Masalah mengenai nama-nama dan sifat-sifat Allah adalah masalah Taufiqiyah yang tidak ada peluang bagi aqal mendahului nas atau dalil daripada Al-Quran mahu pun Al-Sunnah. Tidaklah mampu bagi aqal kita mencapai untuk mengenal bagaimanakah sifat-sifat Tuhan, melainkan apa yang Dia sendiri telah memberi tahu dengan wahyu melalui Nabi-Nya s.a.w. Kerana itulah ramai yang terjatuh kelembah kesesatan dalam masalah ini kerana mendahului aqal daripada wahyu. Allah lah yang berhak mensifati diri-Nya kerana Dialah yang lebih mengetahui tentang diri-Nya berbanding makhluk yang tiada upaya mencapai perkara ghaib yang antaranya ialah hakikat ketuhanan itu sendiri.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.a. berkata: “Allah menamakan diri-Nya dengan beberapa nama dan menamai sifat-sifat-Nya dengan beberapa nama. Apabila asma’ tersebut disandarkan (di-idhofahkan) kepada Allah, bererti asma’ itu hanya untuk-Nya, tiada sesuatu pun yang menyekutui-Nya pada sifat tersebut. Dia juga memberi nama sebahagian makhluk-Nya dengan beberapa nama hanya untuk mereka, yang disandarkan kepada mereka sesuai dengan nama-nama tersebut apabila diputuskan dari sandaran dan pengkhususan (takhsis). Persamaan nama tidak menunjukkan persamaan yang diberi nama. Bersatunya nama ketika kosong dari sandaran dan pengkhususan tidak menunjukkan persamaan keduanya, juga tidak menunjukkan persamaan yang dinamai ketika idhofah dan takhsis, apalagi tatkala sama yang diberi nama ketika idhafah dan takhsis. “ [Lihat: At-Tadmuriyyah oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah hlm. 21]
Kaedah utama dalam masalah ini adalah hendaklah menghindari daripada perbuatan: Tasybih, Tamstil, Takyif, dan Ta’thil.
Pertama: Allah menamai diri-Nya al-Hayy (yang Maha Hidup):
اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
“Allah tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Hidup kekal lagi terus-menerus mengurus (makhluk-Nya)…” [Surah Al-Baqarah: 255)
Dia juga memberi nama sebahagian hamba-Nya al-Hayy (yang hidup):
يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ
“Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup…” [Surah Ar-Ruum: 19]
Bukanlah al-Hayy dalam ayat ini seperti al-Hayy pada ayat di atas, kerana firman-Nya “Al-Hayy” adalah nama Allah S.W.T. yang khusus bagi-Nya dan firman-Nya:
“Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati…”
Kedua: Allah menamakan diri-Nya ‘Alim dan Halim (Yang Maha Mengetahui dan Maha Penyantun). Sedangkan hamba-Nya juga ada yang diberi dengan nama ‘Alim dan Halim:
وَبَشَّرُوهُ بِغُلاَمٍ عَلِيمٍ
“…Dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang ‘alim.” [Surah al-Dzaariat: 28]
Ayat di atas yang dimaksudkanh adalah Nabi Ishaq a.s. Adapun anak Ibrahim yang lain disebut “Halim” iaitu Isma’il a.s. . Firman Allah:
فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلاَمٍ حَلِيمٍ
“Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang halim (amat sabar).” [Surah al-Shaaffat: 101]
Ketiga: Allah menamai diri-Nya Samii’ (Yang Mendengar) dan Bashir (Yang Melihat):
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisaa’: 58]
Dia juga menamai sebahagian makhluk-Nya dengan nama Samii’ dan Bashir:
إِنَّا خَلَقْنَا الإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis air mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” [Surah al-Insaan: 2]
Keempat: Allah menamai diri-Nya dengan nama ar-Rauuf ar-Rahiim:
إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ
“…Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang lagi Maha Penyayang kepada Manusia.” [Surah al-Baqarah: 143]
Dia juga memberi nama kepada sebahagian hamba-Nya dengan ar-rauuf ar-rahiim dalam firman-Nya:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu ar-rauuf (amat belas kasihan) lagi rahiim (penyayang) terhadap orang-orang Mukmin.” [Surah at-Taubah: 128]
Kelima: Dia menamai diri-Nya al-Malik:
...الْمَلِكُ الْقُدُّوسُ...
“…Dia Raja Yang Maha Suci…” [Surah al-Hasyr: 23]
Dia juga menamakan sebahagian hamba-Nya dengan al-Malik dalm firman-Nya:
وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا
“…Kerana dihadapan mereka ada malik (seorang raja) yang merampas tiap-tiap bahtera.” [Surah al-Kahfi: 79]
Keenam: Dia menamai diri-Nya al-‘Aziz dan al-Jabbar al-Mutakabbir dalam firman-Nya:
...الْعَزِيزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ...
“…Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan…” [Surah al-Hasyr: 23]
Dia juga memberi nama kepada sebahagian hamba-Nya dengan al-‘Aziz dalam firman-Nya:
قَالَتِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ
“…Berkata isteri al-‘Aziz…” [Surah Yusuf: 51]
Begitu juga al-Jabbar al-Mutakabbir dinamai pada sebahagian hamba-Nya sebagaimana firman-Nya:
كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى كُلِّ قَلْبِ مُتَكَبِّرٍ جَبَّارٍ
“…Demikian Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.” [Surah al-Mu’min: 35]
Ketujuh: Dia mensifati diri-Nya dengan iradah (berkehendak) dan mensifati hamba-Nya dengan sifat iradah dalam firman-Nya:
تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الآَخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“…Kamu menghendaki harta duniamiyah, sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Anfaal: 67]
Ketujuh: Dia mensifati diri-Nya bahawasanya Dia beristiwa’ (bersemanyam) di atas ‘Arasy sebagaimana sekian banyaknya dalil-dalil daripada al-Quran. [Lihat surah: Thaaha ayat 5, al-A’raaf ayat 54, Yunus ayat 3, al-Ra’d ayat 2, al-Furqaan ayat 59, as-Sajdah ayat 4, dan al-Hadiid ayat 4.]
Lalu Allah juga mensifati hambanya dengan istiwa di atas yang lain sebagaimana firman-Nya:
لِتَسْتَوُوا عَلَى ظُهُورِهِ
“Supaya kamu duduk di atas punggungnya…” [Surah al-Zukhruf: 13]
فَإِذَا اسْتَوَيْتَ أَنْتَ وَمَنْ مَعَكَ عَلَى الْفُلْكِ
“Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu…” [Surah al-Mu’minun: 28]
وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ
“…Dan bahtera itu pun berlabuh di atas Bukit Judi…” [Surah Huud: 44]
Namun, Istiwa-Nya tidak sama seperti istiwa makhluk sebagaimana juga sifat-sifat yang lain-Nya.
Kelapan: Dia mensifati diri-Nya dengan membuka kedua Tangan-Nya seperti mana firman-Nya:
وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا بِمَا قَالُوا بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنْفِقُ كَيْفَ يَشَاءُ
“Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu.” sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (tidak demikian), bahkan kedua-dua Tangan Allah itu terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki.” [Surah al-Maidah: 64]
Sedangkan dia juga pernah mensifati sebahagian hamba-Nya dengan membuka kedua tangan dalam firman-Nya:
وَلاَ تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلاَ تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ
“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya…” [Surah al-Israa’: 29]
Bukanlah tangan Allah seperti tangan makhluk. Dia membuka tangan-Nya juga bukan seperti makhluk membuka tangan mereka. Apabila yang dimaksud dengan membuka adalah memberi dan pemurah, maka tidaklah pemberian Allah S.W.T seperti makhluk-Nya dan tidaklah sifat pemurah-Nya sama seperti sifat pemurah mereka.
Ibn Qayyim al-Jauziah berkata: “Pandangan (para ulama) berbeza-beza pada masalah nama-nama yang dipakaikan kepada Allah dan makhluk seperti al-Hayy, al-Samii’, al-Bashir, al-‘Alim, al-Qadir, al-Malik dan seumpamanya.
Pendapat pertama: Segolongan dari ahli kalam berkata: “Ia adalah hakikat pada hamba dan majaz pada Rabb.” Ini adalah pendapat ghulaat al-Jahmiyyah yang merupakan perkataan yang paling keji dan paling rosak.
Pendapat kedua: Berlawanan, iaitu bahawasanya sifat itu hakikat pada Rabb dan majaz pada makhluk. Ini adalah pendapat Abul ‘Abbas an-Naasyi.
Pendapat ketiga: Semua adalah hakikat pada keduanya. Ini adalah pendapat Ahlus Sunnah dan inilah yang benar. Perbezaan hakikat pada keduanya tidak mengeluarkannya sebagai hakikat pada keduanya. Bagi Rabb, yang layak sesuai dengan kebesaran-Nya dari sifat tersebut dan bagi hamba, yang layak baginya sesuai dengan sifat tersebut. [Lihat: Badaa-i’ul Fawaa-id oleh Ibnul Qayyim (I/164)]
http://www.wahabiah.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan