Selasa, 8 April 2008

HAKIKAT TASAWWUF

Akhir zaman kini ramai orang mahu mencari suatu amalan untuk membersihkan dirinya dan amalan yang lebih cepat untuk mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga ramai orang yang berlumba-lumba untuk melakukan ibadat tak kira ibadat tersebut benar-benar diambil daripada sumber islam yang tulen ataupun tidak. Oleh sebab itulah kita lihat ramai yang suka beribadat dengan banyaknya akan tetapi jahil ilmu agama. Ada juga yang akhlaknya sangat baik tetapi pegangan agamanya sangatlah karut. Mereka mempercayai wali-wali boleh membantu mereka disamping Allah. Doa mereka berbunyi: "Wahai Imam Syafi'i tolonglah kami".. sedangkan jelas pertolongan (isti'anah/ istighatsah) hanyalah kepada yang Maha Satu. Bukan kepada Imam Syafi'i tidak juga Nabi s.a.w. kerana ianya bercanggah dengan nas-nas yang akan saya paparkan selepas ini.

Saya ingin mengajak para pembaca agar melihat sejenak serta berfikir suatu golongan yang tidak asing lagi yang dinamakan "Sufi" atau lebih popular dengan nama "tasawwuf". Nama yang sangat tidak asing ini telah mendapat tempat di seantero dunia dari timur ke barat dari utara ke selatan. Akan tetapi benarkah golongan ini benar-benar isi ajarannya selari dengan tuntutan agama islam yang sebenar? Ataukah ia sebenarnya cuma ibarat bunga plastik yang hanya cantik luaran tetapi tidak dapat memberi manfaat melainkan hanya indah di mata, itupun mata yang yang telah didorongi dengan hawa nafsunya yang sebenarnya tidak dapat dibandingkan dengan bunga-bunga yang benar-benar hidup di bawah kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta sekalian makhluknya.

Menurut kajian para agamawan dan ulama-ulama islam, perkataan sufi bukanlah berasal dari bahasa arab. Ada yang mengatakan ia berasal dari kata suf (baju dari kulit domba) yang menjadi pakaian bagi golongan zuhud di zaman Nabi, ada juga yang berpendapat ianya berasal dari kata sufiya yang merupakan bahasa yunani yang bermaksud hikmah. Ada juga pendapat yang mengatakan ianya berasal dari kata As-Safaa' yang bermaksud suci dan jernih. Akan tetapi pendapat ini telah disanggal kerana jika ditambah dengan ya' nisbah ia akan menjadi safaa'ie bukannya sufi.

Selalunya sufi ini dikaitkan dengan tarikat yang bermaksud jalan. Ada juga yang berpendapat sufi ini hanya kaitannya dengan zuhud, tawadhu' dan warak dan tidak ada kaitannya dengan tarikat-tarikat tertentu. Akan tetapi yang menjadi mejoritinya hari ini bila disebut sufi atau tasawwuf ia mesti dikaitkan dengan tarikat. Tarikat ini telah diterima umum oleh banyak ilmuan-ilmuan islam yang kebanyakan mereka ini dipelopori oleh pengikut asya'irah maturidiyah. Antara tarikat-tarikat yang popular seperti Tijaniyah, Naqsyabandiyah, Syaziliyah, Qadiriyah, Ahmadiah, dan sebagainya.

Nama sufi ini sebenarnya telah memecah-belahkan kaum muslimin disebabkan oleh kaum sufi itu sendiri. Apa tidaknya, masing-masing daripada kelompok sufi yang menamakan kelompok mereka dengan tarikat-tarikat tertentu mengakui merekalah yang paling benar. Malah menuduh sesama mereka sebagai tidak betul. Malah jika diperhati setiap peribadatan kaum sufi ini, ternyata amat berbeza antara satu tarikat dengan tarikat yang lain. Malah setiap tarikat-tarikat pasti tidak akan terlepas daripada rekaan-rekaan bentuk peribadatannya. Sedangkan islam menganjurkan untuk bersatu-padu dan jangan berpecah-belah serta beribadat sebagaimana yang telah disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah Ta'ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا

Dan berpegang-teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. (Surah Ali Imran : 103)

وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (31) مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32)

Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta Dirikanlah shalat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, Yaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Surah Ar-Rum : 31-32)

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ

Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. (Surah An-Nisaa' : 59)

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو ردّ

Siapa yang mengamalkan suatu amalan yang tiada daripada ajaran kami, maka ia ditolok (tidak diterima). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengapa perlu berkelompok-kelompok? Tidak cukupkah ajaran islam yang dibawa oleh Rasulullah? Tidak cukupkah Al-Quran dan As-Sunnah menurut fahaman sahabat (salafus soleh) sebagai petunjuk dan pembimbing hidup? Inilah yang kurangnya pada kelompok sufi sebenarnya. Mereka mengamalkan zikir-zikir yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadis yang sahih. Mereka mengamalkan tawassul (perantaraan/ Wasilah) yang melampaui batas syariat. Dan mereka juga sering guluw (melampau) dalam segala perbuatan yang direkayasa oleh mereka.

Seperti yang saya sebut pada awal tulisan ini, mereka ini suka berdoa dengan cara yang salah kerana mereka beristighatsah dan beriti'anah selain Allah seperti: "Wahai Jailani, Wahai Rifa'I, Wahai Rasulullah tolonglah kami!" atau terkadang juga mereka berdoa "Wahai Rasulullah hanya kepadamu kami bersandar!" Padahal jelas daripada Al-Quran menyatakan tidak boleh berdoa meminta pertolongan melainkan hanya pada Allah semata.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya pada-Mu kami menyembah dan hanya pada-Mu kami meminta pertolongan. (Surah Al-Fatihah : 5)

وَلا تَدْعُ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَنْفَعُكَ وَلا يَضُرُّكَ فَإِنْ فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِنَ الظَّالِمِينَ

Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak dapat memberi mudharat kepadamu selain Allah; kerana jika kamu berbuat demikian itu, sesungguhnya kalau begitu kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim. (Surah Yunus : 106)

Maksud zalim dalam ayat di atas adalah syirik (mempersekutukan Allah) sebagaimana Firman Allah dalam surah Luqman ayat 13 yang berbunyi:

لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.

Satu lagi cara ibadat yang telah disepakati oleh kaum-kaum sufi adalah berzikir secara kuat serta berjemaah. Sebagaimana pada hari ini, bukan sahaja para sufi yang berzikir secara kuat, malah ramai yang telah tertipu dengan cara ini yang disangka ianya sunnah padahal ia bertentangan dengan sunnah Nabi yang jelas tertera di dalam Al-Quran maupun Hadis Nabawiyah.

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai. (Surah al-A’raaf : 205)

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. (Surah al-A’raaf : 55)

Suatu hadis yang tidak asing lagi dalam menolak hujah mereka yang mengatakan zikir berjemaah adalah sunnah adalah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Darimi dalam musnadnya menunjukkan bahawa zikir secara berjemaah adalah bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah sahabat r.a.

Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman (gelaran kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.

Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”

Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka (ini merupakan salah satu sifat khawarij seperti diterangkan dalam hadis-hadis). Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.

Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” (Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis as-Sahihah jilid 5, ms 11)

Bukan setakat itu penyelewengan kaum sufi, malah banyak lagi penyelewengan mereka sehinggakan ada yang sampai ketahap pemujaan para wali dan keramat serta menyembah kubur wali dan meminta tolong darinya, dan ada yang menerima konsep wahdatul wujud (bersatunya makluk dengan Tuhannya) yang dipelopori oleh Ibn 'Arabi sebagaimana termaktub fahamannya ini dalam kitab Futuhat Al-Makiyyah. Sehingga Ibn 'Arabi pernah berkata: "Sesungguhnya seorang lelaki yang meniduri isterinya, sebenarnya sedang meniduri Allah Al-Haq." Sungguh kufur perkataan ini wal 'iyazubillah.

Jika sesiapa yang pernah ke Mesir boleh melihat sendiri kebatilan cara para sufi ini berzikir secara kuat (jahar) sambil menari dan bertepuk-tepuk tangan serta meraung-raung nama Allah sehinggalah mereka hanya menyebut seringkas-ringkasnya sebutan Al-Haq seperti: "Hu-Hu, Hu-Hu, atau Ah-Ah-Ah seperti orang yang mabuk kerana meminum arak. Kononnya inilah zikir tahap yang tertinggi sekali. Sedangkan sabda Rasulullah:

أفضل الذكر : لا إله إلا الله

"Sebaik-baik zikir adalah kalimah Laa Ilaaha Illallah." (Hadis riwayat Tirmizi)

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Anfal ayat 35 berbunyi:

وَمَا كَانَ صَلاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

Sembahyang mereka (orang-orang musyrikin) di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.

Dengan sedikit infomasi tentang sufi ini, semoga para pembaca lebih terbuka minda untuk mencari kebenaran. Jangan hanya melihat luaran tanpa mengkaji dalamannya. Seperti juga ramai pengikut tarikat yang mempunyai akhlak yang baik akan tetapi aqidahnya sangatlah batil. Ibadatnya sangatlah banyak rekaan-rekaan yang tidak dijumpai daripada sunnah nabi serta amalan salafus soleh.

Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada sahabatnya yang umat islam akan berpecah kepada 73 puak semuanya menuju ke neraka kecuali satu. Apabila sahabat bertanya siapakah yang satu tersebut maka Rasulullah menjawap: "Al-Jamaah". Dalam riwayat lain Nabi s.a.w. bersabda:

وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي

“Dan akan terpecah umatku manjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. (Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dan lain-lain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 2641)

Hanya satu jalan (tarikat) yang selamat iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ibn Mas'ud r.a. berkata: "suatu hari rasulullah s.a.w. membuat satu garisan lurus dengan tangannya lalu bersabda:

هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ {وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ}

"Inilah jalan Allah yang lurus, kemudian baginda menggariskan beberapa garis disebelah kiri dan kanan garis yang lurus itu, sambil bersabda: "Inilah jalan-jalan (kesesatan). Tidak ada satu jalan pun dari jalan ini melainkan ada syaitan yang mengajak manusia untuk mengikuti jalan tersebut. Kemudian baginda membacakan surah Al-An'am ayat 153 : "Dan bahawa yang (kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)". (Hadis riwayat Ahmad; berkata Al-Arnauth: Hadis hasan, rujuk Musnad Ahmad takhrij al-Arnauth, no: 4437)


5 ulasan:

Abi Qalam berkata...

Salam,

Lagi satu kejahilan yang di tunjukkan. Sekurang-kurang baca siapa Guru Syeikh Muhammad Abdul Wahab dan baca artikel ini http://riyada.blogspot.com/2006/09/glimpses-into-early-wahhabi-thought.html

:) Macam-macam budak-budak sekarang ni..

Zabid9897 berkata...

Pandangan Mengenai Golongan Wahabi
Submitted by Fatwa Malaysia on 23 December 2013

Apakah pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan golongan Wahabi? Adakah golongan yang berzikir dan berdoa secara sendiri-sendiri selepas solat itu Wahabi? 

PENJELASAN:Aliran Wahabi bukanlah satu mazhab akan tetapi satu bentuk gerakan pemikiran agama yang banyak dipegang oleh ulama-ulama Haramayn (Mekah dan Madinah) kontemporari mengikuti pendekatan yang diambil oleh Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Dari segi mazhab , mereka lebih hampir dengan mazhab Hanbali walaupun dari beberapa segi mereka lebih ketat dan keras. Dalam sejarah tradisi ilmu Islam, aliran Wahhabi bukanlah mewakili arus perdana mazhab Ahl Sunnah wa al-Jamaah kerana sejak seribu tahun lebih, aliran yang menjadi peneraju kepada pentafsiran Ahl Sunnah wa al-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha’irah dan Maturidiyah, manakala dalam bidang fiqh ialah empat mazhab utama iaitu Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Dari segi pendekatan ilmiah, aliran Wahabi membawa pendekatan yang agak sempit dengan metodologi harfiah (literal) yang mereka ambil dalam memahami sumber agama khususnya al-Qur’an. Justeru itu, sebahagian dari pandangan mereka dalam agama bersifat agak keras terutama terhadap orang yang tidak mengambil pendekatan mereka. Pendekatan sebegini akhirnya telah membawa kepada kecenderungan untuk mudah mengeluarkan orang Islam dari lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi. Contoh perbezaan pandangan golongan Wahabi yang agak jelas ialah pandangan mengenai sunnah dan bid’ah. Berdasarkan makna literal beberapa hadis Nabi, mereka menganggap bahawa setiap amalan ibadat yang tidak mengikuti secara langsung cara yang dibawa oleh Nabi saw, dianggap bid’ah dan terkeluar dari Islam. 

Justeru itu banyak amalan dan pegangan yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam telah dianggap terkeluar dari agama Islam oleh golongan Wahabi. Pendekatan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan sebahagian masyarakat yang telah lama mempunyai kesatuan dalam ibadat men
urut pentafsiran imam-imam muktabar dalam mazhab Shafi’i dan dalam akidah menuruti aliran al-Ash’ari dan al-Maturidi. Banyak persoalan yang bersifat khilafiah telah diangkat dan dianggap sebagai perkara usul sehingga menjadi permasalahan dalam masyarakat, seperti larangan doa qunut, wirid dan berdoa secara berjamaah selepas solat, tahlil, berzanji, qasidah, burdah, membaca yasin pada malam jumaat, perayaan maulid, kesemuanya ditolak atas nama bid’ah yang sesat. Ini sama sekali tidak selari dengan pemahaman sunnah dan bid’ah yang sebenar dalam Islam dan juga tidak bertepatan dengan semangat ilmiah dalam tradisi Islam yang membenarkan perbezaan pandangan dalam persoalan khilafiah. Dalam konteks tasawuf, mereka amat keras membid’ah amalan-amalan tariqat, amalan wirid dan selawat yang dilakukan oleh golongan sufi.

Memandangkan Malaysia jelas mengambil pendirian sejak beratus tahun lalu bahawa aliran yang harus diikuti ialah mazhab Shafi’i dan dalam akidah aliran Ash’ari dan Maturidi dan ianya telah menghasilkan perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam, baik dalam ibadah, muamalah dan lain-lain sehingga memberi ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara, maka aliran Wahabi adalah tidak sesuai dalam konteks kefahaman dan amalan agama di Malaysia. Manakala mereka yang berzikir secara sendiri-sendiri selepas solat tidak semestinya dari aliran Wahabi. Namun sekiranya mereka membid’ahkan orang yang berzikir secara berjamaah selepas solat berkemungkinan besar ia dari golongan tersebut. Wallahu A'lam
http://www.e-fatwa.gov.my/blog/pandangan-mengenai-golongan-wahabi

Unknown berkata...

akidah sufi sentiasa diperlekehkan. hanya Allah maha mengetahui

Unknown berkata...

Orang yg malas .. orang yang tak mahu masuk ke ilmu tassawuf ... Sekadar cukupkan yang fardhu

black novel berkata...

Hanya Allah yang Maha Mengetahui & hanya Allah layak menentukan mana yang haq mana yang batil. Ana hanya mampu beristghfar dan memohon semoga kita semua umat Nabi Mulia SAW mendapat limpahan Nur dalam jiwa rohani agar dapat memandangNYA dengan mata basirah dan merasaiNYA. Dengan jiwa faqir mohonlah padaNYA supaya dipertemukan dengan pintu makrifah yang benar,guru yang benar yang mengikut jalan Rasul Mulia dan para pengikut Baginda

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails