Sabtu, 3 Ogos 2013

MANHAJ AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH DALAM TAUHID AL-ASMA' WA AS-SIFAT (FASAL 3)

Disampaikan oleh:
Ustaz Muhammad Asrie bin Sobri




FASAL 3: KAEDAH DALAM DALIL-DALIL AL-ASMA' DAN AS-SIFAT
(4 KAEDAH)

KAEDAH 1: DALIL-DALIL YANG DIGUNAKAN UNTUK MENETAPKAN BAGI ALLAH NAMA-NAMA DAN SIFAT-SIFAT ADALAH: 1- KITAB ALLAH (AL-QURAN) 2- SUNNAH RASULILLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM YANG SAHIHAH

Kaedah ini terbina daripada kaedah sebelumnya dalam kaedah al-Asma' dan kaedah al-Sifat bahawa Nama dan Sifat ALLAH adalah Tauqifiah. 

Demikian juga dalam menafikan apa-apa nama atau sifat ALLAH adalah berdasarkan dalil juga, tidak boleh kita menafikan sifat tanpa adanya dalil yang menunjukkan sifat itu ternafi pada hak ALLAH ta'ala.

Kata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:

لا يوصف الله إلا بما وصف به نفسه أو وصفه به رسوله صلى الله عليه وسلم لا يتجاوز القرآن والحديث

Maksudnya: "Tidak disifatkan ALLAH melainkan dengan apa yang Dia sifatkan dengannya diri-Nya atau Rasul-Nya s.a.w sifatkan dengannya diri-Nya, Tidak dilangkaui Al-Quran dan Hadis" [Al-Ihtijaj bil Atsar al-Salafiah, m.s 41].

Kata Imam al-Aimmah Muhammad b Ishaq b Khuzaimah rahimahullah:

لِأَنَّا لَا نَصِفُ مَعْبُودَنَا إِلَّا بِمَا وَصَفَ بِهِ نَفْسَهُ، إِمَّا فِي كِتَابِ اللَّهِ، أَوْ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، بِنَقْلِ الْعَدْلِ عَنِ الْعَدْلِ مَوْصُولًا إِلَيْهِ، لَا نَحْتَجُّ بِالْمَرَاسِيلِ , وَلَا بِالْأَخْبَارِ الْوَاهِيَةِ، وَلَا نَحْتَجُّ أَيْضًا فِي صِفَاتِ مَعْبُودِنَا بِالْآرَاءِ وَالْمَقَايِيسِ

Maksudnya: "Kerana kita tidak menyifatkan Sembahan kita melainkan dengan apa yang Dia sendiri sifatkan untuk diriNya sama ada di dalam Kitab ALLAH atau melalui Nabi-Nya s.a.w dengan riwayat seorang yang adil daripada seorang yang adil bersambung kepada baginda, kita tidak berhujah dengan hadis yang terputus sanadnya dan tidak pula dengan khabar-khabar lemah dan tidak juga kita berhujah dalam sifat-sifat Sembahan kita dengan Pandangan-pandangan dan Qiyasan". [al-Tauhid, 136].

Adapun lafaz-lafaz Mujmal (samar-samar) yang berkemungkinan membawa maksud yang sahih atau batil yang digunakan oleh Ahli Kalam seperti: Tempat dan Arah maka Ahlus Sunnah wal Jamaah mengambil sikap ((TAWAQQUF التوقف)) yakni: Tidak Isbat, Tidak juga Nafi melainkan setelah diperincikan maksudnya terlebih dahulu dan menolak penggunaan lafaz ini dalam menetapkan aqidah.

Maka, jika seorang Mutakallim berkata: "ALLAH tidak bertempat"; Ahlus Sunnah akan memperincikan maksud kata-kata fulan ini: "Apakah maksud kamu ALLAH Tidak Bertempat?" Jika dia hendak maksudkan ALLAH itu tidak berada di dalam 'alam tetapi terpisah daripada 'alam dan berada di atas makhluk-Nya maka ini benar dari segi makna namun penggunaan lafaz (tempat) tidak wajar digunakan dalam menetapkan Aqidah bahkan cukuplah disebut: "ALLAH berada di atas 'Arasy terpisah daripada makhluk-Nya" sebagaimana ucapan as-Salaf as-Soleh.

Jika seorang Mutakallim berkata: "ALLAH itu bertempat" maka ditanya apa maksud ucapan ini? Jika maksudnya ALLAH berada di atas 'Arasy maka ia benar namun lafaz ini tidak wajar digunakan dalam penetapan 'Aqidah, namun jika dia hendak maksudkan ALLAH berada dalam 'alam bersama makhluk-Nya dengan zat-Nya maka ini makna yang Batil dan wajib dinafikan maknanya dan lafaznya. 

*adapun apa yang datang daripada sebahagian Ulama' Ahlus Sunnah wal Jamaah menetapkan bagi ALLAH bertempat, maka ini disebut dalam kondisi Jidal dan Perdebatan dengan Jahmiah bukan pada kondisi mentaqrir 'Aqidah. 

KAEDAH 2: PERKARA YANG WAJIB DALAM BERINTERAKSI DENGAN NAS-NAS AL-QURAN DAN AS-SUNNAH ADALAH MEMNERIMANYA SESUAI DENGAN MAKNA ZAHIR TANPA DIUBAH ((التحريف)) TERUTAMA NAS-NAS SIFAT DI MANA TIADA RUANG BAGI 'AQAL PADANYA.

Dalil bagi kaedah ini adalah:

Pertama: Dalil Naqli: Firman ALLAH ta'ala:

نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ

Maksudnya: "Telah membawa ia (al-Quran) turun kepada kamu (wahai Rasul) oleh al-Ruh al-Amin ke atas hati kamu supaya kamu termasuk dalam golongan yang memberi peringatan, ianya diturunkan dengan bahasa arab yang jelas". [al-Syu'ara': 193-195]

Firman ALLAH ta'ala:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآناً عَرَبِيّاً لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: "Sesungguhnya kami turunkan ia sebagai bacaan dalam bahasa Arab supaya kami memahaminya". [Yusuf: 2]

Firman ALLAH ta'ala:

الر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَقُرْآنٍ مُبِينٍ

Maksudnya: Alif. Laam. Raa. Itulah ayat-ayat al-Kitab dan Quran yang jelas. [al-Hijr: 1]

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: "Itulah dia al-Kitab yang tiada syak ragu padanya sama sekali, padanya terdapat petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa". [al-Baqarah: 2]

وَلَقَدْ جِئْنَاهُمْ بِكِتَابٍ فَصَّلْنَاهُ عَلَى عِلْمٍ هُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: "dan KAMI telah datangkan kepada mereka Kitab yang kami perincikannya atas 'Ilmu sebagai pemberi petunjuk dan rahmat kepada kaum yang beriman". [al-A'raf: 52].

Sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam:

إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ نَبِيٌّ قَبْلِي إِلَّا كَانَ حَقًّا عَلَيْهِ أَنْ يَدُلَّ أُمَّتَهُ عَلَى خَيْرِ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ، وَيُنْذِرَهُمْ شَرَّ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ

Maksudnya: "Sesungguhnya tidak ada Nabi sebelum aku melainkan menjadi tanggungjawab atasnya untuk menunjukkan umatkan segala kebaikan yang dia ketahui dan mencegah mereka segala keburukan yang dia ketahui". [HR Muslim]. 

Dalam hadis 'Irbadh bin Sariah radiallahu 'anh yang masyhur, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: 

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا، لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ، مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِمَا عَرَفْتُمْ مِنْ سُنَّتِي، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَعَلَيْكُمْ بِالطَّاعَةِ، وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا، فَإِنَّمَا الْمُؤْمِنُ كَالْجَمَلِ الْأَنِفِ، حَيْثُمَا قِيدَ انْقَادَ

Maksudnya: "Aku telah tinggalkan kamu dalam keadaan putih bersih, malamnya umpama siang (jelas tiada kegelapan), tidak tergelincir daripadanya selepasku melainkan dia celaka, barangsiapa yang hidup selepasku maka dia akan melihat perbezaan pendapat yang banyak maka hendaklah kamu berpegang dengan apa yang telah kamu kenal daripada Sunnah-ku dan Sunnah Khulafa' al-Rasyidin al-Mahdiyyin, gigitlah dengan geraham kamu, dan hendaklah kamu taat (kepada pemerintah selepas baginda) walaupun dia seorang hamba habsyah, sesungguhnya Muslim itu seperti unta yang dicucuk hidungnya, ke mana dibawa ke situ dia pergi". [Lafaz ini pada Ibn Majah dan Ahmad].

Semua dalil-dalil ini menjelaskan kepada kita bahawa:


  • Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang JELAS 
  • Al-Quran diturunkan sebagai HIDAYAH 
  • Al-Quran TIADA keRAGUan padanya 
  • Al-Quran telah diPERINCIkan oleh ALLAH 
  • Semua Kebaikan telah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam terangkan 
  • Semua Keburukan telah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam cegah. 
  • Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam TERANG tiada keraguan 
  • Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam memerintahkan supaya berpegang dengan Sunnah baginda dan Sunnah Khulafa' al-Rasyidin.

Maka, natijah yang kita dapati bahawa nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak berhajat kepada takwilan-takwilan yang dibina atas mantiq Yunani atau Zauq atau 'Aqal setiap orang tetapi wajib memahami nas-nas wahyu ini sesuai dengan kefahaman bahasa arab yang asal yang difahami oleh as-Salaf as-Soleh.

Zahir ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah tidak mungkin sama sekali mengandungi kesesatan seperti dakwaan biadap Ahli Kalam bahawa Zahir Nas membawa Tasybih dan Tamtsil yakni: Kekufuran, bagaimana mungkin ini berlaku sedangkan ALLAH turunkan al-Quran sebagai Hidayah bukan Penyesat!!

Yang benar, apa yang mereka sangka sebagai Tasybih itu adalah zahir kefahaman 'aqal mereka yang diruntun oleh jiwa mereka yang sakit, adapun Zahir Nas itu sendiri sejahtera dan 'Aqal yang berada pada Jiwa yang sejahtera dapat melihatnya dengan sejahtera juga.

Kata Imam Nu'aim bin Hammad al-Khuza'ie rahimahullah, guru al-Imam al-Bukhari rahimahullah:

"مَنْ شَبَّهَ اللَّهَ بِخَلْقِهِ فَقَدْ كَفَرَ، وَمَنْ جَحَدَ مَا وَصَفَ اللَّهُ بِهِ نَفْسَهُ فَقَدْ كَفَرَ". وَلَيْسَ فِيمَا وَصَفَ اللَّهُ بِهِ نَفْسَهُ وَلَا رَسُولَهُ تَشْبِيهٌ، فَمَنْ أَثْبَتَ لِلَّهِ تَعَالَى مَا وَرَدَتْ بِهِ الْآيَاتُ الصَّرِيحَةُ وَالْأَخْبَارُ الصَّحِيحَةُ، عَلَى الْوَجْهِ الَّذِي يَلِيقُ بِجَلَالِ اللَّهِ تَعَالَى، وَنَفَى عَنِ اللَّهِ تَعَالَى النَّقَائِصَ، فَقَدْ سَلَكَ سَبِيلَ الْهُدَى

Maksudnya: "Barangsiapa menyerupakan ALLAH dengan makhluk-Nya maka dia telah kafir, barangsiapa yang ingkar apa yang ALLAH sifatkan bagi diri-Nya maka dia juga telah kafir. Tidak ada pada apa yang ALLAH sifatkan bagi diri-Nya dan pada apa yang Rasul-Nya sifatkan bagi diri-Nya itu Tasybih, barangsiapa yang menetapkan bagi ALLAH ta'ala apa yang datang daripada ayat-ayat yang jelas dan perkhabaran-perkhabaran yang Sahih sesuai dengan wajah yang layak bagi kebesaran ALLAH ta'ala dan menafikan daripada ALLAH segala kekurangan maka dia telah menempuh jalan Hidayah". [Rujuk: Tafsir Ibn Katsir: 3/427, tafsir ayat ke-54 Surah al-A'raf].

Demikian juga jika Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam telah menerangkan kepada umat baginda cara mereka hendak kencing dan buang air besar dan bagaimana hendak mencucinya, mana mungkin baginda tidak mengajarkan mereka atau meninggalkan mereka kehairanan dalam masalah yang paling utama dan tujuan sebenar kedatangan baginda sebagai Rasul iaitu Mengenal ALLAH dan mentauhidkan-Nya??!!

Kedua: Dalil 'Aqli: ALLAH ta'ala lebih mengetahui berkenaan diri-Nya demikian juga Rasul-Nya lebih mengenali Tuhannya maka wajiblah kita berserah diri dengan apa yang ALLAH khabarkan kepada kita berkenaan diri-Nya sendiri dan apa yang Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam khabarkan berkenaan diri Tuhannya.

KAEDAH 3: ZAHIR NAS-NAS SIFAT ADALAH MAKLUM PADA KITA PADA SATU SEGI TETAPI MAJHUL PADA SATU SEGI, IA MAKLUM PADA SEGI MAKNANYA DALAM BAHASA ARAB NAMUN MAJHUL PADA SEGI KAIFIAT DAN HAKIKATNYA.

Maksud pernyataan ini bahawa di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah; ayat-ayat Sifat ALLAH dan nas-nas berkenaannya adalah Muhkam dari segi makna, tetapi Mutasyabih dari segi Kaifiat.

Ini berdasarkan apa yang telah lalu dinyatakan bahawa al-Quran itu jelas dan datang memberi petunjuk, demikian juga as-Sunnah, maka tidak mungkin ada nas yang tidak mengandungi makna dan sia-sia dan tidak mungkin juga ada nas yang mengandungi makna yang tidak difahami dan menghairankan serta tidak memberi petunjuk sebaliknya menyesatkan pula.

ALLAH ta'ala menyatakan:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: "Inilah Kitab yang Kami turunkan ia kepada kamu (wahai Rasul) diberkati supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang mempunyai aqal mengambil peringatan" [ص: 29]

Maka tidak logik dan berlawanan dengan kemuliaan ALLAH ta'ala untuk Dia menurunkan ayat-ayat suci-Nya untuk ditadabbur yakni: diperhatikan makna dan kefahamannya kemudian terdapat ayat-ayat yang membawa makna tidak jelas, kabur, bahkan menyesatkan pula, Maha Suci ALLAH dari pendustaan Ahli Kalam!!

Adapun Kaifiat dan Hakikat Sifat ALLAH maka ianya majhul seperti yang diterangkan pada kaedah ke-6 dalam kaedah sifat.

KAEDAH 4: MAKSUD ZAHIR NAS ADALAH: MAKNA YANG SEGERA DIFAHAMI OLEH 'AQAL DAN IA BERBEZA BERDASARKAN SUSUNAN AYAT DAN APA YANG DISANDARKAN PADANYA DALAM PERKATAAN

Maksud kaedah ini adalah: apa yang dikehendaki oleh as-Salaf sebagai Zahir Nas adalah makna Nas itu sesuai dengan susunan ayat dan idofah yang disandarkan kepada kalimah itu dalam suatu pernyataan dan ayat menurut kefahaman bahasa arab yang sahih dan aqal yang sejahtera.

Zahir Nas terbahagi kepada dua:

Pertama: Zahir Ifradi ظاهر إفرادي iaitu: makna zahir suatu kalimah tanpa disandarkan kepada jumlah atau susunan ayat.

Kedua: Zahir Tarkibi ظاهر تركيبي iaitu: makna zahir suatu jumlah (ayat) secara keseluruhan.

Contoh Zahir Ifradi adalah seperti firman ALLAH ta'ala:

وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَى

Maksudnya: "Barangsiapa yang mendapat kemurkaan-Ku maka dia telah musnah" [Taha: 81]

Ayat ini menetapkan makna kalimah الغضب secara mufradnya iaitu "Marah" atau "Murka". 

Contoh Zahir Tarkibi: Firman ALLAH ta'ala:

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: "dan bagi ALLAH itu arah timur dan barat maka di mana sahaja kamu berpaling maka di sana ada ((wajah)) ALLAH sesungguhnya ALLAH maha luas (yakni: meluas rahmat dan nikmatnya kepada seluruh makhluk) lagi maha mengetahui" [al-Baqarah: 115]

Tafsiran Salaf menyatakan maksud ((Wajah ALLAH)) dalam ayat ini adalah ((Kiblat ALLAH)) yakni Kaabah. Tafsiran ini berdasarkan makna zahir tarkibi bagi kalimah Wajah dalam ayat ini kerana berdasarkan Susunan dan gaya bahasa ayat ini menceritakan berkenaan Kiblat maka ((wajah)) di sini membawa maksud ((jihah)) sebagaimana yang datang dalam penggunaan bahasa arab dalam susunan seumpama ini. 

Adapun ((Wajah ALLAH)) dalam firman-Nya:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: "Setiap yang ada di atasnya pasti akan musnah dan kekal lah wajah Tuhan-mu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan". [al-Rahman: 26-27]

Ayat ini mengisbatkan sifat Wajah ALLAH yang merupakan sifat zatiah bagi-Nya kerana jelas Zahir Nas berbicara berkenaan zat ALLAH dan kekalnya Dia setelah makhluk-makhlukNya musnah di hari kiamat nanti. 

Kadang-kadang berhimpun pada satu ayat itu kefahaman zahir tarkibi dan ifradi seperti firman ALLAH ta'ala:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَامًا فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ

Maksudnya: "Apakah mereka tidak melihat bahawa KAMI menciptakan bagi mereka apa yang KAMI diusahakan oleh (tangan-tangan KAMI) daripada haiwan ternak lalu mereka memilikinya" [Yasin: 71]

Kalimah أيدينا dalam ayat ini membawa maksud ditafsirkan oleh Salaf sebagai: apa yang Kami ciptakan sendiri; ini berdasarkan zahir tarkibi kerana arab menggunakan kalimah ((tangan)) untuk menta'birkan berkenaan diri atau perkara yang dilakukan sendiri dan disandarkan perbuatan itu kepada tangan seperti kata mereka:

هذا ما فعلته يدك

Maksudnya: "Ini apa yang kamu buat".

Namun, juga as-Salaf berhujjah dengan ayat ini untuk mensabitkan bagi ALLAH adanya sifat dua tangan kerana tidak disandarkan penggunaan seperti ini melainkan kepada zat yang memiliki tangan. 

Berbeza dengan ayat:

قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنْتَ مِنَ الْعَالِينَ

Maksudnya: "Dia berkata: Wahai Iblis, apa yang menghalang kamu untuk sujud kepada apa yang telah Aku ciptakan dengan dua tangan-Ku?! Adakah kamu sombong atau kamu termasuk orang yang meninggi diri?!!" [Sod: 75]

Kalimah tangan dalam ayat ini diguanakan dalam bentuk ((تثنية)) dan disandarkan perbuatan ((mencipta)) kepada diri secara terus kemudian di-Ta'addi-kan kepada tangan dengan huruf jar ((بِ)) dan susunan seperti ini dalam bahasa arab tidak membawa makna selain makna tangan yang hakikat seperti kata mereka:

كتبت الرسالة بيدي

Maksudnya: "Aku menulis surat dengan tanganku" 

Maksud tangan dalam susunan ini adalah tangan tidak lain lagi.

Memahami kaedah ini amat bermanfaat untuk menolak Syubhat Mutakallimin yang mendakwa Salaf ada mentakwil ayat-ayat sifat.

[Rujuk: al-Laali' al-Bahiyyah fi Syarhil Wasitiah oleh Syaikh Soleh Al Syaikh, juz 1].

*Perlu difahami juga bahawa setiap benda yang wujud ada di antaranya apa yang dinamakan sebagai: Qadar Musytarak dan ada antaranya Qadar Fariq yakni: terdapat makna umum yang berkongsi padanya semua wujud seperti jika kita sebut kalimah: Wujud, ianya sifat yang berkongsi padanya semua benda yang wujud namun apabila Wujud ini disandarkan kepada zat tertentu seperti: Wujud ALLAH dan Wujud Makhluk, maka ketika ini akan zahir Qadar Fariq yang membezakan antara Wujud yang ada pada ALLAH dengan Wujud yang bersifat dengannya makhluk. [Rujuk: al-Tadmuriah oleh Syaikhul Islam]

وصلى الله على أحمد وعلى آلـــــــــه وأصحابـــــه وسلم

*Kertas Kerja ini adalah diadaptasi daripada Kitab: ((Al-Qawa'idul Mutsla fi Sifatillahi Ta'ala wa Asma-ihil Husna)) karangan Syaikhul Islam Muhammad bin Soleh al-Utsaimin rahimahullah dengan tambahan dan ubahsuai daripada rujukan-rujukan lain.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails