Khamis, 26 Jun 2008

SALAH FAHAM TERHADAP AL-NAWAWI DAN IBN HAJAR

Sikap beberapa para ekstrimis atau pelampau batas yang ada pada segelintir umat Islam terhadap Tokoh Ahli Sunnah Wal Jamaah yang benar-benar ikhlas dalam menebarkan sunnah Rasulullah s.a.w dengan menghina dan memulau adalah sikap yang salah. Perkara ini terjadi terhadap tokoh yang terkenal dengan ketokohan mereka seperti Imam Al-Nawawi dan Ibn Hajar al-Asqalani semoga Allah merahmati mereka berdua. Ini kerana mereka berdua adalah berbeza dengan manhaj salafus soleh pada bab sifat-sifat Allah. Kerana Salafus soleh membiarkan nas-nas yang menunjukkan sifat Allah tanpa dibuat pentakwilan (tahrif) iaitu mengubah maknanya dengan menafikan apa yang telah disebutkan dalam al-Quran dan Sunnah).

Perkara ini telah dijelaskan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h terhadap tokoh-tokoh seperti mereka:

"Tidak ada seorang pun dari mereka kecuali telah terbukti pembelaannya terhadap Islam. Mereka telah melakukan pelbagai usaha yang terpuji dan kebajikan. Mereka aktif dalam membendung gerakan orang-orang atheis dan ahli bid'ah. Pada waktu yang sama mereka banyak membantu ahli sunnah dan agama ini. Usaha mereka terkenal dan tidak ada kesamaran di dalamnya. Khususnya bagi orang yang mengenal baik keadaan mereka dan menceritakan biografi mereka berkenaan ilmu, kejujuran, keadilan dan wawasan tinggi (yang mereka miliki).
Namun sayangnya, ketika prinsip-prinsip dasar agama yang asli menjadi kabur dan samar yang ada pada awalnya diakibatkan oleh pemikiran aliran Muktazilah dengan tokoh-tokoh mereka dikenal sangat rasional (mengunggulkan akal), maka prinsip-prinsip tersebut diabaikan oleh mereka. Akibatnya timbul banyak pemikiran yang ditolak oleh para ulama' dan tokoh agama dari kaum muslimin. Akibat lanjutannya, kaum muslimin terbahagi kepada dua kelompok: Sebahagian ada yang mengangung-agnungkan mereka kerana memiliki beberapa kebaikan dan keunggulan. Sebahagian lagi ada yang mencela dan menjatuhkan mereka kerana di antara pemikiran mereka ada termasuk dalam kategori bid'ah dan batil. Padahal sebaik-baik urusan adalah pertengahan.
Hal ini tidak hanya terjadi kepada mereka sahaja, bahkan menimpa sebahagian ahli ilmu dan agama. namun demikian, Allah Ta'ala tetap akan menerima kebaikan-kebaikan dari hamba-hambanya dan akan memberi maaf atas keburukan-keburukan mereka. Firmannya:
"Wahai Tuhan kami, Ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Amat melimpah Belas kasihan dan RahmatMu." (al-Hasyr 59:10)
Kita tidak perlu ragu bahawa sesiapa yang berijtihad untuk mencari kebenaran dalam agama dari jalur Rasulullah s.a.w, lalu kemudian dia melakukan kesilapan pada sebahagian ijtihadnya, Allah pasti akan mengampuni kesilapannya. Ini sebagai bukti penerimaan doa yang dijanji untuk diteriman-Nya bagi Nabi dan orang-orang mukmin, ketika mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau silap." (Al-Baqarah 2:286)
Sesiapa yang mengikuti prasangka dan hawa nafsunya, lalu dia memburuk-burukkan orang yang berijtihad tetapi tersilap, padahal yang berijtihad itu memandangnya benar, maka ia adalah satu bid'ah yang menyalahi sunnah. Sepatutnya dia membandingkan hal ini, sama ada terhadap kes yang lebih besar atau lebih kecil kepada seseorang yang diagung-agungkan olehnya dari kalangan kelompoknya sendiri (pasti dia akan menemui berlaku kesilapan dalam sebahagian ijtihad, namun tidak pula diburuk-burukkan mujtahid tersebut kerana berada dalam kelompok yang sama). Ini kerana sedikit sekali para ulama mutakhir yang selamat dari masalah-masalah sedemikian (tersilap dalam ijtihad) disebabkan oleh banyaknya hal-hal yang samar dan jauhnya manusia dari cahaya al-Nubuwah dan naungan risalah, yang dengannya dapat diperolehi kebenaran dan petunjuk. Selain itu dengan cahaya al-Nubuwag pula, perasaan ragu dari hati hilang." [Dar'u Ta'arudh al'Aqal wa al-Naqal (tahqiq: M. Rasyid Salim; Dar al-Kunuz al-Adabiyah, Riyadh), jld. 2, ms. 102-103, dinukil dari buku Mari Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah, Hafiz Firdaus Abdullah, ms. 141-145]

Begitu juga Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin ketika ditanya tentang sikap Ahl Sunnah Wal Jamaah terhadap tokoh-tokoh yang mentakwilkan sifat-sifat Allah, beliau menjawab:

"Adapun sikap kita terhadap para ulama yang melakukan takwil, kami berkata: Sesiapa yang mengenal di antara mereka sebagai memiliki niat yang baik dan kejujuran dalam urusan (ilmu) serta mengikuti al-Sunnah, maka dia ma'dzur (keuzuran yang dimaafkan) dengan takwilannya. Akan tetapi uzurnya tentang hal itu tidak mencegah (kita untuk) menyalahkan jalan dia yang menyelisihi pemahaman salafus soleh yang membiarkan nas-nas (berkenaan sifat-sifat Allah) tetap pada zahirnya serta meyakini apa yang ditunjukkan oleh makna zahirnya tanpa takyif (bertanyakan bagaimana rupa bentukNya) dan tanpa tamsil (menyamakan dengan makhluk).
Wajib membezakan antara menghukum pendapat orang yang berkata dan perbuatan orang yang berkata. Pendapat yang salah bila muncul dari ijtihad dan maksud yang baik, maka orang yang berkata tidaklah dicela. Bahkan dia mendapat satu pahala atas ijtihadnya berdasarkan sabda Nabi s.a.w: "Apabila seorang hakim memutuskan perkara lalu dia berijtihad kemudian ijtihadnya benar, maka baginya dua pahala. Apabila dia memutuskan lalu berijtihad kemudian ijtihadnya salah, maka baginya satu pahala." (Muttafaqun 'Alaih)
Adapun apa yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan dhalal (kesesatan; iaitu hadis setiap bid'ah adalah sesat), jika sifat dhalal tersebut adalah mutlak yang dengannya tercela dan dimurkai, maka sifat ini tidak ditujukan kepada mujtahid seperti ini yang diketahui kebaikan niatnya, mempunyai kejujuran dalam agama dan mengikuti al-Sunnah. Jika yang dimaksudkan dengan sesat adalah pendapatnya yang menyelisihi kebenaran tanpa mencela terhadap yang berkata, maka hal itu tidak mengapa kerana tindakan seperti ini tidak menyesatkan dengan maksud kesesatan secara mutlak. Ini kerana dari segi wasilah ia adalah benar, iaitu mengerankan kemampuannya untuk mencapai kebenaran. Akan tetapi dari segi hasil adalah kesesatan, menyelisihi kebenaran." [Majmu' Fatawa Arkanil Islam, dinukil dari buku Mari Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, ms. 146-147]

Apabila ditanyakan: "Apa pendapat anda tentang sebahagian orang menganggap al-Nawawi dan Ibn Hajar al-Asqalani adalah Ahl Bid'ah?", Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin r.a benjawab:

"Sesungguhnya Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Hajar adalah dua ulama yang benar dan berjasa besar kepada umat Islam. Jika mereka pernah melakukan kesalahan dalam takwilan-takwilan teks, maka hal itu tidak boleh mengabaikan keunggulan yang ada pada kedua-duanya. Kita tidak boleh menganggap bahawa pendapat mereka tidak berdasarkan ijtihad yang serius atau dengan takwil yang sebarangan meski pun dala pendapat keduanya terkadang ada kesalahan, semoga Allah mengampuni keduanya. Untuk itulah apa yang telah mereka berikan (berupa ilmu yang tertuang dalam hasil karya), memang terdapat kegunaan dan kita harus mengakuinya. Firman Allah S.W.T: "Sesungguhnya amal yang baik dapat menghilangkan amal yang jahat." (Hud 11:114)
Apa yang kita lihat bahawasanya mereka berdua termasuk Ahl Sunnah wal Jamaah, terbukti dengan cara mereka mengamalkan Sunnah Rasul serta merealisasikan apa yang ada dalam Sunnah tersebut. Akan tetapi mereka berdua berbeza dalam ayat-ayat sifat, hadis-hadisnya atau sebahagian lain tentang kebaikan Ahl Sunnah, maka kita mohon kepada Allah agar mereka tetap bermuamalah dengan keampunan-Nya. [Kitab al-'Ilm, dinukil dari buku Mari Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, ms. 147-148]

Begitu juga Muhaddits Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani memberi nasihat:

"Saya ingin menyebutkan sebuah hakikat yang tidak diperselisihkan dan saya ingin menambahkan sesuatu yang tidak difikirkan oleh para pemuda pada masa kini, iaitu sabda Rasulullah s.a.w dalam banyak hadisnya: "Sesiapa yang mengkafirkan seorang Muslim, maka dia telah kafir." Ini hakikat yang tidak diragukan lagi dan diketahui rinciannya dalam hadis ini. Dalam sebahagian riwayat lain (disebut) bahawa jika orang yang dia kafirkan itu adalah kafir, maka dia telah melakukan hal yang benar. Jika tidak tuduhan itu kembali pada dirinya. Ini tidak perlu untuk dibahas lagi kerana hadis ini jelas.
Akan tetapi saya ingin menjelaskan sebuah tambahan. maka saya katakan siapa yang menuduh seorang Muslim sebagai ahli bid'ah, boleh jadi Muslim itu sendiri ahli bid'ah. Akan tetapi jika tidak, penuduh itu sendiri yang menjadi ahli bid'ah. Ini adalah realiti yang saya sebutkan tadi. Sesungguhnya para pemuda kita bid'ahkan para ulama, namun mereka itulah (para pemuda) yang terjatuh dalam bid'ah. Akan tetapi mereka tidak mengetahui dan tidak berniat untuk melakukan bid'ah, hanya saja mereka terjerumus ke dalamnya.
Oleh kerana itu kami menasihati para pemuda untuk berpegang teguh dengan mengamalkan al-Quran dan al-Sunnah sesuai dengan pengetahuan mereka dan tidak menuduh orang lain dimana mereka tidak memiliki ilmu, kefahaman dan bahkan kemaslahatan. Seperti Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. Kita katakan berikanlah kami hari ini di dunia Islam orang-orang seperti mereka (sudah tentu tidak ada lagi yang seperti mereka). Tinggalkanlah Sayyid Qutb, orang ini telah dimuliakan oleh jihadnya. Akan tetapi hal ini tidak mengubah dia dari seorang penulis dan sastrawan, tapi dia bukan seorang ulama'. maka tidak perlu hairan jika ada yang keluar dari diri beliau hal-hal yang menyalahi manhaj yang benar.
Adapun orang-orang yang disebut bersamanya seperti Imamal-nawawi, Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan selainnya, Demi Allah! Merupakan satu kezaliman jika mengatakan mereka sebagai ahli bid'ah. Saya tahu bahawa mereka mengikut mazhab al-Asya'irah, akan tetapi mereka tidak berniat menyalahi al-Quran dan al-Sunnah. Mereka mengikut kerana dua sebab: Pertama, bahawa (Abu Hasan) Al-Asy'ari mengatakan hal itu, padahal dia mengatakan hal itu pada masa awalnya dan sesudah itu dia menariknya kembali. Kedua, mereka menduganya benar padahal tidak." [Muzil al-Ilbas fi al-Ahkam 'ala al-Nas, Sa'id bin Shabir 'Abd Allah, dinukil dari buku Mari Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, ms. 148-150]

Muhammad 'Id al-Abbasi berkata dalam masalah ini:

"Tidak diragukan lagi bahawa kita tidak boleh menghukum mereka dengan satu hukum, misalnya Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dimana hukum keduanya tidak sama dengan Sayyid Qutb, semoga Allah merahmati mereka semua. Tidak diragukan lagi bahawa al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Nawawi adalah dua orang yang alim besar yang berijtihad dan merupakan imam bagi kaum muslimin, mereka memiliki banyak ilmu dan prinsip-prinsip yang benar lagi diterima. Jika terdapat kesalahan dari mereka, maka mereka dimaafkan dan mereka tidak keluar dari golongan yang selamat, Insya-Allah.
Boleh jadi ada yang berkata: "Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani memiliki pmikiran al-Asya'irah. Kita jawab betul, pemikiran ini ditemui dalam tulisan-tulisan mereka. Kedua, bahawa manhaj al-Salaf lebih utama daripada Asya'irah. Akan tetapi prinsip yang mereka pegang semuanya benar secara umum. keduanya terpengaruh dengan pemikiran pada masanya dan pemikiran-pemikiran Asya'irah dalam masalah-masalah aqidah. Akan tetapi kedua-duanya adalah Imam, maka kesalahannya itu kita maafkan. Mereka adalah para ulama pembawa petunjuk Insya-Allah." [Muzil al-Ilbas, ms. 252-253, dunukil dari buku Mari Berkenalan Dengan Ahl -al-Sunnah wa al-Jamaah, ms. 151-152]

Apabila ditanya: "Apakah kesalahan seorang ulama dalam masalah-masalah aqidah mengharuskan untuk tidak mengambil faedah dari ilmu-ilmu dan buku-bukunya?", Abd Allah al-Ghunaiman manjawab:

"Tidak ada perbezaan antara kesalahan dalam aqidah mahupun furu' Jika seorang manusia salah sedangkan dia adalah seorang mujtahid dan niatnya baik, maka dia dimaafkan dan mendapat pahala ijtihad. Ada pun jika dia tidak berhak untuk berijtihad dan berbicara berdasarkan ketidaktahuan, maka ini tidak dimaafkan, baik dalam masalah aqidah mahupun lainnya. Sedangkan jika dia mengetahui kebenaran dan menyalahinya serta dia berniat untuk mengajak melakukan bid'ah-bid'ah yang besar misalnya, maka mereka itu berbeza dengan yang lain. Adapun jika maksudnya benar namun dia tidak diberi petunjuk padanya, maka dia seorang mujtahid yang tidak berniat melakukan apa yang dia lakukan. Kedudukan seperti diungkapkan Rasulullah s.a.w (maksudnya): "Jika seorang hakim memutuskan perkara lalu dia berijtihad dan dia benar, maka baginya dua pahala. Jika dia salah, maka baginya satu pahala dan kesalahan itu dimaafkan." [Muzil al-Ilbas, ms. 250, dinukil dari buku Mari Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, ms. 152-153]

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar adalah tokoh Mujtahid daripada kalangan Ahl Sunnah wa al-Jamaah dan tidak patutlah mereka memulaukan mereka kerana kesilapan mereka. Sedang keilmuan mereka diiktiraf di seluruh dunia Islam yang mengenali ketokohan mereka. Maka, kesilapan mereka tersebut (tentang pentakwilan sifat-sifat Allah) tidak mengeluarkan mereka dari kalangan Ahl Sunnah Wal Jamaah. Jangan pula kita mengambil keseluruhan pegangan mereka sehingga kesilapan mereka juga diambil sebagai pegangan, inilah manhaj yang tidak benar dari kalangan segelintir puak-puak yang taksub dengan mereka. Oleh itu, berpeganglah dengan apa yang para ulama berpegang dengannya al-Quran dan Sunnah sesuai dengan pemahaman Salafus soleh. Wallahua'lam..

http://wahabiah.blogspot.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan