Wednesday, June 23, 2010

"Kebanyakan" Bukan Ukuran Kebenaran

Sebelum ini saya pernah menulis artikel yang bertajuk "Hakikat Sufi Yang Perlu Diketahui, Dan Wahabi bukanlah Sufi" di dalam artikel tersebut saya mengatakan:

Setelah dijelaskan tentang Ibn 'Arabi yang sebenar pasti ada yang tidak puas hati dengan penulisan ini. Pasti akan ada yang berkata " begitu ramai ulama hari ini mengikuti aliran sufi ini, kenapa kita mesti menolaknya?" Jawapan yang tepat adalah firman Allah:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصونَ

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Surah al-An'aam: 116)

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلاَّ ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلونَ

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (Surah Yunus: 36)

Sebab itulah, pengukur kebenaran bukanlah disebabkan ramainya pengikutnya, tetapi ukuran yang dinilai adalah sejauh mana mereka menepati al-Quran dan al-Sunnah menurut manhaj al-Salaf al-Soleh dalam amalan dan iktiqad. Firman Allah:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah al-Nisaa': 59)

Ibnu Nafis berkata (Lihat Halaqah.net):

"Sila lihat Ayat al Quran yang selalu digunakan oleh golongan wahhabi salafi untuk mengkafirkan majoriti umat Islam, dan mengatakan diri mereka sahaja di dalam golongan selamat di atas:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصونَ

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Surah al-An'aam: 116)

Bagaimana manusia di muka bumi ini terus dispesifikkan oleh wahhabi salafi dan disamakan dengan umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah?" (Selesai)

Barangkali Ibnu Nafis masih tidak dapat memahami ayat al-Quran yang cuba disampaikan di atas.

Syeikh Soleh bin Fauzan Al-Fauzan berkata: “Di antara masalah jahiliyyah adalah; bahawa mereka menilai suatu kebenaran dengan jumlah kebanyakan, dan menilai suatu kesalahan dengan jumlah yang sedikit, sehingga sesuatu yang diikuti oleh kebanyakan orang bererti benar, sedangkan yang diikuti oleh segelintir orang bererti salah. Inilah dasar yang ada pada diri mereka di dalam menilai yang benar dan yang salah. Padahal dasar ini tidak benar, kerana Allah Jalla wa ‘Alaa berfirman:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَمَنْ فِي اْلأَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ الله إِنْ يَتَّبِعُوْنَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُم إِلاَّ يَخْرُصُوْنَ

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Al-An’aam: 116)

Dia juga berfirman:

وَلكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُوْنَ

“Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Al-A’raaf: 187)

وَمَا وَجَدْنَا ِلأَ كْثَرِهِمْ مِنْ عَهْدٍ وَإِنْ وَجَدْنَا أَكْثَرَهُمْ لَفَاسِقُوْنَ

“Dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka memenuhi janji. Sesungguhnya Kami mendapati kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.” (Al-A’raaf: 102)

Dan lain sebagainya.” (Syarh Masail Al-Jahiliyyah, halaman 60)

Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang serupa di atas ini. Antaranya:

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ وَلكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يُؤْمِنُوْنَ

“Sesungguhnya (Al-Qur’an) itu benar-benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.”(Huud: 17)

إِنَّ الله لَذُوْ فَضْلٍ عَلَى النَّاسٍ وَلكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَشْكُرُوْنَ

“Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Al-Baqarah: 243)

لَقَدْ جِئْنَاكُمْ بِالْحَقِّ وَلكِنَّ أَكْثَرَكُمْ لِلْحَقِّ كَارِهُوْنَ

“Sesungguhnya Kami benar-benar telah membawa kebenaran kepada kamu, tetapi kebanyakan dari kamu membenci kebenaran itu.” (Az-Zukhruf: 78)

وَإِنَّ كَثِيْرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُوْنَ

“Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Maidah: 49)

وَإِنَّ كَثِيْرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ ءَايتِنَا لَغَافِلُوْنَ

“Dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia benar-benar lalai dari ayat-ayat Kami.” (Yunus: 92)

وَإِنَّ كَثِيْرًا لَّيُضِلُّوْنَ بِأَهْوَائِهِمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ

“Sesungguhnya kebanyakan (dari manusia) benar-benar hendak menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka tanpa ilmu.” (Al-An’aam: 119)

ذلِكَ الدِّيْنُ القَيِّمُ وَلكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُوْنَ

“Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 40)

إِنْ يَتَّبِعُوْنَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصُوْنَ

“Mereka (kebanyakan manusia) tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Al-An’aam: 116)

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيْرًا مِنَ الْجِنِّ وَاْلإِنْسِ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia.” (Al-A’raaf: 179)

Daripada ayat-ayat al-Quran di atas ini jelaslah bahawa kebenaran tidak boleh diukur dengan kebanyakan  (mejoriti) semata. Akan tetapi kebenaran itu mestilah diukur melalui Al-Quran dan As-Sunnah. yang sahih Sebagaimana firman Allah:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah al-Nisaa': 59)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga pernah bersabda:

وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي

“Dan akan terpecah umatku menjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. (Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dan lain-lain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 2641)

Sebagaimana riwayat lain dengan lafaznya yang berbeza sering kita dengari iaitu:

وإن أمتي ستفترق على ثنتين وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة وهي الجماعة

“Dan sesungguhnya umatku akan terpecah kepada 73 aliran (puak), kesemuanya ke neraka kecuali satu, dan ia adalah al-Jama’ah.” (Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad, Thabrani dan lain-lain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Ibn Majah, no: 3993)

Demikianlah ayat Al-Quran dan As-Sunnah saling melengkapi antara satu sama lain, menjelaskan tentang perkara ini. Namun golongan penentang salafi (label yang diberi oleh para penentang adalah wahabi) sentiasa mencari helah untuk mencari kesalahan golongan salafi. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله

“Sentiasalah ada kelompok dikalangan umatku yang sentiasa berada di atas kebenaran. Tidak memudaratkan mereka bagi orang yang ingin menjatuhkan mereka sehingga tibanya urusan Allah (hari kiamat).” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan Hakim. Lihat: Silsilah As-Sahihah, no: 1975)

Hendaklah diketahui ayat al-Quran diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasalam itu sah digunakan sehinggalah akhir zaman. Ia tidak akan terbatal sehinggalah hari kiamat. Manakala ayat-ayat yang digunakan kepada orang musyrikin, juga boleh dipakai kepada orang Islam. Apa yang penting adalah keumuman ayat (lafaz) bukannya kekhususan sebab.

Syeikh Ahmad Zaini Dahlan seorang mufti yang terkenal sebagai seorang yang sangat memusuhi Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab di zamannya, pernah berkata:

"Mereka (Wahabi) sengaja mengaplikasikan ayat-ayat al-Qur'an yang ditujukan terhadap golongan musyrikin kepada golongan mukminin." (Ad-Durarus Saniyah fir-Raddi 'alal Wahabiyah, halaman 32)

Beliau berkata lagi:

"Dia mengkafirkan kaum muslimin menerusi ayat yang ditujukan kepada golongan musyrikin. Dia menyandarkan ayat ini kepada golongan al-Muwahhidun."(Ibid, halaman 51)

Syeikh Muhammad Rasyid Redha berkata menjawab perkataan Ahmad Zaini Dahlan:

"Sesuatu yang amat ajaib dapat dilihat menerusi kejahilan si Dahlan serta individu lain yang bersikap seperti beliau. Mereka menyengka bahawa kenyataan Allah Ta'ala terhadap kepalsuan syirik yang dilakukan oleh golongan musyrikin hanya diaplikasikan ke atas mereka sahaja (yakni kepada golongan musyrikin sahaja - edt)

Mereka menyangka bahawa perbuatan syirik golongan musyrikin ini bukan merupakan bukti terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan seperti mereka. Ini seolah-olah diizinkan kepada seorang muslim untuk melakukan perbuatan syirik apabila dia menganut Islam walaupun dia terjebak melakukan segala jenis perbuatan syirik yang termaktub di dalam al-Quran.

Sehubungan ini, seolah-olah tidak akan berlaku gejala murtad di dalam Islam. Ini disebabkan sesiapa sahaja yang digelarkan sebagai seorang muslim, maka sudah semestinya perbuatan kufur atau syirik yang dilakukannya digelarkan juga sebagai kufur Islam atau syirik Islam, atau diizinkan untuk melakukannya, atau sekurang-kurangnya setakat haram sahaja hukumnya.

Sememangnya golongan yang keliru ini telah mengizinkan melakukan perkara syirik seta kekufuran. Ini berdasarkan pentakwilan semula yang mereka lakukan terhadap ayat-ayat al-Quran tersebut." (Siyanatul Insan 'An Waswasati Dahlan, halaman 487)

Demikianlah sikap Ahmad Zaini Dahlan ini cuba dipromosikan semula oleh golongan-golongan penentang salafi (termasuklah Ibnu Nafis), dengan semberono mengatakan salafi atau wahabi mengkafirkan seluruh kaum muslimin dengan menggunakan ayat yang ditujukan kepada golongan musyrikin. Padahal apa yang dikehendaki dari ayat itu adalah keumuman lafaz tersebut iaitu banyaknya golongan yang ada di muka bumi ini terdiri dari kalangan mereka yang sesat.
 
Allah berfirman (maksudnya):

“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan umat ini satu tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang dirahmati oleh Tuhanmu.” (Hud: 118-119)

Asy-Syaikh Abdurrahman As-Sa’di rahimahullah berkata: “Allah mengkhabarkan, jikalau Dia menghendaki nescaya seluruh manusia akan dijadikan satu dalam keutuhan agama Islam kerana kehendakNya tidak ada batas dan tidak ada sesuatu apapun yang da[at menghalangNya. Tetapi tetap dengan hikmah-Nya mereka (manusia) berselisih, menyelisihi jalan yang lurus, dan mengikuti jalan-jalan yang menjerumuskan ke neraka. Masing-masing dari mereka menyatakan: ‘Kami berkata yang benar dan yang lainnya salah.’ Dan Allah membimbing (untuk sebahagian umat) kepada ilmu tentang al-haq (kebenaran), kemampuan beramal dengannya dan bersatu, sehingga mereka merasakan kedamaian sejak mula yang kemudian diiringi dengan pertolongan dan taufik dari Allah Subhaanahu Wata'ala. Adapun yang lainnya adalah umat yang dihinakan dan berjalan dengan diri mereka sendiri.” (Taisirul Karimir Rahman fi Tafsiri Kalamil Mannan, halaman 348)

Akhir sekali saya ingin membawakan ucapan Syeikh Abdul Latif bin Abdul Rahman bin Hasan, beliau berkata:

"Sesiapa yang menghalang wahyu al-Quran serta isi kandungannya seperti hukuman terhadap individu serta peristiwa yang termasuk di dalam keumuman lafaz ayat, secara realiti dia seorang makhluk Tuhan yang paling sesat dan jahil. Tindakannya menyalahi kenyataan kaum muslimin serta alim ulama' mereka di sapangjang zaman dan tempat serta dari satu generasi kepada satu generasi lainnya. Dia juga termasuk ke dalam sebesar-besar golongan yang membatalkan ayat-ayat al-Quran. Di mana keseluruhan nas serta peraturan al-Quran didasarkan kepada keumuman ayat bukan pengkhususan sebab." (Misbah Az-Zulam, halaman 140)

Semoga dengan jawapan yang ringkas ini dapat menjawab serba sedikit syubhat puak-puak penentang salafi, yang sangat bersikeras dalam membenarkan pendapat mereka. Yang benar itu datang dari Allah dan Rasul, yang salah dari diri saya sendiri. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita, menuju jalan yang lurus (sebenar).

Wallahua'lam

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails