Khamis, 5 Februari 2009

PEMBAHAGIAN TAUHID MENJADI TIGA BUKAN REKAAN IBN TAIMIYAH


Segelintir kelompok pada hari ini amat membenci Syeikhul Islam Ibn Taimiyah sehingga ke tahap mengkafirkan beliau. Ini boleh didapati sendiri dengan membaca tulisan-tulisan mereka di dalam blog mereka. Antaranya seperti Abu Syafiq, Zamihan Al-Ghari, dan yang sekutu dengan mereka.


Antara tuduhan mereka ialah kononnya pembahagian tauhid kepada tiga iaitu tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan tauhid asma' was sifat adalah rekaan Ibn Taimiyyah. Maka di sini saya ingin membuktikan yang sebenarnya tauhid ini bukanlah rekaan Ibn Taimiyyah, akan tetapi pembahagian tauhid ini telah dikenali oleh para salaf terdahulu, kerana sememangnya Al-Quran itu sendiri tidak lepas dari menceritakan perihal tiga bahagian tauhid ini.


Berikut ini adalah antara kata-kata salaf berkenaan pembahagian tauhid ini yang saya nukilkan daripada kitab "Al-Mukhtasar Al-Mufid Fi Bayan Dalaa-il Aqsam At-Tauhid" yang dikarang oleh Syeikh Abdurrozzaq bin Abdul Muhsin Al-Abbad.


1 – Imam Abu Hanifah An-Nu'man bin Tsabit (wafat 150 H) berkata dalam Fiqhul Absath halaman 51: "Allah diseru dengan suatu sifat yang tinggi bukan dengan sifat yang rendah, kerana sifat yang rendah bukanlah termasuk sifat rububiyyah dan uluhiyyah sedikit pun."


Perkataan beliau: "Diseru dengan suatu sifat yang tinggi bukan dengan sifat yang rendah.", padanya terdapat penetapan sifat ketinggian Allah. Dan ini termasuk ke dalam Tauhid Asma' was Sifat yang di dalamnya terdapat bantahan terhadap orang-orang Jahmiyyah, Mu'tazilah, Asya'irah, Maturidiyyah dan golongan lainnya yang menolak ketinggian Allah.


Perkataan beliau: "...termasuk sifat Rububiyyah", padanya terdapat penetapan Tauhid Rububiyyah. Adapun perkataan beliau: "...dan Uluhiyyah". Di dalamnya terdapat penetapan Tauhid Uluhiyyah. (Dinukil daripada buku "Mengapa Tauhid Dibagi Menjadi Tiga", Syeikh Abdurrozzaq, Darul Ilmu, ms. 61-62)


2 – Ibn Jarir At-Thobari (meninggal 310 H) berkata dalam tafsirnya terhadap firman Allah Ta'ala (maksudnya):


فَاعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ


"Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada tuhan (Ilah) yang berhak disembah melainkan Allah dan memohonlah kempunan terhadap dosamu." (Surah Muhammad: 19)


فاعلم يا محمد أنه لا معبود تنبغي أو تصلح له الألوهة، ويجوز لك وللخلق عبادته، إلا الله الذي هو خالق الخلق، ومالك كل شيء، يدين له بالربوبية كل ما دونه


"Maka Ketahuilah wahai Muhammad, bahawa tidak ada sembahan-sembahan yang sesuai atau yang layak untuk disembah, dan tidak boleh bagimu serta seluruh makhluk untuk menyembahnya kecuali Allah yang mana menciptakan para makhluk, Penguasa seluruh alam yang segala sesuatu itu tunduk padanya dengan kekuasaan RububiyyahNya." (Jami'ul Bayan, jid 11, ms. 317-318)


3 – Imam Abu Ja'far At-Thohawi (wafat 321 H) berkata dalam muqaddimah kitab aqidahnya yang masyhur dengan nama At-Thohawiyah:


"Kami katakan dengan penuh keyakinan –dan semoga Allah memberikan taufiqnya– dalam masalah pengEsaan terhadap Allah, Allah itu Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, tidak ada sesuatupun yang setara denganNya, tidak ada sesuatupun yang mampu mengalahkanNya, dan tidak ada tuhan (Ilah) yang benar kecuali Dia..."


Maka perkataan beliau: "Allah itu Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya", terangkum di dalamnya pembahagian tauhid yang tiga, iaitu Allah adalah Maha suci, Esa, dan tidak ada sekutu bagiNya di dalam kekuasaanNya. Maha Esa pula, tidak ada sekutu bagiNya dalam perkara UluhiyyahNya. Dan juga Maha Esa yang tidak ada sekutu bagiNya dalam nama-nama dan sifat-sifatNya.


Perkataan beliau: "Tidak ada sesuatupun yang sama denganNya." Ini merupakan Tauhid Asma' was Sifat. Dan pada perkataan: "Tidak ada sesuatu pun yang mengalahkanNya." Ini termasuk dalam Tauhid Rububiyyah. Dan perkataan: "Tidak ada tuhan (Ilah) yang berhak disembah melainkan Dia," ini merupakan Tauhid Uluhiyyah.

Maka pembahagian tauhid yang tiga ini merupakan sesuatu yang jelas dan nyata di dalam ucapan Imam Abu Ja'far At-Thohawi rahimahullah ini. Beliau telah menyebutkannya di dalam muqaddimah kitab At-Thohawiyah yang di dalamnya mencakup segala paparan aqidah ahli sunnah wal Jamaah di atas mazhab para ulama seperti Abu Hanifah An-Nu'man bin Tsabit Al-Kufi, Abu Yusuf Ya'qub bin Ibrahim Al-Ansari dan Abu Abdillah Muhammad bin Al-Hasan As-Syaibani –semoga Allah meredhai mereka semua– dan apa yang mereka yakini merupakan suatu prinsip agama yang dengannya mereka tunduk kepada Rabb Tuhan semesta alam.


4 – Abu Hatim Muhammad bin Hibban Al-Busti (meninggal 354 H) berkata pada muqaddimah kitabnya Raudhatul Uqala' wa Nuzhatul Fudholaa':


"Segala puji bagi Allah yang Maha Satu dalam keEsaan UluhiyyahNya, yang Maha Mulia dengan keagungan RububiyyahNya, yang Mengurus semua kehidupan dengan ketentuan batas (ajal), yang Maha Mengetahui tentang perubahan segalanya dan keadaan-keadaannya, yang Menganugerahkan berbagai kurnia, yang mencurahkan berbagai nikmat-nikmatNya, yang Berkuasa dalam segala penciptaan bila-bila pun Dia inginkan dengan tanpa adanya bantuan atau pun nasihat. Dia menciptakan manusia sebagaimana yang Dia kehendaki dengan tanpa ada yang boleh menyamai dan menandingiNya. Semua makhluk berjalan dibawah kekuasaan Allah dan kehendakNya menguasai keberadaan makhluk."


Kemudian beliau menyebutkan pembahagian yang tiga: Uluhiyyah, Rububiyyah, dan Al-Asma' was Sifat.


5 – Ibn Abi Zaid Al-Qairawani Al-Maliki (meninggal 386 H) menyebutkan di dalam muqaddimah Kitab 'Aqidahnya:


"Termasuk di dalamnya ialah beriman dengan hati serta mengucapkannya dengan lisan bahawasanya Allah adalah sembahan yang Maha Esa, tidak ada sembahan-sembahan selainNya, tidak ada yang serupa dan sebanding denganNya, Dia tidak memiliki amak mahupun orang tua. Tidak ada pembantu dan sekutu, tidak ada permulaan bagi UluhiyyahNya, dan juga tidak ada penghabisan bagi yang selain dariNya (pada sifatNya). Tidak mungkin dapat dijangkau kesempurnaan sifat-sifat Allah dengan sekadar sifat-sifat yang disebut oleh orang-orang yang mensifatiNya, dan para cendekiawan tidak dapat menjangkau urusan Allah dengan pengolahan difikirannya."


Sehingga beliau berkata: "Maha Tinggi Allah akan terjadinya sesuatu diluar kehendak Allah (iaitu sesuatu yang tidak mungkin terjadi) dan Maha Tinggi Allah untuk bersifat memerlukan makhlukNya, Dia adalah pencipta segala sesuatu. Ingatlah Dia adalah Rabb (tuhan) para hamba dan dari perbuatan-perbuatan mereka. Dia Maha Menentukan segala gerak-geri dan akhir kehidupan mereka."


6 – Imam Abu 'Abdillah Ubaidullah bin Muhammad bin Batthoh Al-'Akbari (meninggal 387 H) di dalam kitabnya Al-Ibanah 'An Syariati Al-Firqatin Najiyah wa Mujanibatil Firqatil Mazmumah:


"Sesungguhnya perinsip keimanan kepda Allah yang wajib diyakini oleh semua makhluk dalam perihal keimanan kepadaNya ada tiga bahagian:


Pertama: Seorang hamba harus meyakini Rabbaniyah Allah, kerana yang demikian itu sebagai pemisah antara mazhab ahli ta'thil yang tidak menetapkan adanya pencipta.


Kedua: Seorang hamba harus meyakini keEsaan Allah. Hal ini untuk membezakan dengan mazhab pelaku syirik yang menetapkan adanya pencipta, namun mereka mensyirikkan Allah dalam peribadatanNya.


Ketiga: Dia hendaklah meyakini bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat sebagaimana Allah sifatkan terhadap diriNya, seperti ilmu, qudrah, hikmah dan seluruh apa yang Dia sifatkan di dalam kitabNya.


Apabila kita sudah mengetahui bahawa kebanyakan manusia yang mengakui dan mentauhidkan Allah dengan sesuatu yang mutlak, terkadang menyimpang dalam masalah sifat-sifatNya sehingga penyimpangan mereka dalam masalah itu telah merosakkan tauhidnya. Ini kerana kita lihat bahawa Allah Ta'ala telah menyuruh para hambaNya untuk meyakini ketiga jenis tauhid tersebut dan beriman dengannya.


Adapun perintah Allah kepada mereka untuk mengakui Rabbaniyyah serta keEsaanNya, tidaklah kami sebutkan, kerana panjang dan luasnya pembahasan hal tersebut, Dan juga kerana golongan Jahmiyah pun mengakui bahawa mereka menetapkan keduanya (iaitu pengakuan rububiyyah serta keEsaan Allah). Namun kerana mereka mengingkari sifat-sifat Allah, maka terbatallah pengakuan mereka terhadap keduanya." (Al-Ibanah karya Ibn Batthah (693-694) dari manuskrip aslinya, dan juga di dalam ringkasannya (Q. 150). Dinukil daripada Buku Mengapa Tauhid Dibagi Menjadi Tiga, ms. 75-77)


7 – Abu Bakar Muhammad bin Al-Walid At-Thurthusy (meninggal 520 H) menyebutkan dalam muqaddimah kitab Sirajul Muluk:


"Dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya bagi Allah itu sifat Rububiyyah dan keEsaan, dan dengan apa-apa yang Allah telah persaksikan bagi diriNya dari nama-namaNya yang baik dan sifat-sifatNya yang Maha Tinggi serta sifat-sifatNya yang Maha Sempurna." (Lihat Muqaddimah Kitabut Tauhid Ibn Mandah, 1/27-28)


8 – Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad Al-Qurthubi (wafat 671 H) berkata:


"Maka Allah adalah nama yang menunjukkan keberadaan yang Haq, terkandung di dalamnya sifat-sifat Ilahiyyah, yang mempunyai sifat Rububiyyah. Maha Tunggal dengan keberadaanNya yang hakiki. Tidak ada sembahan-sembahan yang benar melainkan Dia." (Lihat Tafsir Al-Qurthubi, 1/72)


"Dasar kesyirikkan yang diharamkan adalah keyakinan adanya sekutu bagi Allah Ta'ala dalam UluhiyyahNya, dan ini adalah kesyirikkan orang-orang jahiliyyah. Bentuk kesyirikkan yang selanjutnya adalah keyakinan adanya sekutu bagi Allah Ta'ala di dalam perbuatan walaupun dia tidak meyakini ketuhanan hal tersebut.." (Lihat Tafsir Al-Qurthubi, 5/118)


Demikian perkataan-perkataan para salaf berkenaan tauhid yang tiga ini. Demikian perkataan-perkataan para salaf berkenaan tauhid yang tiga ini. Kalaulah diajukan pertanyaan kepada mereka, mengapakah dikatakan sifat-sifat yang wajib bagi Allah hanya ada dua puluh? Sungguh pelik, tidak ada pun di dalam Al-Quran mahupun Sunnah yang mengatakan sifat Allah hanya ada dua puluh!! Ternyata inilah sebenarnya yang direka-reka lagi bid'ah yang tercela. Menetapkan sifat-sifat Allah hanyalah milikNya bukan milik kita. Wallahua'lam.

2 ulasan:

Admin berkata...

Assalamu'alaikum,

samakah tafsir imam al qurthubi dengan fahaman wahhabi salafi yang mengatakan orang kafir juga bertauhid uluhiyyah>? Tiada disebutkan pun disitu?

Admin berkata...

Firman Allah:

“Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (Yunus: 31)

Jelas di atas menunjukkan mereka (yakni kaum kuffar) meyakini kerububiyahan Allah namun ini tidaklah memadai. Tauhid yang sempurna adalah dengan meyakini keulihiyahan Allah disamping kerububiyahan Allah serta Asma wa Sifat. Ini semua tidak bertentangan langsung dengan banyaknya dalil-dalil dari firman Allah.

Sila rujuk artikel saya: http://wahabiah.blogspot.com/2009/05/adakah-tauhid-rububiyyah-sahaja.html

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails