Sabtu, 22 November 2008

KAEDAH DALIL-DALIL AL-ASMA’ WA AL-SIFAT [I]

Dalam menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t , Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) mempunyai beberapa kaedah yang telah ditetapkan oleh para ulama salaf semenjak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Kaedah ini perlu difahami dengan baik supaya dalam menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t kita menggunakan dalil yang betul serta memahami dalil tersebut dengan betul juga. Berikut adalah kaedah-kaedahnya:


1- Nama-nama dan Sifat-sifat Allah s.w.t Hanya Sabit Melalui al-Qur’an dan al-Sunnah yang Sahih Sahaja.


Berdasarkan kaedah ini, akal manusia tidak berperanan untuk menetap atau menafikan apa-apa sifat kepada Allah s.w.t kerana memikirkan bagaimana Allah s.w.t itu bukanlah peranan akal.


Apa-apa lafaz sifat dan nama yang Allah tetapkan bagi diri-Nya maka wajib kita terima dan beriman sesuai dengan lafaz dan maknanya seperti mendengar, melihat, ar-Rahman, ar-Rahim, mata, tangan, dan sebagainya demikian juga apa-apa yang Allah nafikan wajib kita nafikan seperti beranak, diperanakkan, cacat dan lain-lainnya.


Adapun, jika sifat atau nama itu tidak sabit dalam al-Qur’an atau Hadis yang sahih maka kita bertawaqquf (mendiamkan diri) pada lafaznya dengan tidak menafikan dan tidak pula menetapkannya kepada Allah s.w.t.


Adapun dari segi makna maka dilihat apakah yang hendak dimaksudkan dengan kalimah (lafaz) tersebut. Misalnya kalimah Jisim, Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menggunakan kalimah Jisim sama ada menetap atau menafikan maka kita tidak menceburkan diri dalam membincangkan perkara ini. Dilihat pula apakah maksud Jisim itu. Jika yang dikehendaki dengan jisim adalah zat maka kita katakan Allah mempunyai zat jadi dalam konsep ini tidaklah kufur orang yang mengatakan allah berjisim dengan makna zat tetapi penggunaan kalimah jisim itu perlu dijauhi kerana tidak digunakan Allah dan Rasul-Nya. Adapun jika maksud jisim itu Allah menyamai makhluk maka dalam konteks ini perkataan Allah berjisim dengan makna sama dengan makhluk adalah kufur.


Demikian juga penggunaan kalimah المكان iaitu ‘tempat’ bagi Allah s.w.t. Kita tidak boleh berkata Allah bertempat dan tidak juga Allah tidak bertempat kerana tidak sabit perbincangan ini dalam al-Qur’an dan Hadis Sahih. Dilihat pula maksud kepada mereka yang mengatakan Allah bertempat, jika yang dikehendaki dengan tempat adalah Arasy maka ianya benar tetapi penggunaan kalimah ‘tempat’ tidak sesuai namun jika dikehendaki Allah terhad dan tertentu (terkurung) dalam suatu tempat maka ianya jelas kufur.


Dalil kaedah ini firman Allah s.w.t :


فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


Maksudnya: “oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. [al-A'raf : 158].

Dan sabda Nabi s.a.w:


إنَّ الله فَرَضَ فرائِضَ ، فَلا تُضَيِّعُوها ، وحَدَّ حُدُوداً فلا تَعْتَدوها ، وحَرَّمَ أَشْياءَ ، فلا تَنتهكوها ، وسَكَتَ عنْ أشياءَ رَحْمةً لكُم غَيْرَ نِسيانٍ ، فلا تَبحَثوا عَنْها


Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepada kamu beberapa kewajipan maka janganlah disia-siakan danDia menetapkan batasan maka jangan kamu lampauinyadan Dia mengharamkan beberapa perkara maka jangan kamu langgarnya dan Dia ‘mendiamkan’ tentang beberapa perkara sebagai Rahmat bagi kamu bukan kerana lupa maka jangan kamu mencari-cari ia[al-Daruqutni dll].


2- Wajib Menetapkan Nas-nas Sifat Sesuai dengan Makna yang Zahir daripada Lafaznya Tanpa Tahrif (pengubahan).


Berkata Imam al-Zuhri r.h:


“من الله تعالى الرسالة وعلى الرسول صلى الله عليه وسلم البلاغ وعلينا التسليم، أمروا أحاديث رسول الله كما جاءت”


Maksudnya: “Daripada Allah Taala datangnya Risalah (agama), dan atas Rasulullah s.a.w (kewajipan) menyampaikan dan atas kita (kewajipan) menerima; Jalankanlah (berimanlah) kepada hadis-hadis Rasulullah sebagaimana ia datang” [Aqwal al-Tabiin fi al-Tauhid wal Iman, 809].


Berkata Imam al-Khattabi r.h:


مذهب السلف في الصفات إثباتها وإجراؤها على ظاهرها ونفي الكيفية والتشبيه عنها


Maksudnya: “Mazhab al-Salaf (ASWJ) dalam sifat-sifat (allah) adalah menetapkannya dan beriman sesuai dengan zahirnya dan menafikan kaifiat dan penyerupaan (dengan makhluk)”- [Mukhtasar al-Uluww,31]


Berkata pula Imam Ibn abdil Barr r.h:


أهل السنة مجمعون على الإقرار بالصفات الواردة في الكتاب والسنة وحملها على الحقيقة لا على المجاز إلا أنهم لم يكيفوا شيئا من ذلك


Maksudnya: “Ahli Sunnah telah ijmak berikrar (beriman) dengan sifat-sifat (Allah) yang warid (sabit) dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan membawa (maknanya) dengan makna hakiki bukan majazi (kiasan) tetapi mereka tidak memberikan kaifiat (bagaimana) terhadap sifat-sifat tersebut”- [Mukhtasar al-Uluww,32]


Berdasarkan kaedah ini, semua lafaz sifat dalam al-Qur’an dan Hadis Sahih mesti difahami dengan makna yang zahir daripada bahasa Arab yang asli yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat.


Maka, apabila Allah berfirman:


الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى


Maksudnya: “Dialah al-Rahman yang bersemayam di atas Arasy (Takhta Kebesaran Allah s.w.t)”- [Taha:5]


Kalimah استوى dalam ayat itu perlu difahami dengan bahasa arab yang zahir iaitu العلو (Meninggi) dan الارتفاع (Teratas) kerana di ta’addi dengan huruf jarr على. [Rujuk al-Mukjam al-Wasit, 466].


Demikian juga sifat السمع (Mendengar) maka dalam bahasa arab maksud mendengar adalah إدراك المسموعات والأصوات” (Mendapat dengar perkara yang boleh didengari dan suara) bukan diterjemah sebagai “Mengetahui perkara-perkara yang boleh didengari” sebagaiman takwilan Asyairah kerana ini bertentangan dengan bahasa asli.


Dalil Kaedah ini sabit melalui Naqli dan Akli. Dalil Naqli adalah firman Allah s.w.t:


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran Yang dibaca Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya”. [Yusuf:2]


Dan firman Allah s.w.t:


مِنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا


Maksudnya: ” di antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata Dalam hati): “Kami tidak akan menurut…” [al-Nisaa:46].


Dalam dalil yang pertama menunjukkan wajibnya memahami dalil sesuai dengan bahasa Arab dan dalam dalil kedua menjadi bukti laranagn mengubah makna nas daripada zahirnya kecuali dengan dalil yang kukuh pula.


Adapun dalil akli adalah Penutur nas ini sama ada al-Qur’an yang ditutrkan oleh Allah atau Hadis Nabawi yang penuturnya adalah Rasulullah s.a.w lebih mengetahui maksudnya dan mereka bertutur dengan bahasa Arab yang jelas maka perlulah difahami sesuai dengan kehendak penuturnya.


Adalah mustahil kita hendak memahami bahasa Arab melalui bahasa Yunani Greek sebagaimana yang dibuat oleh Ahli Kalam sama ada Muktazilah mahupun Asyairah.


3- Zahir Nas-nas Sifat adalah Maklum kepada Kita dari segi Makna dan Majhul dari segi Kaifiat.


Asal kaedah ini adalah ucapan para salaf dan yang masyhur adalah ucapan Imam Malik bin Anas r.h:


الاستواء غير مجهول، والكيف غير معقول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعة


Maksudnya: “Istiwa’ itu bukanlah majhul (yakni diketahui maknanya bukanlah tidak diketahui) dan caranya itu tidak diketahui oleh akal dan beriman dengannya wajib dan bertanya berkenaan (caranya) adalah bidaah” [Tafsir al-Baghawi,3/236].


Kaedah ini menjadi pembeza di antara ahli Sunnah wal Jamaah dengan al-Asyairah al-Mufawwidah (الأشاعرة المفوضة) kerana mereka ini berkata sifat Allah (sifat Khabariah) itu Majhul Makna dan Kaif.


Maka, atas kaedah ini, apabila ditanya kepada mereka apakah makna Istiwa’? maka jawabnya: “Hanya Allah sahaja yang tahu”. Adapun jika Ahli Sunnah ditanya apakah makna Istiwa maka jawabnya : “Istiwa’ itu adalah meninggi dan tertatas tetapi bagaimana caranya Allah meninggi dan teratas di atas Arasy hanya Dia jua yang Maha Mengetahui”.


Dalil Kaedah ini sabit dengan Naqli dan Akli. Dalil Naqli adalah firman Allah s.w.t:


كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami Dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang Yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” [Sod:29]


Maka, hikmah allah menurunkan al-Quran adalah untuk diteliti maknanya, jika maknanya majhul ternafilah hikmah ini. Ayat ini merupakan tamparan Allah s.w.t kepada al-Asyairah al-Mufawwidah.


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nahl ayat 44:


وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ


Maksudnya: “dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran Yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa Yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”


Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w diperintah supaya menjelaskan al-Qur’an maka amat mustahil baginda menjelaskan al-Qur’an tanpa menjelaskan makna. Demikian juga hikmah al-Qur’an itu diturunkan supaya manusia berfirkir maka bagaimana mereka hendak berfikir jika maknanya majhul?!subhananllah.


Adapun dalil akli, adalah mustahil Allah s.w.t menurunkan kitab-Nya yang merupakan kalam-Nya dan Rasul-Nya bertutur menjelaskan kitab-Nya dan kedua-dua kalam ini merupakan hidayah (petunjuk bagi manusia) serta menjelaskan kepada mereka perkara-perkara paling mustahak untuk diketahui tetapi maknanya majhul seperti huruf-huruf hijai (abjad arab) kerana ini menisbahkan kebodohan dan kejahilan kepada Allah dan Rasul-Nya.Maha Suci Allah daripada kekejian lidah Asyairah!!


4- Maksud Zahir Nas-nas itu adalah Apa yang Segera ditangkap Oleh Akal (Zihin) dan Ia Berbeza-beza dengan Berbezanya Siaq Ayat (Gaya Bahasa Sesuatu Ayat).


Kaedah keempat ini sangat penting untuk menjelaskan syubhat ahli bidaah terhadap beberapa tafsiran salaf terhadap ayat-ayat yang disangka ayat sifat.


Perlu difahami bahawa kalimah dalam bahasa arab itu membawa maksud yang berbeza apabila dihubungkan dengan kalimah yang berbeza atau disusun dalam gaya bahasa yang berbeza.


Ambil contoh yang mudah kalimah رغب apabila dihubung dengan huruf jar في yakni (رغب في…) ia membawa makna ’suka kepada…’ tetapi apabila dihubung kepada huruf عن (رغب عن…) ia membawa maksud ‘benci akan..’.


Terdapat 3 perkara yang mempengaruhi makna sesuatu kalimah:


1-al-Siaq (السياق) yakni Gaya Bahasa

2-al-Idhafah (الإضافـــة) yakni penisbatan

3-at-Tarakib(التراكيب) yakni susunan ayat.


Contoh pengaruh al-Siaq seperti kalimah القريــــــــــة kadangkala membawa maksud kaum dan kadangkala bermaksud tempat tinggal sesuatu kaum

.

Dalam firman Allah s.w.t:


وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا


Maksudnya: ” dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; “. [al-Israa: 58].


Maksud qaryah adalah suatu kaum dan dalam firman yang lain:


إِنَّا مُهْلِكُو أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ


Maksudnya: “Sebenarnya Kami hendak membinasakan penduduk bandar ini…” [al-Ankabut:31]


Qaryah dalam ayat ini bermaksud tempat tinggal suatu kaum.


Misal Idhafah pula seperti kita berkata:


قبضت الكتاب بيدي


Maksudnya: “Saya memegang buku dengan tangan saya”


Kalimah اليد (tangan) di sini bermaksud tangan makhluk yang merupakan anggota tubuhnya kerana diidafahkan pada makhluk. Kemudian dalam al-Qur’an digunakan kalimah al-Yad dan diidafah kepada Allah s.w.t:


لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيّ

َ


Maksudnya: “..kepada apa yang Aku (Allah) cipta dengan dua tangan-Ku”


Maka apabila kita mendengar kalam yang pertama sebaik mendengar kalimah ‘tangan’ kita akan terbayang tangan mempunyai lima jari, ruas-ruas jari, kuku dan tapak tangan kerana zahir daripada idafah tangan kepada makhluk. Tetapi bila kita mendengar firman Allah s.w.t maka tersegera dalam akal kita sebaik mendengar kalimah ‘tangan’ suatu sifat Tuhan yang tidak tergambar bagaimana rupanya.


Misal Tarkib pula seperti kita berkata:


ما عندك إلا زيد


Maksudnya: “Tidak ada di sisi kamu kecuali Zaid”


Dan kata kita:


ما زيد إلا عندك


Maksudnya: “Tidaklah Zaid itu kecuali bersama kamu”


Dalam contoh pertama tarkib yang digunaan adalah قصر الصفة على الموصوف yang membawa maksud di sisi kamu hanya ada Zaid seorang sahaja. Adapun dalam tarkib kedua kita terbalikkan قصر الموصوف على الصفة bermakna Zaid hanya berada dengan kamu tetapi tidak bermakna tiada orang lain bersama kamu.


Ini merupakan keajaiban bahasa Arab oleh sebab itulah Allah s.w.t memilih untuk bertutur menggunakan bahasa Arab dalam al-Qur’an.


Oleh itu, perlu difahami bahawa yang dimaksudkan ‘Makna Zahir yang segera tergambar di fikiran’ adalah apa yang tergambar sesuai dengan siaq ayat atau idafahnya atau tarkibnya.


Kesimpulannya, setiap makna kalimah itu perlu dirujuk kepada qarinah-qarinah yang menunjuk kepada sesuatu makna.


Oleh: Ustaz Abu Rubayyi' Muhammad Asrie As-Salafiy

Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2008/11/22/kaedah-dalil-dalil-al-asma-wa-al-sifat-i/

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails