Rabu, 31 Oktober 2007

KENYATAAN-KENYATAAN YANG MENYOKONG MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB [1]

1. Kenyataan Putera Shakib Arsalan[2]
Dalam buku sejarah kontemporari Dunia Islam bertajuk “Hadhir al-‘Aalam al-Islami”, jilid 4, Putera Arsalan telah menulis: “Muhammad Ibn Abdul Wahab menuntut ilmu di Damsyik, Baghdad dan Basra. Dia memeluk prinsip-prinsip Hujjatul Islam yang juga dipegang oleh Ibn Taimiyyah, muridnya Ibn al-Qayyim serta juga Ibn ‘Urwah al-Hanbali serta lain-lain ulama Hanbali yang terkenal. Kemudian dia bercita-cita mengembalikan kemurnian Islam. Kerana itulah Wahabi menyebut mazhab mereka Aqidah as-Salaf.[3] Muhammad Ibn Abdul Wahab menolak pemujaan kepada wali, menziarahi kubur serta menyeru kepada selain Allah untuk pertolongan serta lain-lain amalan yang dilihat sebagai mensyirikkan Allah. Dia menegaskan pendapatnya dengan memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis yang berkaitan. Saya (Putera Shakib Arsalan) tidak percaya bahawa dia (Muhammad Ibn Abdul Wahab) menyeru lebih dari apa yang diseru oleh Ibn Taimiyyah.

2. Syeikh Muhammad Hamid al-Fiqqi[4]
Syeikh Muhammad Hammid al-Fiqqi, adalah pemimpin Jama’at Ansar as-Sunnah al-Muhammadiah dan merupakan salah seorang ulama Universiti al-Azhar. Dia menulis kata-kata berikut: “Sebutan Wahabi” ini diberi kepada Muhammad Ibn Abdul Wahab, Mujaddid dan Imam nagi kurun ke-12 Hijriyah. Walaubagaimana pun gelaran ini tidak betul. Mengikut penggunaan bahasa arab yang betul, ia sepatutnya digelar “Muhammadiyyah”, kerana yang mewujudkan dakwah itu adalah Muhammad bukan Abdul Wahab. Mereka (Ibn Abdul Wahab dan pengikutnya) mematuhi fatwa-fatwa yang kecil dalam mazhab Hanbali, seperti kebanyakkan pengikut lain-lain mazhab. Mereka tidak mendakwa, dalam kenyataan mahupun tulisan bahawa mereka membawa mazhab baru. Dia tidak mempertahankan apa yang tidak dipertahankan oleh salaf as-soleh. Malah, usaha dan jihadnya adalah menghidupkan semula amalan-amalan yang betul yang termaktub dalam agama. Dia menyeru manusia supaya kembali kepada apa yang telah ditetapkan dalam al-Quran berkaitan dengan Tauhid al-Uluhiyyah, mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dengan penuh kerendahan diri. Menumpukan doa, ikrar dan sumpah, yakin dan taat (kepada Allah sahaja), seperti mana yang Allah telah perintahkan. Berkaitan dengan Tauhid Asma wa as-Sifat, Ibn Abdul Wahab percaya kepada ayat-ayat dengan makna sepertimana yang disebut tanpa membuat sebarang takwilan dengan menyamakan dengan sifat-sifat makhluk, atau memberi sifat-sifat tertentu. Dia beriman dengan Sifat-sifat dan Nama-nama Allah dengan makna yang jelas sepertimana yang tertulis dalam bahasa arab serta bagaimana dijelaskan oleh riwayat-riwayat yang dipetik dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.

3. Syeikh Muhammad Abdah[5]
Berkata Hafidh Wahbeh dalam bukunya bertajuk “50 Tahun di semenanjung Arab” dia mendengar Imam Muhammad Abdah, bekas Mufti Mesir, memuji Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab semasa dia mengajar di kelas-kelasnya di Azhar. Muhammad Abdah menggelar Muhammad Ibn Abdul Wahab sebagai “pembaharu yang Hebat”. Dia juga menyalahkan pihak Turki dan Muhammad Ali Pasha, yang berasal dari Albania kerana menghalang usaha reformasi yang dibawa oleh dakwah Imam Muhammad Ibn Abdul Wahab. Dia (Muhammad Abdah) berkata mereka lakukan itu kerana kejahilan serta ingin mengambil hati ulama-ulama pada masa itu, yang mengikut amalan-amalan generasi yang terdahulu yang menggalakkan bid’ah, kepercayaan dan penentangan terhadap ajaran Islam sebenar.[6]

4. Ahmad Ameen
Beliau seorang ulama mesir yang terkenal dan juga penulis buku yang popular “Zu’amaa al-Islah al-Islami” yang bermaksud Pemimpin-pemimpin pergarakan Islam. Dia menulis kata-kata berikut dalam bab berkaitan dengan Najd: “semasa di Hijjaz dan perjalanannya ke beberapa tempat di dunia Islam, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab sedar bahawa Tauhid, prinsip asas dalam Islam telah hampir hilang dan tercemar. Intipati Tauhid adalah terletak pada iktikad bahawa hanya Allah satu-satunya Pencipta serta kuasa yang mengawal seluruh alam. Maha suci Allah yang tidak memerlukan pertolongan. Itulah intipati “Laa Ilaaha Illallah”. Sehubungan dengan itu, tiada sesuatupun kecuali Allah yang berhak disembah atau dipandang suci. Itulah intipati Tauhid seperti yang terdapat dalam al-Quran.

Apa yang berlaku di dalam dunia Islam hari ini adalah mereka telah terpisah dari Tauhid yang bersih ini. Mereka telah mengotorinya dengan mencampuri Allah dengan makhluk-Nya. Terdapat kubur-kubur Auliya (orang-orang Alim) menjadi tempat diziarahi untuk beribadat. Terdapat makam-makam di seluruh dunia Islam di mana manusia menziarahi dengan tujuan memohon pertolongan dan menghapus dosa. Setiap bandar mempunyai Wali atau Auliyanya. Setiap kawasan ada “makam” yang dianggap mempunyai kuasa menghalang keburukan dan boleh memberi kebaikan. Keadaan sebegini ibarat Allah seperti raja di mana terdapat pegawai-pegawai-Nya yang manusia merayu pertolongan supaya menyampaikan hasrat mereka kepada Allah, supaya Allah akan mengubah apa yang Allah telah tetapkan. Bukankah ini juga amalan yang dilakukan oleh kaum Musyrik Mekkah dizaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam?

Malangnya, orang-orang Muslim tidak berhenti di situ. Mereka juga menyamakan pokok-pokok dan objek-objek yang mati sama dengan Allah. Penduduk Manfu’ah dalam Yamamah, percaya pada sebatang pokok, kononnya mempunyai kuasa. Jika perempuan-perempuan yang belum kahwin ziarah ke pokok tersebut dan meminta kepada pokok itu, mereka akan berkahwin pada tahun itu. Juga terdapat sebuah gua di Dir’iyah di mana manusia ziarah untuk mendapat rahmat. Dalam setiap daerah Islam akan terdapat sesuatu yang seperti itu, seperti “pokok Hanafi” di mesir, “kasut Slippers” di kalshani dan “pintu pagar” di Mitwalli.

Bagaimanakah Tauhid boleh kekal suci dengan amalan-amalan kurafat dan syirik seperti ini. Sebenarnya ia telah membawa manusia jauh dari Allah yang maha Esa. Amalan-amalan seperti ini telah membawa kehinaan dan malu pada hati dan kemudian dipenuhi pula dengan kepercayaan-kepercayaan dan khurafat. Seterusnya hati telah kehilangan asas Tauhid dan saluran kemuliaan. Pemikiran Muhammad Ibn Abdul Wahab sentiasa memikir dan menilai Tauhid yang sempurna yang bebas dari unsur-unsur syirik yang tersebut di atas, serta menghidupkan kembali syari’at dengan merujuk hanya kepada al-Quran dan Sunnah.[7]

5. Sayyid Muhammad Rasyid Ridha
Ulama Sunnah dari Syria yang terkenal, Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata: “Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab an-Najdi adalah salah seorang ulama Mujahiddun. Dia menyeru membersihkan Tauhid dan menyembah hanya allah sahaja dengan penuh keikhlasan, sepertimana yang Allah telah perintahkan dalam kitabNya dan kata-kata RasulNya. Ibn Abdul Wahab menyeru supaya menjauhi bid’ah, dosa dan mengembalikan amalan-amalan Islam yang telah ditinggalkan. Dia menyeru supaya menghormati dan meninggikan Islam yang telah dicabul dan dihina. Walaubagaimana pun, tiga kuasa yang terdiri dari kuasa pemerintah, kuasa ulama-ulama suq yang menentang Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab. Senjata yang terbaik yang mereka gunakan terhadap Muhammad Ibn Abdul Wahab adalah meyebarkan bahawa Muhammad Ibn Abdul Wahab adalah Bedouin padang pasir, iaitu golongan yang lebih buruk dari orang-orang jahiliyyah dahulu.[8]

Demikianlah beberapa contoh kenyataan-kenyataan yang menyokong dakwah Muhammad bin Abdul Wahab yang dapat saya kemukakan. Antara yang menyokong juga adalah Ahmad Husain (pelupor Hizb Misr al-Fatah), Ameen Sa’id (Bukunya “Siirah al-Imam asy-Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab”), Abdul Muta’al as-Sa’idi, Dr. Muhammad Abdullah Madhi (Bukunya “Hadhir al-Alam al-Islami”), Syeikh Sayyid Mahmud Syukri al-Alusi (seorang ulama terkenal Iraq), Dr. Taha Husain (Seorang pakar Bahasa Arab yang terkenal serta juga seorang penulis Mesir), Khayr ad-Din az-Zirikli (Dikenali sebagai Az-Zarakli), Muhammad Dhiyaa ad-Deen ar-Rayyis (Professor sejarah Islam di Universiti Fuad al-Awwal), Abdul karim al-Khatib, Syeikh Muhammad Basyir as-Sahsawani (Dari India, bukunya bertajuk “Siyanat al-Insan An-Waswasati Dahlan”), Syeikh Ali Tantawi, Abdul Rahman al-Jabarti (penulis dan ahli sejarah yang terkenal), dan Syeikh Mas’ud an-Nadawi. Semua kenyataan-keyataan mereka ini terdapat dalam buku Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub halaman 473-504.

Pandangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata di dalam kitabnya “Fiqh Al-Aulawiyyat”: “Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab memberi keutamaan dan tumpuan di dalam bidang Aqidah. Beliau memberi tumpuan utama terhadap penjagaan tauhid daripada sebarang perlakuan syirik terhadap Allah Subhanahu wa ta’ala dan juga berusaha membanteras semuajenis khurafat yang berlaku di sekitar dan pada zaman beliau. Beliau komited dan istiqamah di dalam memastikan dakwahnya berjalan seiring dengan perbuatan dan perilaku di dalam memusnahkan segala bentuk perlakuan syirik dan khurafat. Sehinggalah beliau banyak menulis kitab-kitab dan surat-surat di dalam menjelaskan manhajnya”.[9]

Dalam kitab Thaqafah Ad-Da’iyyaha, Muassasah Ar-Risalah cetakan pertama 1417H, halaman 107, Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengingatkan semua umat islam supaya memberi perhatian dan tumpuan kepada gerakan dan pejuang-pejuang pengislahan dan pentajdidan di dalam sejarah Islam. Mereka muncul bukan kerana ingin membuat pembaharuan terhadap Islam tetapi datang untuk membetulkan salah faham Umat Islam terhadap Islam. Antara para mujtahid ini ialah khalifah Umar bin Abdul Aziz, Nuruddin dan Sultan Salahuddin dan juga faqih-faqih seperti Imam Syafie, Imam Ghazali, Ibn Taimiyyah dan juga Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ada di antara mereka bergerak secara sendirian dan ada juga secara jemaah. Mereka bersungguh-sungguh di dalam membetulkan umat Islam keseluruhan dengan kaedah-kaedah dan cara-cara tertentu. Dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyifatkan Syeikh Muhammad Abdul wahhab dalam kitabnya “Hakikat At-Tauhid” sebagai “Syeikhul Islam”.[10]

______________
[1] Rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub, hal 473-504.
[2] Seorang penulis yang terkenal dan juga seorang ahli sejarah. Rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub, hal 473. Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 22.
[3] Aqidah as-Salaf atau Manhaj as-Salaf iaitu berkaitan dengan kaedah yang diikuti oleh tiga generasi Islam yang mempertahankan islam, Aqidahnya dan syari’atnya dengan berasaskan bukti-bukti sahih.
[4] Rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub, hal 478. Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 22.
[5] Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 23.
[6] Al-Butami, hal 159, Imam Ibn Baz menulis dalam pengenalan dan komen dalam buku Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life and The Essence of His Call.
[7] Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab, oleh Qadhi Ahamad Ibn Hajar al-Butami, hal 159. Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 25.
[8] Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 26.
[9] Dinukil daripada kertas kerja Seminar Antarabangsa Mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab bertajuk “Jawapan kepada tohmahan-tohmahan terhadap Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab”, Syeikh Ihsan bin Muhammad bin ‘Ayish Al-‘Utaybi, hal 20.
[10] Ibid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan