Khamis, 11 Mac 2010

Syubhat dan Hujah Orang-Orang yang Membolehkan Perayaan Maulid Beserta Bantahannya


Oleh: Al-Ustaz Hammad Abu Muawiyah

Orang-orang yang membolehkan perayaan maulid ini memiliki banyak dalil (syubhat), dan di sini kami akan menyebutkan 22 dalil sebagai wakil dari dalil-dalil mereka yang tidak disebutkan di sini. Itupun semua dalil mereka hanya berkisar pada 4 keadaan:

1. Ayat atau hadis yang sahih akan tetapi salah pendalilan (yakni tidak digunakan pada tempatnya – edt).
2. Hadis lemah, bahkan palsu yang tidak boleh diguna sebagai hujjah.
3. Perkataan sebahagian ulama, yang mereka ini bukan merupakan hujjah bila menyelisihi dalil.
4. Alasan yang dibuat-buat untuk mencapai maksud mereka yang rosak.

Berikut huraiannya:

Pertama: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Yunus ayat 58:

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik daripada sesuatu yang mereka kumpulkan.”

Mereka berkata, “Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kita untuk bergembira dengan rahmat-Nya. Sedang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam adalah rahmat-Nya yang paling besar. Oleh kerana itulah, kita bergembira dan merayakan maulid (hari lahir) baginda”.

Di antara yang berdalilkan dengan ayat ini adalah seorang yang bernama Habib Ali Al-Ja’fary Ash-Shufy dalam sebuah kasetnya yang berjudul Maqoshidul Mu`minah wa Qudwatuha fil Hayah.

Bantahan:

Berdalilkan dengan ayat ini untuk membolehkan maulid adalah suatu bentuk penafsiran firman Allah Ta’ala dengan penafsiran yang tidak pernah ditafsirkan oleh para ulama salaf dan mengajak kepada suatu amalan yang tidak pernah dikerjakan oleh para ulama salaf. Ini adalah perkara yang tidak diperbolehkan sebagaimana telah lalu penegasannya pada bab Pertama (Sila lihat buku Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi dalam buku penulis; rujuk sunniy.wordpress.com - edt).

Ibnu ‘Abdil Hady Rahimahullahu berkata dalam Ash-Shorimil Munky fir Roddi ‘alas Subky, hal. 427: “… Dan tidak boleh memunculkan penafsiran terhadap suatu ayat atau sunnah dengan penafsiran yang tidak pernah ada di zaman para ulama salaf, yang mereka tidak diketahui dan tidak pernah pula mereka jelaskan kepada umat. Kerana perbuatan ini mengandung (tudingan) bahawa mereka tidak mengetahui kebenaran, lalai darinya. Sedang yang mendapat hidayah kepada kebenaran itu adalah seorang pengkritik yang datang pada kebelakangan, maka bagaimana lagi jika penafsiran tersebut menyelisihi dan bertentangan dengan penafsiran mereka ?!”.

Para pembesar ulama tafsir telah menafsirkan ayat yang mulia ini dan tidak terdapat sedikitpun dalam penafsiran mereka bahawa yang diinginkan dengan rahmat di sini adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam. Yang ada hanyalah bahawa rahmat yang diinginkan di sini adalah Al-Qur`an dan Al-Islam sebagaimana yang diinginkan dalam ayat sebelumnya, iaitu firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu pelajaran dari Tuhan kamu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada, serta petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya …” (Yunus : 57-58)

Inilah penafsiran yang disebutkan oleh Al-Imam Abu Ja’far Muhammad bin Jarir Ath-Thobary Rahimahullahu dalam Tafsir beliau (Lihat: Juz 15, halaman 105).

Imam Al-Qurthuby Rahimahullahu berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Abu Sa’id Al-Khudry dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu‘anhuma berkata: “Kurnia Allah adalah Al-Qur`an dan rahmat-Nya adalah Al-Islam”. Juga dari keduanya (berkata), “Kurnia Allah adalah Al-Qur`an dan rahmat-Nya adalah dia menjadikan kamu ahli Qur`an”. Dari Al-Hasan, Adh-Dhohak, Mujahid, dan Qotadah, mereka menafsirkan, “Kurnia Allah adalah iman dan rahmat-Nya adalah Al-Qur`an”. (Lihat Al-Jami’ li Ahkamil Qur’an juz8, halaman353)

Imam Ibnul Qoyyim Rahimahullahu berkata dalam Ijtima’ul Juyusy Al-Islamiyah ‘ala Ghozwul Mu’aththilah wal Jahmiyah halaman 6: “Perkataan para ulama salaf sekitar di atas penafsiran bahawa kurnia Allah dan rahmat-Nya adalah Al-Islam dan As-Sunnah”.

Sesungguhnya yang menjadi rahmat bagi manusia bukanlah kelahiran baginda, akan tetapi rahmat itu hasilnya hanyalah ketika baginda diutus kepada mereka. Makna inilah yang ditunjukkan oleh nas-nas syari’at:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. (Al-Anbiya`: 107)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam telah bersabda:

إِنِّي لَـمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً

“Sesungguhnya saya tidaklah diutus sebagai seorang yang suka melaknat, akan tetapi saya diutus hanya sebagai rahmat.” (HR. Muslim no. 2599 dari Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu)

Syaikh Abdullah bin Muhammad bin Humaid Rahimahullahu berkata ketika menyebutkan tentang Abu Sa’id Al-Kaukabury (Dia adalah orang yang pertama kali merayakan maulid di negeri Maushil sebagaimana yang telah berlalu penjelasannya): “Dia mengadakan perayaan tersebut pada malam kesembilan (Rabi’ul Awal) menurut yang dikuatkan oleh para ahli hadis bahawa baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dilahirkan pada malam itu (kesembilan) dan baginda wafat pada tanggal 12 Rabi’ul Awal menurut kebanyakan para ulama” (Lihat kitab beliau Ar-Rasa`ilul Hisan fii Fadho`ihil Ikhwan halaman 49).

Maka betapa menghairankan bagi para pelaku maulid ini, mereka bergembira dan bersenang-senang pada tanggal diwafatkannya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam (12 Rabi’ul Awwal), sementara hari kelahiran baginda adalah tanggal 8 Rabi‘ul Awwal menurut pendapat yang paling kuat, maka apakah ada kerosakan dan kerancuan akal yang lebih parah dari ini?!

Ibnul Hajj Rahimahullahu berkata dalam Al-Madkhal (juz 2, halaman 15): “Kemudian yang sangat menghairankan, mereka membolehkan merayakan maulid disertai dengan nyanyian, kegembiraan, dan keceriaan kerana kelahiran baginda ‘Alaihis sholatu wassalam -sebagaimana yang telah berlalu- pada bulan yang mulia ini. Padahal pada bulan ini juga baginda ‘Alaihis sholatu wassalam berpindah menuju kemuliaan Tuhannya ’Azza wa Jalla (yakni wafat – pent) yang mengejutkan ummat (para sahabat – pent). Mereka (para sahabat) ditimpa musibah besar yang tidak ada satu musibah pun yang mampu menandingi musibah ini selama-lamanya. Oleh kerana itu, keharusan atas setiap muslim adalah menangis, banyak-banyak bersedih, dan merenungi dirinya masing-masing terhadap musibah ini …”

Kemudian kita katakan kepada mereka, “Bukankah ayat ini turun kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam?! Lantas kenapa baginda tidak pernah merayakan maulid sebagai bentuk pengamalan bagi ayat?! Kenapa juga baginda tidak pernah memerintahkan para sahabat dan keluarga baginda untuk melakukannya?! Padahal baginda adalah orang yang paling bersemangat mengajari manusia dengan perkara yang bermanfaat bagi mereka dan yang mendekatkan mereka kepada Penciptanya”.

(Rujukan: Al-Bida’ Al-Hauliyah hl. 173-177 dan Ar-Roddu ‘ala Syubuhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid syubhat pertama)

Kedua: Firman Allah ‘Azza wa Jalla dalam surah Al-Ahzab ayat 56:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

Mereka mengatakan bahawa perayaan maulid boleh memberi motivasi sekaligus sarana untuk berselawat kepada Rasul Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam.

Bantahan:

Syaikh Hamud At-Tuwaijiri Rahimahullahu berkata dalam Ar-Roddul Qowy, halaman 70-71: “Sungguh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam telah memberi motivasi untuk memperbanyakkan berselawat kepada baginda di waktu-waktu tertentu, seperti pada hari Jumaat, setelah azan, ketika nama baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam disebut, dan waktu-waktu lainnya. Sekalipun demikian, baginda tidak pernah memerintahkan atau memberi motivasi untuk berselawat kepada baginda pada malam maulid baginda sendiri. Jadi, sesungguhnya (yang semestinya) diamalkan adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dan (yang semestinya) ditolak adalah segala sesuatu yang tidak baginda perintahkan”. Selesai dengan sedikit perubahan.

Syaikh Al-Muqthiry dalam Al-Mawrid (halaman 18) menyatakan: “Berselawat kepada Nabi adalah perkara yang dituntut terus-menerus, bukan hanya di awal tahun atau dua hari dalam seminggu.

Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Baginda ‘alaihish sholatu wassalam bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرًا

“Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali” (HR. Muslim no. 384 & 408 dari ‘Abdullah bin ‘Amr ibnul ‘Ash dan Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhuma).

Baginda telah memerintahkan untuk berselawat kepadanya setelah azan, dalam solat dan demikian pula ketika nama baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam disebut.
Baginda bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ علَيَّ

“Kecelakaan bagi seseorang yang mendengar namaku disebut di sisinya, lantas dia tidak berselawat kepadaku” (HR. Muslim no. 384 & 408 dari ‘Abdullah bin ‘Amr ibnul ‘Ash dan Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhuma)

الْبَخِيْلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang yang kikir (kedekut) adalah orang yang apabila namaku disebutkan di sisinya, lalu dia tidak berselawat atasku” (HR. At-Tirmidzi no: 3546 dan An-Nasa`i dalam Al-Kubra no: 8100 & 9883 dari Al-Husain bin ‘Ali Radhiallahu‘anhuma dan dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ no. 2878).

(Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubuhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid syubhat kedua dan Al-Mawrid fii Hukmil Ihtifal bil Maulid hal. 18)

Ketiga: As-Suyuthi berkata dalam Al-Hawy (1/196-197): “…lalu saya melihat Imamul Qurro`, Al-Hafizh Syamsuddin Ibnul Jauzy berkata dalam kitab beliau yang berjudul ‘Urfut Ta’rif bil Maulid Asy-Syarif dengan nas sebagai berikut: “Telah diperlihatkan Abu Lahab setelah meninggalnya di dalam mimpi. Dikatakan kepadanya, “Bagaimana keadaanmu?”, dia menjawab, “Di dalam Neraka, hanya saja diringankan bagiku (siksaan) setiap malam isnin dan dituangkan di antara dua jariku air sebesar ini (dia berisyarat dengan hujung jarinya) kerana saya memerdekakan Tsuwaibah ketika dia memberitahu khabar gembira kepadaku tentang kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dan kerana dia telah menyusuinya.” (Lanjutan ucapan Ibnul Jauzi – edt) Jika Abu Lahab yang kafir ini, yang Al-Qur`an telah turun mencelanya, diringankan (siksaannya) di Neraka dengan sebab kegembiraan dia dengan malam kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam, maka bagaimana lagi keadaan seorang muslim yang bertauhid dari kalangan ummat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam yang gembira dengan kelahiran baginda dan mengerahkan seluruh kemampuannya dalam mencintai baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam?!, Saya bersumpah bahawa tidak ada balasannya dari Allah Yang Maha Pemurah, kecuali Dia akan memasukkannya berkat keutamaan dari-Nya ke dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan.”

Kisah ini juga digunakan sebagai dalil oleh Muhammad bin ‘Alwi Al-Maliki dalam risalahnya Haulal Ihtifal bil Maulid (halaman 8) tatkala dia berkata: “Telah datang dalam Sahih Al-Bukhari bahawa diringankan siksaan Abu lahab setiap hari Isnin dengan sebab dia memerdekakan Tsuwaibah ….”

Bantahan:

Penyandaran kisah di atas kepada Imam Al-Bukhari adalah suatu kedustaan yang nyata sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikh At-Tuwaijiri dalam Ar-Roddul Qowy halaman 56. Kerana tidak ada dalam riwayat Al-Bukhari sesuatupun yang disebutkan dalam kisah di atas.

Berikut konteks hadis ini dalam riwayat Imam Al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4711 secara mursal [*] dari ‘Urwah bin Zubair Rahimahullahu: “Tsuwaibah, dulunya adalah hamba wanita kepada Abu Lahab. Abu Lahab membebaskannya, lalu dia menyusui Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam. Tatkala Abu Lahab mati, dia diperlihatkan kepada sebahagian keluarganya (dalam mimpi) tentang kejelekan keadaannya. Mereka (keluarganya ini) berkata kepadanya: “Apa yang engkau dapat?”, Abu Lahab menjawab: “Saya tidak mendapati setelah kamu kecuali saya diberi minum sebanyak ini (Yakni jumlah yang sangat sedikit) kerana saya memerdekakan Tsuwaibah.”

[*] Hadis Mursal adalah perkataan seorang tabi’in berkata “Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam bersabda ….”, atau dia (tabi’in) menyandarkan sesuatu kepada Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Hadis mursal termasuk dalam sebahagian hadis lemah menurut pendapat paling kuat di kalangan para ulama.

Syubhat ini dibantah dari beberapa sisi:

Hadis tentang diringankannya siksa Abu Lahab ini telah dikaji oleh para ulama dari zaman ke zaman. Akan tetapi tidak ada seorangpun di antara mereka yang menjadikannya sebagai dalil disyari’atkannya perayaan maulid.

Ini adalah hadis mursal sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Hafizh dalam Al-Fath (yakni Fathul Baari – edt) (Juz 9, halaman 49) kerana ‘Urwah tidak menyebutkan dari siapa dia mendengar kisah ini. Sedangkan hadis mursal adalah termasuk golongan hadis-hadis dha’if (lemah) yang tidak boleh diguna sebagai dalil.

Anggaplah hadis ini sahih mausul (bersambung sampai kepada Nabi), maka yang tersebut dalam kisah ini hanyalah mimpi. Sedangkan mimpi (selain mimpi para Nabi) bukanlah wahyu yang boleh diterima sebagai hujah. Bahkan disebutkan oleh sebahagian ahlil ilmi bahawa yang bermimpi di sini adalah Al-‘Abbas bin ‘Abdil Muttholib dan mimpi ini terjadi sebelum beliau masuk Islam.

Apa yang dinukil oleh As-Suyuthi dari Ibnul Jauzy di atas bahawa Abu Lahab memerdekakan Tsuwaibah kerana memberitakan kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dan kerana dia menyusui Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam adalah menyelisihi apa yang telah tetap di kalangan para ulama sirah (sejarah). Kerana dalam buku-buku sirah ditegaskan bahawa Abu Lahab memerdekakan Tsuwaibah (waktunya) jauh setelah Tsuwaibah menyusui Nabi Shollallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam.

Al-Hafizh Ibnu ‘Abdil Barr Rahimahullahu berkata dalam Al-Isti’ab (Juz 1, halaman 12) ketika beliau membawakan biografi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam. Setelah menyebutkan kisah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam disusukan kepada Tsuwaibah, beliau menyatakan: “…Dan Abu Lahab memerdekakannya setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam berhijrah ke Madinah.” (Lihat juga Ath-Thobaqot karya Muhammad bin Sa’ad bin Mani` Az-Zuhry Rahimahullahu (1/108-109), Al-Fath (9/48), dan Al-Ishobah (4/250))

Kandungan kisah ini menyelisihi zahir Al-Qur`an yang menegaskan bahawa orang-orang kafir tidak akan mendapatkan manfaat dari amalan baiknya sama sekali di akhirat, akan tetapi hanya dibalas di dunia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

Maksudnya: “Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan”. (Al-Furqon : 23) (Lihat Fathul Bari (9/49), kecuali Abu Thalib yang diringankan siksanya kerana membela Nabi, sebagaimana dalam riwayat Muslim)

Kegembiraan yang dirasakan oleh Abu Lahab hanyalah kegembiraan yang sifatnya tabi’at manusia biasa kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam adalah anak kepada saudaranya (anak buah – edt). Sedangkan kegembiraan manusia tidaklah diberikan pahala kecuali bila kegembiraan tersebut muncul kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Buktinya, setelah Abu Lahab mengetahui kenabian anak buahnya, diapun memusuhinya dan melakukan tindakan-tindakan yang kasar padanya. Ini bukti yang kuat menunjukkan bahawa Abu Lahab bukan gembira kerana Allah, tapi gembira kerana lahirnya seorang anak buahnya. Gembira seperti ini ada pada setiap orang.

(Rujukan: Al-Bida’ Al-Hauliyah halaman 165-170, Ar-Roddu ‘ala Syubuhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid syubhat keenam dan Al-Hiwar ma’al Maliki Syubhat pertama)

Keempat: Mereka (para pendukung maulid) berkata, “Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memuliakan sebahagian tempat yang memiliki hubungan dengan para Nabi, misalnya maqam (tempat berdiri) Ibrahim ‘alaihis salam."

Kerana itulah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Maksudnya: “Dan jadikanlah sebahagian maqam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat”. (Al-Baqarah : 125)

Di dalam ayat ini terdapat motivasi untuk memperhatikan semua perkara yang berhubungan dengan para Nabi. Maka di antara bentuk pengamalan ayat ini adalah dengan memperhatikan hari kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam.

Bantahan:

Sesungguhnya seluruh ibadah landasannya adalah tauqifiyah (terbatas pada dalil yang ada) dan ittiba’, bukan berlandaskan pendapat dan perbuatan bid’ah. Jadi, perkara apapun yang dimuliakan oleh Allah dan Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam berupa waktu ataupun tempat, maka hanya itu saja yang berhak untuk dimuliakan. Dan perkara apapun yang tidak dimuliakan oleh Allah dan Rasul-Nya, maka perkara tersebut tak boleh dimuliakan. Benar Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan seluruh hamba-Nya untuk menjadikan maqam Ibrahim [*] sebagai tempat solat, akan tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak pernah memerintahkan mereka untuk menjadikan hari kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam sebagai hari raya yang mereka berbuat bid’ah di dalamnya.

[*] Maqam di sini ertinya tempat seseorang berdiri. Dikatakan sebagai maqam Ibrahim kerana di tempat inilah Nabi Ibrahim berdiri ketika membangun (membina) Ka’bah. Kerananya, jangan sampai ada yang salah faham dan menyangkan maqam Ibrahim adalah kuburannya. Lagipula, para ulama telah bersepakat bahawa semua kuburan para nabi ‘alaihimush sholatu was salam tidak ada yang tsabit (kuat) berdasarkan nas mahupun berita yang autentik (asli). Syaikhul Islam menukilkan dari Imam Malik bin Anas Rahimahullahu beliau berkata: “Tidak ada seorang nabi pun di dunia ini yang diketahui kuburnya kecuali kubur Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Lihat Majmu’ Al-Fatawa 27/444 )

[Rujukan: Ar-Roddul Qowy karya Syaikh At-Tuwaijiri hal. 83 dan Ar-Roddu ‘ala Syubuhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid, syubhat ketiga)

Kelima: Mereka juga berdalil dengan hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma tentang puasa ‘Asyura`:

أَنََّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِيْنَةَ فَوَجَدَ اليَهُوْدَ صِيَمًا يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ فَقَالَ لَهُمْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُوْمُوْنَهُ؟َ فَقَالُوْا: هَذَا يَوْمٌ عَظِيْمٌ، أَنْجَى اللهُ فِيْهِ مُوْسَى وَقَوْمَهُ وغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ فَصَامَهُ مُوْسَى شُكْرًا فَنَحْنُ نَصُوْمُهُ. فَقَالَ رَسُوْلُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوْسَى مِنْكُمْ. فَصَامَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.

“Nabi datang (hijrah) ke Madinah dan baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura`. Lalu baginda pun bertanya, “Apa ini?”, mereka (orang-orang Yahudi) menjawab, “Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Isra`il dari musuh mereka, maka Nabi Musa berpuasa padanya”. Baginda bersabda: “Kalau begitu saya lebih berhak terhadap Musa daripada kamu”. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan (manusia) untuk berpuasa”. (HR. Al-Bukhari no. 1900 dan Muslim no. 1130)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Rahimahullahu sebagaimana yang dinukil oleh As-Suyuthi dalam Al-Hawy lil Fatawa (Juz 1, halaman 196) berkata setelah beliau menyebutkan bahawa perayaan maulid tidak pernah dikerjakan oleh tiga generasi pertama ummat ini. Beliau menyatakan: “Telah nampak bagiku untuk menetapkannya (yakni perayaan maulid) di atas landasan yang sahih iaitu …” Lalu beliau menyebutkan hadits Ibnu ‘Abbas di atas.

Kemudian beliau berkata lagi: “Jadi, dari hadis ini diambil faedah tentang perbuatan kesyukuran kepada Allah atas nikmat yang Allah berikan pada suatu hari tertentu dengan cara menghasilkan suatu kenikmatan atau menolak suatu bahaya. Sedang kesyukuran kepada Allah adalah dengan mengamalkan berbagai jenis ibadah, seperti sujud, berpuasa, sedekah, dan membaca Al-Qur`an. Maka, nikmat apakah yang lebih besar daripada nikmat munculnya Nabiyyurrahmah ini Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam pada hari itu. Oleh kerana itu, selayaknya untuk memperhatikan hari itu (yakni hari maulid) agar bersesuaian dengan kisah Musa ‘alaihis salam pada hari ‘Asyuro`”. Selesai berdasarkan maknanya.

Hadis ini juga dijadikan dalil oleh Muhammad bin ‘Alwy Al-Maliki untuk membolehkan perayaan maulid dalam kitabnya Haulal Ihtifal bil Maulid halaman 11-12.

Jawaban:

Sesungguhnya Al-Hafiz Rahimahullahu telah menegaskan di awal ucapannya bahawa asal perayaan maulid adalah bid’ah, tidak pernah dikerjakan oleh para ulama salaf. Perkataan beliau tentang hal ini akan kami sebutkan pada bab ketiga belas. (Sila lihat buku Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi dalam buku penulis; rujuk sunniy.wordpress.com - edt).

Pemahaman Al-Hafiz tentang dibolehkannya maulid yang beliau petik dari hadis di atas merupakan pemahaman yang salah dan tertolak. Kerana tidak ada seorangpun dari kalangan para ulama salaf yang memahami dari hadis tersebut dibolehkannya perayaan maulid. Lihat kembali pembahasan pada bab pertama dan juga kitab Al-Muwafaqat (3/41-44) karya Asy-Syathibi Rahimahullahu.

Mengkiaskan (menganologikan) bid’ah maulid dengan puasa ‘Asyuro` adalah suatu bentuk takalluf (memaksa-maksa) yang nyata dan tertolak kerana ibadah landasannya adalah syari’at, bukan berdasarkan pendapat ataupun anggapan baik. (Yakni kias tersebut merupakan kias yang batil - edt)

Sesungguhnya puasa ‘Asyura` adalah perkara yang telah diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam, bahkan baginda memberi motivasi untuk mengamalkannya. Berlainan halnya dengan perayaan maulid dan menjadikannya sebagai hari raya, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tidak pernah mengerjakannya dan juga tidak pernah memotivasi untuk mengerjakannya.

[Rujukan: Al-Bida’ Al-Hauliyah hal. 159-161 dan Ar-Roddu ‘ala Syubhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid syubhat kelima]

Keenam: Setelah menyebutkan perkataan Al-Hafiz di atas, As-Suyuthi kemudian membawakan dalil yang lain iaitu hadis Anas bin Malik Radhiallahu‘anhu, beliau berkata:

“Bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam melakukan aqiqah untuk diri baginda sendiri setelah baginda diangkat menjadi Nabi”. (HR. Al-Baihaqy, 9/300)

Lalu dia (As-Suyuthi) berkata: “… Padahal telah datang (riwayat) bahawa datuk baginda ‘Abdul Mutthalib telah melaksanakan aqiqah untuk baginda pada hari ketujuh kelahiran baginda, sedangkan aqiqah tidaklah diulangi dua kali. Maka perbuatan tersebut (yakni aqiqah setelah menjadi Nabi) dibawa kepada (pemahaman) bahawa yang baginda lakukan itu adalah dalam rangka menampakkan kesyukuran atas penciptaan Allah terhadap diri baginda sebagai rahmat bagi seluruh alam dan sekaligus (perbuatan baginda tersebut) sebagai syari’at bagi umatnya sebagaimana baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam telah berselawat untuk dirinya sendiri. Oleh kerana itulah, disunnahkan juga bagi kita untuk menampakkan kesyukuran dengan kelahiran baginda …”

Jawaban:

Hadis di atas yang menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu alaihi wa sallam melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri setelah diangkat menjadi nabi adalah hadis yang lemah dan tidak boleh diguna untuk berhujah, kerana di dalamnya terdapat seorang perawi lemah yang bernama ‘Abdullah bin Muharrar Al-Jazary.

Al-Baihaqi setelah meriwayatkan hadis di atas, beliau berkata, “Abdurrazzaq berkata: “Tidaklah mereka meninggalkan ‘Abdullah bin Muharrar kecuali kerana keadaan hadis ini, dan juga (hadis ini) diriwayatkan dari jalan lain dari Anas dan tidak dipandang sama sekali.”

‘Abdullah bin Muharrar ini telah dilemahkan oleh sekian banyak ulama dengan kelemahan yang sangat keras, di antaranya adalah: Imam Ahmad, Ad-Daraquthny, Ibnu Hibban, Ibnu Ma’in, Imam Al-Bukhari, dan juga Al-Hafizh Adz-Dzahabi Rahimahumullahu jami’an. (Lihat At-Talkhis Al-Habir (4/147) dan Mizanul I’tidal pada biografi ‘Abdullah bin Muharrar ini)

Syaikh Abu Bakr Al-Jaza`iry Hafizahullah berkata dalam Al-Inshof fima Qila fil Maulid (halaman 61-62): “Apakah tsabit (sahih) bahawa aqiqah itu dulunya disyari’atkan bagi ahli jahiliyah (musyrik Quraisy) dan (apakah) mereka mengamalkannya, sehingga kita boleh mengatakan bahawa ‘Abdul Mutthalib telah melakukan aqiqah terhadap anak lelaki dari anaknya?! Apakah amalan-amalan ahli jahiliyah diperhitungkan dalam Islam sehingga kita boleh menyatakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam melakukan aqiqah untuk dirinya hanya sekadar sebagai kesyukuran dan bukan dalam rangka menegakkan sunnah aqiqah, jika dia (datuk baginda) telah mengaqiqahkan baginda?!. Maha Suci Allah, betapa aneh dan asingnya pendalilan ini.

Apakah jika sahih (benar) bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam menyembelih seekor kambing sebagai bentuk kesyukuran akan nikmat penciptaan diri baginda, apakah hal ini membolehkan untuk menjadikan hari lahir baginda sebagai hari raya bagi manusia?!”.

[Rujukan: Al-Bida’ Al-Hauliyah halaman 161-164 dan Ar-Roddu ‘ala Syubhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid syubhat kelapan]

Ketujuh: Muhammad ‘Alwy Al-Maliki dalam kitabnya Haulal Ihtifal bil Maulid halaman 10 berdalil tentang disyari’atkannya perayaan maulid dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim no: 1162 dari hadis Abu Qotadah Al-Anshory Radhiallahu‘anhu:

وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ اَلِاثْنَيْنِ, قَالَ: ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ, وَبُعِثْتُ فِيهِ, أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ

Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam ditanya tentang puasa pada hari Isnin, maka baginda menjawab: "Ia adalah hari kelahiranku, hari itu aku diutus, dan hari itu diturunkan al-Qur’an padaku."

Sisi pendalilan dari hadis ini (menurutnya) adalah bahawa baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam memuliakan dan mengagungkan hari lahir baginda dengan cara berpuasa pada hari itu. Ini (berpuasa) hampir semakna dengan perayaan walaupun bentuknya berbeza. Yang jelas makna pemuliaan itu ada, sama ada dengan berpuasa atau dengan memberi makanan atau dengan berkumpul-kumpul untuk mengingat dan berselawat kepada baginda dan lain-lainnya.

Bantahan:

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tidak berpuasa pada hari kelahiran baginda, iaitu pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal [*] akan tetapi baginda berpuasa pada hari Isnin yang setiap bulan berulang sebanyak empat kali. Baginda juga tidak pernah mengkhususkan untuk mengerjakan amalan-amalan tertentu pada tarikh kelahiran baginda. Maka semua ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tidaklah menganggap hari kelahiran baginda lebih afdal daripada yang lainnya. (Lihat Ar-Roddul Qowy halaman 61-62)

[*] Itupun telah kita tegaskan bahawa yang benarnya baginda dilahirkan pada tarikh 8 Rabi’ul Awwal.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tidak mengkhususkan berpuasa hanya pada hari isnin saja, akan tetapi baginda juga berpuasa pada hari khamis, sebagaimana dalam hadis Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu secara marfu‘:

“Amalan-amalan diberikan setiap hari Isnin dan khamis, maka saya senang jika amalan saya diberikan sedang saya dalam keadaan berpuasa”. (HR. At-Tirmidzi no. 747 dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Al-Irwa` no. 949)

Jadi, berdalilkan dengan puasa hari Isnin untuk membolehkan perayaan Maulid adalah puncak takalluf (pemaksaan) dan pendapat yang sangat jauh dari kebenaran. Jika yang diinginkan dari perayaan maulid adalah sebagai bentuk kesyukuran kepada Allah Ta’ala atas nikmat kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam, maka suatu perkara yang masuk akal (dan memang inilah yang ditetapkan oleh syari’at) kalau pelaksanaan kesyukuran tersebut sesuai dengan pelaksanaan kesyukuran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam atasnya, yakni dengan berpuasa. Oleh kerana itu, hendaknya kita berpuasa sebagaimana baginda berpuasa [*] bukan malah dengan membazirkan wang untuk makanan dan yang semisalnya. Lihat Al-Inshof fima Qila fil Maulid hal. 64-66 karya Abu Bakr Al-Jaza`iry.

[*] Maksudnya berpuasa pada hari Isnin sebagaimana Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam berpuasa hari Isnin. Adapun berpuasa tepat pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal (kalaupun ini kita anggap pendapat yang paling benar tentang hari lahir baginda), maka tidak disyari’atkan kerana tidak ada dalil yang mengkhususkannya untuk puasa, yang ada hanyalah berpuasa pada hari Isnin. (ed)

(Rujukan: Al-Bida’ Al-Hauliyah hal. 171-172 dan Ar-Roddu ‘ala Syubhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid syubhat keempat)

Kelapan: Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tentang keutamaan hari Jumaat:

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam, padanya dia diwafatkan, padanya dia dimasukkan ke Syurga dan padanya dia dikeluarkan darinya, serta tidak akan tegak Hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat”. (HR. Muslim no: 854 dari Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu)

Dalam kitab Haulal Ihtifal halaman 14, Muhammad ‘Alwy Al-Maliki menyatakan bahawa jika hari Jumaat memiliki keutamaan kerana pada hari itu Nabi Adam tercipta, maka tentunya hari ketika pimpinan para Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tercipta itu lebih layak untuk mendapatkan keutamaan dan kemuliaan.

Bantahan:

Syaikh At-Tuwaijiri Rahimahullahu berkata dalam Ar-Roddul Qowy (halaman 82): “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tidak pernah mengkhususkan hari Jumaat untuk melaksanakan sesuatupun berupa amalan-amalan sunnah, dan baginda telah melarang untuk mengkhususkan hari Jumaat dengan berpuasa atau mengkhususkan malam Jumaat untuk solat malam. Di dalam Sahih Muslim (no: 1144) dari Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam bahawa baginda bersabda:

“Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat di antara malam-malam lainnya dengan mengerjakan solat malam dan jangan kamu khususkan hari Jumaat di antara hari-hari lainnya dengan berpuasa, kecuali apabila (hari Jumaat) bertepatan dengan hari kebiasaan salah seorang di antara kamu berpuasa.”

Jika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tidak mengkhususkan hari Jumaat dengan sesuatu apapun berupa amalan-amalan sunnah (padahal Adam ’alaihis salam diciptakan pada hari itu), maka apa hubungannya dengan Ibnul ‘Alwy dan selainnya, yang menyebutkan pendalilan tersebut tentang dibolehkannya perayaan maulid?!” Selesai dengan perubahan.

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhati man Ajazal Ihtifal bil Maulid, syubhat ketujuh]

Kesembilan: Hadis Anas bin Malik Radhiallahu‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam bercerita ketika baginda melakukan Isra` dan Mi’raj:

“Lalu dia (Jibril) berkata: “Turun dan solatlah!”, maka saya pun turun lalu mengerjakan solat. Lalu dia bertanya: “Tahukah engkau di mana engkau solat? Engkau solat di Betlehem, tempat ‘Isa ‘alaihis salam dilahirkan.” (HR. An-Nasa`i (1/221-222/450))

Hadis ini dijadikan dalil oleh Muhammad ‘Alwy Al-Maliki dalam Haulal Ihtifal (halaman 14-15) untuk membolehkan perayaan maulid. Sisi pendalilannya adalah bahawa baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam diperintahkan untuk memuliakan tempat kelahiran Nabi ‘Isa dengan cara solat di atasnya. Maka hari dan tempat kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam lebih layak lagi untuk dimuliakan dengan mengadakan perayaan maulid.

Bantahan:

Kisah tentang solat baginda di Betlehem ini juga datang dari hadis Syaddad bin ‘Aus Radhiallahu‘anhu riwayat Al-Bazzar dalam Al-Musnad (no: 3484) dan Ath-Thobarony (7/282-283/7142) dan juga dari hadis Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu riwayat Ibnu Hibban dalam Al-Majruhin (1/187-188) dalam biografi Bakr bin Ziyad Al-Bahily.
Ketiga-tiganya adalah hadis yang lemah dan mungkar. Berikut kesimpulan bantahan Al-‘Allamah Al-Anshary Rahimahullahu dalam Al-Qaulul Fashl, halaman. 138-145 terhadap kisah di atas:

(1) Hadis Anas bin Malik Radhiallahu‘anhu.

Ibnu Katsir Rahimahullahu berkata setelah menyebutkan hadis ini dalam rangkaian hadis-hadis tentang Isra` dan Mi’raj ketika menafsirkan ayat pertama dari surah Al-Isra: “Di dalam kisah ini ada gharabah [*] (keanehan) dan sangat mungkar”.

[*] Kata gharib atau gharabah jika digunakan oleh At-Tirmidzi dalam Sunannya, Ibnu Katsir dalam Tafsirnya dan Az-Zayla’iy dalam Nashbur Royah maka kebanyakannya bermakna dha’if (lemah).

Beliau juga berkata dalam Al-Fushul fii Ikhtishori Sirotur Rosul, “Gharib (aneh), sangat mungkar, dan sanadnya muqarib. Dalam hadis-hadis yang sahih, ada perkara yang menunjukkan tentang kemungkarannya, wallahu A’lam”.

Yakni kisah tentang solatnya baginda Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam di Betlehem ini, tidak ada disebutkan dalam kisah Isra` dan Mi’raj dalam hadis-hadis lain yang sahih.

(2) Hadits Syadad bin Aus Radhiallahu‘anhu.

Di dalam sanadnya ada perawi yang bernama Ishaq bin Ibrahim ibnul ‘Ala` Adh-Dhahhak Az-Zubaidy Ibnu Zibriq Al-Himshy.

Al-Hafizh berkata dalam Al-Fath: “(Orangnya) Jujur, tapi banyak kesalahan (dalam periwayatan). Muhammad bin ‘Auf mengungkapkan bahawa dia pendusta.”

Adz-Dzahabi berkata dalam Al-Mizan: “An-Nasa`i berkata : “(Orangnya) tidak tsiqah”. Abu Daud berkata: “Tidak ada apa-apa (tidak ada nilainya) dan dia dianggap pendusta oleh Muhammad bin ‘Auf Ath-Tho`i, seorang ahli hadis negeri Himsh.”

Ibnu Katsir Rahimahullahu berkata dalam Tafsirnya setelah menyebutkan jalan-jalan periwayatan hadis Syaddad ini: “Tidak ada keraguan, hadis ini (maksudkannya adalah yang diriwayatkan dari Syaddad bin Aus) mengandung beberapa perkara, di antaranya ada yang sahih (sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Baihaqi), dan di antaranya ada yang mungkar, seperti (kisah) solat (Nabi –Shollallahu alaihi wa sallam-) di Betlehem dan (kisah) pertanyaan (Abu Bakar) Ash-Shiddiq tentang sifat Baitul Maqdis dan selainnya, wallahu A’lam.”

(3) Hadits Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu.

Di dalam sanadnya terdapat Bakr bin Ziyad Al-Bahily. Ibnu Hibban berkata: “Syaikh pendusta, membuat hadis palsu dari para tsiqat (perawi-perawi terpercaya), tidak halal menyebut namanya dalam kitab-kitab kecuali untuk dicela.”

Beliau juga berkata memberi komentar hadis Abu Hurairah di atas: “Ini adalah sesuatu yang orang awam ahli hadis tidak akan ragu lagi bahawa ini adalah palsu, lebih-lebih lagi pakar dalam bidang ini.” (Perkataan beliau ini dinukil oleh Ibnul Jauzy dalam Al-Maudhu’at (1/113-114), Adz-Dzahaby dalam Al-Mizan (1/345) dan Asy-Syaukany dalam Al-Fawa`id Al-Majmu’ah fil Ahadits Al-Maudhu’ah halaman 441)

Ibnu Katsir berkata berkata dalam Al-Fushul fii Ikhtishori Sirotur Rosul (halaman 22) dalam memberi komentar hadis Abu Hurairah ini: “Juga tidak sahih kerana keadaan Bakr bin Ziyad yang telah berlalu.” Yakni beliau menghukuminya sebagai perawi yang matruk (ditinggalkan hadisnya).

Sebagai kesimpulan, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullahu berkata dalam tafsir surah Al-Ikhlash halaman 169: “Apa yang diriwayatkan oleh sebahagian mereka tentang hadis Isra` bahawa dikatakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam: “Ini adalah baik, turun dan solatlah”, maka baginda turun lalu solat, “Ini adalah tempat bapakmu, turun dan solatlah”, merupakan (riwayat) dusta dan palsu. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam tidak pernah solat pada malam itu kecuali di Masjid Al-Aqsha sebagaimana dalam As-Sahih dan baginda tidak pernah turun kecuali padanya.”

Ibnul Qayyim Rahimahullahu dalam Zadul Ma’ad berkata: “Kononnya khabar tentang baginda turun di Betlehem dan solat padanya. Padahal hal itu tidak benar dari baginda selama-lamanya.” (Selesai dari Al-Qaulul Fashl)

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhat man Ajazal Maulid syubhat kesembilan]

Kesepuluh: Sesungguhnya para penya’ir dari kalangan sahabat, seperti Ka’ab bin Zuhair, Hassan bin Tsabit, dan yang lainnya Radhiallahu‘anhum, mereka membacakan sya’ir-sya’ir pujian kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dan baginda redha dengan perbuatan mereka serta membalas mereka dengan membacakan selawat dan mendo’akan kebaikan kepada mereka.

Ini dijadikan dalil oleh Hasyim Ar-Rifa’iy sebagaimana dalam Ar-Roddul Qowy halaman 78.

Bantahan:

Al-‘Allamah At-Tuwaijiri Rahimahullahu berkata dalam Ar-Roddul Qowy, halaman 79: “Tidak pernah pun disebutkan dari salah seorang para penya’ir sahabat radhiyallahu ‘anhum bahawa mereka mengungkapkan kecintaan mereka kepada Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam dengan melantunkan qasidah-qasidah (sya’ir-sya’ir) pada malam kelahiran baginda, akan tetapi kebanyakan mereka melantunkannya ketika terjadinya penaklukan suatu negeri dan ketika mengalahkan musuh-musuh. Di bangun di atas dasar ini, bererti pelantunan (sya’ir) di depan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam bukanlah sesuatu yang pernah dilakukan oleh Ka’ab bin Zuhair, Hassan bin Tsabit, dan selain keduanya dari kalangan para penya’ir sahabat, (bukanlah) merupakan perkara yang boleh dipegang oleh Ar-Rifa’iy dan selainnya dalam menguatkan bid’ah maulid.” (Selesai dengan sedikit meringkas).

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhat man Ajazal Maulid syubhat kesepuluh]

Kesebelas: Sesungguhnya perayaan maulid adalah kumpulan zikir, sedekah, dan pengagungan terhadap sisi kenabian. Dan semua perkara ini tentunya merupakan perkara yang dituntut dan dipuji dalam syari’at Islam.

Jawaban:

Tidak diragukan bahawa semua yang disebutkan di atas berupa zikir, sedekah, dan mengingat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam merupakan ibadah, bahkan termasuk di antara ibadah yang memiliki kedudukan yang besar dalam Islam. Akan tetapi perlu diketahui, bahawa ibadah akan diterima setelah dipenuhi dua syarat, ikhlas dan sesuai dengan petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam (Lihat kembali bab Syarat Diterimanya Amalan). Kemudian, di antara kaedah yang masyhur di tengah para ulama dan para penuntut ilmu bahawa suatu ibadah apabila perintah pelaksanaannya datang dalam bentuk umum (yakni tidak terikat dengan suatu waktu mahupun tempat), maka ibadah tersebut juga mesti dilaksanakan secara mutlak tanpa mengkhususkan waktu dan tempat tertentu, apabila dikhususkan tanpa adanya dalil maka perbuatan tersebut dihukumi sebagai bid’ah (Kaedah ini disebutkan oleh Syaikh Nashirudin Al-Albany dalam Ahkamul Jana`iz halaman 306). Oleh kerana itulah, adalah termasuk bid’ah tatkala mengkhususkan pelaksanaan ibadah zikir, sedekah, dan mengingat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam hanya pada tarikh kelahiran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam.

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhat man Ajazal Maulid syubhat ke sebelas]

Kedua Belas: Sesungguhnya perayaan maulid adalah perkara yang dianggap baik oleh banyak ulama dan telah diterima, bahkan dilangsungkan secara turun temurun oleh kebanyakan kaum muslimin dikebanyakan negeri-negeri kaum muslimin.

Maka tentunya hal itu adalah kebaikan kerana kaedah yang diambil dari hadis Ibnu Mas’ud Radhiallahu‘anhu menyatakan bahawa: “Apa-apa yang dianggap baik oleh kaum muslimin, maka itu juga baik di sisi Allah.”

Ini adalah termasuk dalil yang disebutkan oleh Muhammad bin ‘Alwy Al-Maliki dalam Haulal Ihtiffal halaman 15.

Bantahan:

Telah berlalu jawaban atas hadis Ibnu Mas’ud Radhiallahu‘anhu pada bab ketiga. (Sila lihat buku Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi dalam buku penulis; rujuk sunniy.wordpress.com - edt). Siapa yang dimaksudkan sebagai ulama oleh Al-Maliki di sini??! Kalau yang dia maksudkan adalah para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka ini adalah kedustaan atas nama mereka. Kalau yang dia maksudkan adalah selain mereka dari kalangan Al-Qaramithah, Al-Bathiniyah, dan Shufiah, maka Al-Maliki benar kerana sememangnya perayaan maulid, tidaklah ia muncul kecuali atas inisiatif mereka, sebahagian mereka (yakni Al-Bathiniyyah) telah dikafirkan oleh para ulama. Lihat bab kesembilan dari buku ini. (Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi).

Syaikh Sholeh Al-Fauzan Hafizhahullah berkata dalam risalah beliau Hukmul Ihtifal bi Dzikril Maulid An-Nabawy: “Yang menjadi hujah adalah sesuatu yang tsabit (sahih) dari Rasul Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam. Sedang yang tsabit dari Rasul Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam adalah larangan berbuat bid’ah secara umum, dan ini (yakni perayaan maulid) di antara bentuknya.

Amalan manusia, jika menyelisihi dalil maka bukanlah hujah walaupun jumlah mereka banyak.

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.” (Al-An’am : 116)

Itupun akan terus menerus ada (berkat nikmat Allah) pada setiap zaman orang-orang yang mengingkari bid’ah ini dan menjelaskan kebatilannya. Jadi, tidak ada hujah pada amalan orang yang terus menghidupkan (bid’ah ini) setelah jelas baginya kebenaran.”

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhat man Ajazal Maulid syubhat kedua belas]

Ketiga Belas: Sebahagian mereka berdalih bahawa sebahagian ulama sunnah ada yang memperbolehkan perayaan maulid, seperti Imam As-Suyuthi Rahimahullahu dan yang lainnya.

Maka kami hanya mengikuti mereka kerana mereka adalah orang yang berilmu.

Bantahan:

Tidak diragukan bahawa ucapan ini adalah ucapan yang penuh dengan fanatisme, taqlid, dan kesombongan yang telah diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana yang telah berlalu penjelasannya pada bab kelima dari buku ini.

Kemudian, perselisihan para ulama dalam masalah ini (yakni bid’ah maulid) adalah perselisihan yang sifatnya tadhadh (saling berlawanan dan menafikan), yang salah satunya adalah kebenaran dan yang lainnya adalah kebatilan, bukan perselisihan tanawwu’ (cabang) yang sifatnya masih menerima toleransi dan kompromi.

Sebagai seorang muslim, hendaklah mengembalikan semua perselisihan hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, sebagaimana yang telah kami tegaskan pada bab pertama. (Lihat Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi - edt).

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhat man Ajazal Maulid syubhat ketiga belas]

Keempat Belas: Pengakuan dari seseorang yang bernama Muhammad ‘Utsman Al-Mirghony dalam muqaddimah kitabnya yang berjudul Al-Asror Ar-Robbaniyah, halaman 7.

Dia menyatakan bahawa dia menerima syari’at perayaan maulid ini langsung dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dalam mimpinya.

Bantahan:

Al-‘Allamah Isma’il Al-Anshory Rahimahullahu berkata dalam Al-Qaulul Fashl: “Sesungguhnya bersandar di atas pengakuan bahawa seseorang menerima perintah-perintah Nabi Shallallahu’alaihi wasallam dalam mimpi untuk merayakan maulid Nabi Shallallahu’alaihi wasallam tidaklah dipandang, kerana mimpi dalam tidur tidak dapat menetapkan sunnah yang tidak ada dan tidak dapat membatalkan sunnah yang sudah ada sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama.”

Imam Abu Zakaria An-Nawawy Rahimahullahu berkata dalam menjelaskan perkataan Imam Muslim Rahimahullahu tentang “Menyingkap aib-aib para perawi hadis” dalam Sahih Muslim (1/115): “Tidak boleh menetapkan hukum syar’i dengannya (iaitu dengan mimpi), kerana keadaan tidur bukanlah keadaan menghafal dan yakin terhadap apa yang didengari oleh seseorang yang bermimpi tersebut. Mereka telah bersepakat bahawa termasuk syarat orang yang diterima riwayat dan persaksiannya adalah orang yang terjaga, bukan orang yang lalai, bukan orang yang buruk hafalannya, dan tidak banyak salah (dalam hafalan), …”

Inilah hukum semua mimpi selain mimpi para Nabi yakni tidak boleh menetapkan syari’at yang tidak pernah dituntut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dan sebaliknya mimpi tidak boleh menghapuskan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam dalam hidup baginda, walaupun yang dia lihat di dalam mimpinya adalah betul Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam. Akan tetapi hal ini tentunya tidak mungkin. Yang dilihat di dalam mimpnya pasti adalah syaitan yang mengaku sebagai Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam, kerana tidak mungkin baginda memerintahkan sesuatu yang telah baginda larang ketika baginda masih hidup.[*]

[*]Terdapat hadis yang sahih dari Nabi menyatakan: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi, maka seakan-akan dia melihatku dalam keadaan jaga, serta syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Namun, disini tidak ada yang menghalang syaitan untuk berpura-pura mengaku sebagai Nabi dalam keadaan menyerupai mana-mana wajah selain wajah Nabi, Wallahua’lam. (Tambahan – edt)

Imam Asy-Syathibi Rahimahullahu berkata dalam Al-I’tisham (Juz 1, halaman 209): “Mimpi selain para Nabi tidak dapat dihukum sebagai syari’at, bagaimanapun keadaannya kecuali mestilah diperhadapkan kepada sesuatu yang ada di depan kita berupa hukum-hukum syari’at (yakni telah ada hukum tersebut di dalam Al-Kitab dan As-Sunnah). Jika hukum-hukum syari’at ini membolehkannya, maka kita amalkan berdasarkan hukum-hukum itu. Jika tidak, maka wajib untuk ditinggalkan dan berpaling darinya. Faedahnya tidak lain adalah sekadar sebagai khabar gembira (apabila mimpinya baik) atau peringatan (jikalau mimpinya buruk). Adapun mengambil petikan-petikan hukum darinya, maka tidak (boleh)!”

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhat man Ajazal Maulid syubhat keempat belas]

Kelima Belas: As-Sakhawi (Beliau adalah salah seorang murid senior dari Al-Hafizh Ibnu Hajar Rahimahullahu) Rahimahullahu berkata:

“Jika penganut salib (Nasrani/kristian) menjadikan malam kelahiran Nabi mereka sebagai hari raya besar, maka penganut Islam lebih layak dan lebih-lebih patut untuk memuliakan (Nabi mereka).”

Ini disebutkan oleh Hasyim Ar-Rifa’iy dan dia berdalil dengannya dalam membolehkan maulid sebagaimana dalam Ar-Roddul Qowy, halaman 25 karya Syaikh Hamud bin Abdillah At-Tuwaijiri Rahimahullahu.

Jawaban:

Tidak ada keraguan bahawa merayakan maulid dan menjadikannya sebagai hari raya adalah di bangun atas tasyabbuh (penyerupaan) kepada Nasrani, sedangkan tasyabbuh kepada orang-orang kafir adalah perkara yang diharamkan dan dilarang berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk darinya”. (HR. Abu Daud no. 4031 dari Ibnu ‘Umar Radhiallahu‘anhuma dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Ash-Shahihah (1/676) dan Al-Irwa` no. 2384)

[Rujukan: Ar-Roddu ‘ala Syubhat man Ajazal Maulid syubhat kelima belas]

Keenam Belas: Sesungguhnya perayaan maulid adalah amalan yang boleh menghidupkan semangat kita untuk mengingat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam, dan ini adalah perkara yang disyari’atkan.

Ini dijadikan dalil oleh Muhammad bin ‘Alwy Al-Maliki dalam Haulal Ihtifal halaman 20.

Bantahan:

Cara mengingat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam bukanlah dengan berbuat bid’ah yang telah baginda larang, akan tetapi dengan cara meninggalkan semua jenis bid’ah (termasuk di dalamnya perayaan maulid) dan semua perkara yang baginda larang.

[Lihat bab Hakikat Kecintaan Kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam] - (Sila lihat buku Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi dalam buku penulis; rujuk sunniy.wordpress.com - edt).

Mengingat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam, (kalau sekadar itu yang diinginkan), maka tidak perlu dengan merayakan maulid. Kerana mengingati Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam boleh dilakukan dengan berselawat kepada baginda, berdo’a setelah mendengar azan, berselawat kepada baginda ketika mendengar nama baginda disebut, berdo’a setelah berwudhu, dan amalan-amalan ibadah lainnya.

Semua amalan ini adalah amalan yang sifatnya dilaksanakan secara berterusan (terus-menerus) siang dan malam, bukan hanya sekali setahun. [*]

[*] Di antara sarana yang mengingatkan kita kepada Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam adalah dengan membaca dan mengkaji hadis-hadis baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam agar dapat diamalkan. Sehingga orang yang mempelajari hadis-hadis baginda akan tahu dan faham tentang aqidah, syari’at, ibadah, akhlak, dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam. Semua ini akan mendorong dirinya dan orang lain untuk mengamalkan sunnah dan mengingati Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam.

Bahkan seseorang yang mengamalkan sunnah akan mengingatkan kita tentang peribadi Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam, seakan-akan baginda berada di depan kita. Adapun orang yang meramaikan bid’ah maulid, maka mereka tidaklah mengingatkan kita tentang peribadi baginda Shallallahu‘alaihi wasallam, akan tetapi justeru mengingatkan kita tentang natal, mengingatkan kita tentang orang-orang bathiniyyah dan shufiyyah kerana merekalah yang pertama kali melakukan maulid menurut para ahli sejarah. (ed)

[Rujukan: Hukmul Ihtifal bil Maulidin Nabawy war Roddu ‘ala man Ajazahu halaman 29-30 karya Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh]

Ketujuh Belas: Mereka mengatakan: “Perayaan maulid ini hanya sekadar adat istiadat yang tidak ada kaitannya dengan agama sehingga tidak boleh dianggap sebagai bid’ah.”

Bantahan:

Perkataan ini adalah tempat larian terakhir bagi orang-orang yang membolehkan perayaan maulid setelah seluruh dalil-dalil mereka digugurkan. Itupun alasan yang mereka katakan ini adalah alasan yang tidak dapat diterima kerana para pendahulu mereka yang membolehkan maulid baik dari kalangan ulama mahupun yang bukan ulama telah menetapkan bahawa perayaan maulid adalah ibadah di sisi mereka, dan seseorang akan mendapatkan pahala dengannya. [Lihat bab Orang-Orang yang Merayakan Maulid Menganggapnya Bagian dari Agama]

Kelapan Belas: Mereka juga berkata: “Perayaan maulid ini memang adalah bid’ah, tapi dia adalah bid’ah hasanah (yang baik).”

Bantahan:

Bantahan atas syubhat ini telah kami paparkan panjang lebar pada bab ketiga dari buku ini. (Sila lihat buku Studi Kritis Perayaan Maulid Nabi dalam buku penulis; rujuk sunniy.wordpress.com - edt).

Kesembilan Belas: Perayaan maulid ini, walaupun dia adalah bid’ah akan tetapi telah diterima dan diamalkan oleh umat Islam sejak ratusan tahun yang lalu.

Ini dijadikan dalil oleh Muhammad Mushthofa Asy-Syinqithi.

Bantahan:

Berikut kami bawakan secara ringkas bantahan Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh Rahimahullahu terhadap syubhat ini dari risalah beliau Hukmul Ihtifal bil Maulid war Roddu ala man Ajazahu. Beliau berkata: “Ada beberapa perkara yang menunjukkan bodohnya orang ini:

Pertama: Bahawasanya umat ini ma’shumah (terpelihara) untuk bersepakat di atas kesesatan sedangkan bid’ah dalam agama adalah kesesatan berdasarkan nas dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam. Jadi perkataan dia ini, mengharuskan bahawa umat ini telah bersepakat (untuk membenarkan) perayaan maulid yang dia sendiri telah mengakuinya sebagai bid’ah.

Kedua: Sesungguhnya berhujjah dengan pengakuan seperti ini untuk menganggap baik suatu bid’ah, bukanlah warisan para ulama yang hidup di ketiga zaman keutamaan dan tidak pula orang-orang yang mencontoh mereka, sebagaimana hal ini telah diterangkan oleh Imam Asy-Syathibi Rahimahullahu dalam kitab beliau Al-I’tisham.

Beliau (Asy-Syathibi) berkata: “Tatkala berbagai bid’ah dan penyimpangan telah disepakati oleh manusia atasnya (membenarkannya), maka jadilah orang yang jahil berkata: “Seandainya ini adalah kemungkaran maka tentu tidak akan dikerjakan oleh manusia.”

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata dalam Al-Iqtidha`: “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa kebanyakan adat-adat yang menyelisihi sunnah ini adalah perkara yang disepakati (akan kebolehannya) dengan berlandaskan bahawa ummat ini telah menyetujuinya dan mereka tidak mengingkarinya, maka dia telah salah dalam keyakinannya itu. Sesungguhnya akan terus-menerus ada orang-orang yang melarang dari seluruh adat-adat yang dimunculkan, yang menyelisihi sunnah.”

Ketiga: Sesuatu (berupa keterangan) yang akan kami sebutkan dari para ulama kaum muslimin berupa dipenuhinya perayaan maulid tersebut dengan perkara-perkara yang diharamkan, serta penjelasan bahawa perayaan maulid yang tidak mengandung perkara-perkara yang diharamkan maka dia tetap merupakan bid’ah.”

Kedua Puluh: Mereka juga berdalil dengan perkataan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, yang (katanya) beliau membolehkan perayaan maulid.

Beliau berkata: “Demikian pula apa yang dimunculkan oleh sebahagian manusia, apakah dalam rangka menandingi Nasrani dalam perayaan maulid ‘Isa ‘alaihis salam atau karena kecintaan kepada Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam dan mengagungkan baginda. Allah memberikan pahala kepada mereka atas kecintaan dan ijtihad ini, bukan atas bid’ah-bid’ah berupa menjadikan Maulid Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam sebagai ‘Aid (perayaan) …” (Lihat Al-Iqtidha` halaman 294)

Di antara orang yang berdalilkan dengannya adalah Muhammad Musthofa Al-’Alwy. Dia berkata: “Maka perkataan Syaikhul Islam ini jelas menunjukkan bolehnya amalan maulid Nabi Shallallahu‘alaihi wasallam yang bersih dari kemungkaran-kemungkaran yang bercampur dengannya.”

Bantahan:

Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh menyatakan (Lihat Mulhaq dari risalah Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh yang berjudul Hukmul Ihtifal bil Maulid war Roddu ala man Ajazahu), “Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullahu berkata dalam kitabnya Al-Istighatsah: “Suatu kesalahan, jika timbul dari buruknya pemahaman orang yang mendengar, bukan kerana kelalaian pembicara, maka tidak mengapa (yakni tidak berdosa) ke atas pembicara. Tidak dipersyaratkan pada seorang alim jika dia berbicara harus menjaga jangan sampai ada pendengar yang salah faham.”

Lagi pula beliau sendiri telah menegaskan dalam lanjutan ucapan beliau bahawa perayaan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam adalah bid’ah yang mungkar. Adapun mu’alliq (yang memberi komentar) Al-Iqthidha`, dia berkata: “Bagaimana mungkin mereka memiliki pahala atas hal ini padahal mereka telah menyelisihi petunjuk Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam dan petunjuk para sahabat baginda.” [*]

[*] (Tambahan – edt): Ucapan lengkap Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah di atas adalah seperti berikut: "Bid'ah yang diadakan oleh sebahagian orang, baik kerana perbuatan itu menyerupai perbuatan orang Nasrani dalam mengadakan peringatan kelahiran Isa 'alaihis salam, atau kerana mengaku cinta kepada Nabi dengan menjadikan hari kelahiran Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sebagai perayaan Maulid walaupun orang-orang masih memperselisihkan hari kelahiran baginda, maka semua ini tidak pernah dilakukan oleh salaf. Jika perbuatan ini baik atau benar nescaya para salaf radiallahu 'anhum lebih berhak untuk melakukannya daripada kita. Sebab, mereka lebih cinta kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan lebih mengagungkannya daripada kita. Mereka lebih semangat dalam mengamalkan kebaikan.

Sebenarnya, hakikat mencintai dan memuliakan Nabi itu adalah mengikuti dan mentaatinya, mengikuti perintah dan menghidupkan sunnahnya, baik secara lahir ataupun yang batin, menyebarkan agamanya dan berjihad dalam memperjuangkannya, baik itu dengan hati, tangan dan lidah. Semua ini adalah cara para pendahulu kita yang pertama dari kalangan kaum Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka." (Iqtidha' Ash-Shirath Al-Mustaqim; 2/615, yang ditahqiq oleh Dr. Nashir Al-Aql)

Keduapuluh Satu: Mereka berkata: “Perayaan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, akan tetapi ia merupakan syi’ar agama Islam, bukan merupakan bid’ah.”

Bantahan:

Ini menunjukkan kejahilan orang yang mengucapkannya terhadap syari’at Islam, maka apakah orang yang seperti ini layak untuk berkomentar dalam agama Allah?! Orang ini telah membezakan antara agama dan syi’ar agama padahal Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi`ar-syi`ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.” (Al-Hajj: 32)

Dalam ayat ini, Allah ‘Azza wa Jalla menjadikan syi’ar agama sebagai lambang dari katakwaan hati yang merupakan kewajiban. Maka apakah setelah ini, masih ada orang yang mengaku faham agama yang mengatakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sengaja meninggalkan syi’ar agama (menurut sangkaan mereka) yang satu ini (maulid)?!

Kerana ucapan ini mengharuskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sengaja meninggalkan sebuah ketaatan yang merupakan kewajiban (Dan meninggalkan ketaatan yang merupakan kewajiban dengan sengaja adalah dosa besar), padahal para ulama telah bersepakat bahawa para Nabi terjaga (maksum) dari dosa besar. Al-Hafizh Ibnu Hajar Rahimahullahu berkata dalam Fathul Bari (8/69): “Para nabi maksum dari dosa-dosa besar berdasarkan ijmak” (Lihat juga Majmu’ Al-Fatawa (4/319) dan juga Minhajus Sunnah (1/472) karya Ibnu Taimiyah).

Keduapuluh Dua: Di antara dalil mereka adalah bahawa tidak ada satupun dalil yang tegas dan jelas melarang mengadakan perayaan maulid Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Bantahan:

Sebenarnya dalil semacam ini tidak layak kami sebutkan, kerana dalil ini hakikatnya sudah lebih dahulu patah sebelum dipatahkan. Akan tetapi yang sangat disayangkan, dalil ini masih juga diucapkan oleh sebahagian orang yang mengaku berilmu yang dengannya dia menyesatkan manusia dari jalan Allah.

Kami tidak akan menjawab dalil ini sampai mereka menjawab beberapa pertanyaan di bawah ini:

(1) Tunjukkan pada kami satu dalil yang tegas dan jelas yang melarang dari narkoba dengan semua jenisnya!.

(2) Tunjukkan pada kami satu dalil yang tegas dan jelas yang mengharamkan praktik-praktik perjudian kontemporer, seperti undian berhadiah melalui telepon, SMS, dan selainnya!

(3) Tunjukkan pada kami satu dalil yang tegas dan jelas yang menunjukkan haramnya kaum muslimin menghadiri natal dan perayaan kekafiran lainnya!

Mereka tidak akan mendapatkan satu pun dalil tentangnya -walaupun mereka bersatu untuk mencarinya- kecuali dalil-dalil umum yang melarang dari semua amalan di atas dan yang sepertinya. Dan ketiga-tiga perkara di atas, hanya orang yang bodoh tentang agama yang menyatakan halal dan harusnya.

Maka demikian halnya perayaan maulid. Betul, tidak ada dalil yang tegas dan jelas yang melarangnya, akan tetapi dia tetap merupakan bid’ah dan keharaman berdasarkan dalil-dalil umum yang sangat banyak berkenaan larangan berbuat bid’ah dalam agama, berkenaan dengan larangan menyerupai dan mengikuti orang-orang kafir, berkenaan dengan …, berkenaan dengan …, dan seterusnya dari perkara-perkara haram yang terjadi sepanjang pelaksanaan maulid. Wallahul Musta’an.

Telah disunting semula oleh: Abu Sholeh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails