Oleh: Muhammad Asrie bin Sobri al-Mashoori al-salafi.
Firman Allah Azza wa Jalla:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَلَئِنْ قُلْتَ إِنَّكُمْ مَبْعُوثُونَ مِنْ بَعْدِ الْمَوْتِ لَيَقُولَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ (7)
Maksudnya: “dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “ArasyNya, berada di atas air (ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya. dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)”. [Surah Hud: 7].
Penjelasan:
Ayat yang mulia ini menjelaskan kepada kita berkenaan permulaan penciptaan langit-langit dan bumi yang dicipta oleh Allah Azza wa Jalla dalam enam hari sedangkan ketika itu ArasyNya berada di atas air.
Allah s.w.t juga menjelaskan bahawa tujuan diciptakan alam ini adalah untuk menguji hamba-hambaNya siapakah di antara mereka yang paling elok amalannya. [Al-Syanqiti, Muhammad Amin, Adwa’ al-Bayan, 2/279, Ibn Kasir, 4/307]
Ini menunjukkan bahawa ciptaan Allah itu adalah dengan hikmah kerana huruf ‘Lam’ pada: لِيَبْلُوَكُمْ adalah huruf taklil menunjukkan kepada ‘illah. [I’rabul Quran al-Karim, Qasim Humaidan Da’as, 2/47, Darul Munir-Darul Farabi, Damsyiq,1425H.]
Allah Taala kemudian menjelaskan bahawa kaum kafir itu jika diberitahu kepada mereka bahawa mereka akan dihidupkan semula setelah mati mereka akan mengingkarinya dan menyatakan ianya adalah sihir sahaja.
Namun, keingkaran mereka ini merupakan cermin kebodohan diri mereka sendiri kerana mereka mengingkari Allah akan menghidupkan semula mereka namun dalam masa yang sama mereka mengakui bahawa Allah s.w.t adalah satu-satunya Tuhan yang mencipta alam ini daripada ‘adam mahd’ (ketiadaan mutlak) sebagaimana firman Allah s.w.t:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ
Maksudnya: “dan Sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”..” [al-Ankabut: 61].
Sedangkan memulakan ciptaan jika dibandingkan dengan mengulang ciptaan, maka mengulang ciptaan itu lebih mudah pada qudrah.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Rum ayat ke-27:
وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ
Maksudnya: ”dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah baginya…” [Ibn Kasir,4/308]
Imam al-Tabari rahimahullah menyatakan ayat ini membawa makna istifham menempelak kaum kafir, yakni adakah setelah jelas Allah Taala yang mencipta langit-langit dan bumi kamu masih lagi menyatakan Dia lemah untuk menghidupkan semula makhklukNya yang telah Dia matikan? [Al-Tabari,15/244]
Oleh itu, dalil kewujudan dan kekuasaan Allah Taala atas alam ini amat jelas dan nyata sehingga tidak diberi keuzuran orang yang mengingkarinya kerana jahil. Bahkan mereka yang ragu-ragu terhadap kekuasaan Allah Taala menghidupkan semula alam ini setelah musnah merupakan kekufuran yang jelas sebagaimana firman Allah:
وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَى رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا (36) قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا (37)
Maksudnya: “dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?” [al-Kahfi: 36 & 37].
Maka lebih pantas orang yang langsung mengingkari kewujudan hidup setelah mati dihukum kafir.
Persoalan:
Pertama: Penciptaan Alam dalam Enam Hari
Terdapat lebih kurang tujuh ayat menjelaskan bahawa Allah s.w.t menciptakan langit-langit dan bumi serta isinya dalam masa enam hari.
Antaranya firman Allah s.w.t:
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa…” [al-A’raf: 54].
Dalam surah Fussilat ayat 9 sehingga 12 Allah s.w.t menjelaskan perincian penciptaan tersebut:
قُلْ أَئِنَّكُمْ لَتَكْفُرُونَ بِالَّذِي خَلَقَ الْأَرْضَ فِي يَوْمَيْنِ وَتَجْعَلُونَ لَهُ أَنْدَادًا ذَلِكَ رَبُّ الْعَالَمِينَ (9) وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ مِنْ فَوْقِهَا وَبَارَكَ فِيهَا وَقَدَّرَ فِيهَا أَقْوَاتَهَا فِي أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ سَوَاءً لِلسَّائِلِينَ (10) ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ ائْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ (11) فَقَضَاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ فِي يَوْمَيْنِ وَأَوْحَى فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَحِفْظًا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ (12)
Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan sekalian alam, dan ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta ia melimpahkan berkat padanya, dan ia menentukan ada padanya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) Dalam empat masa.kemudian Dia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela”lalu ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui.”
Allah s.w.t memperincikan dalam ayat ini penciptaan langit-langit dan bumi sebagai berikut:
“Penciptaan dimulakan dengan bumi dalam masa dua hari iaitu Ahad dan Isnin, kemudian pemakmuran bumi dilakukan dalam masa empat hari yakni bermula pada Ahad sehingga Rabu, kemudian penciptaan langit dalam masa dua hari pula iaitu Khamis dan Jumaat. Demikianlah tempoh enam hari yang dinyatakan oleh Allah s.w.t”. [Ibn Kasir, 7/166&167, al-Tabari,21/433]
Telah sabit pula daripada Mujahid dan Ikrimah bahawa permulaan kejadian itu bermula pada hari Ahad dan berakhir pada Jumaat. Juga sabit daripada Ibn Abbas radiallahuanhu dan Mujahid rahimahullah, satu hari tersebut bersamaan seribu tahun pada kiraan manusia. [Al-Tabari,12/482, al-Durrul Mansur, 4/246]
Namun, terdapat sebuah hadis menjelaskan sebagai berikut:
عن أبي هريرة قال: أخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم بيدي فقال : خلق الله التربة يوم السبت، وخلق الجبال فيها يوم الأحد، وخلق الشجر فيها يوم الاثنين، وخلق المكروه يوم الثلاثاء، وخلق النور يوم الأربعاء، وبثّ فيها من كل دابة يوم الخميس، وخلق آدم بعد العصر من يوم الجمعة في آخر الخلق في آخر ساعات الجمعة ، فيما بين العصر إلى الليل .
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu katanya: “Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam memegang tanganku lalu bersabda: “Allah mencipta tanah pada hari Sabtu, mencipta bukit pada hari Ahad, mencipta pokok pada hari Isnin, mencipta perkara-perkara yang tidak disukai pada hari Selasa, mencipta cahaya pada hari Rabu, menebarkan atasnya haiwan melata pada hari Khamis, dan mencipta Adam pada selepas Asar hari Jumaat pada masa penciptaan terakhir di akhir saat hari Jumaat antara Asar hingga malam”. [Muslim (7231), Ahmad (8323)].
Hadis ini adalah sahih dan dikeluarkan dalam Sahih Muslim sebagai ‘Umdatul Bab’ (Hadis Tonggak) dan kesahihannya disetujui oleh al-Albani rahimahullah dan Ahmad Syakir rahimahullah. [Lihat Takliq Ahmad Syakir pada: Tafsir al-Tabari,15/244, hadis no. 17971. Lihat Silsilah al-Sahihah hadis no.1833.]
Namun, al-Bukhari rahimahullah dan beberapa hufaz hadis mempertikaikannya kerana hadis ini menunjukkan penciptaan bermula pada Sabtu dan mengambil masa selama 7 hari.
Al-Bukhari rahimahullah memastikan bahawa hadis ini bukan marfu’ tetapi riwayat Abu Hurairah radiallahuanhu daripada Kaabul Ahbar sahaja. Syeikhul Islam Ibn Taimiah rahimahullah juga menjelaskan bahawa hadis ini sebenarnya adalah perkataan Kaabul Ahbar dan ‘illah yang disebut oleh al-Bukhari, Ali bin al-Madini, dan lainnya adalah benar kerana matan hadis ini sendiri memberi isyarat bahawa terdapat kecacatan pada sanadnya. Nada yang sama turut disuarakan oleh Imam Ibn Kasir rahimahullah dalam tafsir beliau dan pada pendapat kami inilah yang sebenarnya.
Syeikh Syuaib al-Arnauth daripada Mutaakhirin menyokong pandangan kedaifan hadis ini dan kami melihat pandangan ini lah yang benar. Wallahua’lam. [Lihat Tarikh al-Kabir, 1/413&414, Ibn Kasir, 3/426, Majmuk al-Fatawa,17/235 dan selepasnya, Musnad Ahmad dengan Taklik Al-Arnauth hadis no. 8323.]
Kedua: Arasyh Allah Taala di Atas Air dan Awal Makhluk
Telah jelas dalam ayat di atas Allah s.w.t menyatakan bahawa ketika Dia memulakan penciptaan bumi dan langit-langit, ArasyNya telah wujud dan berada di atas air. Pernyataan ini turut dijelaskan dalam hadis-hadis sahih berikut:
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ ، رَضيَ اللهُ عَنْهُمَا ، قَالَ: دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، وَعَقَلْتُ نَاقَتِي بِالْبَابِ ، فَأَتَاهُ نَاسٌ مِنْ بَنِي تَمِيمٍ ، فَقَالَ : اقْبَلُوا الْبُشْرَى يَا بَنِي تَمِيمٍ ، قَالُوا : قَدْ بَشَّرْتَنَا فَأَعْطِنَا ، مَرَّتَيْنِ ، ثُمَّ دَخَلَ عَلَيْهِ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ الْيَمَنِ ، فَقَالَ : اقْبَلُوا الْبُشْرَى يَا أَهْلَ الْيَمَنِ ، إِذْ لَمْ يَقْبَلْهَا بَنُو تَمِيمٍ ، قَالُوا : قَدْ قَبِلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ ، قَالُوا : جِئْنَاكَ نَسْأَلُكَ عَنْ هَذَا الأَمْرِ ، قَالَ : كَانَ اللهُ ، وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ ، وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ ، وَكَتَبَ فِي الذِّكْرِ كُلَّ شَىْءٍ ، وَخَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ.فَنَادَى مُنَادٍ : ذَهَبَتْ نَاقَتُكَ يَا ابْنَ الْحُصَيْنِ ، فَانْطَلَقْتُ ، فَإِذَا هِيَ يَقْطَعُ دُونَهَا السَّرَابُ، فَوَاللهِ ، لَوَدِدْتُ أنَِّي كُنْتُ تَرَكْتُهَا .
Maksudnya: Daripada Imran bin Husain radiallahuanhuma katanya: “Aku masuk menemui Nabi sallallahualaihi wa sallam dan aku ikat untaku di pintu lalu datang sekumpulan manusia daripada Bani Tamim lalu baginda bersabda: “Terimalah khabar gembira wahai Bani Tamim”. Kata mereka: “Engkau telah menggembirakan kami (Wahai Rasulullah) maka berikan kami (khabar gembira itu)”, mereka ucapkannya dua kali. Kemudian datang pula sekumpulan manusia daripada Yaman lalu baginda berkata: “Terimalah khabar gembira wahai Ahli Yaman yang tidak diterima Bani Tamim”. Mereka berkata: “Telah kami terima wahai Rasulullah”. Mereka berkata lagi: “Kami datang ini untuk bertanya berkenaan perkara ini (penciptaan alam)”. Jawab Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam: “Adalah Allah itu wujud dan tiada sesuatu pun selain Dia, dan adalah ArasyNya berada di atas air dan Dia menulis dalam al-Zikr (Lauh Mahfuz) semuanya (daripada takdir makhluk) dan dia mencipta langit-langit dan bumi”. Maka tiba-tiba seseorang menyeru memanggilku (Imran bin Husain): “Untamu terlepas wahai Ibn Husain!”. Maka aku dapati untaku melalui fatamorgana, demi Allah, aku suka jika aku biarkan saja untaku itu”. [al-Bukhari, Ahmad].
Dalam lafaz yang lain menyatakan:
كان الله ولم يكن شيء قبله
Maksudnya: “Adalah Allah wujud dan tiada sesuatu pun (wujud) sebelumNya…”
Lafaz ‘Qabla’ lebih tepat kerana sesuai dengan sabda Nabi sallallahu alaihi wa sallam:
اللَّهُمَّ أَنْتَ الأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَىْءٌ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah yang Awal maka tiada sesuatupun sebelum-Mu..” [Muslim, Abu Dauda, al-Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad].
Adapun lafaz yang pertama, kemungkinan besar perawinya meriwayatkan secara makna sebagaimana yang dinyatakan para ulama hadis.
Hadis Kedua:
عن وكيع بن حدس عن عمه أبي رزين قال قلت : يا رسول الله أين كان ربنا قبل أن يخلق خلقه ؟ قال كان في عماء ما تحته هواء وما فوقه هواء وخلق عرشه على الماء قال أحمد بن منيع قال يزيد بن هارون العماء أي ليس معه شيء
Maksudnya: Daripada Waki’ bun Hudus (Udus) daripada ayah saudaranya Abu Razin radiallahuanhu katanya: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, di mana Tuhan kita berada sebelum Dia mencipta makhlukNya?” Jawab baginda: “Adalah Dia dalam al-Ama’, tiada di bawahnya udara dan tiada di atasnya udara dan Dia mencipta ArasyNya di atas air”. Kata Ahmad bin Mani’ (perawi hadis): Berkata Yazid bin Harun: “al-‘Ama’ [*] yakni tiada suatupun bersamaNya”. [al-Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad -hasan- ; Imam al-Albani dan al-Arnauth mendaifkannya namun Imam al-Tarmizi menyatakan hadis ini hasan dan ulama salaf berhujjah dengannya demikian juga Ibn Taimiah rahimahullah.]
[*] Al-Ama’ dalam bahasa bermaksud awan. Namun, tafsiran Yazid bin Harun lebih utama diikuti.
Hadis Ketiga:
عن العباس بن عبد المطلب قال : كنت بالبطحاء في عصابة . وفيهم رسول الله صلى الله عليه و سلم . فمرت به سحابة . فنظر إليها . فقال ( ما تسمون هذه ؟ ) قالوا السحاب . قال ( المزن ) . قالوا والمزن . قال ( والعنان ) قال أبو بكر قالوا والعنان . قال ( كم ترون بينكم وبين السماء ؟ ) قالوا لاندري . قال ( فإن بينكم وبينها إما واحدا أو اثنين أو ثلاثا وسبعين ستة . والسماء فوقها كذلك ) حتى عد سبع سماوات . ( ثم فوق السماء السابعة بحر . بين أعلاه وأسفله كما بين سماء إلى سماء . ثم فوق ذلك ثمانية أو عال . بين أظلافهم وركبهن كما سماء إلى سماء . ثم على ظهورهم العرش . بين أعلاه وأسفله كما بين سماء إلى سماء . ثم الله فوق ذلك . تبارك وتعالى )
Maksudnya: Daripada al-Abbas bin Abdul Muttalib katanya: “Aku berada di al-Batha’ bersama beberapa orang lagi dan bersama mereka Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam lalu terdapat awan berarak dan baginda memandangnya seraya bersabda: “Apakah yang kamu namakan ini?” Jawab mereka: “al-Sahab” (Awan). Kata baginda: “al-Muzni”. Kata mereka: Ya, juga al-Muzni (Awan). Kata baginda: “al-Anan” kata mereka: Ya, juga al-Anan (awan)”. Kata baginda: “Agak-agak kamu berapakah jaraknya antara kamu dan langit?” Jawab mereka: “Kami tidak tahu”. Sabda baginda: “sesungguhnya antara kamu dan langit sama ada 71, 72 atau 73 tahun perjalanan, demikian juga antara langit ke langit”. Baginda menyebut sehingga langit ketujuh lalu berkata: “Kemudian di atas langit ketujuh itu terdapat laut, antara atasnya ke bawahnya seperti jarak antara langit ke langit kemudian di atas laut itu terdapat 8 malaikat dalam bentuk Au’al, jarak antara kuku kakinya ke lututnya seperti jarak antara langit ke langit kemudian di atas belakang mereka terdapat Arasyh, jarak antara atasnya dengan bawahnya sama seperti antara langit ke langit kemudian Allah berada di atas Arasyh itu Tabaraka wa Taala”. [Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah -sahih- ; Hadis ini dihukum daif oleh Imam al-Albani rahimahullah namun ini adalah bersalahan dengan sebenarnya kerana hadis ini dikeluarkan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wal Sifat dengan sanad yang sahih demikian juga Ibn Khuzaimah dalam al-Tauhid. Imam Ibn Taimiah rahimahullah mempertahankan kesahihan hadis ini demikian juga al-Azim al-Abadi dalam Aunul Makbud.]
Hadis ini menunjukkan bahawa Air, Arasyh, Udara, al-Qalam, dan al-Lauh al-Mahfuz telah wujud terlebih dahulu sebelum Allah mencipta langit dan bumi. Maka persoalannya, antara makhluk-makhluk ini, manakah yang terlebih dahulu diciptakan Allah Taala? Yakni apakah makhluk yang paling awal secara mutlak diciptakan Allah Taala?.
Dalam sebuah hadis Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ اكْتُبْ. قَالَ رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ قَالَ اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَىْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ
Maksudnya: “Sesungguhnya benda yang paling awal dicipta Allah adalah al-Qalam, lalu Dia berfirman kepadanya: “Tulislah”. Berkata Qalam: “Wahai Tuhanku, apa yang hendak aku tulis?”. Kata Allah: “Tulis takdir-takdir segala sesuatu sehingga hari kiamat”. [Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad].
Namun, jika diteliti hadis-hadis sebelum ini, kita dapati Arasyh telah wujud sebelum al-Qalam demikian juga air dan udara. Terdapat atsar daripada Ibn Abbas radiallahuanhuma menyatakan:
عن سعيد بن جبير قال: سئل ابن عباس عن قول الله:(وكان عرشه على الماء) ، قال: على أي شيء كان الماء؟ قال: على متن الريح
Maksudnya: “Daripada Said bin Jubair katanya: Ditanya Ibn Abbas berkenaan firman Allah: (maksudnya) ‘dan adalah ArasyNya di atas air’, air itu berada di atas apa pula? Jawab beliau: “Di atas angin”.
Namun, tidak ada pertentangan antara hadis-hadis ini kerana hadis al-Qalam itu bukanlah menunjukkan permulaan penciptaan secara mutlak.
Berkata Syeikh al-Mubarakfuri rahimahullah:
قال في الأزهار أول ما خلق الله القلم يعني بعد العرش والماء والريح
Maksudnya: “Berkata dalam al-Azhar: Awal yang dicipta Allah adalah al-Qalam maksudnya selepas Arasy, air dan angin”. [Tuhfatul Ahwazi, Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri, 6/307, Dar al-Kutub al-Ilmiah-Beirut.]
Namun, Imam al-Tabari, Ibn al-Jauzi, dan lainnya berpendapat yang awal diciptakan adalah al-Qalam berpegang dengan nas hadis yang lalu kemudian Imam al-Tabari menyatakan juga yang kedua diciptakan adalah al-‘Ama’ di mana beliau fahami al-Ama’ dalam hadis Abu Razin radiallahuanhu yang lalu sebagai awan.
Adapun Jumhur ulama berpandangan sebelum al-Qalam, Allah telah mencipta Arasyh dan air demikian juga udara yang diletakkan air atasnya berdalilkan hadis:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ - قَالَ - وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ.
Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amru bin al-As radiallahuanhuma katanya: “Aku mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda: “Allah telah menulis takdir makhluk sekaliannya sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak masa 50,000 ribu tahun”. Baginda berkata: “sedangkan ArasyNya ketika itu berada di atas air”. [Muslim].
Jumhur ulama menyatakan bahawa al-Qalam adalah makhluk yang pertama diciptakan daripada alam ini (Permulaan Penciptaan Langit-langit dan Bumi). [Lihat al-Bidayah wan Nihayah, Ibn Kasir, 1/9 & 10, Dar al-Ihya’ al-Turas al-Arabi.]
Faedah Ayat dan Pengajaran
- Allah subhanahu wa Taala adalah Pencipta dan Pentadbir alam ini, maka secara otomatis Dia jualah satu-satunya zat yang berhak disembah.
- Allah subahanahu wa taala bersemayam di atas ArasyNya dengan sebenarnya tanpa diketahui kaifiatnya.
- Arasy adalah makhluk yang mulia dan merupakan bumbung alam ini serta makhluk yang paling besar dalam alam ini.
- Udara dan Air merupakan anugerah Allah Taala yang sangat berharga pada makhlukNya yang lain, oleh itu wajib atas manusia menjaga air dan udara daripada pencemaran.
- Allah Taala mencipata makhlukNya kerana hikmah yang diketahuiNya tetapi Dia sama sekali tidak berhajat kepada makhlukNya sama ada Arasy atau lainnya.
- Semua yang berlaku dalam alam ini adalah dengan takdir dan kehendak Allah Taala dan semuanya makhluk Allah.
- Bukti Tauhid Rububiyah, Uluhiyah, dan al-Asma’ wal Sifat bagi Allah sangat jelas dan terang dan mereka yang ingkar akannya adalah kaum yang membodohkan diri sendiri.
Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2009/04/11/arasy-nya-di-atas-air/