Disampaikan oleh:
Ustaz Asrie bin Sobri
PENDAHULUAN
الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره ونتوب إليه
ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل
فلن تجد له وليا مرشدا وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا
عبده ورسوله صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه وسلم، أما بعد؛
Antara salah satu asas dan
prinsip dalam rangka beriman kepada ALLAH ta'ala adalah beriman dengan
Nama-nama dan Sifat-sifat ALLAH, tidak sah iman seseorang tanpa beriman
dengannya.
Namun, setelah berlakunya fitnah
dalam kalangan Umat Islam dan masuknya pengaruh asing, terdapat pelbagai aliran
pemikiran dan methodologi yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar
dalam mentafsirkan Islam secara umum dan dalam masalah Tauhid al-Asma' was
Sifat secara khusus.
Maka, menjadi kewajipan atas
setiap hamba ALLAH yang beriman untuk mempelajar dan memahami manhaj
(methodologi) yang sahih dalam memahami Islam secara umumnya dan Tauhid
al-Asma' was Sifat secara khusus.
Manhaj yang benar itu tidak lain
tidak bukan kefahaman para as-Salaf as-Soleh daripada Sahabat Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa sallam, radiallahu 'anhum dan diikuti anak-anak murid
mereka yang dinamakan al-Tabiin dan seterusnya Tabi' Tabiin.
Ini kerana jaminan Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa sallam terhadap Ulama' 3 generasi ini bahawa mereka adalah
sebaik-baik kurun sebagaimana sabda baginda:
خَيْرُ أُمَّتِي الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِي، ثُمَّ
الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ يَجِيءُ قَوْمٌ
تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ
Maksudnya: "Sebaik-baik
umatku adalah mereka yang datang selepasku (yakni: Sahabat baginda) kemudian
yang mengikuti mereka (yakni: Tabiin) kemudian yang mengikuti mereka (yakni:
Tabi' Tabiin) kemudian akan datang golongan yang mana persaksian seseorang
mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului persaksiannya". [HR
Muslim].
Oleh itu, dibentangkan secara
ringkas dalam kertas kerja ini kaedah dan prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal
Jamaah dalam memahami Tauhid al-Asma' was Sifat.
FASAL 1: KAEDAH DALAM MEMAHAMI
NAMA-NAMA ALLAH
(7 KAEDAH)
KAEDAH 1: NAMA ALLAH SEMUANYA
((HUSNA)) YAKNI: INDAH SEMPURNA
Nama-nama ALLAH ta'ala semuanya
disifatkan dengan: حسنى yakni: mencapai tahap keindahan yang tertinggi dan keindahan
yang paling sempurna.
Dalil: Firman ALLAH ta'ala:
وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى
Maksudnya: "dan bagi ALLAH
itu nama-nama yang maha indah..." [al-A'raf: 180]
Ini kerana nama-nama ALLAH
mengandungi makna dan sifat-sifat yang sempurna yang tidak ada kecacatan sama
sekali sama ada dari segi bahasa mahupun makna.
Contoh: Nama ALLAH: الحي dan القيوم mengandungi makna
sifat Hayat (hidup) dan sifat al-Qayyumiyyah yang paling sempurna sebagaimana
firman ALLAH:
اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لَا
تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ
مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ
أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا
بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا
وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ
Maksudnya: "Allah, tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal
selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). yang tidak mengantuk usahkan
tidur. Yang memiliki Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. tiada
sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan
izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di
belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan)
ilmu Allah melainkan apa Yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya
Kursi Allah meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada
Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha tinggi (darjat
kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya)" [Al-Baqarah: 255]
Ayat al-Kursi menjelaskan
kesempurnaan Hidup ALLAH tidak didahului ketiadaan dan tidak diikuti mati
bahkan sempurnanya hidup ALLAH, tidak pula Dia mengantuk apatah lagi Tidur.
Sifat al-Qayyumiyyah ALLAH iaitu
Dia berdiri dengan sendiriNya tiada pembantu menguruskan hidupNya dan Dia jua
yang mengurus dan mentadbir hidup makhlukNya segala isi langit dan bumi dan apa
yang ada antara keduanya. Kesempurnaan al-Qayyumiyyahnya meliputi Dia
mengetahui segala sesuatu, tiada siapa mampu memberikan syafaat di sisi-Nya
tanpa izin-Nya, dan tidaklah Dia berasa berat atau terbeban dalam mentadbir
makhluk-Nya.
Demikian juga, nama ALLAH al-Hayy
dan al-Qayyum memberikan kesempurnaan atas kesempurnaan apabila ia digandingkan
bersama dalam ayat ini; kehidupan ALLAH yang maha sempurna ditambah lagi
kesempurnaannya apabila digandingkan dengan sifat al-Qayyumiyyah.
KAEDAH 2: NAMA-NAMA ALLAH ITU
ADALAH: 'ALAM DAN SIFAT
Maksudnya: Nama-nama ALLAH
berbeza dengan nama-nama makhluk, nama-nama makhluk hanya sekadar alamat dan
tanda bagi pengenalan dirinya, boleh jadi sifat yang terkandung dalam namanya
tidak ada pada makhluk itu seperti: seorang bernama Soleh tetapi boleh jadi dia
seorang yang tidak soleh.
Berbeza dengan nama ALLAH ta'ala,
setiap nama-Nya merujuk sifat yang terdapat padaNya seperti nama ALLAH al-Hayy
menunjukkan sifat al-Hayat dan nama ALLAH; ALLAH menunjukkan sifat
al-Ilahiyyah.
Dalilnya: Firman ALLAH:
وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: "dan Dialah yang
Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani" [Yunus: 107]
Dan firman-Nya:
وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ
Maksudnya: "dan Tuhanmu itu
Maha Pengampun lagi memiliki belas kasihan" [al-Kahf: 58].
Dan firman ALLAH:
هُوَ أَهْلُ التَّقْوَى وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ
Maksudnya: "Dialah Ahli yang
berhak melindungi hamba-Nya daripada azab dan Ahli yang layak memberikan
keampunan pada hamba-hambaNya". [al-Muddasir: 56]
Maka, nama ALLAH al-Rahim
mengandungi sifat al-Rahmah, manakala nama ALLAH al-Ghafur mengandungi sifat
al-Maghfirah.
Demikian juga dalil aqal
menyatakan: nama yang sekadar nama itu naqis (kurang) adapun mereka yang
mempunyai nama yang indah dan dalam masa yang sama mempunyai sifat yang
ditunjukkan namanya itu adalah kesempurnaan dan kepujian, maka setiap kesempurnaan
itu ALLAH lebih berhak memilikinya.
Dilalah Nama-nama ALLAH
berdasarkan zat adalah sama kerana semua nama ALLAH merujuk pada zat yang satu
tetapi berdasarkan makna maka ia menunjuk pada makna sifat yang berbeza.
KAEDAH 3: NAMA ALLAH JIKA MERUJUK
PADA SIFAT MUTA'ADDI MENGANDUNGI 3 PERKARA, JIKA MERUJUK PADA SIFAT LAZIM
MENGANDUNGI 2 PERKARA:
Jika namaNya bersifat muta'addi
maka mengandungi:
1. Isbat Nama itu sendiri
2.
Isbat sifat yang terkandung dalam nama
3.
Isbat hukum dan perkara yang melaziminya
Seperti nama ALLAH: al-Ghafur
al-Rahim menunjukkan ALLAH mempunyai dua nama ini dan sifat al-maghfirah dan
al-rahmah dan lazim daripadanya Dia mengampunkan dosa hamba-hambaNya dan
merahmati mereka maka hendaklah para Hamba beriman dengan nama ini melalui
Taubat dan memohon rahmat hanya daripada ALLAH ta'ala jua.
Jika ia Lazim maka ia
mengandungi:
1. Isbat Nama tersebut
2. Isbat sifat yang terkandung dalamnya
Seperti nama ALLAH; Al-Hayy
mengandungi nama ALLAH al-Hayy dan isbat sifat al-Hayat.
KAEDAH 4: DALALAH NAMA-NAMA ALLAH
ATAS ZAT-NYA DAN SIFAT-NYA BERLAKU SECARA: MUTABAQAH, TADOMMUN, DAN ILTIZAM
Maksudnya: sebagai contoh nama
ALLAH; al-Khaliq menunjukkan secara mutabaqahالمطابقة (serentak) atas zat ALLAH dan sifat al-Khalq
(mencipta), menunjukkan secara berasingan atas zat dan secara berasingan atas
sifat melalui dalalah tadommun التضمن dan menunjukkan atas sifat al-Qudrah dan al-Iradah, al-Hayat
dan lain-lain sifat yang melaziminya secara dalalah iltizam التزام.
KAEDAH 5: NAMA ALLAH ADALAH
TAUQIFIAH توقيفية TIADA RUANG BAGI
AQAL UNTUK MEREKA-REKANYA:
Maksudnya: nama-nama ALLAH adalah
apa yang ALLAH namakan bagi diri-Nya atau dinamakan oleh Rasul-Nya sahaja,
tidak boleh para hamba mereka suatu nama lalu mereka namakan ALLAH dengannya.
Ini kerana:
Pertama: Aqal tidak mampu untuk
mencapai perkara yang berhak untuk dinamakan ALLAH dengannya maka wajib untuk
kita mengikut nas-nas wahyu sahaja dalam perkara ini. Firman ALLAH ta'ala:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ
وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
Maksudnya: "dan janganlah
kamu mencari-cari perkara yang kamu tidak ada ilmu berkenaannya; sesungguhnya
pendengaran, penglihatan, dan hati (kefahaman) kamu akan dipersoalkan
semuanya". [al-Isra': 36]
Kedua: menamakan ALLAH dengan
nama yang Dia tidak menamakan diriNya denganya atau mengingkari nama-nama yang
Dia isbatkan bagi diri-Nya adalah Jenayah pada Hak ALLAH, maka wajib beradab
dengan ALLAH ta'ala dan berpada dengan apa yang ALLAH dan Rasul-Nya jelaskan.
*sebagai contoh nama yang
direka-reka adalah: penamaan Nasrani kepada ALLAH sebagai ((BAPA)) dan penamaan
kaum Falsafah dengan ((al-'Aql al-Awwal)) dan penamaan kaum Mutakallimin dengan
nama ((al-Qadim)).
*dobit nama-nama ALLAH adalah apa
yang mengandungi makna yang ((husna)) dan digunakan untuk menyeru ALLAH
dengannya.
KAEDAH 6: NAMA ALLAH TIDAK
TERBATAS DENGAN BILANGAN TERTENTU
Dalil: sabda Nabi sallallahu
'alaihi wa sallam dalam doa baginda:
أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ،
أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوِ
اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ
Maksudnya: "Aku bermohon
kepada-Mu dengan semua nama yang menjadi milik-Mu atau yang Engkau ajarkan
kepada sesiapa daripada makhluk-Mu, atau yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu
atau yang Engkau rahsiakan dalam 'Ilmu Ghaib di sisi-Mu". [HR Ahmad,
al-Hakim, Ibn Hibban dll, Hadis Sahih].
Adapun maksud hadis ALLAH
memiliki 99 nama, barangsiapa menghitungnya maka dia masuk syurga; adalah
seumpama kata seseorang: "aku memiliki 99 riyal untuk aku sedekah kepada
faqir miskin", ini tidak menafikan dia mempunyai duit yang lain selain 99
riyal ini.
*Tidak sahih ta'yin nama ALLAH
yang 99 dalam hadis, bahkan ianya Mudraj dan Da'if, maka para Ulama' berbeza
pendapat dalam menentukan nama ALLAH yang 99 ini.
*maksud menghitung adalah;
menghitung lafaz-lafaznya, beriman dengan makna-maknanya, dan beramal dengan
kelaziman nama-nama tersebut.
KAEDAH 7: ILHAD الإلحاد DALAM NAMA-NAMA ALLAH ADALAH:
BERPALING DARIPADA PERKARA YANG WAJIB PADANYA
Ilhad mempunyai beberapa jenis:
Pertama: Ingkar akannya atau maknanya seperti Ilhad Jahmiah yang
ingkar nama dan sifat ALLAH secara total atau Ilhad Muktazilah yang ingkar
sifat-sifat ALLAH.
Kedua: Melakukan Tasybih (penyerupaan) antara nama-nama ALLAH
dengan makhluk-Nya dalam khususiah nama ALLAH itu.
Ketiga: Menamakan ALLAH dengan nama yang Tidak dinyatakan
oleh-Nya atau Rasul-Nya sallallahu 'alaihi wa sallam.
Keempat: Melakukan Isytiqaq اشتقاق terhadap nama-nama
ALLAH lalu dinamakan dengannya berhala-berhala dan sembahan selain ALLAH
seperti perbuatan kaum Musyrikin menamakan al-Lat iaitu muannas daripada nama:
ALLAH dan al-'Uzza diambil daripada nama ALLAH: al-'Aziz.
Hukum Ilhad adalah HARAM dan
membawa kepada KUFUR dan Syirik sebagaimana firman ALLAH ta'ala:
وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا
وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا
يَعْمَلُونَ
Maksudnya: "dan bagi ALLAH
itu nama-nama yang maha indah maka serulah Dia dengannya dan tinggalkan
orang-orang yang melakukan penyelewengan dalam nama-namaNya mereka itu akan
dibalas (azab) atas apa yang mereka lakukan". [Yunus: 180]
*Yang sahih dikatakan berkenaan
Isim dan Musamma adalah: الاسم للمسمى
*Nama-nama ALLAH terdapat padanya
nama-nama Muzdawajah (bergandingan) tidak boleh dipisahkan seperti: al-Zahir
al-Batin, al-Awwal al-Akhir, dan terdapat nama-nama al-Mudofah seperti: Rabbul
'Alamin, Asra'ul Hasibin dan seumpamanya.
*Nama-nama ALLAH terbahagi kepada
Tsubutiah iaitu nama-nama yang mengandungi sifat-sifat Tsubutiah seperti:
al-Rahman, ALLAH, al-Rahim dan ada nama-nama Salbiah yang mengandungi makna
mensucikan ALLAH daripada kekurangan seperti: al-Quddus, al-Salam.
*Tidak boleh memisahkan nama
ALLAH yang di-ta'bid-kan pada makhluk daripada kalimah 'Ubudiah seperti nama:
Abdul Rahim, dilarang memanggilnya dengan Rahim sahaja kerana Rahim dalam
konteks ini adalah merujuk kepada ALLAH.
(Bersambung...)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan