Rabu, 31 Oktober 2007

TUDUHAN DAN FITNAH TERHADAP WAHABI

Terlalu banyak fitnah-fitnah daripada kalangan mereka yang membenci wahabi (salafi) sedangkan tidak ada apa yang baru di bawa oleh mereka melainkan apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan juga Hadis-hadis. Tapi malangnya mereka (anti wahabi) tidak mahu pun merujuk Quran dan Hadis atau merujuk pandangan ulama-ulama salaf atau merujuk sendiri buku-buku Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang sudah pun dijawab beliau segala tuduhan-tuduhan ke atas diri beliau. Ini kerana Islam tidak suruh umatnya menerima terus khabar atau berita yang tidak diketahui sejauh mana kebenarannya tetapi hendaklah diteliti terlebih dahulu berita tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang Fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.[1]

Di kalangan anti-wahabi banyak membuat risalah-risalah untuk menyebarluaskan kesesatan puak wahabi. Malah saya sendiri telah menemui blog-blog dan lamanweb di internet yang mengumpul semua fitnah-fitnah mereka ini.[2] Antara tohmahan yang paling popular mereka ialah:

Muhammad bin Abdul Wahad berpegang dengan aqidah Ibn Taimiyyah iaitu fahaman Tajsim[3] atau Tasybih. Padahal yang sebenarnya fahaman Ibn Taimyyah tidaklah begitu. Kita lihat kata Ibn Taimyyah dalam kitabnya “Al-Aqidah Al-Wasitiyyah”:

“Maka ini adalah i’tiqad firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan dengan apa yang telah RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).
Bahkan, mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya, tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Ta’ala…”[4]
Jelas di sini I’tiqad Ibn Taimiyyah tidak mentajsimkan Allah sama sekali. Hendaklah difahami betul-betul Aqidah ahli Sunnah Wal Jamaah tentang sifat-sifat Allah sebelum berkata sesuatu terhadap seseorang. Mereka (anti-wahabi) secara melulu keluarkan kenyataan bahawa Muhammad bin Abdul Wahab dan Ibn Taimyyah sebagai Mujassimah sedangkan apa yang di bawa oleh mereka adalah merupakan apa yang di bawa oleh ulama-ulama salaf seperti imam Hanafi, Imam Syafi’ie, Imam maliki dan Imam Ahmad juga Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dalam kitabnya Al-Ibanah.
Abu Hanifah berkata: “Allah tidak boleh disifati dengan sifat-sifat makhluk; MurkaNya dan RedhaNya adalah dua sifat di antara sifat-sifatNya tanpa takyiif. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Dia Murka dan Dia Redha; Dan tidak boleh dikatakan MurkaNya itu adalah seksa-Nya, dan Redha-Nya itu Ganjaran-Nya. Kita mestilah mensifati-Nya sebagaimana Dia sendiri yang mensifati diri-Nya; Al Ahad, Al-Shamad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa lam yakun Lahuu Kufuan Ahad. Dia Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Tangan Allah di atas tangan mereka, Tangan-Nya tidak sebagaimana tangan-tangan makhluk-Nya, dan Wajah-Nya tidak sebagaimana wajah-wajah makhluk-Nya”. [Al-Fiqh al-Absat, Hal. 56][5]
Imam Ibnu Al Qayyim pula menyebut dalam kitab Ijtima’il Juyuusy Al Islamiah bahawa Imam Al Syafi’ie berkata: “Mengikut Sunnah yang aku berada di atas jalannya dan begitu juga aku melihat sahabat-sahabatku daripada kalangan Ahli Hadis yang aku mengambilnya daripada mereka seperti Sofyan dan Imam Malik dan lain-lain lagi, ialah: Ikrar (pengakuan) bahawa sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, dan sesungguhnya Allah adalah di atas `Arasy-Nya dilangit-Nya, Dia mendekati makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan Allah turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki”. [Ijtima’ al-Juyuiusy al-Islamiyah; Hal. 165][6]

Antara tuduhan-tuduhan ke atas wahabi lagi adalah seperti wahabi adalah mazhab baru, wahabi menolak ulama, wahabi menyamakan Allah dengan makhluk, wahabi mengingkari syafaat Nabi, wahabi mengkafirkan orang yang tak sefahaman dengan mereka, wahabi membuat keganasan terhadap kubur di baqi’, wahabi sesat dan sebagainya.

Sebagai contoh terakhir, mereka (anti-wahabi) berkata wahabi membuat keganasan terhadap kubur Baqi’ di Madinah[7]. Padahal mereka menyedari di sana kubur-kubur tersebut telah ditinggikan dan dibinakan masjid di atasnya. Sedangkan Nabi melarang kubur-kubur di tinggikan apatah lagi di binakan masjid di atasnya. Sebuat atsar yang sahih diriwayatkan daripada Abdullah bin Hasanah berkata:
“Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur”. Maka dikatakan kepadanya: “Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan”.[8]
“Dari Abi al-Hayyah al-Asadi berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Talib: Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya”.[9]
“Dari Anas berkata: Rasulullah telah memakruhkan (makruh di sini bermaksud haram) membina masjid di antara kuburan”.[10] Dan “Daripada Ibrahim an-Nakh’ie: sesungguhnya Nabi menegah orang yang mendirikan masjid di atas perkuburan”.[11] Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda: “Semoga Allah membinasakan Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid”[12].

________________
[1] Surah al-Hujraat ayat 6.
[2] Anda sendiri boleh lihat betapa kejamnya mereka menuduh ulama-ulama salafi dengan memberi fatwa-fatwa dan dalil-dalil yang tidak tepat untuk membuktikan kesalahan wahabi. Mereka juga gemar memotong fatwa-fatwa menjadikan pendapat ulama-ulama salafi adalah dipihak yang salah. Antara blog-blognya: ahlsunnah.overblog.com, bankwahabi.wordpress.com, dan abu-syafiq.blogspot.com.
[3] Iaitu menjisimkan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
[4] Rujuk -, Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Ibn Taimyyah, Tahqiq: Muhammad Ibn ‘Abd Al-’Aziz Ibn Mani’, Ar-Riasah Al-’Ammah Li Al-Ifta’, Riyadh, Arab Saudi, 1412H, Hal: 5-7. Dinukil daripada Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, hal 47.
[5] Dinukil daripada risalah ustaz Dr. Abdullah Yassin yang bertajuk Aqidah Imam Empat Adalah Satu. Risalah ini merupakan teks seminar 'Ahli Sunnah Wal Jamaah Arus Perdana', anjuran Gabungan Profesional Kelantan.
[6] Ibid.
[7] Terdapat satu risalah yang bertajuk “Keganasan wahabi di Jannatul Baqi”. Mereka menyesatkan wahabi tidak lain dan tidak bukan mereka ingin di teruskan amalan khurafat di kubur-kubur wali kononnya mereka ingin mendapat berkat dengan berdoa dan bertawassul terhadap kubur-kubur wali.
[8] Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Zar’ah dengan sanadnya yang sahih dari Abdullah dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam “al-Jarah wa at-Ta’dil” Jilid 3, hal 81-82.
[9] Hadis Riwayat Muslim (3/61), Abi Daud (3/70), An-Nasaii (1/128), at-Tirmizi (2/153-154), Al-Baihaqi (4/3), At-Tayalisi (1/168), Imam Ahmad (741), dan ada beberapa jalan pada Ibn Abi Syaibah dan at-Tabrani dalam as-Saghir hal 29.
[10] Riwayat Ibn Abi Syaibah (2/185)
[11] Riwayat Ibn Abi Syaibah (4/134)
[12] Riwayat Bukhari dan Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan