Antara sebahagian yang mereka (golongan asya'irah) perkatakan, golongan asya'rah adalah golongan yang terbanyak penganutnya di dunia islam waktu dahulu sehingga kini termasuklah di nusantara ini. Padahal mereka lupa nabi pernah bersabda:
وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي
“Dan akan terpecah umatku menjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. [Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dan lain-lain]
Sebagaimana riwayat lain dengan lafaznya yang berbeza sering kita dengari iaitu:
وإن أمتي ستفترق على ثنتين وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة وهي الجماعة
“Dan sesungguhnya umatku akan terpecah kepada 73 aliran (puak), kesemuanya ke neraka kecuali satu, dan ia adalah al-Jama’ah.” [Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad, Thabrani dan lain-lain]
Imam Ibn Taimiyyah adalah tokoh yang sebenarnya terbaik dalam apa-apa bidang hatta beliau dapat mengatasi tokoh-tokoh lain dari kalangan ulama pada zamannya. Tidak seperti yang cuba dikelirukan oleh golongan-golongan asya'irah yang senantiasa mengaitkan Ibn Taimiyyah dengan "Musyabbihah dan Mujassimah" kerana memperkatakan Allah bersemayam di atas Arasy, memiliki tangan, dan lain-lain sebagaimana Al-Quran dan As-Sunnah mengkhabarkan kepada kita. Perkara ini sudah lama dijelaskan oleh tokoh-tokoh sunnah di dalam buku-buku mereka, tetapi malangnya mereka adalah golongan yang keras kepala yang sentiasa merasa Al-Quran tidak lengkap dan tidak sempurna maksudnya sehingga perlu pada pentakwilan daripada kalangan mereka. Sehinggalah mereka menafikan Allah bersemayam di atas Arasy, menafikan Allah punya Tangan dan sebagainya. Sebagai contoh dalam firman Allah:
"Allah berfirman: Hai Iblis! Apa yang menghalangimu daripada turut sujud kepada Adam yang Aku telah ciptakan dengan kedua Tangan-Ku?" [Surah Shaad: 75]
"Tiada suatupun yang seumpama denganNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [Surah Asy-Syuura: 11]
Ayat di atas menjawab persoalan mereka bahawa Allah tidak sama dengan makhlukNya sedang Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Apakah Manusia tidak punya pendengaran? Apakah manusia tidak punya penglihatan?? Jawapannya sudah tentu ada, tetapi pendengaran dan penglihatan Allah adalah tidak sama dengan Makhluknya. Inilah Aqidah para Salafus Soleh yang dipelopori oleh Nabi Muhammad s.a.w. serta para Sahabat baginda. Perkara ini boleh dirujuk dengan sekian banyaknya buku-buku Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengikut pahaman Salafus Soleh bukan buku-buku Ahli Sunnah Wal Jamaah Asya'irah dan Maturidiyah.
Ibn Taimiyyah adalah ulama yang meniti jalan fahaman Salafus Soleh. Mari kita lihat apakah pandangan ulama-ulama terhadap ketokohan Ibn Taimiyyah yang saya nukilkan dari Muqaddimah Fi Usul Tafsir yang disunting oleh Adnan Zarzur:
1.Imam Az-Zahabi (748 H)
"Beliau (Ibn Taimiyyah) menjadi simbol kepintaran dan kecerdasan, sentiasa terkehadapan dalam memahami al-Kitab dan al-Sunnah dan ilmu Ikhtilaf (ilmu yang menjelaskan al-Quran dan al-Hadis tidak bercanggah), luas maklumat dalam ilmu riwayat. Seorang ulama yang ulung di zamannya lagi zuhud. Seorang yang berani tapi pemurah. Seorang yang jaguh dalm perlaksanaan amar makruf dan nahi mungkar, banyak menghasilkan karya, sering membaca dan produktif. Pintar dalam bidang hadis dan fiqh, berkeahlian menyampaikan pengajaran dan memberikan fatwa waktu berusia 17 Tahun. Sering berada dibarisan hadapan dalam ilmu Tafsir dan Usul serta semua ilmu-ilmu Islam dari segi usul dan furu' terperinci dan halus."
Di tempat lain beliau berkata: "Beliau mempunyai maklumat lengkap dalam ilmu Jarh wa al-Ta'dil lengkap dengan para perawi dan status mereka. Mempunyai pengetahuan dalam seni hadis, 'Ali dan Nazil, sahih dan dha'if, serta menghafaz matan-matan yang tidak dimiliki oleh orang lain, tiada siapa di zaman beliau yang menandingi kedudukannya dan menyemai dengannya. Keupayaan membentangkan pendapat dan mengeluarkan hujah sungguh ajaib. Beliau menulis sesuatu tentang tafsir, Fiqh, kedua-dua usul, penolakan ke atas ahli falsafah dan orang-orang terdahulu siang dan malam tidak kurang dari empat salinan atau lebih. Adalah dijangka penulisan beliau hingga ke hari ini - sebelum kematian beliau dengan tempoh yang lama - mencapai angka lima ratus jilid." [Dinukil daripada Muqaddimah Fi Usul Tafsir, Ibn Taimiyyah yang disunting oleh Adnan Zarzur, bahagian pendahuluan penyunting, Intel MULTIMEDIA AND PUBLICATION, halaman xvi - xvii]
2. Kamaludin bin al-Zamlakani (727 H)
"Apabila ditanya (Ibn Taimiyyah) tentang sesuatu ilmu, orang-orang yang melihat dan mendengar menyangka beliau tidak mempunyai maklumat kecuali setakat ilmu tersebut sahaja. Ternyata bahawa tiada seorang pun yang menyainginya. Berbagai lapisan Fuqaha apabila duduk bersama beliau akan memperolehi banyak perkara yang boleh dimanfaatkan untuk aliran mazhab mereka, sedang sebelumnya mereka mungkin tidak mengetahui perkara itu. Tidak pernah diketahui dalam sejarah terdapat orang yang boleh menewaskan beliau dalam perbahasan. Apabila dia memperkatakan sesuatu topik sama ada berupa keagamaan atau bukan keagamaan, maka para ahli dan orang-orang yang bersamanya akan menang. Apabila menulis buku, cara pengolahannya adalah mantap, begitu juga susunan, bahagian dan penerangannya adalah jelas." [Ibid, halaman xvii]
3. Syeikh Syamsudin di dalam al-Wafi bi al-Waafayat
"Aku tidak pernah bertemu seorang yang lebih pantas dari beliau dalam menyaring ayat al-Quran bagi merungkai sesuatu persoalan. Demikian juga, tidak pernah aku melihat orang yang begitu tangkas mengeluarkan hadis dalam merungkai permasalahan bersekali dengan status sahih atau al-Musnad atau as-Sunan. Itu semua bagaikan sesuatu yang berada di depan mata dan hujung lidah. Dilakukan semua itu dengan sikap yang manis dan hujah yang mematikan." [Ibid]
4. Syeikh 'Ilmuddin al-Bazrali (738 H)
"Apabila Ibn Taimiyyah mengajar Tafsir, ramai orang bertamu padanya kerana beliau banyak ilmu. Cara penerangannya mudah. Beliau memberi pandangan apa yang patut diterima dan tidak patut diterima dengan penuh zuhud, pengabdian dan jauh dari faktor keduniaan." Katanya lagi: "Setiap pagi Jumaat, beliau duduk di samping orang ramai bagi mentafsirkan al-Quran al-'Azhim. Ramai orang mendapat faedah dari majlis ilmu itu lantaran keberkatan doa, keheningan jiwa, kejujuran niat, kebersihan zahir-batin dan keserasian antara kata-katanya dan perbuatannya." [Ibid]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan