Sabtu, 3 Ogos 2013

MANHAJ AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH DALAM TAUHID AL-ASMA' WA AS-SIFAT (FASAL 1)

Disampaikan oleh:
Ustaz Asrie bin Sobri




PENDAHULUAN

الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه ونستغفره ونتوب إليه ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه وسلم، أما بعد؛

Antara salah satu asas dan prinsip dalam rangka beriman kepada ALLAH ta'ala adalah beriman dengan Nama-nama dan Sifat-sifat ALLAH, tidak sah iman seseorang tanpa beriman dengannya. 

Namun, setelah berlakunya fitnah dalam kalangan Umat Islam dan masuknya pengaruh asing, terdapat pelbagai aliran pemikiran dan methodologi yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar dalam mentafsirkan Islam secara umum dan dalam masalah Tauhid al-Asma' was Sifat secara khusus. 

Maka, menjadi kewajipan atas setiap hamba ALLAH yang beriman untuk mempelajar dan memahami manhaj (methodologi) yang sahih dalam memahami Islam secara umumnya dan Tauhid al-Asma' was Sifat secara khusus. 

Manhaj yang benar itu tidak lain tidak bukan kefahaman para as-Salaf as-Soleh daripada Sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, radiallahu 'anhum dan diikuti anak-anak murid mereka yang dinamakan al-Tabiin dan seterusnya Tabi' Tabiin. 

Ini kerana jaminan Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam terhadap Ulama' 3 generasi ini bahawa mereka adalah sebaik-baik kurun sebagaimana sabda baginda:

خَيْرُ أُمَّتِي الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ يَجِيءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ

Maksudnya: "Sebaik-baik umatku adalah mereka yang datang selepasku (yakni: Sahabat baginda) kemudian yang mengikuti mereka (yakni: Tabiin) kemudian yang mengikuti mereka (yakni: Tabi' Tabiin) kemudian akan datang golongan yang mana persaksian seseorang mereka mendahului sumpahnya dan sumpahnya mendahului persaksiannya". [HR Muslim]. 

Oleh itu, dibentangkan secara ringkas dalam kertas kerja ini kaedah dan prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam memahami Tauhid al-Asma' was Sifat.


FASAL 1: KAEDAH DALAM MEMAHAMI NAMA-NAMA ALLAH
(7 KAEDAH)

KAEDAH 1: NAMA ALLAH SEMUANYA ((HUSNA)) YAKNI: INDAH SEMPURNA

Nama-nama ALLAH ta'ala semuanya disifatkan dengan: حسنى yakni: mencapai tahap keindahan yang tertinggi dan keindahan yang paling sempurna. 

Dalil: Firman ALLAH ta'ala:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى

Maksudnya: "dan bagi ALLAH itu nama-nama yang maha indah..." [al-A'raf: 180]

Ini kerana nama-nama ALLAH mengandungi makna dan sifat-sifat yang sempurna yang tidak ada kecacatan sama sekali sama ada dari segi bahasa mahupun makna. 

Contoh: Nama ALLAH: الحي dan القيوم mengandungi makna sifat Hayat (hidup) dan sifat al-Qayyumiyyah yang paling sempurna sebagaimana firman ALLAH:

اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Maksudnya: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa Yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya)" [Al-Baqarah: 255]

Ayat al-Kursi menjelaskan kesempurnaan Hidup ALLAH tidak didahului ketiadaan dan tidak diikuti mati bahkan sempurnanya hidup ALLAH, tidak pula Dia mengantuk apatah lagi Tidur.

Sifat al-Qayyumiyyah ALLAH iaitu Dia berdiri dengan sendiriNya tiada pembantu menguruskan hidupNya dan Dia jua yang mengurus dan mentadbir hidup makhlukNya segala isi langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya. Kesempurnaan al-Qayyumiyyahnya meliputi Dia mengetahui segala sesuatu, tiada siapa mampu memberikan syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya, dan tidaklah Dia berasa berat atau terbeban dalam mentadbir makhluk-Nya. 

Demikian juga, nama ALLAH al-Hayy dan al-Qayyum memberikan kesempurnaan atas kesempurnaan apabila ia digandingkan bersama dalam ayat ini; kehidupan ALLAH yang maha sempurna ditambah lagi kesempurnaannya apabila digandingkan dengan sifat al-Qayyumiyyah. 

KAEDAH 2: NAMA-NAMA ALLAH ITU ADALAH: 'ALAM DAN SIFAT

Maksudnya: Nama-nama ALLAH berbeza dengan nama-nama makhluk, nama-nama makhluk hanya sekadar alamat dan tanda bagi pengenalan dirinya, boleh jadi sifat yang terkandung dalam namanya tidak ada pada makhluk itu seperti: seorang bernama Soleh tetapi boleh jadi dia seorang yang tidak soleh.

Berbeza dengan nama ALLAH ta'ala, setiap nama-Nya merujuk sifat yang terdapat padaNya seperti nama ALLAH al-Hayy menunjukkan sifat al-Hayat dan nama ALLAH; ALLAH menunjukkan sifat al-Ilahiyyah. 

Dalilnya: Firman ALLAH:

وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: "dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani" [Yunus: 107]

Dan firman-Nya:

وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ

Maksudnya: "dan Tuhanmu itu Maha Pengampun lagi memiliki belas kasihan" [al-Kahf: 58]. 

Dan firman ALLAH:

هُوَ أَهْلُ التَّقْوَى وَأَهْلُ الْمَغْفِرَةِ

Maksudnya: "Dialah Ahli yang berhak melindungi hamba-Nya daripada azab dan Ahli yang layak memberikan keampunan pada hamba-hambaNya". [al-Muddasir: 56]

Maka, nama ALLAH al-Rahim mengandungi sifat al-Rahmah, manakala nama ALLAH al-Ghafur mengandungi sifat al-Maghfirah. 

Demikian juga dalil aqal menyatakan: nama yang sekadar nama itu naqis (kurang) adapun mereka yang mempunyai nama yang indah dan dalam masa yang sama mempunyai sifat yang ditunjukkan namanya itu adalah kesempurnaan dan kepujian, maka setiap kesempurnaan itu ALLAH lebih berhak memilikinya.

Dilalah Nama-nama ALLAH berdasarkan zat adalah sama kerana semua nama ALLAH merujuk pada zat yang satu tetapi berdasarkan makna maka ia menunjuk pada makna sifat yang berbeza. 

KAEDAH 3: NAMA ALLAH JIKA MERUJUK PADA SIFAT MUTA'ADDI MENGANDUNGI 3 PERKARA, JIKA MERUJUK PADA SIFAT LAZIM MENGANDUNGI 2 PERKARA:

Jika namaNya bersifat muta'addi maka mengandungi:

1.   Isbat Nama itu sendiri
2.   Isbat sifat yang terkandung dalam nama
3.   Isbat hukum dan perkara yang melaziminya
Seperti nama ALLAH: al-Ghafur al-Rahim menunjukkan ALLAH mempunyai dua nama ini dan sifat al-maghfirah dan al-rahmah dan lazim daripadanya Dia mengampunkan dosa hamba-hambaNya dan merahmati mereka maka hendaklah para Hamba beriman dengan nama ini melalui Taubat dan memohon rahmat hanya daripada ALLAH ta'ala jua.

Jika ia Lazim maka ia mengandungi:

1.   Isbat Nama tersebut
2.   Isbat sifat yang terkandung dalamnya
Seperti nama ALLAH; Al-Hayy mengandungi nama ALLAH al-Hayy dan isbat sifat al-Hayat.

KAEDAH 4: DALALAH NAMA-NAMA ALLAH ATAS ZAT-NYA DAN SIFAT-NYA BERLAKU SECARA: MUTABAQAH, TADOMMUN, DAN ILTIZAM

Maksudnya: sebagai contoh nama ALLAH; al-Khaliq menunjukkan secara mutabaqahالمطابقة  (serentak) atas zat ALLAH dan sifat al-Khalq (mencipta), menunjukkan secara berasingan atas zat dan secara berasingan atas sifat melalui dalalah tadommun التضمن dan menunjukkan atas sifat al-Qudrah dan al-Iradah, al-Hayat dan lain-lain sifat yang melaziminya secara dalalah iltizam التزام.

KAEDAH 5: NAMA ALLAH ADALAH TAUQIFIAH توقيفية TIADA RUANG BAGI AQAL UNTUK MEREKA-REKANYA:

Maksudnya: nama-nama ALLAH adalah apa yang ALLAH namakan bagi diri-Nya atau dinamakan oleh Rasul-Nya sahaja, tidak boleh para hamba mereka suatu nama lalu mereka namakan ALLAH dengannya.
Ini kerana:

Pertama: Aqal tidak mampu untuk mencapai perkara yang berhak untuk dinamakan ALLAH dengannya maka wajib untuk kita mengikut nas-nas wahyu sahaja dalam perkara ini. Firman ALLAH ta'ala:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: "dan janganlah kamu mencari-cari perkara yang kamu tidak ada ilmu berkenaannya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati (kefahaman) kamu akan dipersoalkan semuanya". [al-Isra': 36]

Kedua: menamakan ALLAH dengan nama yang Dia tidak menamakan diriNya denganya atau mengingkari nama-nama yang Dia isbatkan bagi diri-Nya adalah Jenayah pada Hak ALLAH, maka wajib beradab dengan ALLAH ta'ala dan berpada dengan apa yang ALLAH dan Rasul-Nya jelaskan. 

*sebagai contoh nama yang direka-reka adalah: penamaan Nasrani kepada ALLAH sebagai ((BAPA)) dan penamaan kaum Falsafah dengan ((al-'Aql al-Awwal)) dan penamaan kaum Mutakallimin dengan nama ((al-Qadim)). 

*dobit nama-nama ALLAH adalah apa yang mengandungi makna yang ((husna)) dan digunakan untuk menyeru ALLAH dengannya.

KAEDAH 6: NAMA ALLAH TIDAK TERBATAS DENGAN BILANGAN TERTENTU

Dalil: sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dalam doa baginda:

أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ

Maksudnya: "Aku bermohon kepada-Mu dengan semua nama yang menjadi milik-Mu atau yang Engkau ajarkan kepada sesiapa daripada makhluk-Mu, atau yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu atau yang Engkau rahsiakan dalam 'Ilmu Ghaib di sisi-Mu". [HR Ahmad, al-Hakim, Ibn Hibban dll, Hadis Sahih]. 

Adapun maksud hadis ALLAH memiliki 99 nama, barangsiapa menghitungnya maka dia masuk syurga; adalah seumpama kata seseorang: "aku memiliki 99 riyal untuk aku sedekah kepada faqir miskin", ini tidak menafikan dia mempunyai duit yang lain selain 99 riyal ini. 

*Tidak sahih ta'yin nama ALLAH yang 99 dalam hadis, bahkan ianya Mudraj dan Da'if, maka para Ulama' berbeza pendapat dalam menentukan nama ALLAH yang 99 ini.

*maksud menghitung adalah; menghitung lafaz-lafaznya, beriman dengan makna-maknanya, dan beramal dengan kelaziman nama-nama tersebut.

KAEDAH 7: ILHAD الإلحاد DALAM NAMA-NAMA ALLAH ADALAH: BERPALING DARIPADA PERKARA YANG WAJIB PADANYA

Ilhad mempunyai beberapa jenis:

Pertama: Ingkar akannya atau maknanya seperti Ilhad Jahmiah yang ingkar nama dan sifat ALLAH secara total atau Ilhad Muktazilah yang ingkar sifat-sifat ALLAH. 

Kedua: Melakukan Tasybih (penyerupaan) antara nama-nama ALLAH dengan makhluk-Nya dalam khususiah nama ALLAH itu. 

Ketiga: Menamakan ALLAH dengan nama yang Tidak dinyatakan oleh-Nya atau Rasul-Nya sallallahu 'alaihi wa sallam.

Keempat: Melakukan Isytiqaq اشتقاق terhadap nama-nama ALLAH lalu dinamakan dengannya berhala-berhala dan sembahan selain ALLAH seperti perbuatan kaum Musyrikin menamakan al-Lat iaitu muannas daripada nama: ALLAH dan al-'Uzza diambil daripada nama ALLAH: al-'Aziz. 

Hukum Ilhad adalah HARAM dan membawa kepada KUFUR dan Syirik sebagaimana firman ALLAH ta'ala:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: "dan bagi ALLAH itu nama-nama yang maha indah maka serulah Dia dengannya dan tinggalkan orang-orang yang melakukan penyelewengan dalam nama-namaNya mereka itu akan dibalas (azab) atas apa yang mereka lakukan". [Yunus: 180]

*Yang sahih dikatakan berkenaan Isim dan Musamma adalah: الاسم للمسمى

*Nama-nama ALLAH terdapat padanya nama-nama Muzdawajah (bergandingan) tidak boleh dipisahkan seperti: al-Zahir al-Batin, al-Awwal al-Akhir, dan terdapat nama-nama al-Mudofah seperti: Rabbul 'Alamin, Asra'ul Hasibin dan seumpamanya. 

*Nama-nama ALLAH terbahagi kepada Tsubutiah iaitu nama-nama yang mengandungi sifat-sifat Tsubutiah seperti: al-Rahman, ALLAH, al-Rahim dan ada nama-nama Salbiah yang mengandungi makna mensucikan ALLAH daripada kekurangan seperti: al-Quddus, al-Salam. 

*Tidak boleh memisahkan nama ALLAH yang di-ta'bid-kan pada makhluk daripada kalimah 'Ubudiah seperti nama: Abdul Rahim, dilarang memanggilnya dengan Rahim sahaja kerana Rahim dalam konteks ini adalah merujuk kepada ALLAH.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan