Rabu, 15 Julai 2009

Menangkis Fitnah K.H Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah Ke Atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah

Menangkis Fitnah K.H Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah
Ke Atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah
Sebagai Pencetus Akidah Al-Mujassimah dan Al-Musyabbihah.


Penulis artikel: Mohd Hairi bin Nonchi
Pendidikan Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah.
SMS sahaja: 019-5308036/014-5679652

Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ialah nama yang tidak asing lagi di sisi para pendukung dan pencinta al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mengingatkan sumbangannya yang begitu besar di dalam meneruskan kesinambungan usaha memelihara dan mendakwahkan al-Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada umat manusia serta berusaha gigih memeliharanya dari sebarang unsur luar yang menghakis ketulenannya.

Siapakah Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ?

Nama penuh beliau ialah Ahmad bin ‘Abd al-Halim bin ‘Ab al-Salam al-Harani, merupakan seorang Imam Mujtahid yang dilahirkan pada tahun 661H dan meninggal dunia pada tahun 728H di Damsyik. Beliau terkenal sebagai seorang yang bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu-ilmu agama sehingga akhirnya beliau telah menjadi seorang yang amat pakar di dalam bidang keilmuan seperti bidang usul, hadis, tafsir, fiqh, bahasa, syari’at, mantik, falsafah, perbandingan agama dan pelbagai lagi. Beliau juga begitu terkenal sebagai seorang ulamak Islam yang banyak berkarya sehingga mencapai beratus-ratus judul (diterangkan bahawa beliau memiliki lebih kurang 300 buah karya) dan kitab beliau yang paling terkenal adalah bertajuk Majmu’ al-Fatwa.

Pandangan tokoh-tokoh Islam ke atas Syaikhul Islam.

Setelah kita mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka ada baiknya kita melihat pula apakah pandangan para imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih ke atas Syaikhul Islam.

· Pertama: Pujian al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah (w.748H), seorang tokoh agung dalam Ilmu Hadis - yang juga merupakan murid Ibn Taimiyyah – menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadis. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syaikhul Islam, antara lain katanya:

"Ibn Taimiyyah: Seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadis), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah syaikhul Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3); dalam edisi e-book, Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2005), ms. 115].

· Kedua: Pujian al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani rahimahullah (w.852H) dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah menceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah, sehingga beliau menyebut:

"Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya …… Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya." Sehinggalah beliau juga menggelarnya sebagai “Syeikhul Islam”. [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116].

· Ketiga: Pujian al-Imam Sayuti rahimahullah (w.911H) juga menyenaraikan Ibn Taimiyyah dalam senarai para huffaz hadis (para hafiz hadis), iaitu dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz. al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:

"Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syeikhul Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini …… salah seorang tokoh terbilang …… memberi perhatian dalam bidang hadis, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadis (kecacatan tersembunyi hadis) juga fiqh hadis, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan." [Dinukil daripada buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3), ms. 116-117].

· Keempat: Pujian al-Imam al-Subki rahimahullah (w.756H), iaitu seorang ahli tafsir dan ahli dalam medan debat terkemuka bermazhab Syafi'e. Beliau berkata mengenai Ibn Taimiyyah semasa menjawab surat gurunya, al-Hafiz al-Zahabi yang memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah sebelum ini dimana dia berkata:

"Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syaikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-Qur'an dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan dan kebijaksanaan dan ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini (saya) sentiasa akan mengakuinya. Nilainnya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah. Dia melalui perjalanan ulamak salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun." [Dinukil daripada buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2005), ms. 123].

Demikianlah beberapa pujian dan pengiktirafan yang diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Sungguhpun demikian pujian dan pengiktirafan yang telah diberikan oleh para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ke atas beliau rahimahullah, namun di sebalik itu semua masih ada lagi segolongan manusia yang dilihat begitu tegar di dalam memerangi dakwah Syaikhul Islam.

Di antara fitnah yang sering dilontarkan oleh para musuh Syaikhul Islam terhadap beliau ialah termasuklah menganggap beliau sebagai pencetus kepada akidah al-Mujassimah, iaitu meyakini Allah sebagai Tuhan yang beranggota (berjisim) dan al-Musyabbihah, iaitu menganggap Allah sebagai Tuhan yang memiliki sifat yang sama dengan sifat makhluk. Keadaan ini semakin menjadi berat apabila kebanyakan fitnah tersebut adalah dilontarkan oleh sebahagian "golongan agamawan", terutamanya dari kalangan para penganut amalan kesufian yang menyeleweng dan golongan jahil yang sememangnya memiliki manhaj yang bertentangan dengan manhaj al-Salaf al-Shalih dalam persoalan akidah (khususnya yang berkaitan dengan perkara tauhid al-Asma' wa al-Sifat). Antara individu yang paling lantang melontarkan fitnah ke atas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah termasuk yang berada di Malaysia ialah:

· Zamihan Mat Zain al-Ghari menerusi buku yang bertajuk Salafiyah Wahabiyah Satu Penilaian yang diterbitkan oleh Tera Jaya Enterprise, Cheras, 2001 dan beberapa kertas kerjanya seperti Menjawab Kritikan Terhadap Fahaman Wahabiyah Di Malaysia dan Memahami Ancaman Terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah.

· K.H Sirajuddin Abbas menerusi bukunya yang bertajuk I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang diterbitkan oleh Pustaka Tarbiyah Baru, Jakarta Selatan, 2008.

· ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari menerusi bukunya yang kini sudah diterjemahkan atas judul Makna Sebenar Bid’ah: Satu Penjelasan Rapi, terbitan Middle East Global, Kuala Lumpur, 2005.

Walau bagaimanapun, kesemua fitnah, pengkhianatan, pembohongan dan penyelewengan ilmiah para pemfitnah dan pendusta di atas telah pun dibongkar dan dijawab semula oleh para pendukung dan pencinta Sunnah tanah air. Silalah rujuk buku-buku berikut di bawah ini bagi mengetahui apakah bentuk fitnah, pengkhianatan, pembohongan dan penyelewengan ilmiah yang dilakukan oleh para pemfitnah dan pendusta di atas dalam menjustifikasikan fitnah-fitnah yang dilontarkan oleh mereka terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berserta jawapan Ahli Sunnah terhadapnya:

1) Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah, Syaikh Murad Syukri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).

2) Pembongkaran Jenayah Ilmiyah Buku Salafiyah Wahabiyah: 73 Penilaian Semula Ke Atas Penilaian Zamihan Mat Zain al-Ghari, Hafiz Firdaus Abdullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).

3) Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor).

4) Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, Dr Azwira Abd Aziz (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).

5) Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh (Jilid 1), Ustaz Rasul Dahri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru).

Sekilas mengenai fitnah K.H Sirajuddin Abbas ke Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.

Ingin ditarik perhatian para pembaca yang budiman sekalian kepada salah seorang tokoh pemfitnah dan pendusta yang cukup masyhur di Indonesia iaitu K.H Sirajuddin Abbas yang merupakan salah seorang pembawa bendera al-Jahmiyyah dan salah seorang pemimpin besar quburiyyun (pemuja qubur). Menerusi bukunya yang bertajuk I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, beliau didapati telah pun menabur begitu banyak fitnah dan pendustaan yang tidak berasas ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Di antaranya yang paling masyhur ialah beliau mendakwa bahawa Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah sebagai penganut akidah al-Mujassimah dan al-Musyabbihah, lantas dengan itu beliau menjatuhkan hukum "sesat" kepada tokoh tersebut dan mereka yang sealiran dengan pegangan Syaikhul Islam. Bagi menguatkan dakwaan ini, berikut dinukilkan beberapa contoh fitnah oleh K.H Sirajuddin Abbas ke atas Syaikhul Islam sebagaimana yang dimaksudkan berserta koreksi Ahli Sunnah ke atasnya, antara lain beliau berkata:

"Bagi Ibn Taimiyyah Tuhan mempunyai muka, tangan, mata, rusuk, duduk bersela, datang dan pergi dan Cahaya langit dan bumi, karena hal itu semuanya tersebut dalam al-Quran, katanya. Tuhan berada di atas langit, boleh ditunjuk dengan anak jari, mempunyai tumit kaki, mempunyai tangan kanan, mempunyai nafas, naik-turun dan Tuhan itu "masa", karena semuanya itu tersebut dalam Hadits yang sahih-sahih, kata Ibnu Taimiyah. Jadi beliau sebenarnya harus dimasukkan dalam Bab kaum Mujassimah atau Musyabbihah, karena ada persamaannya dalam I'tiqad" [I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, K.H Sirajuddin Abbas (Pustaka Tarbiyah Baru, Jakarta Selatan, 2008), ms. 300].

Sekian "fatwa" yang dikeluarkan oleh K.H Sirajuddin Abbas terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Bagi menjawab tuduhan yang dilontarkan oleh tokoh al-Jahmiyyah terhadap Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah di atas, berikut akan saya turunkan beberapa penjelasan oleh Ahli Sunnah terhadapnya yang saya nukilkan secara ringkas daripada buku Koleksi Kuliah-Kuliah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Menurut Manhaj Salaf As-Soleh, Jilid 1, Ustaz Rasul Dahri (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2001), halaman 12-19:

Pada hakikatnya, bukan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah seorang sahaja yang menyatakan bahawa Tuhan mempunyai muka, mempunyai tangan, mempunyai mata, mempunyai jari, berada di langit serta mempunyai sifat-sifat lain yang paling sempurna dan layak bagi-Nya. Oleh itu beliau tidak boleh dihukum sesat oleh K.H Sirajuddin dan oleh mereka yang terpengaruh dengan fahaman K.H Sirajuddin.Dalam hal ini, fahaman, pegangan dan amalan Ibn Taimiyyah adalah berdasarkan fahaman para sahabat, tabi'in, tabi'ut at-tabi'in dan semua para ulamak Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih, kerana kenyataannya beliau bersefahaman, sependapat dan seakidah dengan mereka. Antara mereka yang jelas semanhaj (sefaham dan seakidah) dengan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah ialah:

· Pertama: al-Imam al-Auza'i rahimahullah yang dianggap Imam ahli Syam di zamannya. Beliau menegaskan:

"Kami dan para tabi'in semuanya menetapkan dengan kesepakatan (ijmak) qaul kami bahawa: Sesungguhnya Allah di atas 'Arasy-Nya dan kami beriman dengan apa yang telah dinyatakan oleh al-Sunnah berkenaan sifat-sifat Allah Ta'ala." [Fathul Bari, Ibn Hajar al-'Asqalani, jld. ms. 406, (Dar Ihya at-Turath al-Arabi, Beirut)].

· Kedua: al-Imam Abu Hasan al-Asy'ari rahimahullah yang dikenali sebagai Imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, beliau telah menegaskan bahawa al-Qur'an bukan makhluk dan diturunkan oleh Allah yang berada di langit dan beliau seterusnya menjelaskan:

"Allah mempunyai sifat, mempunyai tangan, bersemayam di atas 'Arasy-Nya dan mempunyai muka. Al-Qur'an itu Kalamullah bukan makhluk dan al-Qur'an diturunkan dari langit" [Iktiqad Aimmatul Hadits, Ismaili, ms. 50-51].

· Ketiga: al-Imam asy-Syafi'e menjelaskan (sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Talib setelah beliau ditanya tentang sifat Allah:

"Dan bagi-Nya dua tangan sebagaimana firman-Nya: "(Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka". Bagi-Nya tangan sebagaimana firman-Nya: "Dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya". Allah mempunyai wajah sebagaimana firman-Nya: "Setiap sesuatu akan binasa kecuali wajah-Nya". Bagi-Nya kaki sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam: "Sehinggalah Dia meletakkan wajah dan kaki-Nya". Dia mempunyai jari sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam: "Tiadalah hati itu kecuali jari-jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah)". Kami (Imam asy-Syafi'e dan para ulamak Ahli Sunnh lainnya –pen) menetapkan sifat-sifat ini dan menafikan dari penyerupaan sebagaimana dinafikan sendiri oleh Allah sebagaimana difirmankan: "Tiada sesuatu pun yang semisal dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat." [Iktikad Qimmah al-Arba'ah, Abu Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, (cetakan pertama Darul 'Asimah Saudi Arabia), ms. 46-47].

al-Imam asy-Syafi'e rahimahullah seterusnya menjelaskan lagi:

"Kita menetapkan sifat-sifat (Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh al-Qur'an dan yang warid tentang-Nya dari al-Sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentang-Nya kerana dinafikan oleh diri-Nya sendiri sebagaimana firman-Nya (Tiada sesuatu yang semisal dengan-Nya." [Iktikad Qimmah al-Arba'ah, Abu Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, , ms.42].

al-Imam asy-Syafi'e rahimahullah telah menjelaskan juga tentang turun naiknya Allah:

"Sesungguhnya Dia (Allah) turun setiap malam ke langit dunia (sebagaimana) menurut khabar dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam." [Iktikad Qimmah al-Arba'ah, Abu Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, , ms.47].

Imam asy-Syafi'e rahimahullah dan Ibn Taimiyyah, mereka berdua ada kesepakatannya dalam meyakini tentang turun-naiknya Allah. Mereka berlandaskan kepada sabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam (yang bermaksud):

"Tuhan kita turun ke langit dunia pada setiap malam apabila sampai ke satu pertiga dari akhir malam, maka Dia berfirman: Sesiapa yang berdoa akan Aku perkenankan, sesiapa yang meminta akan Aku tunaikankan dan sesiapa yang meminta keampunan akan Aku ampunkan" [Hadis riwayat al-Bukhari – hadis no: 1141, Muslim – hadis no: 78, Abu Daud – hadis no: 4733, at-Tirmizi – hadis no: 4393, Ibn Majah – hadis no: 1366 dan Ahmad 1/346]

· Keempat: Dalam satu riwayat hadis mutaffaq 'alaihi, bahawa Allah itu "ad-Dhar" atau "masa". Namun, bagaimana K.H Sirajuddin Abbas menafikannya. Sabda Rasulullah ini (yang bermaksud): "Janganlah kamu maki ad-Dhar (masa), kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa" [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Demikian salah satu pendedahan fakta mengenai pendustaan yang dilakukan oleh tokoh aliran al-Jahmiyyah dan quburiyyun Indonesia, K.H Sirajuddin Abbas terhadap salah seorang tokoh ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.

Pada kesempatan ini, saya (mohd. Hairi), ingin bertanya kepada para pengekor tokoh pendusta dan pemfitnah di atas: jika benarlah kenyataan si pendusta tersebut di atas bahawa Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah sebagai salah seorang penganut akidah al-Mujassimah dan al-Musyabbihah hanya kerana manhajnya dalam menithbatkan (menetapkan) nas-nas sifat Allah tanpa ta'hil (menghilangkan fungsi sifat) dan tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk), mengapakah dakwaan, tohmahan dan hukuman yang sama tidak ditujukan kepada ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah selain beliau dari kalangan al-Salaf al-Shalih yang turut mengaplikasikan manhaj yang sama dengan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah dalam berinteraksi dengan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala iaitu menetapkan (ithbat) sifat-sifat Allah tanpa ta'thil dan tasybih? Saya menyerahkan persoalan ini kepada kebijaksanaan dan keadilan para pembaca yang budiman sekalian untuk menilai sendiri siapakah yang sebenarnya yang patut dipersalahkan dalam hal ini serta yang paling layak untuk dianugerahkan pangkat "kesesatan" sebagaimana dakwaan si pendusta, K.H Sirajuddin Abbas dan para pengkornya ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menerusi bukunya tersebut.

Seterusnya, marilah kita perhatikan pula satu lagi contoh fitnah yang dilontarkan oleh tokoh pujaan golongan yang beraliran al-Jahmiyyah dan para pemuja kuburan (quburiyyun) ini ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Dalam bukunya yang sama di atas (I'tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah), pada halaman 303, beliau telah memetik kata-kata Ibnu Bathuthah dalam kitabnya Rahlah Ibnu Bathuthah, juz 1, halaman 57 (cetakan Azhariyah, Kairo, 1928M) yang bermaksud:

"Saya (Ibnu Bathuthah –pen) ketika itu sedang berada di Damsyiq. Saya di masjid mendengar dia (Ibn Taimiyyah –pen) memberi pelajaran di hadapan umum di mimbar mesjid kami". Banyak pelajaran diucapkan. Di antara perkataannya: " Tuhan Allah turun ke langit dunia serupa turunnya dengan turun saya ini", lalu ia turun satu tingkat di jenjang mimbar. Pada ketika itu seorang ulama ahli fiqih Madzhab Maliki bernama Anus Zahra' membantah dia dan melawan ucapan-ucapan Ibnu Taimiyyah".

Dengan memetik kenyataan Ibn Bathuthah secara semberono dan tanpa melakukan sebarang pengkajian ilmiah terhadap kesahihan faktanya di atas, tokoh al-Jahmiyyah dan pemfitnah ini telah pun membuat kesimpulan dalam bukunya itu bahawa Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah adalah seorang ulamak penyesat yang berakidah tajsim dan tasybih lantaran tindakannya – menurut dakwaan palsu Ibn Bathuthah yang ditelan mentah-mentah oleh si jahil ini (K.H Sirajuddin Abbas) – yang menyamakan turunnya beliau (Ibn Taimiyyah) dari tangga turun Masjid Damsyiq itu adalah sama dengan turunnya Allah ke langit dunia.

Bagi menjawab fitnah dan tuduhan yang melulu lagi tidak berasaskan kepada fakta yang benar ini, maka saya kemukakan beberapa hujah di bawah ini yang saya nukil daripada buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2005) halaman 125-128:

Para ulamak yang ikhlas telah bangun menjawab fitnah Ibn Bathuthah ini. Antara apa yang ditulis oleh alim Syam yang terkenal, al-'Allamah Muhammad Bahjah al-Baitar dalam bukunya Hayat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut, ms. 43-49). Antara jawapan beliau yang panjang lebar itu:

· Pertama: Ibn Bathuthah sebenarnya tidak mendengar perkara tersebut daripada Ibn Taimiyyah sama sekali. Ia hanyalah satu pembohongan. Buktinya, dalam catatannya, beliau sampai ke Damsyiq pada hari Khamis, 19 Ramadan tahun 726H, sedangkan Ibn Taimiyyah telah dipenjarakan pada awal bulan Sya'ban tahun tersebut, dan terus berada dalam penjara sehingga meninggal pada malam Isnin 20 Zulkaedah ahun 728H. Bagaimana mungkin Ibn Bathuthah dapat melihatnya?

· Kedua: Buku kembara Ibn Bathuthah (Rahlah Ibnu Bathuthah –pen) penuh dengan cerita pelik lagi tidak masuk akal dan palsu. Cerita ini diambil daripada orang ramai yang dia dengar di negeri-negeri yang dikunjungi, tanpa sebarang penilaian. Umpamanya beliau menyatakan di tengah Masjid Umawi di Damsyiq ada kubur Nabi Zakaria 'alaihissalam, sedangkan yang diketahui ianya adalah kubur Yahya 'alaihissalam. Juga dakwaannya kononnya di membaca di dalam Fadail al-Damsyiq daripada Sufyan al-Thauri bahawa solat di Masjid Damsyiq sama dengan pahala tiga puluh ribu solat. Kita tahu bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibuat dengan andaian akal. Orang yang seperti Sufyan al-Thauri tidak akan membuat dakwaan seperti yang tidak mempunyai sebarang dalil. Dakwaan ini telah melebihkan Masjid Damsyiq ke atas Masjid Nabi dan Masjid al-Aqsa. Kedua-dua masjid tersebut pun tidak sampai ke darjat yang seperti ini. Mustahil tokoh hadis dan warak seperti Sufyan al-Tahuri membuat dakwaan ini, melainkan satu pembohongan terhadapnya.

Bahkan Ibn Bathuthah mengakui fadilat (kelebihan) bernazar untuk kubur-kubur utama jika seseorang dalam kesusahan di pukul angin kencang di tengah lautan. Sedangkan dalam keadaan tersebut golongan musyrikin pun akan terus berdoa kepada Allah tanpa sebarang syirik. Malangnya Ibn Bathuthah dapat menerima dan mengakui nazar seperti ini: Firman Allah (maksudnya) : "Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah selamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya" [Surah al-'Ankabut: 65]. Oleh itu, tidak mustahil, buku ini menyebut kisah palsu yang disandarkan kepada Ibn Taimiyyah rahimahullah, padahal beliau tidak pernah berbuat demikian.

· Ketiga: Ibn Taimiyyah tidak pernah menjadi khatib Masjid Damsyiq, seperti yang didakwa oleh Ibn Bathuthah. Beliau hanyalah memberi kuliah pengajiannya di atas kerusi sahaja. Ini seperti yang disebut oleh anak-anak muridnya yang menulis sejarahnya, antara mereka al-Imam al-Zahabi.

· Keempat: Tulisan-tulisan Ibn Taimiyyah rahimahullah menafikan hal ini (iaitu akidah tajsim dan tasybih). Antaranya pegangan akidah Ibn Taimiyyah yang dipetik oleh Nasir al-Din al-Syafi'e (w. 842H) dalam al-Radd al-Wafir (cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut) :

"Mazhab Salaf, para imam yang empat dan selain mereka ialah menithbatkan (menetapkan sifat Allah) tanpa tasybih (menyerupakan dengan sesuatu), mensucikan-Nya tanpa ta'thil (menghilangkan fungsi sifat). Tidak boleh bagi seseorang meletakkan sesuatu pegangan atau 'ibarah (huraian atau rangkaian ucapan) daripada dirinya sendiri. Bahkan dia hendaklah mengikuti dalil, bukan membuat bid'ah."

Demikian sekelumit dari puluhan contoh fitnah yang dilontarkan oleh salah seorang tokoh Ahli Bid'ah ke atas tokoh Ahli Sunnah yang sempat saya kemukakan di sini. Sebenarnya masih terdapat banyak lagi pendustaan yang disandarkan oleh K.H Sirajuddin Abbas al-Jahmiyyah ke atas Syaikhul Islam Ibn Tamiyyah rahimhullah yang tidak dapat saya muatkan dalam ruangan yang amat terbatas ini. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, sebagaimana yang saya telah nyatakan sebelum ini bahawa tidaklah semua tohmahan, tuduhan melulu dan fitnah yang dilemparkan oleh para tokoh Ahli Bid'ah di atas terhadap Syakihul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah melainkan telah pun disediakan jawapannya semula secara ilmiah oleh para pencinta al-Sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Sekali lagi diingatkan agar para pembaca yang budiman sekalian dapat meneliti sendiri buku-buku yang telah disenaraikan di atas bagi mengetahui hakikat pendustaan oleh para pendukung aliran bid'ah tersebut ke atas Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah dan para tokoh Ahli Sunnah lainnya.

Kesimpulan.

Bagi mengakhiri perbahasan kita mengenai hakikat sebenar pegangan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berhubung dengan tauhid al-Asma' wa al-Sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala, maka akan saya kemukakan lagi beberapa fakta "tambahan" berupa keterangan yang bersumberkan daripada pengakuan Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah itu sendiri.

Diminta kepada para pembaca yang budiman sekalian agar dapat berlaku adil lagi terbuka dengan membandingkan ia dengan pegangan para Imam muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah lainnya sebagaimana yang telah saya kemukakan di bahagian artikel ke-2 buku ini (sila baca ulasan saya dalam artikel bertajuk Wahabi: Meluruskan Salah Faham) untuk kita melihat sejauh manakah benarnya dakwaan Ahli Bid'ah ke atas Syaikhul Islam sebagai seorang tokoh ulamak yang berakidah al-Mujassimah dan al-Musyabbihah dan bertentangan dengan akidah para ulamak muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah lainnya. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata:

“Maka ini adalah iktikad firqah najiah (puak yang selamat) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diri-Nya dengannya dalam kitab-Nya dan dengan apa yang telah Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkan-Nya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’thil (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamtsil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).

Bahkan, mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) tidak menafikan dari-Nya apa yang Dia telah sifatkan diri-Nya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayat-Nya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifat-Nya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai nama-Nya, tidak ada yang menyetarai-Nya, tidak ada yang menyekutui-Nya dan tidak boleh dikiaskan-Nya dengan makhluk-Nya, Subhanahu Wa Ta’ala…” [Al-'Aqidah al-Wasathiyyah, Ahmad Ibn 'Abd al-Halim al-Harrani Ibn Taimiyyah, ms. 5-7; dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, ms. 48-49].

Di halaman yang lain, Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebut:

“Maka sesungguhnya firqah najiah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah beriman dengan yang demikian itu (nas-nas hadis berkenaan sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala), sebagaimana mereka beriman dengan apa yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya dalam kitab-Nya, tanpa tahrif, tanpa ta’til, tanpa takyif dan tanpa tamtsil. Bahkan merekalah yang sederhana di kalangan puak umat ini sebagaimana umat ini juga yang sederhana di kalangan umat-umat (yang lain), kerana mereka (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) sederhana dalam bab sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara Ahli Ta’thil al-Jahmiyyah dan Ahli Tamtsil al-Musyabbihah.” [Al-'Aqidah al-Wasathiyyah, Ahmad Ibn 'Abd al-Halim al-Harrani Ibn Taimiyyah, ms. 23-24; dalam Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar, ms. 49-50].

Makluman: Artikel ini merupakan sedutan daripada ulasan saya ke atas artikel Misteri Wahabi Di Malaysia, Karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang saya muatkan dalam buku saya "Katakan Tidak Pada Wahhabi" bagi Edisi Baru (edisi kedua) yang akan diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru. Insya' Allah. Dipersilakan untuk menyebarkan risalah ini kepada sesiapa jua untuk pengkajian ilmu. Sekian, wassalam - Mohd Hairi Nonchi, UMS.

4 ulasan:

  1. Salam amat lemah ayatmu hai saudaraku engkau mengatakan bahawa taimiyah seorang imam allamah tetapi siapa ulama mengakui dia sebagai orang zuhud!seorang yang zuhud mempunyai macam peringkat tetapi ia mengutuk para salafus soleh yang terdahulu yang membawa jalan menuju ALLAh tetapi engkau tidak terangkan adakah seorang yang mengatakan orang lain itu akan keburukan atau kebaikan itu zuhud!!!

    BalasPadam
  2. Ibn Taimiyyah disebut oleh Ibn Hajar sebagai Syeikhul Islam.. amatlah buruk perkataan anda kerana mengatakan Syeikhul Islam mengutuk salafus soleh, padahal beliau sering menyeru kepada salafus soleh.. Jgnlah tertipu dengan kata2 para tokoh yg mencerca Ibn Taimiyyah sedangkan sedikit pun tidak punya bukti, jika ada bukti pun ianya merupakan syubhat yang dibuat2 demi untuk memburukkan syeikhul Islam.. Semoga Allah merahmati Syeikhul Islam...

    BalasPadam
  3. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah adalah mujaddid besar, pencerah agama Islam di abad pertengahan. Beliau juga seorang mujahid, yang terus memerangi kaum Mongol Tatar yang menguasai kaum muslimin. Banyak muridnya jadi ulama-ulama besar. Perbedaan pendapat dengan beliau hendaknya tidak mengurangi rasa takzim atas beliau.
    http://www.cordova-bookstore.com

    BalasPadam