Isnin, 9 Februari 2009

MA’IYYAH ALLAH: BANTAHAN TERHADAP KELOMPOK YANG MENYELEWENG

Al-Ma’iyyah المعية bermaksud kebersamaan Allah dengan hamba-hambaNya. Ini banyak dijelaskan di dalam Al-Quran antaranya:

{هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ}.

Maksudnya: “Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadaNya. Dan Dia beserta kalian dimanapun kalian berada. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kalian kerjakan.” (Al-Hadiid: 4)

{أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلا أَكْثَرَ إِلاَّ هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ}.

Maksudnya: “Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Diala yang keempatnya. Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah yang keenamnya. Dan tiada (pula) pembicaraan antara (jumlah) yang kurang dari itu, atau lebih banyak, melainkan Dia bersama mereka dimanapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Mujaadalah: 7)

Ayat di atas inilah terbahagi beberapa kelompok dalam memahaminya, antaranya:


Jahmiyyah Mu’atthilah

Golongan ini berpandangan bahawa Allah tidak berada di dalam alam dan tidak pula di luarnya, tidak di atas alam dan tidak pula di bawahnya, tidak terpisah dengannya dan tidak pula bersatu dengannya. Mereka mengatakan dengan menafikan dua sifat yang saling berlawanan sekaligus tidak mungkin sesuatu yang ada wujudnya terlepas dari keduanya. (Rujuk: Ta’wil Musykilat Al-Hadits, Ibn Fauruq, halaman 63 dan Al-Iqtishad Fi Al-I’tiqad, halaman 29-34)

Mereka ini didorong dengan rasa kerisauan akan menyerupakan Allah dengan makhluknya secara berlebihan sehingga mereka menafikan Allah keseluruhannya. Maka mereka berpandangan sedemikian kerana ingin menghindari (sebagaimana dakwaan mereka) menetapkan bagi Allah itu arah (Jihah), tempat (Makan), dan posisi (Haiyiz) bagi Allah Ta’ala. Sebab itulah mereka beranggapan bahawa tajsim (menetapkan jasmani bagi Allah) itu adalah tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk). (Rujuk: Al-Atsaru Al-Marwiyati Fi Sifatu Al-Ma’iyyati, Dr. Muhammad Khalifah At-Tamimi, edisi terjemahan, Akbar Media Eka Sarana, halaman 96)


Jahmiyyah Hulliyyah

Golongan ini berpandangan bahawa zat Allah berada di setiap tempat (dimana-mana). Ini merupakan pendapat An-Najjariyyah. Nisbah kepada pengikut Husain bin Muhammad bin Abdullah bin Najjar. Dia ini merupakan seorang yang paling banyak mewarnai pandangan Muktazilah.

Asy-Syahrastani menukilkan dari Kitab Al-Milal Wa An-Nihal (1/113-114) dari Ka’bi mengatakan: “An-Najjar pernah mengatakan bahawa sesungguhnya Allah ada dalam bentuk wujud di setiap tempat, dan bukan bermakna ilmu dan kuasa.” (Rujuk: Maqalat Islamiyyin, Al-Farqu Baina Firaq (126-12), Usuluddin oleh Al-Baghdadi (334), dan At-Tabsir Fi Ad-Din)

Mereka mengatakan Allah berada di setiap tempat dengan berhujahkan ayat-ayat Ma’iyyah di atas tadi. Mereka mentakwilkan nas-nas tentang ketinggian Allah di atas ‘Arasy serta seluruh nas yang berlawanan dengan pandangan mereka. (Rujuk: Al-Atsaru Al-Marwiyati Fi Sifatu Al-Ma’iyyati, halaman 98-99)


Ahli Sunnah Wal Jamaah

Golongan ini adalah kelompok yang selamat dalam memahami ayat-ayat Ma’iyyah Allah. Berkenaan ayat-ayat ma’iyyah Allah ditafsirkan oleh Ulama adalah sebagaimana berikut:

1 – Pendapat Ibn Abbas:

أخرج ابن أبي حاتم عن ابن عباس في قوله {وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ} قال: "عالم بكم أينما كنتم"

Maksdnya: Ibn Abi Hatim mengeluarkan riwayat dari Ibn ‘Abbas tentang firman Allah Ta’ala: “Dan Dia bersama kalian dimanapun kalian berada.” Ibn ‘Abbas berkata: “Allah Maha Mengetahui dimanapun kalian berada.” (Rujuk: Ad-Durar Mantsur oleh As-Suyuti, jilid 6, halaman 171)

2 – Pendapat Muqatil bin Hayyan (wafat sebelum 150 H):

قال في قوله تعالى {مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلاثَةٍ إِلاَّ هُوَ رَابِعُهُمْ} قال: "هو على العرش ولا يخل شيء من علمه"

Berkata mengenai firman Allah: “Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Diala yang keempatnya. Muqatil berkata: “Allah di atas ‘Arasy dan ilmuNya menyertai mereka dimanapun mereka berada.”[*]

[*] Perkataan di atas adalah riwayat Imam Ahmad secara mausul dalam As-Sunnah (71), Abu Daud dalam Masa-il (263), Ibn Jarir At-Thobari dalam tafsirnya (28/12-13), Al-Ajurri dalam Asy-Syari’ah (3/1079), no: 655, Ibn Batthah di dalam Al-Ibanah (3/152-153), no: 109, Ibn Abi Ya’la dalam At-Thobaqat (1/252), Al-Baihaqi dalam Asma’ was Sifat (2/341-342), no: 909, Ibn Abdil Barr dalam At-Tamhid (7/139), dan Ibn Qudamah dalam Itsbat Sifat Al-Uluw (113).

3 – Imam Ad-Darimi (280 H) berkata dalam kitabnya Ar-Raddu ‘Ala Al-Jahmiyyah, dalam bab Istiwa’ Ar-Rabbi Tabaraka wata’ala ‘Ala Al-‘Arsy:


"فاحتج بعضهم فيه بكلمة زندقة استوحش من ذكرها وتستر آخر من زندقة صاحبه فقال: قال تعالى {أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلا خَمْسَةٍ إِلاَّ هُوَ سَادِسُهُمْ وَلا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلا أَكْثَرَ إِلاَّ هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ} قلنا: هذه الآية لنا عليكم لا لكم، إنما يعني أنه حاضر كل نجوى، ومع كل أحد من فوق العرش بعلمه، لأن علمه بهم محيط، وبصره فيهم نافذ، لا يحجبه شيء عن علمه وبصره، ولا يتوارون منه بشيء، وهو بكماله فوق العرش بائن من خلقه {يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى}، أقرب إلى أحدهم من فوق العرش من حبل الوريد، قادر على أن يكون له ذلك، لأنه لا يبعد عن شيء ولا يخفى عليه خافية في السموات ولا في الأرض، فهو كذلك رابعهم، وخامسهم، وسادسهم، لا أنه معهم بنفسه في الأرض كما ادعيتم، وكذلك فسرته العلماء.."

“Sebahagian mereka berhujjah dengan ucapan golongan zindiq yang membuatkan orang yang menyebutnya ngeri dan gementar. Bahkan, ada yang lainnya berlindung dari kezindiqan temannya. Firman Allah: “Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Diala yang keempatnya...” adalah hujah yang membela kami terhadap kalian dan bukan membela kalian (terhadap kami). Kerana ayat itu maksudnya adalah Allah mengetahui setiap pembicaraan rahsia dan bersama setiap orang dari atas Arasy dengan ilmuNya, kerana ilmuNya meliputi mereka. Tidak ada sesuatupun yang menghalangi ilmu dan penglihatanNya, dan sedikitpun tidak dapat menyembunyikan diri daripadaNya... ...Allah dengan segala kesempurnaan yang disandangNya di atas ‘Arasy terpisah dari hamba-hambaNya, “Dia mengetahui rahsia dan apa yang tersembunyi..” Dia lebih dekat kepada seorang dari mereka dari atas ‘Arasy dari urat leher. Dia Kuasa untuk itu, kerana tidak ada sesuatu pun yang jauh bagiNya dan tidak sesuatu pun yang tersamar bagiNya di langit mahupun di bumi. Maka demikian juga Dia adalah yang keempat, yang kelima, dan yang keenam dari mereka, kerana Dia bersama mereka dengan diri-Nya di bumi sebagaimana yang kalian sangkakan, dan demikianlah ditafsirkan oleh para ulama.” (Rujuk: Raddu ‘Ala Al-Jahmiyyah, halaman 268-269)


Bantahan terhadap kelompok yang menyeleweng

Lafaz ma’iyyah di dalam Al-Quran dan Sunnah mengandungi dua makna, iaitu ma’iyyah Allah yang bersifat Umum dan yang bersifat Khusus.

Ma’iyyah Umum: Maliyyah ini dengan segala kandungannya bahawa Allah mengawasi dan menyaksikan mereka, menguasai dan mengetahui mereka. Ma’iyyah inilah dimaksudkan di dalam firmanNya:

Maksudnya: “Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempatnya. Dan tiada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah yang keenamnya. Dan tiada (pula) pembicaraan antara (jumlah) yang kurang dari itu, atau lebih banyak, melainkan Dia bersama mereka dimanapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Mujaadalah: 7)

Perhatikan ayat ini Allah memulainya dengan ilmu dan mengakhirkannya juga dengan ilmu. Sebab itulah para ulama dari kalangan sahabat dan tabi’in yang mengambil tafsir ayat-ayat ma’iyyah ini dari mereka sepakat bahawasanya tafsir ayat ini adalah bahawa Allah bersama mereka dengan ilmuNya. Ijma’ mereka ini dinukil dari Ibn Abdil Barr di dalam kitabnya At-Tamhid (7/138) dan Abu Umar At-Thalamanki. (Rujuk: Al-Atsaru Al-Marwiyati Fi Sifatu Al-Ma’iyyati, halaman 108-109)

Begitu juga firman Allah:

Maksudnya: “Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadaNya. Dan Dia beserta kalian dimanapun kalian berada. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kalian kerjakan.” (Al-Hadiid: 4)

Zahir ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa yang dimaksudkan dengan kebersamaan Allah adalah ilmuNya dan pengawasanNya terhadap makhluk-makhlukNya. Dalam ayat ini Allah khabarkan yang Dia berada di atas ‘ArasyNya dan mengetahui segala sesuatu dan Dia bersama kita dimanapun kita berada. Maka di dalam ayat ini Allah mengumpulkan antara Al-Uluw (ketinggian) dengan Ma’iyyah (kebersamaanNya dengan makhlukNya). Oleh itu, sama sekali tidak ada pertentangan antara keduanya. Ini kerana telah tsabit sebuah hadis dari Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam:

والله فوق العرش يعلم ما أنتم عليه


Maksudnya: “Dan Allah di atas ‘Arasy mengetahui apa yang kalian lakukan.” [*]

[*] Hadis riwayat Ahmad dalam musnadnya (1/207), Abu Daud no: 4723, Tirmizi no: 3320, Ibn Majah dalam Muqaddimah Sunannya (1/69), Ad-Darimi dalam Ar-Raddu Ala Bisyr Al-Marisi (448), Ibn Abi Ashim dalam As-Sunnah (1/253), Ibn Khuzaimah dalam At-Tauhid no: 144, Al-Ajurri dalam Asy-Syari’ah no:665, Ibn Mandah dalam At-Tauhid dan Al-Lalikai dalam Syarah Usul I’tiqad Ahlis Sunnah Wal Jamaah (3/390).

Ma’iyyah Khusus: Ma’iyyah khusus ini adalah dengan makna mengawasi, memberi pertolongan dan menguatkan. Ia dinamakan dengan ma’iyyah khusus kerana ianya khusus bagi para Nabi dan orang-orang yang dicintai Allah. Ini firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “…Di waktu dia berkata kepada temannya, ‘Jangan engkau bersedih hati (berduka cita), sesungguhnya Allah bersama kita.” (At-Taubah: 40)

Demikian juga firman Allah:

Maksudnya: “…Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (An-Nahl: 128)

Lafaz ma’a di atas ini tidak menunjukkan bahawa Allah bercampur dengan makhlukNya. Apabila ditafsirkan kebersamaan Allah adalah dengan zatNya di setiap tempat, nescaya akan bertentanganlah ayat-ayat ma’iyyah umum dengan ayat-ayat ma’iyyah khusus. Makna yang sebenarnya adalah bahawa Allah bersama mereka dengan memberikan pertolongan dan kekuatan kepada mereka, dan bukan kepada lainnya. (Rujuk: Al-Atsaru Al-Marwiyati Fi Sifatu Al-Ma’iyyati, halaman 113)

Ibn Abdil Barr rahimahullah berkata:

"فوجب حمل هذه الآية على المعنى الصحيح المجتمع عليه، وذلك أنه في السماء إله معبود من أهل السماء، وفي الأرض إله معبود من أهل الأرض، وكذلك قال أهل العلم بالتفسير"

Maksdnya: “Ayat ini wajib dimaknai dengan makna yang sahih yang telah disepakati, dan itu adalah bahawa Dia di langit adalah Tuhan yang disembah oleh penghuni langit, dan di bumi adalah juga Tuhan yang disembah oleh penghuni bumi, dan begitulah yang dikatakan oleh para ulama.” (Rujuk: At-Tamhid, jilid 7 halaman 134)

Al-Ajurri berkata:

: "وقوله عزوجل {وَهُوَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ إِلَهٌ وَفِي الأَرْضِ} فمعناه: أنه جل ذكره إله من في السموات وإله من في الأرض، وهو الإله يعبد في السموات، وهو الإله يعبد في الأرض، هكذا فسره العلماء"

Maksdnya: Berkenaan ayat “Dan Dialah Tuhan (yang disembah) di langit dan Tuhan (yang disembah) di bumi..”: “Allah Yang Maha Agung adalah Tuhan bagi penghuni langit dan bumi. Allah adalah Tuhan yang disembah di langit dan Dia juga Tuhan yang disembah di bumi, begitulah para ulama menafsirkannya.” (Rujuk: Asy-Syari’ah, halaman 297)

Al-Ajurri juga berkata:

"وعند أهل العلم من أهل الحق {وَهُوَ اللَّهُ فِي السَّمَاوَاتِ وَفِي الأَرْضِ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ} هو كما قال الحق {يَعْلَمُ سِرَّكُمْ} فما جاءت به السنن أن الله عزوجل على عرشه، وعلمه محيط بجميع خلقه، يعلم ما يسرون وما يعلنون، ويعلم الجهر من القول ويعلم ما يكتمون"

Maksudnya: “Dalam pandangan para ulama yang haq, tak ada pertentangan antara ayat “Dan Dia Allah di langit dan di bumi; Dia mengetahui rahsia kalian dan ketampakan kalian dan apa yang kalian usahakan.” Dengan firman Allah “Dia mengetahui rahsia kalian.” Maka hadis-hadis yang ada bahawasanya Allah di atas ‘ArasyNya dan ilmuNya meliputi semua makhlukNya. Dia mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka perlihatkan. Dia mengetahui ucapan yang kelihatan dan apa yang mereka sembunyikan.” (Ibid)

Demikianlah bantahan ini secara ringkas, bagi mereka yang masih lagi berdegil untuk bersikeras dengan pendapatnya sebagai contoh golongan Al-Asya’irah yang mana mereka juga menuduh wahabi sebagai Jamiyyah sedangkan telah jelas penyimpangan mereka. Bantahan juga telah dilontarkan kepada mereka. Begitulah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sentiasa menjaga agama dengan melakukan bantahan kepada golongan-golongan yang menyeleweng.

Golongan Asya’irah masih sahaja dengan pendapat mereka Allah tidak bertempat, sedang inilah pendapat Jahmiyyah sebagaimana telah dijelaskan di atas tadi. Telah jelas dengan dalil dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa “Allahu Fauqa Al-‘Arasy” (Allah di atas ‘Arasy). Mungkinkah mereka ingin masih hendak mentakwilkannya, kerana tidak cenderung kepada pemikiran mereka? Sepatutnya hadis Nabi ini telah jelas mentafsirkan ayat-ayat IstiwaNya Allah di atas ‘Arasy.

Saya bawakan pendapat guru kepada Imam Bukhari rahimahullah, yang membawakan perkataan Abdullah bin Mubarak (181 H).

عن علي بن الحسن بن شقيق، شيخ البخاري، قال: قلت لعبد الله ابن المبارك كيف نعرف ربنا؟ قال: "في السماء السابعة على عرشه". وفي لفظ "على السماء السابعة على عرشه، ولا نقول كما تقول الجهمية إنه هاهنا في الأرض". وقال أيضاً: سألت ابن المبارك: كيف ينبغي لنا أن نعرف ربنا؟. قال: "على السماء السابعة، على عرشه، ولا نقول كما تقول الجهمية إنه هاهنا في الأرض"

Dari Ali Ibn Al-Hasan bin Syaqiq, guru Imam Bukhari berkata: “Saya pernah bertanya kepada Abdullah bin Mubarak bagaimana kita mengetahui Tuhan kita?” Katanya: “DI LANGIT KE TUJUH DI ATAS ARASY-NYA

Dalam lafaz lain: “Di atas langit ke tujuh di atas ‘ArasyNya dan kita tidak mengatakan sebagaimana yang dikatakan Jahmiyyah bahawasanya Allah di sini, di bumi.”

Ali juga berkata: “Saya pernah bertanya kepada Abdullah bin Mubarak: “Bagaimana sepatutnya kita mengenali Tuhan kita?” Dia menjawab: “Di atas langit ketujuh, di atas Arasy-Nya, dan kita tidak mengatakan sebagaimana orang Jahmiyyah berkata bahawa Allah ada di bumi ini.” [*]

[*] Imam Bukhari mengeluarkan riwayat ini dalam Khalqu Af’al Al-Ibad (8), Ad-Darimi dalam Raddu Ala Al-Marisi (103) dan juga dalam Ar-Raddu Ala Al-Jahmiyyah (50), Abdullah bin Ahmad dalam As-Sunnah no: 22 & no: 216, Ibn Batthah dalam Al-Ibanah no: 112, Ibn Mandah dalam At-Tauhid no: 899, Ash-Shobuni dalam Aqidah As-Salaf no: 28, Al-Baihaqi dalam Asma’ Wa Al-Sifat no: 903, Ibn Abdil Barr dalam At-Tamhid (7/142), Ibn Qudamah dalam Itsbat Shifat Al-Uluw, 99 & 100.

http://wahabiah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan