Khamis, 5 Jun 2008

TAWASSUL DI SISI AHLI SUNNAH

Tawassul yang berlegar dikebanyakkan masyarakat pada hari ini adalah tawassul seperti memohon kepada seorang syeikh atau pun wali yang kononnya dengan tawassul inilah doanya akan lebih makbul. Tidak kurang juga ada masyarakat yang masih tidak mengetahui apa itu tawassul. Bila ditanya, tentu saja dia menjawab perkataan itu baru padanya. Untuk membahas masalah ini saya ingin memberi ta’rif tawassul terlebih dahulu.

1.Ta’rif Tawassul

Tawassul ataupun Wasilah ia bermaksud perantaraan. Seseorang yang berdoa dengan bertawassul adalah orang yang berdoa dengan perantaraan. Seperti orang yang sakit perantaraannya untuk hendak sembuh ialah dengan ubat. Dalam kamus “Lisan Al-Arab” menyebut orang yang bertawassul kepada Allah melalui wasilah (perantaraan) ialah “apabila ia mengerjakan sesuatu amalan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dengan amalan tersebut”.[1]

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


)يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ(


Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan. [Surah Al-Maidah ayat 35]

Imam Ibn Katsir dan Imam At-Thabrani mengatakan yang dimaksudkan dengan ayat “dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya” ialah: Berkata Qatadah: “mendekatiNya dengan taat kepadanya dan beramal dengan apa yang diredhaiNya”.[2] Dalam menafsirkan ayat ini ramai para pengikut tarikat-tarikat yang tersalah dengan menmbolehkan bertawassul dengan cara yang haram sedangkan para mufassirin mentafsirkan tawassul tersebut adalah mendekatkan diri kepada Allah dengan amal-amal taat kepada Allah iaitu melakukan ibadat sepertimana yang telah disyari’atkan.

Dalam masalah tawassul Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang sederhana dalam masalah tawassul. Iaitu tawassul dibolehkan akan tetapi hendaklah bersandar dengan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis yang sahih. Golongan Ahli Sunnah tidak menolak kesemua jenis tawassul dan tidak pula menerima kesemua jenis tawassul kerana ada tawassul yang tidak disyari’atkan.

2.Pembahagian Tawassul

Tawassul terbahagi kepada 3 bahagian: tawassul yang semula jadi, tawassul yang disyari’atkan dan tawassul yang haram ataupun syirik.

1.) Tawassul yang semula jadi adalah seperti udara perantaraan untuk bernafas bagi manusia, air perantaraan untuk menghilangkan haus, makanan perantaraan untuk menghilangkan kelaparan, ubat perantaraan untuk menyembuhkan penyakit, ilmu perantaraan untuk membasmi kejahilan, kenderaan perantaraan untuk sampai ketempat destinasi, api perantaraan untuk mendapat cahaya begitu juga kegunaannya untuk memasak, posmen perantaraan untuk mengirim surat dan banyak lagi.[3]

Tawassul seperti ini tidak boleh dihukumkan haram atau syirik kerana setiap manusia tidak dapat dielakkan dari memerlukan kepada makhluk yang hidup. Inilah yang dikatakan fitrah (Tabi’i) yang berlaku ke atas setiap manusia tanpa pengecualian. Ini sekaligus menyangkal pendapat sebahagian manusia yang menggunakan dalil keperluan pada tawassul adalah kerana ia adalah fitrah sebagaimana contoh-contoh yang disebutkan di atas. Tawassul yang dibenarkan adalah merujuk pada dalil-dalil yang sangat banyaknya di dalam Al-Quran dan Hadis dan tawassul yang haram adalah tawassul dengan cara yang tidak dikenali oleh para sahabat terdahulu.

2.) Tawassul yang disyari’atkan adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih serta perbuatan para sahabat Radhiallahu ‘anhum. Contoh yang mudah tawassul seperti ini ialah seperti mengucapkan dua kalimah syahadah beserta kefahaman yang betul serta diiringi dengan menunaikan ataupun memenuhi tuntutannya maka dia akan masuk syurga. Ini sebagaimana sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:


من مات وهو يعلم أن لا إله إلا الله دخل الجنة


“Sesiapa yang mati sedang ia mengetahui Tiada Tuhan yang berhak diibadahi melainkan Allah, dia akan masuk syurga” [Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibn Hibban, Lihat: Musnad Ahmad Takhrij Al-Arnauth, no: 464 dan 498]

Kita disyari’atkan untuk berdoa dengan meminta terus kepada Allah tanpa perantaraan apa-apa sebagaimana firmannya:


)وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ(


Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku (berdoa kepadaku) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”. [Surah Al-Ghafir ayat 60]


)إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ(


“Hanya Engkaulah tempat kami menyembah, dan Hanya kepada Engkaulah tempat kami meminta pertolongan”. [Surah Al-Fatihah ayat 5]

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:


إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله


“Apabila engkau meminta (pertolongan) hendaklah engkau meminta kepada Allah dan jika engkau meminta pertolongan, maka mintalah kepada Allah”. [Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Wa Dha’if Al-Tirmidzi, no: 2516, begitu juga Al-Arnauth mensahihkan dalam Musnad Ahmad, no: 2763 ]

Walaubagaimanapun diperbolehkan untuk kita bertawassul dalam doa kita. Antara tawassul yang disyari’atkan tersebut adalah (1) berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifatnya, (2) bertawassul dengan amal soleh diri sendiri, dan (3) bertawassul dengan meminta orang soleh mendoakan kita. Ini sepertimana yang telah termaktub dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah:


)وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ(


“Hanya milik Allah asmaa-ul husna, Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang Telah mereka kerjakan”. [Surah Al-A’raf ayat 180]

Seperti mana selalunya kita berdoa “Ya Allah Ya Tuhanku Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih” atau “Ya Allah Tuhan yang menciptakan sekelian makhlukNya” atau “Ya Allah Tuhan yang Maha Adil” dan sebagainya lagi. Berdoa seperti inilah yang lebih baik malah amat elok ketika berdoa. Sebagaimana kalau kita hendak meminta dengan seseorang sesuatu, mestilah kita memujinya terlebih dahulu sebelum menyatakan hasrat permintaan.

Ini sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah sendiri ketika mana beliau bersedih dan berdoa dengan menyebut sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala:


كان إذا حزبه أمر قال : يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث


“Sesungguhnya apabila baginda (Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam) bersedih kerana sesuatu perkara maka baginda mengucapkan: “Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri sendiri dengan RahmatMu aku memohon pertolongan”. [Hadis Riwayat Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 3524]


اللهم إني أعوذ بعزتك لا إله إلا أنت أن تضلني


“Ya Allah aku berlindung dengan kebesaranMu, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, janganlah sesatkan aku” [Hadis Riwayat Muslim, Lihat Sahih al-Jami’ Shogier, no: 1309]

Manakala bertawassul dengan amalan soleh telah pun diceritakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dimana sebuah hadis yang panjang ini menceritakan bahawa terdapat 3 orang lelaki terlepas dan terselamat dari terperangkap di dalam gua yang tertutup dengan cara bertawassul kepada Allah melalui amal soleh yang pernah mereka lakukan:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhu katanya: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tiga orang lelaki sedang berjalan-jalan, tiba-tiba turun hujan. Lalu mereka berteduh di dalam gua, lalu gua itu tertutup dengan sebuah batu besar menyebabkan mereka terkurung, lalu sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: “Ingatlah semua amalan baik yang pernah kamu lakukan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala setelah itu berdoalah kepada Allah dengan amalan masing-masing. Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala menolong kesulitan ini. Lelaki pertama berkata: Ya Allah, suatu ketika dulu aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sudah tua melarat. Mereka tinggal bersama keluargaku yang terdiri dari seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil. Aku pelihara mereka serta berkhidmat untuk mereka. Sebaik saja aku mempunyai masa lapang aku terus memerahkan susu untuk mereka.

Aku utamakan kedua orang tuaku untuk meminumnya terlebih dahulu daripada anak-anakku. Satu hari kerana kesibukan pekerjaanku sehingga ke petang, baru aku dapat pulang. Aku dapati kedua orang tuaku sudah tidur. Seperti biasa aku terus memerah susu. Aku letakkan susu tersebut di dalam sebuah bejana. Aku berdiri di hujung kepala kedua orang tuaku, namun aku tidak sanggup membangkitkan mereka dari tidur yang nyenyak. Aku juga tidak sanggup untuk memberi anak-anakku minum terlebih dahulu sebelum kedua orang tuaku meminumnya, sekalipun mereka meminta-minta dihadapanku kerana lapar dahaga. Aku terus setia menunggu mereka dan mereka juga tetap pula tidur sampai ke pagi. Jika Engkau (Allah) tahu apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata mengharapkan keredhaanMu, maka tolonglah aku dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini, sehingga kami boleh melihat langit.

Disebabkan khidmat bakti Allah Subhanahu wa Ta’ala berkenan menolong mereka dengan menggerakkan sedikit batu besar tersebut, sehingga mereka boleh melihat langit. Lelaki kedua pula berkata: Ya Allah, suatu ketika dahulu aku mempunyai seorang sepupu perempuan. Aku mengasihinya sebagaimana cinta seorang lelaki terhadap seorang perempuan yang cukup mendalam. Aku minta supaya dia melayani keinginan nafsuku. Namun begitu dia tidak sudi untuk berbuat demikian kecuali setelah aku memberikannya wang sebanyak seratus dinar. Untuk tujuan tersebut dengan susah payah akhirnya aku mampu mengumpulkan wang sebanyak itu. Aku membawa wang tersebut kepadanya.

Sebaik saja aku ingin menyetubuhinya, dia berkata: Wahai hamba Allah! Takutlah pada Allah. Janganlah kamu meragut kesucianku kecuali dengan pernikahan terlebih dahulu. Mendengar kata-kata tersebut aku terus bangkit daripadanya serta membatalkan niat jahatku itu. Seandainya Engkau (Allah) tahu bahawa apa yang aku lakukan ini adalah semata-mata untuk mencari keredhaanMu, tolonglah kami dari kesulitan ini. Gerakkanlah batu besar ini agar terbuka sedikit lagi.

Lelaki ketiga pula berkata: Ya Allah, suatu ketika dulu aku pernah mengupah seorang pekerja untuk menunggal (membahagikan) padi. Sebaik saja selesai melakukan pekerjaan, dia berkata: berikan upahku. Namun aku enggan membayar upahnya. Dia terus menunggal dan meminta lagi upahnya beberapa kali. Aku masih seperti biasa, enggan membayar upahnya dan terus mengupahnya menunggal padi sampai aku berjaya memiliki seekor lembu dan beberapa ekor anaknya. Suatu hari lelaki tadi datang kepadaku dan berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah mempermainkan aku. Aku berkata: Aku tidak mempermainkan kamu, tetapi ambillah lembu tersebut. Seandainya Engkau tahu bahawa apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata untuk mencari keredhaanMu, tolonglah kami dari kesulitan yang tinggal hanya sedikit lagi. Akhirnya Allah pun menolong mereka dengan menggerakkan batu besar yang menutupi gua tempat di mana tempat mereka berteduh. [Hadis Riwayat Bukhari, Lihat: Sahih Bukhari, no: 2165]

Hadis di atas menunjukkan keharusan bertawassul kepada amal soleh yang kita pernah lakukan terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala sepertimana yang dilakukan oleh ketiga-tiga orang tersebut. Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan yang pertengahan dalam masalah ini kerana mereka tidak menolak kesemua jenis tawassul dan tidak pula menerima semua sekali cara bertawassul. Mereka mengambil cara bertawassul yang telah disepakati akan keharusannya berdasarkan dalil-dalil yang Sahih dan yang Sarih (jelas).

Adapun bertawassul dengan cara meminta orang soleh doakan atau jika hidup di zaman Nabi lagi, ia minta agar Nabi doakan untuknya adalah juga cara yang dibenarkan kerana berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam Sahihnya:


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا قَالَ فَيُسْقَوْنَ


“Dari Anas bin Malik, bahawasanya Umar bin Al-Khattab Radhiallahu ‘anhu. Apabila tiba kemarau, beliau (beserta para sahabat) bertawassul dengan Abbas bin Abdul Muttalib, maka beliau berkata: Ya Allah, bahawasanya kami pernah bertawassul kepadamu dengan Nabimu (Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam) Maka Engkau turunkan hujan dan sekarang kami bertawassul dengan paman nabi kami kepada Engkau, maka turunkanlah hujan.” [Hadis Riwayat Bukhari, no: 954]

Yang dimaksudkan dari kata-kata Umar pada hadis ini sebenarnya adalah kepada doa Abbas (yang masih hidup) yang ketika itu Abbas bersama-sama para sahabat dan Abbas juga mendengar permintaan Umar dan Abbas benar-benar berada di hadapannya. Adapun maksud sebenar Umar dalam Hadis ini ialah:

“Kami pernah bertawassul kepadamu melalui Nabimu dan kami bertawassul sekarang dengan paman NabiMu, sesungguhnya kami maksudkan Nabi kami (Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam) dan meminta agar baginda berdoa untuk kami dan berperantaraan kepada Allah dengan doanya. Sekarang baginda telah berpindah ke sisiMu Tuhannya yang Agung, tidak mungkin baginda mengulangi doanya untuk kami. Maka kami beralih kepada paman Nabi kami iaitu Abbas, kami meminta kepadanya supaya mendoakan kami.”[4]

Untuk menguatkan lagi hujah di atas, kita juga dapat lihat satu lagi contoh iaitu seorang yang kurang baik penglihatannya bertawassul dengan doa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang juga menjadi hujah bahawa harusnya bertawassul dengan doa orang yang hidup seperti Nabi, Rasul, atau orang soleh. Hadis seperti berikut:


عن عثمان بن حنيف أن رجلا ضرير البصر أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال ادع الله أن يعافيني قال إن شئت دعوت وإن شئت صبرت فهو خير لك قال فادعه قال فأمره أن يتوضأ فيحسن وضوءه ويدعو بهذا الدعاء اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبيك محمد نبي الرحمة إني توجهت بك إلى ربي في حاجتي هذه لتقضى لي اللهم فشفعه....


“Dari Utsman bin Hanif, bahawasanya seorang lelaki kurang baik penglihatannya menemui Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan aku. Baginda (Nabi) bersabda: Jika engkau mahu aku akan doakan engkau dan jika mahu ditangguhkan itu lebih baik. Beliau (lelaki tersebut) berkata: Doakanlah kepadaNya. Maka baginda menyuruhnya agar berwuduk maka ia berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian bersembahyang dua rakaat lalu berdoa dengan doa berikut: Ya Allah sesungguhnya aku meminta dan bertawajjuh (menghadapkan wajah) kepadaMu melalui (doa) nabi Muhammad yang pembawa Rahmat. Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh dengan engkau kepada Tuhanku agar dipenuhi hajatku ini, maka tunaikanlah untukku. (baginda terus berdoa): Ya Allah sembuhkan dia dengan doaku. Beliau (lelaki tersebut) berkata: Maka (penyakit itu sembuh).” [Hadis Riwayat Tirmizi, no: 3502, dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Al-Tirmidzi, no: 3578][5]

Maka keseluruhan daripada hadis ini kita dapati bahawa harusnya bertawassul hanya dengan doa seseorang yang masih hidup. Tidak ditemui hadis-hadis yang membicarakan bolehnya bertawassul dengan zat, berkat atau kemuliaan seseorang yang hidup maupun yang telah mati. Jika ada, pasti ada contoh daripada para sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in kerana mereka adalah umat yang paling terbaik untuk dijadikan contoh.

3.) Tawassul yang Haram ialah tawassul selain daripada contoh-contoh tawassul yang telah diterangkan sebelum ini. Ini kerana tawassul adalah suatu ibadat. Sedangkan menurut kaedah “Asal ibadat adalah haram kecuali yang ada dalil.” Para pengikut Al-Arqam adalah salah satu tarekat yang mengamalkan tawassul yang terkeluar dari landasan syari’at. Di dalam pengamalan Aurad Muhammadiyah terdapat satu seruan kepada Syeikh Suhaimi yang boleh membawa kepada syirik. Caranya adalah dengan menyebut:


أُحْضُرُواْ يَا سَيْدِ الشَّيْخِ مُحَمَّدِ السُّحَيْمِيْ


Tiga kali satu nafas kemudian berkata: “Saya minta diajarkan kepada saya keramat Pencak Sunda dan dipagarkan badan saya daripada musuh dengan izin Allah.” Malah mereka sering bertawassul dengan meminta pertolongan daripada Abuya dengan perkataan “Wahai Abuya, tolonglah kami dalam pelbagai masalah kami.” Cara ini jelas bertentangan dengan surah Al-Fatihah yang bermaksud: “Hanya padaMu kami menyembah dan hanya padaMu tempat kami memohon pertolongan.” Bahkan, inilah juga sebenarnya amalan-amalan para pengikut tarikat lainnya seperti Naqsyabandiyah, Syaziliah, Rifa’iyah dan banyak lagi.

Mari kita lihat di dalam buku Aurad Muhammadiah yang berjudul : “Hazihi al-Aurad ul-Muhammadiyah.” Keluaran Minda sheikhul Arqam, Kuala Lumpur 1993 M bersamaan 1413 H selain mempunyai amalan pencak sunda, satu lagi amalan dan cara tawassul yang syirik mereka amalkan (seperti yang diketahui oleh pengamalnya):

“Mereka yang mendapat ijazah dan mengamalkan aurad ini mendapat satu faedah lagi yang besar iaitu dibantu sewaktu kecemasan. Apabila di dalam kecemasan, berilah salam kepada yang punya aurad ini dengan berkata: “assalamualaikum ya saiyidi Syeikh Muhammad as-Suhaimi tiga kali satu nafas dan kemudian nyatakanlah segala hajat dan akhir sekali sudahi dengan ungkapan dengan izin Allah.”

Inilah yang menjadi amalan mereka disebalik amalan wirid-wirid susunan yang telah direka cipta oleh manusia, mereka juga bertawassul dengan Syeikh Suhaimi yang kononnya adalah akan dizahirkan menjadi Imam Mahdi. Padahal amalan mereka tidak adapun di zaman Nabi, Sahabat, Tabi’in, maupun Tabi’ tabi’in. Malangnya para pengamal Aurad Muhammadiah (juga pengikut tarikat-tarikat yang lain) kebanyakan tidak mahu meneliti bab ini. Sebaliknya, kebanyakan daripada mereka hanya mengikut amalan para pengamal tarikat sebelum mereka yang juga berkemungkinan tidak mengetahui kenyataan ini.

Sebahagian daripada mereka ada yang cuba untuk mengelak daripada mengetahui kenyataan ini kerana bimbang ajaran mereka selama ini adalah salah dan telah terkeluar dari landasan syariat. Sehingga ada yang berkata: “Takkanlah para ustaz-ustaz yang dulunya itu membuat kesalahan?” Ada juga yang berkata: “Terlalu ramai sudah yang beramal sebegini, takkan kita nak kata mereka salah (sesat)?” Semua percakapan sebegini adalah berbentuk penafian mereka terhadap amalan mereka (bertawassul dengan pemimpin mereka dan pengasas tarikat mereka) yang telah menjadi amalan mereka selama ini. Sedangkan Allah telah pun berfirman:


)وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصُونَ (


“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang dimuka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” [Surah Al-An’am ayat 116]



[1] Dinukil dari Manhaj Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Ismail bin Omar, cetakan kedua 2006, halaman 226.

[2] Ibid.

[3] Rujuk Tawassul/ Wasilah, Istighasah, & Syafaat menurut Al-Quran dan As-Sunnah, Rasul bin Dahri, Terbitan Jahabersa.

[4] Hadis selanjutnya, lihat: Al-Asobah jilid 3, halaman 634, Al-‘Asqalani.

[5] Hadis ini juga adalah dalil bahawasanya adanya solat hajat. Ini kerana dalil-dalil yang dibawa tentang solat hajat kebanyakannya adalah dha’if kecuali hadis ini. Maka disunnatkan solat hajat sebagaimana orang buta dalam hadis tersebut lakukan kemudian bolehlah bertawassul iaitu meminta agar orang soleh mendoakannya. Wallahua’lam

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails