواه عبد الله ابنه عنه: "باب بيان ما أنكرت الجهمية أن يكون الله على العرش، قلت لهم: أنكرتم أن يكون الله على العرش، وقد قال {الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى}؟ فقالوا: هو تحت الأرض السابعة، كما هو على العرش، وفي السموات والأرض. فقلنا: قد عرف المسلمون أماكن كثيرة ليس فيها من عظمة الرب شيء، أجسامكم وأجوافكم والأماكن القذرة ليس فيها من عظمته شيء، وقد أخبرنا عز وجل أنه في السماء فقال تعالى {أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِباً} {إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ}، {إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ}، {بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ}، {يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ}، فقد أخبرنا سبحانه أنه في السماء"


Imam Ahmad berkata di dalam kitab Ar-Raddu 'Ala Al-Jahmiyyah, yang mana dihimpunkan dan diriwayatkan dari anaknya iaitu Abdullah: "Tentang apa yang diingkari oleh Al-Jahmiyyah bahawa Allah berada di atas 'Arasy, saya katakan kepada mereka: "Kamu mengingkari Allah berada di atas 'Arasy, padahal Allah telah berfirman:


"Allah Yang Maha Pemurah bersemayam di atas 'Arasy." (Thaha: 5)


Mereka mengatakan: "Dia di bawah bumi ketujuh sebagaimana Dia di atas 'Arasy, (iaitu) di langit dan di bumi." Maka kami katakan: "Kaum muslimin telah mengetahui banyak tempat yang sama sekali tidak memberikan citra keagungan bagi Allah, seperti tubuh kamu, perut kamu dan tempat-tempat kotor dan najis yang sama sekali tidak ada keagungan bagiNya. Padahal Allah telah mengkhabarkan kepada kita dalam firmanNya:


"Apakah kalian merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan menjungkir-balikkan bumi bersama kalian, sehingga tiba-tiba bumi itu bergoncang. Ataukah kalian meresa aman terhadap Tuhan yang di langit bahawa Dia akan menghantarkan badai yang berbatu. Maka kelak kalian akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku." (Al-Mulk: 16-17) "KepadaNya naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh yang dinaikkanNya." (Fathir: 10) "…Sesungguhnya Aku akan mematikanmu dan mengangkatmu kepadaKu." (Ali-Imran: 55) "Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka…" (An-Nahl: 50)


Allah telah mengkhabarkan kepada kita bahawa Dia di atas langit."


- Lihat Ar-Raddu Al-Jahmiyyah, halaman 92-93, Az-Dzahabi menyebutkan di dalam Al-Arasy (2/250-251), no: 224, dan Ibnul Qayyim dalam Ijtima' Al-Juyusy, halaman 201-202.


Kelapan: Al-Harits bin Asad Al-Muhasibi (243 H)


قال: "وأما قوله تعالى {الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى} {وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ} {أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ} {إِذاً لابْتَغَوْا إِلَى ذِي الْعَرْشِ سَبِيلاً} {إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ} هذا يوجب أنه فوق العرش فوق الأشياء كلها متنزه عن الدخول في خلقه لايخفى عليه منهم خافية لأنه أبان في هذه الآيات أنه أراد أنه بنفسه فوق عباده؛ لأنه قال: {أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الأَرْضَ} يعني فوق العرش، والعرش على السماء لأن من قد كان فوق كل شيء على السماء، في السماء وقد قال {فَسِيحُوا فِي الأَرْضِ}يعني علي الأرض لايريد الدخول في جوفها...."


Dia berkata: Adapun firman Allah: "Allah Yang Maha Pemurah bersemayam di atas 'Arasy" (Thaha: 5) "Dan Dialah yang berkuasa di atas sekalian hamba-hambaNya." (Al-An'am: 18) "Nescaya tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Tuhan yang memiliki 'Arasy." (Al-Israa: 42) "KepadaNya naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh yang dinaikkanNya." (Fathir: 10)


Semua ini mewajibkan bahawasanya Allah di atas 'Arasy di atas segala sesuatu, disucikan dari bertempat pada makhlukNya, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari padaNya kerana Allah menjelaskan di dalam ayat-ayat ini bahawa Dia berkehendak dengan diriNya di atas semua hamba-hambaNya, kerana Dia berfirman: "Apakah kalian meresa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan menjungkir-balikkan bumi bersama kalian." (Al-Mulk: 16)


Maknanya di atas 'Arasy, dan 'Arasy adalah di atas langit, kerana Allah yang berada di atas segala sesuatu di atas langit. Dia telah berfirman: "Maka berjalanlah di bumi.." Ertinya di atas bumi yang Dia tidak ingin masuk di dalamnya."


- Lihat: Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, halaman 272. Al-Harits bin Asad Al-Muhasibi dikenali sebagai seorang sufi. Antara kitabnya yang terkenal dalam menulis masalah tasawwuf ialah Ar-Ri'ayah li Huquqillah dan Risalah Al-Murtarsyidin. Biografinya boleh dilihat di dalam Tarikh Al-Baghdadi (8/211) dan Siyar A'lam An-Nubala' (12/110).


Kesembilan: Abdul Wahab bin Abdul Hakam Al-Warraq (251 H)


Abdul Wahab bin Abdul Hakam Al-Warraq ketika diriwayatkan hadis Ibnu Abbas yang mengatakan Jarak antara langit ketujuh dengan kursi Allah adalah tujuh ribu cahaya, dan Dia di atas semua itu. Beliau berkata:


"من زعم أن الله ههنا فهو جهمي خبيث، إن الله فوق العرش، وعلمه محيط بالدنيا والآخرة"


"Barang siapa yang menyangka bahawa Allah di sini (di bumi), maka dia adalah seorang Jahmiyyah yang keji. Allah berada di atas 'Arasy dan ilmuNya melingkupi dunia dan akhirat."


- Lihat: Al-Uluw (halaman 142) dan Al-'Arasy (2/253) no: 226 oleh Az-Dzahabi dan Ijtima' Al-Juyusy, halaman 232 dan Ibnul Qayyim mengatakan riwayat ini sahih. Abdul Wahab bin Abdul Hakam bin Nafi' An-Nasa'I pernah bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal serta berguru dengannya. Beliau seorang yang soleh, wara' dan zuhud. Biografinya boleh dilihat di dalam Thabaqat Al-Hanabilah (1/209-212) dan Taqrib At-Tahzib, halaman 633.


Kesepuluh: Yahya bin Mu'az Ar-Razi (258 H)


قال: "الله تعالى على العرش، بائن من الخلق، قد أحاط بكل شيء علماً، وأحصى كل شيء عدداً، ولا يشك في هذه المقالة إلا جهمي رديء ضليل هالك مرتاب، يمزج الله بخلقه ويخلط الذات بالأقذار والأنتان"


Yahya berkata: "Allah Ta'ala di atas 'Arasy, terpisah dari hamba-hambaNya. Allah telah meliputi segala sesuatu dengan ilmuNya dan telah menghitung segala sesuatu. Tidak ada yang ragu terhadap pendangan ini kecuali dia adalah seorang Jahmiyyah yang busuk, sesat, binasa dan ragu-ragu kerana dia mencampuradukkan Allah dengan makhlukNya dan membaurkan Zat-Nya dengan kotoran dan benda-benda busuk."


- Lihat: Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, halaman 270 dan Majmu' Al-Fatawa (5/49). Yahya bin Mu'az Ar-Razi seorang penyampai nasihat yang baik sebagaimana disebutkan oleh Abul Qasim al-Qusyairi di dalam Ar-Risalah. Beliau wafat di Nisabur. Lihat Wafayat Al-A'yan (6/165).


Kesebelas: Muhammad bin Yahya Az-Dzahali (258 H)


سئل محمد بن يحي عن حديث عبد الله بن معاوية عن النبي صلى الله عليه وسلم: "ليعلم العبد أن الله معه حيث ما كان" (رواه الطبراني في الصغير ص 115)، فقال: "يريد أن الله علمه محيط بكل مكان والله على العرش"


Muhammad bin Yahya pernah ditanya tentang hadis Abdullah bin Mu'awiyah yang diriwayatkannya dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam: "Hendaklah hamba mengetahui bahawasanya Allah bersama dengannya dimanapun dia berada." (Hadis riwayat Thabrani di dalam Al-Mu'jam Ash-Shaghir, 115) Maka ia menjawab: "Maksud hadis itu adalah bahawa ilmu Allah meliputi semua tempat sedangkan Allah di atas 'Arasy."


- Lihat: Al-Uluw oleh Az-Dzahabi, halaman 136. Muhammad bin Yahya bin Abdullah bin Khalid bin Faris bin Zu'aib Ad-Dzahali an-Nisaburi as-Zuhri, seorang yang tsiqah, penghafal yang baik, peribadinya agung dari thabaqah kesebelas. Ia wafat ketika berumur 85 tahun. Biografi beliau boleh dilihat di dalam Taqrib At-Tahzib, halaman 907 dan Siyar A'lam An-Nubala (12/273).


Kedua Belas: Al-Muzani (264 H)


قال: "الحمد لله أحق من ذكر وأولى من شكر... إلى أن قال.. علا على عرشه في مجده بذاته، وهو دان بعلمه من خلقه، أحاط علمه بالأمور..."


Al-Muzani berkata: "Segala puji bagi Allah tuhan yang paling hak diingat dan disebut, dan Tuhan yang paling utama disyukuri... Allah di atas 'ArasyNya dalam segala keagunganNya dengan ZatNya, Dia dekat dengan ilmuNya dari hamba-hambaNya, ilmuNya meliputi segala sesuatu..." (Lihat: Syarah As-Sunnah oleh Al-Muzani, halaman 75.)


Ketiga Belas: Abu Hatim Ar-Razi (277 H) dan Abu Zur'ah Ar-Razi (264 H)


Abdurrahman bin Abi Hatim pernah bertanya kepada Abu Hatim dan Abu Zur'ah tentang mazhab Ahlus Sunnah dalam masalah aqidah dan apa yang mereka dapatkan dari para ulama di setiap tempat, serta apa yang mereka sendiri yakini. Maka, mereka berkata:


"أدركنا العلماء في جميع الأمصار، حجازاً، وعراقاً، ومصراً، وشاماً، ويمناً، وكان من مذهبهم أن الله على عرشه بائن من خلقه كما وصف نفسه بلا كيف، أحاط بكل ‎شيء علماً"


"Kami mendapati seluruh ulama di Hijaz, Iraq, Mesir Syam, dan Yaman meyakini bahawa Allah di atas 'ArasyNya terpisah dari hamba-hambaNya sebagaimana Allah mensifati diriNya tanpa menentukan cara dan bentuknya, dan ilmuNya meliputi segala sesuatu." (Lihat: Syarah Usul I'tiqad Ahli Sunnah Wal Jama'ah (1/176-179), no: 321)


Keempat Belas: 'Utsman bin Sa'id Ad-Darimi (280 H)


Utsman berkata dalam kitabnya:


"قد اتفقت الكلمة من المسلمين، أن الله بكماله فوق عرشه، فوق سمواته"


"Kaum muslimin telah sepakat bahawa Allah dengan segala kesempurnaanNya di atas 'ArasyNya, di atas langit-langitNya." (Lihat: Ar-Raddu 'Ala Bisyr Al-Marisi, halamn 408)


"وقال أهل السنة: إن الله بكماله فوق عرشه، يعلم ويسمع من فوق العرش، لا يخفى عليه خافية من خلقه، ولا يحجبهم عنه شيء"


Di tempat lain beliau berkata: "Ahlus Sunnah berkata "Allah dengan segala kesempurnaanNya di atas 'ArasyNya, mengetahui dan mendengar dari atas 'Arasy, tidak ada sesuatu pun dari hamba-hambaNya yang tersembunyi daripadaNya, dan tidak ada yang dapat menghalangiNya dari mereka." (Lihat: Ar-Raddu 'Ala Bisyr Al-Marisi, halaman 438. Ar-Raddu 'Ala Al-Jahmiyyah, halaman 268. Dan Al-'Arasy (2/260), no: 230)


Kelima Belas: Zakaria bin Yahya As-Saji (307 H)


قال: "القول في السنة التي رأيت عليها أصحابنا أهل الحديث، إن الله تعالى على عرشه، في سمائه، يقرب من خلقه كيف شاء"


Zakaria berkata: Pandangan dalam As-Sunnah yang saya lihat pada sahabat-sahabat kami Ahlul Hadis, bahawasanya Allah di atas 'ArasyNya di langitNya, dekat dari hamba-hambaNya sebagaimana yang dikehendakiNya." (Lihat: Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, halaman 245-246. Al-'Uluw, halaman 150 dan Al-'Arasy (2/278), no: 240)


Keenam Belas: Al-Hasan bin Ali bin Khalaf Al-Barbahari (329 H)


Al-Hasan berkata:


"وهو جل ثناؤه واحد ليس كمثله شئ وهو السميع البصير، ربنا أول بلا متى وآخر بلا منتهى، يعلم السر وأخفى، وعلى عرشه استوى، وعلمه بكل مكان، لايخلو من علمه مكان"


"Allah Yang Maha agung adalah Esa, tidak ada sesuatu pun yang sama denganNya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Tuhan kita adalah permulaan tenpa menentukan 'bila'? Dia adalah Yang Akhir tanpa kesudahan. Dia mengetahui rahsia apa yang tersembunyi, bersemayam di atas 'ArasyNya. ilmuNya (pengetahuanNya) ada di setiap tempat, tidak ada sesuatu tempat pun yang sunyi dari pengetahuanNya."


- Lihat: Syarah As-Sunnah oleh Al-Barbahari, halaman 71. Al-Barbahari ialah seorang Imam dan Hafiz dan seorang ulama dalam mazhab Hanbali di Baghdad. Terkenal dengan sikapnya yang tegas terhadap As-Sunnah. Lihat biografinya dalam Thabaqat Al-Hanabilah, jilid 2, halaman 18-45.


Ketujuh Belas: Ibn Abi Zaid Al-Qairawani (386 H)


قال الإمام أبو محمد بن أبي زيد المالكي المغربي في رسالته في مذهب مالك، أولها: "وأنه فوق عرشه المجيد بذاته، وأنه في كل مكان بعلمه"


Berkata Imam Abu Muhammad bin Abi Zaid Al-Maliki di dalam risalahnya tentang Mazhab Imam Malik: "Sesungguhnya Allah di atas 'ArasyNya yang Maha agung dengan ZatNya dan bahawasanya ilmuNya di setiap tempat." (Lihat: Risalah Al-Qairawani, halaman 4 dan Al-'Uluw, halaman 171)


وقال في كتابه المفرد في السنة: "وأنه فوق سمواته على عرشه دون أرضه وأنه في كل مكان بعلمه"


Dalam kitab Al-Mufrad ia berkata: "Sesungguhnya Allah di atas langitNya di atas 'ArasyNya bukan di bumiNya, dan bahawa Dia di setiap tempat dengan ilmuNya." (Lihat: Al-Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, halaman 151)


Kelapan Belas: Muhammad bin Abdillah bin Abi Zamnain (399 H)


قال محمد بن عبد الله: "ومن قول أهل السنة إن الله عز وجل خلق العرش واختصه بالعلو والارتفاع فوق جميع ما خلق ثم استوى عليه كيف شاء كما أخبر عن نفسه في قوله {الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى}... فسبحان من بعد فلا يرى، وقرب بعلمه وقدرته فسمع النجوى"


Muhammad bin Abdillah berkata: "Di antara pandangan Ahlus Sunnah adalah bahawasanya Allah menciptakan 'Arasy dan mengkhususkannya untuk ketinggianNya di atas makhluk-makhlukNya. Kemudian Dia bersemayam di atasNya sebagaimana yang Dia kehendaki, seperti yang Dia khabarkan tentang diriNya di dalam firmanNya: "Allah yang Maha Pemurah bersemayam di atas 'Arasy." Maka Maha Suci Allah yang jauh sehigga tidak dapat dilihat, dan dekat dengan ilmuNya dan kuasaNya sehingga mendengar bisikan rahsia sekalipun."


- Lihat: Riyadh Al-Jannah Bi Takhrij Usul Sunnah, halaman 88. Biografi Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Isa al-Mariy Al-Andalusi boleh dilihat dalam Al-Wafi Bi Al-Wafayat (2/321) dan Syadzarat Az-Dzahab (3/156). Beliau seorang yang bermazhab Maliki terkenal dengan gelarannya Ibn Zamnain.


Kesembilan Belas: Abu Bakar Al-Baqilani (403 H)


قال أبو بكر محمد بن الطيب الباقلاني في كتاب "الإبانة": "فإن قيل: هل تقولون إنه في كل مكان؟؛ قيل له: معاذ الله، بل هو مستو على عرشه، كما أخبر في كتابه وقال {الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى}، وقال {إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ}، وقال: {أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ}، ولو كان في كل مكان، لكان في بطن الإنسان، وفمه، والحشوش، ولوجب أن يزيد بزيادات الأماكن، إذا خلق منها ما لم يكن، ولصح أن يرغب إليه إلى نحو الأرض، وإلى خلفنا، وإلى يميننا، وشمالنا، وهذا قد أجمع المسلمون على خلافه وتخطئة قائله"


Abu Bakar berkata dalam kitab Al-Ibanah: "Jika ada yang bertanya, apakah kalian berpandangan bahawasanya Allah ada di setiap tempat, maka jawablah, aku berlindung kepada Allah dari pandangan seperti itu. Bahkan Dia bersemayam di atas'ArasyNya, sebagaimana yang Dia khabarkan di dalam kitabNya: "Allah yang Maha Pemurah bersemayam di atas 'Arasy," "KepadaNya naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh yang dinaikkanNya," "Apakah kalian merasa aman terhadap Allah yang di langit." Kalaulah Dia di setiap tempat, nescaya juga berada di dalam perut dan mulut manusia, perut binatang, serta akan bertambah dengan tambahannya tempat. Kita juga nescaya akan menghadap kepadaNya (dalam solat dan doa) ke setiap arah bumi, ke arah belakang kita, ke sebelah kanan atau sebelah kiri dan kaum muslimin telah ijma' (sepakat) menentang pandangan ini dan menyalahi orang yang mengatakannya." (Lihat: Al-'Arasy oleh Az-Dzahabi (2/338), no: 261 begitu juga secara ringkas disebutkan di dalam Siyar A'lam An-Nubala', jilid 17, halaman 558-559)


Kedua Puluh: Al-Lalika'I (418 H)


قال الإمام أبو القاسم هبة الله بن الحسن الشافعي، في كتاب شرح أصول السنة له: "سياق ما روي في قوله {الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى}، و‎أن الله على عرشه في السماء، قال عزوجل {إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ}، وقال {أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ}، وقال {وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ}، قال: فدلت هذه الآيات أنه في السماء وعلمه محيط بكل مكان"


Berkata Al-Imam Abul Qasim Hibatallah bin Al-Hasan As-Syafi'I, dalam kitab Syarah Usul As-Sunnahnya: "Rangkaian apa yang difirmankan oleh Allah "Allah yang Maha Pemurah bersemayam di atas 'Arasy," Dan bahawa Allah di atas 'ArasyNya di langit, firman Allah "KepadaNya naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh yang dinaikkanNya," Dan firmanNya lagi "Apakah kalian merasa aman terhadap Allah yang di langit." Dan firmanNya lagi "Dan Dia berkuasa di atas hamba-hambaNya." Al-Lalika'I berkata: "Maka semua ayat ini menunjukkan bahawasanya Allah di langit dan ilmuNya meliputi setiap tempat."


- Lihat: Syarah Usul I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, jilid 3, halaman 387-388. Al-Lalika'I adalah seorang ulama' bermazhab As-Syafi'i, seorang Imam dan Hafiz. Dia menulis kitab Syarah I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi rujukan paling penting berkenaan akidah Ahli Sunnah. Biografinya boleh dilihat di dalam Tarikh Baghdad (14/70), dan Siyar A'lam An-Nubala' (17/419).


Demikian, kejelasan daripada mereka bahawa, Allah di langit, di atas 'Arasy, di atas makhluk-makhlukNya. Namun, hendaklah kita menafikan (Tasybih) kesamaan Allah dengan Makhluk Nya walaupun dari segi penamaannya seakan-akan sama. Ini telah saya jelaskan dalam artikel saya yang bertajuk "Pelajaran Tentang Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah (2)" Maka tidak seharusnya kita masih mengunggulkan akal dalam perkara ini. Ini kerana telah sah, bahawa Al-Quran dan As-Sunnah mengkhabarkan kepada kita bahawa Allah itu di atas dengan ketinggianNya Dia berada di atas 'Arasy. Aqidah ini bukan sesuatu yang baru, bukan juga rekaan-rekaan Ibn Taimiyyah atau wahabi. Tetapi inilah sebenarnya pandangan As-Salafus Soleh. Telah jelas dan terang banyaknya penyelewengan daripada golongan yang menyeleweng dari kalangan pengikut Asya'irah yang menafikan Yad (Tangan), Wajh (Wajah), Istiwa 'Ala Al-'Arasy (Beristiwa atas 'Arasy), Nuzul (turun) dan banyak lagi. Sehingga yang terbaru ini, sebuah kertas lembaran dari Abu Syafiq, ada tertulis bahawa beliau menafikan pula sifat Akbar (Maha Besar) kepada Allah. Na'uzubillah!!


Hendaklah kita benar-benar mengkaji perkara ini, mengunggulkan Al-Quran, As-Sunnah dan Qaul Sahabah bukannya ulama-ulama keterbelakangan dan akal melebihi yang tiga sebelumnya. Jelaslah aqidah mereka "ALLAH MAUJUD BILA MAKAN" bukanlah aqidah yang benar jika ia menafikan Allah itu di atas 'Arasy. Wallahua'lam.


http://wahabiah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan