Ahad, 25 Julai 2010

WAHHABI DAN KERUNTUHAN KERAJAAN ISLAM TURKI UHTMANIYAH

Oleh: Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah

Menerusi salah satu risalah beliau yang berjudul Usah Terpesona Tajdid Segera Wahabi: Mula abad ke-18 Wahabi menentang ulil amri sehingga musnah kerajaan Islam Uhtmaniah (Berita Minggu, Ahad 20 Disember 2009, ms. 30), Muhammad Uthman El-Muhammady menulis:

Berbanding tajdid Ahli Sunnah kita boleh sebutkan tajdid segera Wahabi bermula dari abad ke-18 itu. Antara yang berlaku ialah tuduhan umat Islam melakukan kesyirikan dan bidaah, lalu atas nama mengembalikan sunnah dan memerangi bidaah, berlaku penentang terhadap ulil amri waktu itu iaitu kerajaan Uthmaniah Turki yang berabad mempertahankan Islam yang sedang dimusuhi Barat. Apabila ia dilemahkan dari dalam oleh usaha golongan itu atas nama menegakkan tauhid dan sunnah, akhirnya ia lemah dari dalam, apalagi golongan itu bermuafakat dengan British dan Perancis seperti tercatat dalam ‘Unwan al-Majdi, akhirnya jatuhlah khalifah itu dengan Kamal Attarturk memberi pukulan maut ke atasnya.

Sebenarnya isu yang dibangkitkan oleh Muhammad Uthmaniyah El-Muhammady di dalam kenyataannya di atas bukanlah satu isu yang baru. Malah isu ini juga pernah disuarakan oleh beliau sejak beberapa tahun yang lalu iaitu di dalam Mingguan Malaysia, 27 November, 2005.

Bagi menjawab semula fitnah yang dilontarkan oleh beliau ini, ada baik kiranya kita meneliti sebuah risalah yang penulis nukil daripada buku berjudul Aliran Dakwah di Malaysia: Satu Titik Pertemuan karya saudara Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah (terbitan Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2007), ms. 336 di bawah ini:

Suatu tuduhan yang tidak pernah putus diperkatakan ialah bahawa, golongan Wahhabiah yang menjadi punca kejatuhan khilafah Turki Uthmani. Tuduhan palsu yang tidak berasaskan fakta sejarah ini perlu diperbetulkan, apalagi kerana ia turut dibangkitkan oleh Ustaz Muhd. Uhtman El-Muhammady. Menurutnya, fahaman Wahhabi itu sendiri berkembang luas sehingga menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyah di Turki (Mingguan Malaysia, 27 Nov. 2005). Sesiapa yang meneliti sejarah Asia Barat secara saksama, nescaya akan mendapati bahawa kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah tidak ada kaitan sama sekali dengan peranan Saudi-Wahhabi. Untuk memahami peranannya, elok ditinjau latar belakang tanah Hijaz (Makkah-Madinah) terlebih dahulu.

Dengan tamatnya era Khulafa’ al-Rasyidin (661M), maka lenyaplah juga kepentingan Hijaz (Makkah-Madinah) sebagai pusat pemerintahan dan tamadun Islam. Dengan kenaikan kerajaan Bani Umayyah (661-750M) yang berpusat di Syam atau Damsyik, timbul pemberontakan oleh ‘Abdullah bin Zubair di Hijaz pada zaman Abdul Malik bin Marwan (685-705M), dan juga pemberontakan Khawarij dan penduduk Hijaz pada zaman Marwan bin Muhammad (744-750M).

Pada zaman kerajaan Bani Abbasiah (750-1258M) yang berpusat di Baghdad, golongan Syiah Alawiyah menjadikan kota Hijaz sebagai pusat penentangan mereka terhadap kerajaan ini. Inilah era pertama sejarah golongan Alawiyah, iaitu era pemberontakan Syiah Alawiyah di Hijaz. Antara para pemberontak tersebut ialah:

1. Muhammad bin Abdullah (“al-Nafs al-Zakiyah”) bin al-Hassan bin al-Hussain bin Ali bin Abi Talib, yang melancarkan pemberontakannya pada zaman Khalifah Abu Ja’far al-Mansur pada tahun 145H/761M. Kerana tewas, saudaranya Ibrahim bin Abdullah meneruskan pemberontakannya di Basrah, Iraq.

2. Al-Hussain bin Ali bin al-Hassan bin Ali bin Abi Talib, yang dibaiat sebagai khalifah di Madinah oleh golongan Alawiyah, dan bangkit memberontak terhadap Khalifah al-Hadi pada tahun 169H.

3. Muhammad (al-Dibaj) bin Jaafar al-Sadiq, yang dilantik sebagai khalifah oleh golongan Alawiyah pada zaman Khalifah al-Makmun (813-833M). Walau pun tewas, tetapi Khalifah al-Makmun telah mengampunkannya.

4. Serangan golongan Qaramitah (Syiah Batiniyah) dari Bahrain terhadap pemerintah Bani Abbasiah di Makkah pada 929M. Mereka telah membunuh lebih kurang 30, 000 jamaah haji serta merampas Hajar Aswad lalu dibawa ke Bahrain, sebelum dipulangkan 22 tahun kemudian.

5. Penguasaan Bani al-Ukhairdhir (Syiah Zaidiyah) secara autonomi di Hijaz pada 335-350H, setelah memisahkan diri daripada Bani Abbasiah.

Demikianlah sejak pemberontakan “al-Nafs al-Zakiyah” hingga serangan puak Qaramitah, telah terjadi tidak kurang daripada tujuh puluh kali pemberontakan Alawiyah atau Syiah di Makkah. Selepas era pemberontakan Syiah Alawiyah, muncullah era kedua, iaitu era pemerintahan mereka sendiri di Hijaz yang disebut “Nizam al-Asyraf” atau sistem pemerintahan para Syarif, yang bermazhab Syiah yang bermula sejak tahun 928M hingga tahun 1924M. Bagaimanapun ia bukanlah mutlak (de facto) di bawah kuasa mereka, tetapi lebih banyak dipengaruhi oleh kerajaan-kerajaan luar yang lebih kuat. Para penguasa luar yang turut mencaturi zaman “Nizam al-Asyraf” ialah seperti berikut:

1. Penguasaan Mesir (Fatimiyah, Ayyubiyah, Mamluk).

2. Penguasaan Turki Uthmaniyah (1517-1803M).

3. Penguasaan Saudi-Wahhabi (1803-1813M) yang berpusat di Dar’iyah.

4. Penguasaan Muhammad Ali Pasya (1813-1841M) dari Mesir.

5. Penguasaan Turki Uthmaniyah (1841-1916M).

Tetapi mulai tahun 1916, Syarif Hussain bin Ali (1908-1924) lalu mengisytiharkan kemerdekaan Hijaz daripada penguasaan Turki, dengan membentuk sistem monarki (Nizam al-Mamlakah). Bagaimanapun dengan kebangkitan semula gerakan Saudi-Wahhabi, akhirnya pemerintahan Syarif Hussain jatuh pada tahun 1924, dan digantikan oleh kerajaan Saudi-Wahhabi 1925.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan Ustaz Muhd. Uthman El-Muhammady bahawa fahaman Wahhabilah yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Turki Uthmani? Sesiapa yang meneliti sejarah hubungan mereka secara saksama, nescaya akan mendapati bahawa, golongan Saudi-Wahhabi sentiasa menghormati serta setia kepada Khilafah Uthmaniyah, dan kejatuhan Khilafah Islam ini pula tidak ada kaitannya sama sekali dengan golongan Wahhabi.

Pertama-tama sekali tentang sikap politik Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, menurut Dr. Ajil Jasim al-Nasymi dalam tulisannya “Pemerintahan Khilafah dan Gerakan Wahhabiyah,” dalam kitab-kitabnya (Muhammad bin Abdul Wahab) tidak ada yang menegaskan permusuhannya terhadap pemerintahan khilafah. Tumpuan beliau hanya kepada usaha dakwah, nasihat, atau menentang kemungkaran-kemungkaran (syirik dan bid’ah).

Dari segi bukti sejarah misalnya, ketika Amir Saudi bin Abdul Aziz berjaya menguasai Makkah pada tahun 1803 dalam era “Nizam al-Asyraf”, dia mengutus surat kepada Sultan Salim III di Turki menyatakan pengakuannya sebagai sultan. Malah, ketika Amir Saudi digantikan oleh puteranya, Abdullah, dia juga mendukung khilafah Islam dengan menyatakan kesetiaannya kepada Sultan Uhtmani.

Bukan sahaja pada zaman “Nizam al-Asyraf”, malah ketika golongan Saudi-Wahhabi berkuasa penuh di Hijaz yang bermula pada tahun 1925 itu pun, mereka masih mengakui kekhilafahan Uthmaniyah. Contoh terbaik ialah tindakan Malik Abdul Aziz bin Abdul Rahman (1932-1953) yang telah mengutus surat kepada Sultan Abdul Hamid II (1876-1909), dengan mengakui kedaulatannya dan kesetiannya kepada khalifah Turki.

Jelaslah bahawa, golongan Saudi-Wahhabi bukannya memusuhi bahkan mengakui kedaulatan dan menunjukkan kesetiannya kepada khalifah Uthmaniyah. Sebenarnya mereka yang menentang khalifah Turki yang bermazhab sunni (hanafi) itu ialah, para pemerintah Asyraf (syarif-syarif) Makkah sendiri yang bermazhab Syiah. Contohnya ialah percubaan Syarif Ghalib yang memerintah Makkah bagi pihak Sultan Uthmaniyah yang merancang untuk membebaskan dirinya daripada penguasaan Istanbul. Tetapi sebelum sempat bertindak, ia dicabar oleh golongan Wahhabi yang kemudiannya berjaya menguasai Makkah sepanjang tahun 1803-1813. Malah, yang lebih penting lagi ialah tindakan Syarif Hussain yang sanggup berkerjasama dengan wakil British, T.E Lawrence, untuk melancarkan “Pemberontakan Arab” pada tahun 1916 menentang Sultan Abdul Hamid II di Turki.

Tidak cukup setakat itu, projek mega landasan keretapi oleh Sultan Abdul Hamid II di antara Damsyik dengan Makkah itu bukan sahaja telah disekat oleh Syarif Hussain bin Ali setakat di Madinah sahaja, malah landasan yang sudah berjaya dibangunkan di Madinah itupun kemudiannya diletupkan oleh pihak Inggeris dengan kerjasama Faisal bin Hussain bin Ali. Padahal, biaya untuk projek mega ini datangnya daripada sumbangan derma Dunia Islam, dan tujuan didirikan itupun adalah untuk mendaulatkan gagasan pan-Islamisme atau Penyatuan Dunia Islam.

Jika dari segi pertama sudah jelas bahawa, golongan Saudi-Wahhabi menunjukkan kesetiaan kepada khilafah Uthmaniyah, maka persoalannya bolehkah ia didakwa sebagai punca yang membawa kejatuhan khilafah ini? Jelasnya, adakah kejatuhan Turki Uthmani yang kemudiannya digantikan oleh kerajaan sekular pemimpin tokoh Yahudi Dunama yang bernama Mustafa Kemal pada tahun 1925 itu berlaku kerana golongan Saudi-Wahhabi?

Pada hakikatnya, sebab-sebab kejatuhan Turki Uthmani dapat disimpulkan kepada tiga faktor besar, iaitu:

1. Keruntuhan akhlak para pemerintah.

2. Gerakan Yahudi Freemason.

3. Kerajaan Kristian Eropah.

Di antara ketiga-tiga faktor besar ini, faktor utamalah yang paling dominan. Memang pada peringkat awalnya, khilafah Uthmaniyah dikuasai oleh sultan-sultan yang berwibawa besar dan mempunyai komitmen dengan manhaj al-Sunnah dalam perjalanan dakwah dan jihadnya. Tetapi pada peringkat kemudiannya, muncullah para penguasa yang menjauh daripada syariat Allah, terlalu menjaga hati rakyat bukan Islam tetapi zalim ke atas umat Islam. Mereka hidup mewah, berpoya-poya dan tenggelam dalam syahwat Kalau pun benar tuduhan bahawa, golongan Saudi-Wahhabi menentang khilafah Uthmaniyah dengan cara membebaskan Hijaz daripada penguasaan Uthmaniyah, maka golongan Saudi-Wahhabi bukanlah satu-satunya pihak yang berbuat demikian. Selain di Hijaz, di sana-sini timbul gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan seperti berikut:

1. Di Mesir – Gerakan Ali Bek al-Kabir, kemudian gerakan Muhammad Ali.

2. Palestin – Gerakan pemimpin penduduk tempatan Zahir Umar.

3. Di Lebanon – Gerakan Fakhrudin Ma’ni, kemudian gerakan orang-orang Syihabiyah.

4. Di Iraq – Gerakan raja-raja Pasya, puncaknya adalah Sulaiman Pasya (Abu Laila).

5. Di Yaman – Gerakan al-Zaidiyah.

6. Di Afrika – Gerakan Sanusiyah.

Dengan menyingkap tabir sejarah hubungan Saudi-Wahhabi dengan khilafah Turki Uthmaniyah serta faktor-faktor kejatuhan Khilafah Islam hendaknya tidaklah timbul lagi sebarang tuduhan bahawa, golongan Wahhabilah yang menjadi punca kejatuhan Khalifah Islam di Turki tersebut. hendaknya kita menjadi golongan ‘celik sejarah’ bukannya ‘buta sejarah’ sehingga timbul tuduhan yang melulu dan tidak berasaskan kepada fakta-fakta sejarah yang sebenar, sebaliknya berasaskan emosi semata-mata.

(Dinukil dari lampiran buku "Siapakah Pengikut Imam Al-Syafie dan Mazhab Syafie yang Sebenar?" Dikarang oleh Mohd Hairi Bin Nonchi dan Mohd Yaakub Bin Mohd Yunus, Jahabersa, ms. 311-321)

Isnin, 19 Julai 2010

Senarai Nama Yang Menjadi Saksi Atas Kebenaran Dakwah Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab

Senarai kesaksian ini saya nukilkan dari kitab "Al-Islamiyah La Wahabiyah" karya Prof. Dr. Nasir bin Abdul Karim Al-'Aql. Senarai ini sengaja tidak dimasukkan nama-nama ulama dari Arab Saudi  dan dari Najd kerana Syeikh juga berasal dari sana.

Dari kalangan ulama, pemikir dan pendidik Arab:

  1. Abu As-Samah Abdul Zahir Al-Misri (Mesir)
  2. Ahmad Amin (Mesir)
  3. Ahmad Al-'Issat
  4. Ahmad Husain (Mesir)
  5. Ahmad Syilbi (Mesir)
  6. Amin Sa'id (Syam)
  7. Hafiz Wahbah (Mesir)
  8. Husain bin Mahdi An-Nu'aimi (Yaman)
  9. Salih bin Dahil Al-Jarullah (Iraq)
  10. Taha Husain (Mesir)
  11. Abdurrahman Al-Jabrati (Mesir)
  12. Abdurrazzaq Al-Bithar (Syam)
  13. Abdul Fattah Al-Ghanimi (Yaman)
  14. Abu Ras AN-Nasir Al-Maghribi (Maroko)
  15. Ahmad As-Sibai'i (Hijaz)
  16. Ahmad bin Musyrif Al-Ahsa`i (Bahrain)
  17. Ahmad Said Al-Baghdadi (Iraq)
  18. Ahmad Abdul Ghafur 'Aththar (Hijaz)
  19. Jamaluddin Al-Qasimi (Syam)
  20. Husain bin Ghannam Al-Ahsa`i (Bahrain)
  21. Khairuddin Az-Zarkali (Syam)
  22. Tahir Al-Jazairi (Syam)
  23. Abbas Mahmud Al-Aqqad (Mesir)
  24. Abdurrahman Ratib 'Umairah (Mesir)
  25. Abdurrahim Abdurrahman Abdurrahim
  26. Abdul Aziz bin Abdullah Asy-Syawi (Iraq)
  27. Abdul Karim Al-Khatib (Mesir)
  28. Abdul Muta'al Ash-Sha'idi (Mesir)
  29. Ali As-Suwaidi (Iraq)
  30. Ali Abdul Halim Mahmud (Mesir)
  31. Al-Ghazali Khalil Abd (Mesir)
  32. Fuad Hamzah
  33. Muhammad Abu Zahrah (Mesir)
  34. Muhammad Ibnu Ismail Ash-Shan'ani (Yaman)
  35. Muhammad Ibnu Ali Asy-Syaukani (Yaman)
  36. Muhammad Bahjah Al-Atsari (Iraq)
  37. Muhammad Jamil Baihum (Iraq)
  38. Muhammad Hamid Al-Faqi (Mesir)
  39. Muhammad Rasyid Ridha (Syam dan Mesir)
  40. Muhammad Dhiya`uddin Ar-Rais (Iraq)
  41. Muhammad Abduh (Mesir)
  42. Muhammad Fathi Utsman (Mesir)
  43. Muhammad Muhammad Husain (Mesir)
  44. Muhammad Syukri Al-Alusi (Iraq)
  45. Muhammad Kamil Dhahir
  46. Musthafa Al-Hafnawi
  47. Munir Al-Ajlani (Syam)
  48. Abdul Qadir At-Talmasani
  49. Abdul Karim bin Fahruddin Al-Hindi (India)
  50. Utsman Al-Basri Al-Wa`ili (Iraq)
  51. Ali Thantawi (Syam)
  52. Umar Abu An-Nasir (Mesir)
  53. Muhibuddin Al-Khatib (Mesir)
  54. Muhammad bin Ahmad Al-Khafzhi (Yaman)
  55. Muhammad bin Ali As-Sanusi (Hijaz)
  56. Muhammad bin Nasir Asy-Syarif At-Tuhami (Hijaz)
  57. Muhammad Taqiyuddin Al-Hilali (Maroko)
  58. Muhammad Jalal Kisyik
  59. Muhammad Jamil Gazi (Mesir)
  60. Muhammad Khalil Harras (Mesir)
  61. Muhammad Syawil Al-Madani
  62. Muhammad Abdullah Madhi (Iraq)
  63. Muhammad Abduh Nasir (Yaman)
  64. Muhammad Kamil Al-Qashshab (Syam)
  65. Muhammad Nasiruddin Al-Albani (Syam)
  66. Mahmud Mahdi Al-Istanbuli (Syam)
  67. Manna' Al-Qaththan (Mesir)
  68. Wahbah Az-Zuhaili (Syam)

 Dari kalangan intelektual dan pendidik bukan Arab:

  1. Al-Amir Syakib Arsalan (Syam)
  2. Asy-Syah Waliyullah Ad-Dahlawi Shadiq Khan (India)
  3. Imran bin Ali bin Rdhwan Al-Farisi
  4. Muhammad Iqbal (India)
  5. Jaudat Basya Turki (Turki)
  6. Utsman bin Faudi Al-Afriqi (Afrika)
  7. Ghulam Rasul Mahar (India)
  8. Muhammad Basyir As-Sahsawani Al-Hindi (India)
  9. Muhammad Kurd Ali (Syam)
  10. Mas'ud An-Nadawi (India)
  11. Muhammad Yusuf (India)
  12. Manah Harun (India)

Dari kalangan intelektual dan pendidik bukan muslim (*):

  1. Dekwibert Von Mikos (Sejarawan Jerman)
  2. Carl Brockelmann (Orientalis Jerman)
  3. Ignas Goldziher (Orientalis)
  4. Prof. Albert Hourani
  5. Philip K. Hitty
  6. Manjan (Sejarawan Perancis)
  7. Kriestel Naibuhar (Orientalis Denmark)
  8. Bernard Lewis (Profesor Perancis)
  9. Jawaharlal Nehru
  10. Burchardt (Antropolog Swiss)
  11. Brownjis
  12. Hendry Louis
  13. Laudrup Stodard
  14. Wilfred Cantola
  15. Gibb (Orientalis Jerman)
  16. Dairah Al-Ma'arif (Britania)
  17. Prof. W. Frank (Penulis Jerman)
  18. Boulgraff
  19. Olivia Kouranz (Penulis Perancis)
  20. Vladimir Lautaks (Sejarawan Soviet)
  21. Becky Daozi
  22. William
  23. Badeea
  24. Rousseau
(*) Prof. Dr. Nasir bin Abdul Karim Al-Aql berkata: "Perlu diperhatikan bahawa sebahagian mereka meskipun mengakui keutamaan dakwah ini, namun tidak terlepas pendapat-pendapat mereka yang tidak baik dan hukum-hukumnya cacat."

Ahad, 11 Julai 2010

Meluruskan Pemahaman Keliru Tentang Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahhab

Penulis: Syeikh Sholeh bin Abdul Aziz As-Sindi

Semenjak berlalunya tahun-tahun yang panjang, dalam kurun waktu yang lama, kontroversi tentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah dan dakwahnya masih terus berjalan. Antara yang mendokong dan yang menentang, atau yang menuduh dan yang membela.

Yang perlu diperhatikan mengenai ucapan orang-orang yang menentang Syeikh yang melontarkan kepada beliau dengan pelbagai tuduhan, bahawa perkataan mereka tidak disertai dengan bukti. Apa yang mereka tuduh tidak mempunyai sebarang bukti dari perkataan Syaekh, atau didasarkan pada apa yang telah ditulis dalam kitabnya, tapi hanya sekadar tuduhan yang dilontarkan oleh pendahulu, kemudian diikuti oleh orang setelahnya.

Saya yakin tidak ada seorangpun yang berfikir objektif kecuali dia mengakui bahawa cara terbaik untuk mengetahui fakta yang sebenarnya adalah dengan melihat kepada yang bersangkutan, kemudian mengambil informasi langsung dari apa yang telah disampaikannya.

Kitab-kitab Syeikh dapat kita temui, perkataan-perkataannya pun masih lagi terjaga. Dengan mengacu kepada itu semua akan terbukti apakah isu-isu tersebut benar atau salah. Adapun tuduhan-tuduhan yang tidak disertai dengan bukti hanyalah fatamorgana yang tak ada kenyataanya.

Dalam lembaran-lembaran ini, berisi catatan-catatan ringan perkataan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dengan amanah dinukil dari kitab-kitabnya yang sah. Saya telah mengumpulkannya dan yang dapat saya lakukan hanyalah sekadar menyusun.

Catatan berisi jawaban-jawaban terus dari Syeikh terhadap tuduhan-tuduhan kepada beliau yang dilancarkan oleh para penentangnya. Dengan jelas ditepisnya segala apa yang dituduhkan. Saya yakin -dengan taufiq dari Allah- hal itu cukup untuk menjelaskan kebenaran bagi siapa yang benar-benar mencarinya.

Adapun yang membangkang terhadap Syeikh dan dakwahnya, senang menyebarkan kedustaaan dan kebohongan, perlu saya katakan kepada mereka: kasihanilah dirimu sesungguhnya kebenaran akan jelas, agama Allah akan menang dan matahari yang bersinar terang tidak akan dapat ditutupi dengan telapak tangan.

Inilah perkataan Syeikh menjawab tuduhan-tuduhan tersebut, kalau anda mendapati perkataan Syeikh yang mendustakannya maka tampakkan dan datangkanlah jangan anda sembunyikan…..! Namun kalau tidak -dan anda tidak akan mendapatkannya- maka saya menasihati anda dengan satu perkara  hendaklah anda menghadapkan diri kepada Allah dengan membuang segala hawa nafsu dan fanatisme, meminta kepada-Nya untuk memperlihatkan al-haq (kebenaran) dan membimbingmu kepadanya, kemudian anda fikirkan apa yang telah dikatakan oleh orang ini (Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab), apakah dia membawa sesuatu yang bukan dari firman Allah dan sabda Rasul-Nya Salallahu ‘Alaihi Wasallam.

Lalu fikirkan sekali lagi: apakah ada jalan keselamatan selain perkataan yang benar dan membenarkan al-haq. Bila telah tampak bagi anda kebenaran maka kembalilah kepada akal yang sihat, menujulah kepada al-haq, sesungguhnya hal itu lebih baik daripada terus menerus berada dalam kebatilan, hanya kepada Allah sahaja segala perkara dikembalikan.

HAKIKAT DAKWAH SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB

Sebagai permulaan pembahasan kita akan lebih baik kalau kita menukil beberapa perkataan ringkas Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah dalam menjelaskan apa yang beliau dakwahkan, jauh dari awan gelap propaganda yang dilancarkan para penentangnya yang mereka menghalangi kebanyakan manusia agar jauh dari dakwah tersebut. Beliau mengatakan:

"Aku katakan -hanya bagi Allah segala puji dan kurnia dan dengan Allah segala kekuatan- : sesungguhnya Tuhanku telah menunjukkanku ke jalan yang lurus, agama lurus agama Ibrahim yang hanif dan dia tidak termasuk orang-orang musyrik. Dan aku –Alhamdulillah-, tidak mengajak kepada mazhab salah seorang sufi, ahli fekah, filosof, atau salah satu imam-imam yang aku muliakan…..
Aku hanya mengajak kepada Allah Yang tiada sekutu bagi-Nya, aku mengajak kepada sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang baginda menasihatkan umatnya dari yang awal sampai yang akhir untuk selalu mengikutinya. Aku berharap semoga aku tidak menolak segala kebenaran apabila telah sampai kepadaku, bahkan aku persaksikan kepada Allah, para malaikat dan semua makhluk-Nya, siapapun diantara kamu yang menyampaikan kebenaran kepadaku, pasti akan aku terima dengan sepenuh hati, dan aku akan memukulkan ke tembok setiap perkataan para imamku yang bertentangan dengan kebenaran, kecuali Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kerana baginda tidak mengatakan kecuali kebenaran."(Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 37-38).
"Dan aku -segala puji hanya milik Allah-, hanyalah mengikuti, bukan mengada-ada." (Mu’allafat Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, jilid 5, hal 36).
"Gambaran mengenai permasalahan yang sebenarnya adalah aku katakan : tidak ada yang boleh ditujukan doa kecuali Allah sahaja yang tiada sekutu bagi-Nya, sebagaimana Allah berfirman (maksudnya): "Maka janganlah kamu berdoa kepada seorangpun bersamaan dengan Allah" (Al Jin: 18).

Allah juga berfirman berkaitan dengan hak Nabi-Nya (maksudnya): Katakanlah: "Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan pun kepadamu dan tidak (pula) sesuatu kemanfaatan" (Al Jin: 21)


Demikianlah firman Allah dan apa yang disampaikan dan diwasiatkan Rasulullah kepada kita, ….. inilah antaraku denganmu, kalau ada yang menyebutkan tentangku di luar daripada itu, maka itu adalah dusta dan kebohongan". (Ad-Durarus Saniyyah, 1/90-91).

Masalah Pertama: IKTIQAD BELIAU TENTANG NABI

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab difitnah para musuhnya dengan berbagai tuduhan keji berkaitan dengan iktiqadnya terhadap Nabi, tuduhan itu berupa :

Pertama: Beliau tidak menyakini bahawa Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam adalah penutup sekalian Nabi.

Dikatakan demikian, padahal semua kitab-kitab beliau penuh berisi tentang bantahan terhadap syubhat itu. Berikut ini menunjukkan kebohongan tuduhan tersebut, diantaranya dalam perkataan beliau:

"Aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah penutup para nabi dan rasul. Tidak akan sah iman seorang hamba pun sehingga dia beriman dengan diutusnya baginda serta bersaksi akan kenabiannya". (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 32)


"Makhluk paling beruntung, paling agung kenikmatannya dan paling tinggi darjatnya adalah yang paling tinggi dalam mengikuti dan mencontohi baginda (Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam) dalam ilmu dan amalannya". (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 2, hal 32)

Kedua: Dia telah menghancurkan hak Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam, tidak meletakkan baginda pada kedudukannya yang selayaknya.

Untuk melihat hakikat beliau sebagai tertuduh, saya nukilkan sebahagian perkataan yang telah beliau tegaskan berkaitan dengan apa yang diyakini tentang hak Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam, beliau berkata:

"Tatkala Allah berkehendak menampakkan tauhid dan kesempurnaan agama-Nya, agar kalimah-Nya adalah tinggi dan seruan orang-orang kafir adalah rendah, Allah mengutus Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai penutup para nabi dan kekasih Tuhan semesta alam. Baginda terus menerus dikenali dalam setiap generasi, bahkan dalam Taurat dan Injil telah disebutkan, sehingga akhirnya Allah mengeluarkan mutiara itu, antara Bani Kinanah dengan Bani Zuhrah. Maka Allah mengutusnya pada saat terhentinya pengutusan para rasul, lalu menunjukkannya kepada jalan yang lurus. Baginda mempunyai tanda-tanda dan petunjuk tentang kebenaran kenabian sebelum diangkat menjadi nabi, yang tanda-tanda tersebut tidak dapat dikalahkan oleh orang-orang yang hidup pada masanya. Allah membesarkan baginda dengan baik, mempunyai kehormatan tertinggi pada kaumnya, paling baik akhlaknya, paling mulia, paling lembut dan paling benar dalam berucap, akhirnya kaumnya memberikan gelaran dengan Al-Amin, kerana Allah telah menciptakan pada baginda keadaan-keadaan baik dan budi pekerti yang diredhai-Nya." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 2, hal 90-91).


"Dan baginda adalah pemimpin para pemberi syafa’at, pemilik Al-Maqamul Mahmud (kedudukan hamba yang paling mulia di hari kiamat), sedang Nabi Adam 'Alaihissalam dan orang-orang sesudahnya akan berada di bawah panjinya." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 86).


"Utusan (Rasul) yang pertama adalah Nabi Nuh Alaihis Salam dan yang paling akhir serta paling mulia adalah Muhammad Sholallahu ‘Alaihi Wasallam". (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 143)


"Baginda telah menyampaikan penjelasan dengan cara terbaik dan paling sempurna, manusia yang paling menginginkan kebaikan bagi hamba-hamba Allah, belas kasih terhadap orang-orang yang beriman, telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benarnya jihad dan terus menerus menyembah Allah sehingga baginda wafat." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 2, hal 21).

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah juga mengambil kesimpulan dari sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam (maksudnya): Tidaklah sempurna iman salah seorang diantara kamu sampai aku lebih dia cintai daripada bapaknya, anaknya dan semua manusia. Beliau mengatakan  "Kewajiban mencintai Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam melebihi cinta terhadap diri sendiri, keluarga mahupun harta." (Kitabut Tauhid, hal 108).

Ketiga: Mengingkari syafaat Rasululullah Salallahu Alaihi Wasallam.

Syeikh berkenan menjawab syubhat ini, beliau mengatakan:

"Mereka menyangka bahawa kami mengingkari syafaat Nabi Salallahu ‘Alaihi Wasallam. Maha suci Engkau Allah, ini adalah tuduhan yang besar. Kami mempersaksikan kepada Allah Ta'ala bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam adalah pemberi syafaat dan diberi kekuasaan oleh Allah untuk memberi syafaat, pemilik Al-Maqamul Mahmud. Kita meminta kepada Allah Yang Maha Mulia, Tuhan Arasy yang agung untuk memberikan syafaat kepada baginda untuk kita, dan mengumpulkan kita di bawah panjinya". (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 63-64)

Syeikh telah menjelaskan sebab penyebaran propaganda dusta ini, beliau berkata:

"Mereka itu ketika aku sebutkan apa yang telah disebutkan Allah dan Rasul-Nya . serta semua ulama dari segala golongan, tentang perintah untuk ikhlas beribadah kepada Allah, melarang dari menyerupakan diri dengan Ahlul Kitab sebelum kita yang mereka itu menjadikan ulama dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah, mereka mengatakan: kamu merendahkan para nabi, orang-orang soleh dan para wali!" (Ad Durarus Saniyyah, jilid 2, hal: 50)


Masalah Kedua: TENTANG AHLI BAIT

Termasuk tuduhan yang ditujukan kepada Syeikh: Beliau tidak mencintai Ahli Bait Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam dan menghancurkan hak mereka. Jawaban atas pernyataan ini: Apa yang dikatakan itu bertentangan dengan kenyataan, bahkan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah mengakui akan hak mereka untuk dicintai dan dimuliakan. Beliau konsisten dengan hal ini bahkan mengingkari orang yang tidak seperti itu. Beliau rahimahullah berkata:

"Allah telah mewajibkan kepada manusia berkaitan dengan hak-hak terhadap ahli bait. Tidak boleh bagi seorang muslim menjatuhkan hak-hak mereka dengan mengira ini adalah termasuk tauhid, padahal hal itu adalah perbuatan yang berlebih-lebihan. Kita tidak mengingkari kecuali apa yang mereka lakukan berupa penghormatan terhadap ahli bait disertai dengan keyakinan mereka layak untuk disembah, atau penghormatan terhadap mereka yang mengaku dirinya layak disembah." (Mu’allafatus Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, jilid 5, hal 284)

Dan bagi sesiapa sahaja yang mahu memperhatikan biografi Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab akan terbuktilanh apa yang telah dia katakan. Cukuplah diketahui beliau telah menamai enam dari tujuh anak-anaknya dengan nama para ahli bait yang mulia -semoga Allah merahmati mereka. Keenam anak-anaknya itu adalah: Ali, Abdullah, Husain, Hasan, Ibrahim dan Fatimah. Ini merupakan bukti yang jelas menunjukkan betapa besar kecintaan dan penghargaannya terhadap ahli bait.

Masalah Ketiga : KARAMAH PARA WALI

Tersebar isu di kalangan orang ramai bahawa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mengingkari karamah para wali. Menepis kebohongan ini, di beberapa tempat Syeikh rahimahullah telah merumuskan aqidah beliau yang tegas berkaitan dengan masalah ini, berbeza jauh dengan apa yang selama ini tersebar. Diantaranya terdapat di dalam sebuah perkataannya tatkala beliau menerangkan tentang aqidah beliau:

"Dan aku meyakini tentang karamah para wali." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 32)

Bagaimana mungkin beliau dituduh dengan tuduhan tersebut, padahal dia mengatakan bahawa orang yang mengingkari karamah para wali adalah ahli bid’ah dan kesesatan, beliau berkata:

"Dan tidak ada seorangpun mengingkari karamah para wali kecuali dia adalah ahli bid’ah dan kesesatan." (Muallafatus Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, jilid 1, hal: 169)

Masalah Keempat: TAKFIR (Pengkafiran)

Termasuk perkara terbesar yang disebarkan berkenaan dengan Syeikh dan orang-orang yang mencintainya adalah dikatakan mengkafirkan khalayak kaum muslimin dan pernikahan kaum muslimin tidak sah kecuali kelompoknya atau yang hijrah kepadanya. Syeikh telah menepis syubhat ini di beberapa tempat, diantara pada perkataan beliau:

"Pendapat orang bahawa saya mengkafirkan secara umum adalah termasuk kedustaan para musuh yang menghalangi manusia dari agama ini, kami katakan: Maha Suci Engkau Allah, ini adalah kedustaan besar." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 100)


"Mereka menisbahkan kepada kami berbagai macam kedustaan, fitnah pun semakin besar dengan mengerahkan terhadap mereka pasukan syaitan yang berkuda mahupun yang berjalan kaki. Mereka menyebarkan berita bohong tentang seorang yang masih mempunyai akal merasa malu untuk sekadar menceritakannya apalagi sampai tertipu. Diantaranya apa yang mereka katakan bahawa aku mengkafirkan semua manusia kecuali yang mengikutiku dan pernikahan mereka tidak sah. Sungguh suatu keanehan, bagaimana mungkin perkataan ini boleh masuk kedalam fikiran orang waras. Dan apakah seorang muslim akan mengatakan seperti ini. Aku berlepas diri kepada Allah dari perkataan ini, yang tidak bersumber kecuali dari orang yang berpikiran rosak dan hilang kesedarannya. Semoga Allah memerangi orang-orang yang mempunyai tujuan yang batil". (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 80)


"Aku hanya mengkafirkan orang yang telah mengetahui agama Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kemudian setelah dia mengetahuinya lantas mengejeknya, melarang manusia dari memeluk agama tersebut dan memusuhi orang yang berpegang dengannya. Tetapi kebanyakan umat –alhamdulillah- tidaklah seperti itu." (Ad-Durarus Saniyyah 1/73)

Masalah Kelima : ALIRAN KHAWARIJ

Sebahagian orang ada yang menuduh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab bahawa dia berada di atas aliran khawarij yang mengkafirkan manusia hanya kerana kemaksiatan biasa. Untuk menjawabnya kita ambil dari tulisan perkataan Syeikh rahimahullah sendiri. Beliau rahimahullah berkata:

"Aku tidak menyaksikan seorang pun dari kaum muslimin bahawa dia masuk syurga atau masuk neraka kecuali orang yang telah disaksikan Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam. Akan tetapi aku mengharapkan kebaikan bagi orang yang berbuat baik, dan sangat khuatir akan orang yang berbuat jahat. Aku tidak mengkafirkan seorang dari kaum muslimin pun hanya kerana dosa biasa dan aku tidak mengeluarkannya dari agama Islam." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 32)

Masalah Keenam : TAJSIM (Menjisimkan / menyerupakan Allah dengan makhluk)

Termasuk yang digembar-gemburkan juga tentang Syeikh adalah beliau dianggap mujassim, iaitu menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat-sifat makhluk. Beliau telah menerangkan keyakinan dia tentang masalah ini dan ternyata sangat jauh dengan apa yang telah dituduhkan padanya, beliau berkata :

"Termasuk beriman kepada Allah adalah: beriman dengan apa yang Allah sifati terhadap Zat-Nya di dalam kitab-Nya, atau melalui sabda Rasul-Nya, tanpa adanya tahrif (merubah teks mahupun makna dari nas aslinya -pent) ataupun ta’til (menafikan sebahagian atau semua sifat-sifat Allah yang telah Allah tetapkan terhadap diri-Nya -pent), bahkan aku beriktiqad bahawa tidak ada sesuatupun yang menyerupai Allah, Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Maka aku tidak menafikan dari Allah sifat yang telah Dia tetapkan terhadap diri-Nya, aku tidak mengubah perkataan Allah dari tempat-tempatnya, aku tidak menyimpangkan dari kebenaran dalam nama dan sifat-sifat Allah. Aku tidak menggambarkan bagaimana sebenarnya sifat-sifat Allah dan juga tidak menyamakannya dengan sifat-sifat makhluk, kerana Dia Maha Suci, tiada yang menyamai, tiada yang setara dengan-Nya, tidak memiliki tandingan dan tidak layak diukur dengan makhluk-Nya. Kerana Allah Ta'ala Yang paling mengetahui tentang diri-Nya dan tentang yang selain-Nya. Zat Yang paling benar firman-Nya dan paling baik dalam perkataan-Nya. Allah menyucikan diri-Nya dari dari apa yang dikatakan oleh para penentang iaitu ahli takyif (menggambarkan hakikat sifat-sifat Allah) mahupun ahli tamtsil (menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya). Juga mensucikan diri-Nya dari pengingkaran ahli tahrif mahupun ahli ta’til, maka Allah berfirman (maksudnya): Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka katakan, dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul. Dan segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam (As Shaffat: 180-182) (Ad Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 29)


"Dan sudah dimaklumi bahawa ta’til adalah lawan dari tajsim, ahli ta’til adalah musuh ahli tajsim, sedang yang haq adalah yang berada di antara keduanya". (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 11, hal 3)

Masalah Ketujuh: MENYELISIHI PARA ULAMA

Sebahagian manusia mengatakan bahawa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab telah menyelisihi semua ulama dalam dakwahkannya, tidak melihat kepada perkataan mereka, tidak mengacu kepada kitab-kitab mereka dan beliau membawa perkara baru serta membuat mazhab kelima.Orang yang paling baik dalam menjelaskan bagaimana hakikatnya adalah beliau sendiri. Beliau berkata:

"Kami mengikuti Kitab dan Sunnah serta mengikuti para pendahulu yang soleh dari umat ini dan mengikuti apa yang menjadi sandaran perkataan para imam yang empat: Abu Hanifah Nu’man bin Tsabit, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris (As Syafi’i) dan Ahmad bin Hanbal semoga Allah merahmati mereka". (Muallafatus Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, jilid 5, hal: 96)


"Bila kamu mendengar aku berfatwa dengan sesuatu yang dengannya aku keluar dari kesepakatan (ijmak) ulama, sampaikan perkataan itu kepadaku." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 53)


"Bila kamu menyangka bahawa para ulama bertentangan dengan apa yang aku jalani, inilah kitab-kitab mereka ada di depan kita." (Ad-Durarus Saniyyah jilid 2, hal 58)


"Aku membantah seorang bermazhab hanafi dengan perkataan ulama-ulama akhir dari mazhab hanafi, demikian juga penganut mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali, semua saya bantah hanya dengan perkataan ulama-ulama mutaakhirin yang menjadi rujukan dalam mazhab mereka". (Ad Durarus Saniyyah, jilid 1, hal:82)


"Secara global yang saya ingkari adalah: keyakinan terhadap selain Allah dengan keyakinan yang tidak layak bagi selain Allah. Bila Anda dapati aku mengatakan sesuatu dari diriku sendiri, maka buanglah. Atau dari kitab yang aku temui sedangkan telah disepakati untuk tidak diamalkan, buanglah. Atau saya menukil dari ahli mazhabku sahaja, buanglah. Namun bila aku mengatakannya berdasarkan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya Sallallahu 'Alaihi Wasallam atau berdasarkan ijmak ulama dari segala mazhab, maka tidaklah layak bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan hari akhir berpaling darinya hanya kerana mengikuti seorang ahli di zamannya atau ahli daerahnya, atau hanya kerana kebanyakan manusia di zamannya berpaling darinya." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid1, hal 76)

PENUTUP

Sebagai penutup, disini ada dua nasihat yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab:

Pertama: Bagi orang yang berusaha menentang dakwah ini berikut semua pengikutnya, serta mengajak manusia untuk menentangnya lalu melontarkan beraneka ragam tuduhan dan kebatilan. Bagi mereka Syeikh berkata:

"Saya katakan bagi yang menentangku, bahawa sudah menjadi kewajiban bagi semua manusia untuk mengikuti apa yang telah diwasiatkan oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam terhadap umatnya. Aku katakan kepada mereka: kitab-kitab itu ada pada kamu, perhatikanlah kandungannya, jangan kamu mengambil perkataanku sedikitpun. Hanya sahaja apabila kamu telah mengerti sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam kitab-kitabmu itu maka ikutilah meskipun berbeza dengan kebanyakan manusia… Janganlah kamu mentaatiku, dan jangan mentaati kecuali perintah Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam yang ada di dalam kitab-kitab kamu…

Ketahuilah tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu kecuali mengikuti Rasulullah .. Dunia akan berakhir, namun syurga dan neraka jangan sampai ada orang berakal yang melupakannya". (Ad -Durarus Saniyyah, jilid 1, hal 89-90)


"Aku mengajak orang yang menyelisihiku kepada empat perkara: kepada Kitabullah, kepada sunnah Rasulullah, atau kepada ijmak kesepakatan ahli ilmu. Apabila masih membangkang aku mengajaknya untuk mubahalah." (Ad-Durarus Saniyyah 1/55)

Kedua: Bagi yang masih bimbang. Syeikh berkata:

"Hendaklah anda banyak merendah dan menghiba kepada Allah, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab, seperti pada akhir malam, di akhir-akhir solat dan setelah azan.


Juga perbanyaklah membaca doa-doa yang diajarkan Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam, khususnya doa yang tercantum dalam As-Sahih bahawa Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam berdoa dengan mengucap (maksudnya): Wahai Allah Tuhannya Jibril, Mikail dan Israfil, Pencipta langit dan bumi, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nampak, Engkaulah Yang Memutuskan hukum diantara hamba-hamba-Mu yang berselisih, tunjukkanlah kepadaku mana yang haq diantara yang diperselisihkan dengan izin-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Menunjukkan ke jalan yang lurus bagi siapa yang Engkau kehendaki. Hendaklah anda melantunkan doa ini dengan sangat mengharap kepada Zat Yang Mengabulkan doa orang kesulitan yang berdoa kepada-Nya, dan Yang telah Menunjukkan Ibrahim Alaihissalam disaat semua manusia menentangnya. Katakanlah: "Wahai Yang telah mengajari Ibrahim, ajarilah aku."

Apabila Anda merasa berat disebabkan manusia menyelisihimu, fikirkanlah firman Allah Subahahu Wata’ala (maksudnya): Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak dari kamu sedikitpun dari (siksaan) Allah. (Al-Jatsiyah: 18-19)


"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah." (Al-An’am: 118)


Ingatlah sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam dalam As-Sahih (maksudnya): "Agama Islam bermula dengan keadaan dianggap asing dan akan kembali dianggap asing seperti ketika bermulanya."

Juga sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam (maksudnya): "Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu …." Sampai akhir hadis [1], juga sabda baginda (maksudnya): "Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah khulafa' ar-rasyidin yang mendapatkan petunjuk sesudahku." Juga sabdanya  "Hati-hatilah dengan perkara yang diada-adakan, kerana setiap bid’ah adalah kesesatan." (Ad-Durarus Saniyyah, jilid 1, hal: 42-43)


"Jika telah jelas bagimu bahawa ini adalah al-haq yang tidak diragukan lagi, dan sudah merupakan kewajiban untuk menyebarkan al-haq itu serta mengajarkannya kepada para wanita mahupun lelaki, maka semoga Allah merahmati orang yang menunaikan kewajiban itu dan bertaubat kepada Allah serta mengakui al-haq itu pada dirinya. Sesungguhnya orang yang telah bertaubat dari dosanya seperti orang yang tak mempunyai dosa sama sekali. Semoga Allah menunjukkan kami dan anda sekalian dan semua saudara-saudara kita kepada apa yang dicintai dan diredhai-Nya. Wassalam…" (Ad Durarus Saniyyah, jilid 2, hal 43)

_____________________________________
[1] Lengkapnya adalah: "Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut ilmu dari dada manusia secara serta merta, akan tetapi mencabutnya dengan mewafatkan para ulama. Sehingga apabila tidak ada lagi seorang yang alim, manusia akan menjadikan orang-orang bodoh sebagai pemimpin. Mereka ditanya dan menjawab tanpa ilmu maka mereka sesat dan menyesatkan manusia." (HR. Bukhari dan Muslim).

Diterjemahkan oleh Muhammad Hamid Alwi
Dari teks aslinya berjudul: "Tas-hihu Mafahim Khati’ah"
Disunting semula oleh Abu Soleh

Sumber: http://darussalaf.or.id/stories.php?id=1508

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails