Ahad, 14 Disember 2008

SYUBHAT TAKWIL DALAM AKIDAH SALAFIYYAH

Pertama: Takwil Sifat Tangan
Justify Full
i- Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah Yasin ayat ke-71:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا أَنْعَامًا فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ

Maksudnya: "Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan sendirinya lalu mereka memilikinya?"

Jawapan:

Apakah makna zahir ayat ini? Adakah maknanya Allah Subhanahu wa Ta'ala menciptakan al-an'am dengan dua tangan-Nya sebagaimana Dia mencipta Adam 'Alaihissalam? Atau makna zahir ayat ini Allah Subhanahu wa Ta'ala mencipta al-an'am sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala mencipta makhluk yang lain dengan kalimah-Nya كن kerana sabit daripada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam sabda baginda:

إن الله عز وجل خلق ثلاثة أشياء بيده ، خلق آدم بيده ، وكتب التوراة بيده ، وغرس الفردوس بيده

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencipta tiga perkara dengan tangan-Nya; Dia mencipta Adam dengan tangan-Nya, Dia menulis Taurat dengan tangan-Nya, dan Dia menanam al-Firdaus dengan tangan-Nya" - [al-Daruqutni, Ali bin Umar, al-Sifat, No;26, 1/27, Maktabah al-Syamilah].

Tetapi Allah Subhanahu wa Ta'ala mengidafahkan [1] penciptaan kepada tangan-Nya dan dikehendaki adalah empunya tangan yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala sendiri?

Jika diteliti siaq [2] ayat, maka makna zahir ayat ini adalah makna yang kedua. Adapun makna yang pertama bahawa Allah mencipta haiwan ternakan dengan tangan-Nya secara langsung seperti Dia mencipta Adam adalah makna yang tidak zahir dan tidak dikenali dalam kalam Arab.

Ini kerana terdapat perbezaan dalam firman Allah:

قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ

Maksudnya: "Allah berkata: Wahai Iblis, apakah yang menghalangmu daripada sujud (hormat) kepada makhluk yang Aku cipta dengan dua tangan-Ku.." - [Sad:75].

Dengan firman Allah dalam surah Yasin ayat 71 yang kita sebutkan. Dalam surah Sad ini, Allah menta'addikan fi'il خلق dengan بِـ - "bi" dan telah sabit dalam bahasa Arab apabila dita'adikan dengan ba' ini menunjukkan penutur benar-benar melakukannya dengan tangan. Misalnya:

كتبت الكتاب بيدي و قبضت القلم بيدي

Maksudnya: "Aku menulis kitab dengan tanganku dan aku memegang pen dengan tanganku"

Maka, maksudnya dia hanya menggunakan tangan tanpa anggota lain seperti mulut dan kaki. Tetapi jika dia berkata:

هذا مما قدمته يدي

Maksudnya: "(Hasil kerja ini) adalah antara apa yang diusahakan oleh saya"

Maka ini tidak bermakna dia membuatnya menggunakan tangannya tetapi boleh jadi anggota lainnya kerana tidak dita'addi dengan huruf ba'.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." - [al-Rum: 41]

Dan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 182:

ذَلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ

Maksudnya: "Itu adalah (akibat) perbuatan diri kamu sendiri..."

Maka, apabila kalimah sesuatu fi'il tidak dita'addikan dengan ba' kepada kalimah 'tangan', ini tidak membawa menghadkan sesuatu perbuatan dilakukan dengan tangan sahaja, bahkan dikehendaki adalah diri pelaku itu walaupun dia melakukannya dengan bukan tangan seperti dengan kaki, mata atau mulut misalnya.

Maka, tidak perlu ditakwil ayat ini kerana makna zahirnya telah jelas. Adapun penetapan sifat tangan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala masih berlaku melalui ayat ini (surah Yasin ayat 71). Oleh itu, Ibn Khuzaimah Rahimahullah (w.311H) menjadikan ayat ini sebagai salah satu dalil sabitnya sifat tangan bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Ini kerana, tidak digunakan uslub begini (menggunakan lafaz 'tangan' untuk menunjuk kepada zat') kecuali zat itu mempunyai tangan hakiki. Oleh sebab itu, dalam bahasa Arab tidak digunakan uslub يد الليل، يد الماء، يد الشجر dan seumpamanya untuk menunjuk kinayah sesuatu kerana malam, air dan pokok tidak memiliki tangan hakiki. Maka jika kita menerima adanya majaz sekalipun tetap tidak menafikan adanya tangan hakikat bagi Allah kerana sabitnya majaz mensabitkan adanya hakikat . [3]

ii- Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah az-Zariyat ayat ke- 47:

وَالسَّمَاءَ بَنَيْنَاهَا بِأَيْدٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ

Maksudnya: "Dan langit Kami binakannya dengan kekuatan (Qudrat) dan Kami maha berkuasa meluaskannya " [4]

Berkata Ibn Kasir Rahimahullah (w.774H): "yakni dengan kekuatan." - [Abul Fida, Ibn Kasir, Ismail bin Umar, Tafsir al-Qur'an al-Azim, 7/424, Dar al-Tibah li al-Nasyri wa al-Tauzi', cet. 4, 1420H/1999M].

Jawapan:

Mereka yang menyangka kalimah أيد dalam ayat ini bermakna 'tangan' dan jamak kepada kalimah اليد telah tersalah dengan jelas kerana kalimah أيد adalah mufrad yang membawa maksud القوة bukan jamak kepada اليد .

Berkata al-Fairuz Abadi Rahimahullah (w.817H) :

آدَ يَئِيدُ أيْداً اشْتَدَّ، وقَوِيَ. والآدُ الصُّلْبُ، والقُوَّةُ كالأَيْدِ - القاموس المحيط، باب الدال فصل الهمزة


Berkata pula Ibn Manzur Rahimahullah (w.711H):

أيد الأَيْدُ والآدُ جميعاً القوة – لسان العرب ، حرف الدال،ج 3 ص. 76،دار صادر-بيروت

Demikian juga dalam al-Mukjam al-Wasit memberian takrif yang sama bahawa أيد adalah bermaksud al-Quwwah (kekuatan) bukan jamak kepada al-Yad yakni tangan.

Lihat pula firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah Sad ayat 17:

وَاذْكُرْ عَبْدَنَا دَاوُودَ ذَا الأَيْدِ

Maksudnya: "Dan ingatlah hamba Kami, Daud yang mempunyai kekuatan (dalam melaksanakan ketaatan kepada Kami).."

Maka jelaslah tidak berlaku apa-apa takwil dengan makna mengubah lafaz dari makna hakiki kepada makna majazi tetapi takwil yang berlaku hanyalah tafsir yang sesuai dengan al-Qur'an dan al-Sunnah. [5]


Kedua: Takwil Sifat al-Ain (Mata)

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah Hud ayat 37:

وَاصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا

Maksudnya: "Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya)…"

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Qamar ayat 14:

تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا

Maksudnya: " Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami.."

Berkata Ibn Kasir Rahimahullah dalam menafsirkan ayat pertama di atas:

أي: بمرأى منا

Maksudnya: "Yakni dengan pemerhatian Kami" - [Ibn Kasir, Abul Fida, Ismail bin Umar, Tafsir al-Qur'an al-Azim, 4/319, Dar al-Tibah, 1420H/1999M].

Dalam menafsirkan ayat kedua pula beliau berkata:

أي: بأمرنا بمرأى منا وتحت حفظنا وكلاءتنا

Maksudnya: "Dengan perintah Kami; pemerhatian Kami dan di bawah pengawasan dan pemerhatian pandangan Kami" - [Ibid, 7/477]

Jawapan:

Dalam merungkai persoalan ini, hendaklah kita mengenal dahulu apakah makna zahir ayat ini. Adakah maknanya Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan supaya Nabi Nuh 'Alaihissalam membina kapal dalam mata-Nya yang hakiki atau kapal Nabi Nuh 'Alaihissalam itu belayar dalam mata Allah yang merupakan sifat-Nya? Ini adalah batil kerana tidak dikenal makna ini dalam kalam arab.

Tetapi makna zahir daripada ayat ini adalah Nabi Nuh 'Alaihissalam membina kapalnya dalam keadaan Allah Subhanahu wa Ta'ala melihat dan memerhati dengan dua mata-Nya. Penggunaan huruf ba' dalam ayat ini بِأَعْيُنِنَا bukanlah membawa makna zarfiah (tempat) tetapi musohabah (penyertaan). Maka, zahir makna ayat ini adalah Nuh 'Alaihissalam membuat kapal dan mata Allah memerhati tindakannya (عين الله تكلأ فعله) dan kapal Nabi Nuh 'Alaihissalam belayar serta mata Allah memerhatinya.

Imam al-Darimi Rahimahullah (w.282H) dalam kitab beliau al-Radd 'ala al-Murisi [6] ketika menjawab syubhat Ibn Salji [7] bahawa Salaf mentakwil sifat mata dalam ayat ini berkata:




Maksudnya: "Adapun tafsir kamu daripada Ibn Abbas maka maknanya adalah sebagai pendapat kami (Ahli Sunnah) bukan sebagaimana pendapat kamu (Ibn Salji al-Muktazili). Berkata (mentafsirkan ayat tersebut): 'dengan pemeliharaan Kami dan pemerhatian Kami (al-Kalaah) dengan mata Kami', kerana tidak boleh dalam bahasa Arab disifatkan sesuatu dengan 'al-Kalaah' (Memerhati) kecuali dia memiliki mata (hakiki)...." - [al-Darimi, Usman bin Said, al-Radd 'ala al-Murisi, 2/191, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut-Lubnan].

Kesimpulannya, mentafsirkan al-Ain dengan pemerhatian (الكلاءة) dan penglihatan (المرأى) adalah tafsir dengan lazim iaitu sifat yang lazim bagi mata dan ia tidak menafikan wujudnya mata hakiki bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala.


Ketiga: Takwil Sifat al-Qurb

i- Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Baqarah ayat 186:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."

Berkata al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi Hafizahullah:

قرب الله تعالى من عباده إذ العوالم كلها في قبضته وتحت سلطانه ولا يبعد عن الله شىء من خلقه إذ ما من كائن إلا والله يراه ويسمعه ويقدر عليه ، وهذه حقيقة القرب

Maksudnya: "Dekatnya Allah Taala kepada hamba-Nya kerana alam semesta sekaliannya berada dalam genggaman dan kekuasaan-Nya, tidak ada yang jauh daripada Allah sesuatu pun daripada makhluk-Nya kerana tidak ada satu pun makhluk melainkan Allah melihat, mendengar, dan mentaqdirkan atasnya dan inilah hakikat 'dekat' – [al-Jazairi, Abu Bakar, Jabir bin Musa, Aisar al-Tafasir, 1/83, al-Maktabah al-Shamilah].

Jawapan:

Ulama Salaf tetap dengan prinsip mereka bahawa ayat ini perlu diimani dengan zahirnya dan ia menetapkan sifat al-Qurb yakni 'dekat' kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.. Namun, apakah zahir ayat ini menyatakan Allah dekat dengan zat-Nya? Atau yang dimaksudkan dekat itu adalah dekat dengan ilmu-Nya dan dekat untuk mengabulkan doa hamba-Nya?

Makna pertama tidak dapat menjadi zahir makna ayat kerana telah sabit zat Allah Subahanahu wa Ta'ala berada di atas Arasy-Nya. Demikian juga siaq ayat tidak menunjukkan Allah menyatakan Dia dekat dengan zat-Nya bahkan zahir ayat jelas bahawa Allah menyatakan Dia dekat dengan Ijabah (mengabulkan doa) kerana jika diperhatikan jumlah (ayat): أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ berada pada tempat i'rab hal atau khabar [8], maka jika diperhatikan maknanya jadilah ia: "..maka Aku adalah dekat dengan menjawab (memperkenan) seruan penyeru.."

Berkata al-Syeikh Abdul Rahman al-Saadi Rahimahullah (w1376H):

والقرب نوعان: قرب بعلمه من كل خلقه، وقرب من عابديه وداعيه بالإجابة والمعونة والتوفيق

Maksudnya: "Dan al-qurb (dekat) itu ada dua jenis: dekat dengan ilmu-Nya kepada semua makhluk-Nya dan dekat kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa kepada-Nya dengan Ijabah (memperkenan) dan bantuan serta taufiq" - [al-Saadi, Abdul Rahman bin Nasir, Tasiril Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan,1/87, al-Maktabah al-Shamilah].

Ini lebih jelas dengan sebuah hadis Sahih:

يا أيها الناس، أرْبعُوا على أنفسكم؛ فإنَّكم لا تدعون أصمّ ولا غائبًا، إنما تدعون سميعًا بصيرًا، إن الذي تدعون أقربُ إلى أحدكم من عُنُق راحلته. يا عبد الله بن قيس، ألا أعلمك كلمة من كنوز الجنة؟ لا حول ولا قوة إلا بالله

Maksudnya: "Wahai manusia, tenanglah; sesungguhnya kamu tidak menyeru zat yang pekak atau hilang tetapi kamu menyeru (berdoa) zat yang maha mendengar dan maha melihat; sesungguhnya yang kamu seru itu (Allah) lebih dekat kepada kamu daripada tengkuk haiwan tunggangannya. Wahai Abdullah bin Qais (Abu Musa al-Asy'ari Radhiallahu 'anhu) Mahukah aku ajar kepadamu satu daripada khazanah syurga? Iaitulah: La haula wala quwwata illa billah". [9]

Dalam lafaz yang lain:

إِنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا

Maksudnya: "Sesungguhnya kamu menyeru Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.."

Jadi jelas daripada siaq hadis, bukahlah bermakna Allah dekat dengan zat-Nya tetapi dekat dengan pendengaran dan penglihatan-Nya. Inilah zahir ayat dan hadis berkenaan sifat al-Qurb.

ii- Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah Qaf ayat 16:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

Maksudnya: "Dan Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,"

Ulama Salaf Radiallahu'anhum mempunyai dua tafsiran dalam ayat ini:

1- al-Qurb (dekat) dengan Ilmu-Nya
2- Dekatnya Malaikat Allah yakni Raqib Atid.

Adakah dua tafsiran ini takwil (yakni mengubah makna zahir)?

Jawapan:

Bagi mereka yang faham ulum al-Qur'an sesuai dengan manhaj Salaf tentulah akan menjawab bahawa tafsiran salaf terhadap ayat ini adalah makna yang zahir daripada ayat tersebut.

Ini kerana didahului dengan pemberitahuan Allah bahawa Dia Maha Mengetahui (وَنَعْلَمُ) maka ini menunjukkan zahir ayat ini tidaklah sama sekali menyatakan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala dekat dengan zat-Nya. Bahkan zahir ayat itu juga menunjukkan bahawa Allah dan Malaikt-Nya mengetahui apa yang dibisikkan diri manusia (was-was al-nafs) dan yang dekat dengan makhluk-Nya adalah malaikat-Nya yang mencatat amalan manusia.

Rahsianya adalah penggunaan kalimah نحن (Kami). Ini kerana, apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala menggunakan lafaz 'Kami' menunjukkan perbuatan itu atau sesuatu urusan yang berlaku itu diidafahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai idafah mabda' al-Amr (permulaan perintah) dan perbuatan itu disertai malaikat. [10]

Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

إِنَّا نَحْنُ نزلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya:"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." - [al-Hijr:9].

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Qiyamah:

فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ - ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

Maksudnya: "Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;.Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan)."

Kita semua tahu (maklum dengan darurat) bahawa proses penurunan al-Qur'an bukanlah langsung daripada Allah tetapi dengan perantaraan Jibril 'Alaihissalam demikian juga yang membacakan al-Qur'an kepada Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam adalah Jibril 'Alaihissalam kemudian Jibril pula yang mentafsirkannya kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam kemudian baginda mengajarnya kepada para sahabat. Tetapi semua perkara ini mabda'nya (permulaannya) adalah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan perintah-Nya.

Lihat pula ayat ke-17 dan 18 surah Qaf:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ - مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: "Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisiNya malaikat Pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."

Berkata Ibn Jarir al-Tabari Rahimahullah (w.310 H):

ونحن أقرب إلى الإنسان من وريد حلقه، حين يتلقى الملَكان

Maksudnya: "Dan Kami lebih dekat kepada manusia daripada urat halqumnya ketika mana dua malaikat bertemu (di kiri dan kanannya}" - [al-Tabari, Muhammad bin Jarir, Jami'ul Bayan fi Takwil Ayil Qur'an. 22/342, al-Maktabah al-Shamilah].

Ini kerana jika dilihat dari segi i'rab (kerana dengan i'rablah kita dapat mengetahui makna zahir sesuatu jumlah kalimah إذ adalah zaraf zaman (masa) membawa makna حين (ketika) dan ia bergantung (متعلق) dengan kalimah [11] أقرب . Maka, berdasarkan i'rab ayat ini jelaslah bahawa makna zahir 'Kami lebih dekat' adalah 'Kami lebih dekat ketika malaikat (raqib atid) bertemu dengan manusia' maka yang dekat dengan manusia adalah malaikat bukanlah zat Allah Subhanahu wa Ta'ala itu sendiri.


Keempat: Hadis Wali

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi wali-wali-Ku sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidaklah seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai melainkan dengan apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya, berterusanlah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada Ku dengan mengerjakan (amalan-amalan) nawafil hinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku adalah penglihatannya yang dengannya ia melihat dan tangannya yang dengannya ia memegang dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Dan jika ia meminta dari-Ku, Aku akan mengurniakannya dan jika ia memohon perlindungan dengan-Ku, Aku akan melindunginya, dan tidaklah Aku ragu-ragu untuk melakukan sesuatu perkara sebagaimana Aku ragu-ragu terhadap seorang mukmin yang bencikan mati dan Aku pula benci untuk menyakitinya.” [12]

Hadis ini dijadikan hujah oleh Ahli Tasawwuf Wihdatul Wujud bahawa mereka boleh bersatu dengan Tuhan –Maha Suci Allah daripada Perkataan Mereka- dan dijadikan pula hujah oleh Ahli Takwil perlunya mentakwil ayat-ayat dan hadis-hadis sifat.

Jawapan:

Ulama Salaf as-Soleh Radiallahu'anhum beriman dengan hadis ini sesuai dengan makna zahirnya. Tetapi apakah makna zahir hadis ini? Adakah hadis ini pada zahirnya menunjukkan Allah Subhanahu wa Ta'ala bersatu dengan makhluk?

Jika dilihat dengan mata hati yang benar dan akal yang lurus tanpa ada 'zaigh' dalam hati, kita dapati makna zahir hadis ini adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala mentasdid wali-waliNya dalam perbuatan mereka di mana para wali-Nya sentiasa melakukan perkara yang Dia redhai sama ada dalam pendengaran, penglihatan, pergerakan tangan dan kaki, semuanya disertai dengan perasaan muraqabah (pengawasan) Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mengharap keredaan-Nya.

Dalilnya adalah siaq hadis yang menetap adanya dua wujud (ثنائي الوجود) iaitulah wujud Tuhan dan wujud makhluk dalam bentuk berasingan.

1- Jumlah:

وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ

(Dan tidaklah seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai melainkan dengan apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya, berterusanlah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada Ku dengan mengerjakan (amalan-amalan) nawafil hinggalah Aku mencintainya.)

Dan kata-Nya Subhanahu wa Ta'ala:

وَإِنْ سَأَلَنِي لأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ وَمَا تَرَدَّدْتُ عَنْ شَيْءٍ أَنَا فَاعِلُهُ تَرَدُّدِي عَنْ نَفْسِ الْمُؤْمِنِ يَكْرَهُ الْمَوْتَ وَأَنَا أَكْرَهُ مَسَاءَتَهُ

(Dan jika ia meminta dari-Ku, Aku akan mengurniakannya dan jika ia memohon perlindungan dengan-Ku, Aku akan melindunginya, dan tidaklah Aku ragu-ragu untuk melakukan sesuatu perkara sebagaimana Aku ragu-ragu terhadap seorang mukmin yang bencikan mati dan Aku pula benci untuk menyakitinya.)

Dalam perenggan ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menetapkan wujudnya 'yang mendekat' dan 'yang didekati', demikian juga wujudnya hamba dan wujudnya Tuhan, maka tetaplah wujudnya dua zat. Demikian lagi adanya wujud peminta dan pemberi, pelindung dan yang minta perlindungan dan akhir sekali Allah menetapkan Dia mematikan hamba-Nya yang mukmin menunjukkan bahawa adanya dua zat yang berbeza dan ternafinya kesatuan zat pada zahir hadis ini.

2- Pendengaran, penglihatan, tangan, dan kaki wali adalah anggota dan sifat makhluk yang berdiri sendiri, dan tidak mungkin sifat dan zat makhluk boleh bersatu dan makna inilah yang tersegera tergambar dalam pemahaman akal yang sihat dan inilah makna zahir hadis ini iaitu Tuhan dan makhluk tidak mungkin bersatu. Sedangkan minyak yang makhluk cecair tidak dapat bersatu dengan air yang juga makhluk cecair apatah lagi Tuhan dan makhluk-Nya. Maka, penyandaran sifat makhluk kepada Allah adalah penyandaran tasyrif (memuliakan) bukan seperti penyandaran sifat Tuhan kepada zat-Nya.

Oleh itu, jelas kepada kita hadis ini cukup difahami dengan zahirnya tanpa perlu diubah asalkan hati yang hendak memahami itu bersih daripada tasybih (menyamakan Tuhan dengan makhluk) dan 'al-Zaigh'.


Kelima: Sifat Taqarrub dan Harwalah

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: قَالَ رَبُّكُمْ ، عَزَّ وَجَلَّ : إِنْ تَقَرَّبَ عَبْدِي مِنِّي شِبْرًا ، تَقَرَّبْتُ مِنْهُ ذِرَاعًا ، وَإِنْ تَقَرَّبَ مِنِّي ذِرَاعًا ، تَقَرَّبْتُ مِنْهُ بَاعًا ، وَإِنْ أَتَانِي مَاشِيًا ، أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

Maksudnya: Daripada Anas Radhiallahu 'anhu katanya: Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Berfirman Tuhan kamu Azza wa Jalla: Jika hamba-Ku mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta, jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa, jika dia datang kepada-Ku berjalan Aku datang kepadanya dengan bergegas" [13]

Jawapan:

Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala dua sifat ini sebagaimana makna zahirnya. Sifat Taqarrub (mendekat) berbeza dengan sifat al-Qurb (dekat).

Sifat al-Taqarrub adalah sifat fi'liah yang bergantung dengan ikhtiar (kehendak) Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sifat ini samalah juga dengan sifat Istiwa' (bersemayam), Nuzul (turun), dan Maji' (datang). Ahli Sunnah beriman bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala mendekat kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam pada malam mikraj dengan cara yang layak bagi-Nya. Demikian juga sifat Harwalah (bergegas).

Namun, terdapat sebahagian salaf memberikan makna dekat-Nya Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan jarak-jarak yang disebut adalah gandaan pahala yang Allah berikan kepada hamba-Nya yang beribadat mengikut kadar ibadat mereka. Demikian juga makna 'harwalah' [14] adalah pantasnya ganjaran Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada mereka yang pantas beribadat.

Maka, adakah pendapat sebahagian salaf ini takwil sebagaimana takwil Jahmiah atau Asyairah? Jawapannya tidak, kerana zahir hadis ini adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan ganjaran kepada hamba-Nya mengikut ibadat yang hamba itu lakukan. Kita tahu bahawa hamba mendekat pada Allah bukanlah dengan mendekatkan zat kita kepada zat Allah tetapi mendekatkan jiwa dan ruh kita dengan beribadat kepada-Nya. Maka mendekatnya Allah kepada hamba-Nya daripada zahir hadis ini adalah sesuai dengan makna mendekatnya makhluk kepada Allah yakni bukanlah mendekat dengan zat.

Demikian juga makna harwalah, kerana tidak semua ibadat hamba itu dilakukan dengan berjalan dan berlari tetapi difahami berjalan atau berlari itu kepantasan menyeru kewajipan yang Allah perintahkan kepada hamba-Nya.

Difahami daripada ini, harwalah (bergegas) Allah kepada hamba-Nya adalah dengan memberi pahala atas ibadat hamba-Nya ini. Maka inilah zahir hadis di atas. Tetapi memang terdapat ibadat yang dilakukan dengan berjalan seperti tawaf, sa'i, berjihad dan seumpamanya. Maka dalam ibadat yang begini kita katakan, Allah bergegas kepada hamba-Nya dengan cara yang layak bagi-Nya.

Terdapat lafaz lain yang menjelaskan zahir hadis ini:

من جاء بالحسنة فله عشر أمثالها أو أزيد ، ومن جاء بالسيئة فجزاء سيئة مثلها أو أغفر ، ومن تقرب مني شبرا ؛ تقربت منه ذراعا ، ومن تقرب مني ذراعا ؛ تقربت منه باعا ، ومن أتاني يمشي ؛ أتيته هرولة ، ومن لقيني بقراب الأرض خطيئة لا يشرك بي شيئا ؛ لقيته بمثلها مغفرة

Maksudnya: "Sesiapa yang melakukan satu kebaikan maka baginya sepuluh kali ganda atau lebih, dan sesiapa yang melakukan satu kejahatan maka baginya seumpama kejahatan itu (daripada dosa) atau Aku ampunkan sahaja. Sesiapa yang mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta, sesiapa mendekat kepadaKu sehasta Aku mendekat kepadanya sedepa, sesiapa datang kepadaKu dengan berjalan, Aku datang kepadanya berlari pantas, dan sesiapa yang menjumpaiKu (di mahsyar) dengan dosa sepenuh bumi asalkan dia tidak melakukan syirik padaKu, maka Aku datang kepadanya dengan keampunan sebanyak itu juga" [15]

Permulaan hadis ini (lihat yang bergaris dalam matan dan yang dihitamkan dalam terjemahan) menjadi qarinah makna zahir hadis ini. Wallahua'lam.


Keenam: Sifat al-Maji' (Datang)

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Nahl ayat 26:

قَدْ مَكَرَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَأَتَى اللَّهُ بُنْيَانَهُمْ مِنَ الْقَوَاعِدِ فَخَرَّ عَلَيْهِمُ السَّقْفُ مِنْ فَوْقِهِمْ وَأَتَاهُمُ الْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لا يَشْعُرُونَ

Maksudnya:"Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat (terhadap agama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan (rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya, lalu bumbung (bangunan itu) jatuh menimpa ke atas mereka dan mereka pula didatangi azab kebinasaan dari arah yang mereka tidak menyedarinya."

Adakah salaf telah mengubah makna ayat ini daripada 'Allah datang' kepada 'Allah datang dengan azab-Nya' yakni 'mengazab'?

Jawapan:

Sama sekali salaf tidak mengubah makna zahir ayat bahkan itulah makna zahir ayat. Cuba kita lihat dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan Dia datang daripada asas-asas bangunan rumah mereka, maka siaq ini amat mustahil bagi mereka yang berakal untuk tergambar pada awal kali dia membaca ayat ini bahawa Allah datang dengan zat-Nya seperti Dia datang di Padang Mahsyar nanti.

Allah hanya akan datang daripada arah tinggi bukan rendah seperti asas-asas bangunan. Ini sangat mustahil lalu apabila diperhatikan akhir ayat ini maka jelaslah makna ayat ini: "Dan mereka didatangi azab kebinasaan".

Jadi zahir ayat ini tidak menyatakan yang datang itu adalah Allah sendiri tetapi azab-Nya yang dibawa malaikat-Nya.


Ketujuh: Janbullah

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Zumar ayat 56:

أَنْ تَقُولَ نَفْسٌ يَا حَسْرَتَا عَلَى مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللَّهِ وَإِنْ كُنْتُ لَمِنَ السَّاخِرِينَ

Maksudnya: "(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (agama Allah dan penganut-penganutnya)!"

Berkata al-Qasimi Rahimahullah (w.1332H):

فِي جَنبِ اللَّهِ - أي : في جانب أمره ونهيه ، إذ لم أتبع أحسن ما أنزل

Maksudnya: "(في جنب الله) bermaksud: di sisi arahan dan larangan-Nya kerana aku (yakni orang kafir) tidak mengikut kebaikan yang Allah turunkan" – [al-Qasimi, Jamaluddin bin Muhammad, Mahasin al-Takwil, al-Maktabah al-Shamilah].

Berkata al-Saadi Rahimahullah (w.1376H):

أي: في جانب حقه

Maksudnya: "Yakni: di sisi hak-Nya". - [al-Saadi, Abdul Rahman bin Nasir, Taisir Karim al-Rahman, 1/727, Muassasah al-Risalah, 1420 H/2000 M].

Jawapan:

Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah tidak pernah menetapkan sifat 'al-Janb' bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ini kerana tidak pernah ada nas selain ayat ini yang menyebut berkenaan Janbullah (lambung Allah) dan nas ini pula tidak menunjukkan 'janb' sebagai sifat tetapi sebagai suatu yang berasing daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Maka dalam kes ini ada dua dalil kenapa sifat 'Janb' tidak menjadi sifat Allah:

1- Tidak ada seorang pun ulama salaf yang memahami ayat ini menetap sifat al-Janb (lambung) bagi Allah.

2- Zahir ayat ini tidak menunjukkannya ayat sifat.

3- Cuba kita perhatikan siaq ayat ini:

عَلَى مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللَّهِ

Maksudnya: "Atas apa yang aku cuaikan di sisi Allah.."

Maka Allah nyatakan perkataan ini diucapkan oleh kaum kafir di akhirat atas kelalaian mereka melaksanakan perintah Allah daripada beriman dan mentauhidkan-Nya. Kalimah 'tafrit' bermaksud meninggal dan mengabai dan ia merupakan perbuatan makhluk jadi mustahil kita katakan maksudnya: "atas apa yang aku tinggalkan dalam lambung (rusuk) Allah", Subhanallah! Pemahaman ini hatta orang safih sekalipun tidak akan memahaminya begitu.

Lagi pula, kalimah الجنب dalam bahasa arab bukanlah bermaksud 'lambung' atau 'rusuk' sahaja, bahkan telah masyhur dalam kalam arab disebut:

اتـق الله في جنبي

Maksudnya: "Bertakwalah kamu pada Allah dalam hak-ku"

Maka sesiapa yang mentafsirkan dengan makna hak Allah maka dia tepat dengan makna hakiki kalimah الجنب dalam bahasa arab.

Demikian juga makna kalimah ini juga adalah: النَّاحِيَةُ yakni 'sisi' dan bermakna juga: الأَمْرَ yakni 'perintah' [16] kerana telah masyhur dalam kalam arab:

ما فَعَلْتَ في جَنْبِ حاجَتي

Maksudnya: "Apa yang kau telah lakukan pada urusanku/perintahku?"

Dan ini adalah antara makna hakiki kalimah الجنب dalam bagasa arab. Maka tidak berlaku di sini takwil tetapi ahli bidaah seperti Asyairah dan Jahmiah lah yang jahil akan bahasa arab. Wallahua'lam.


Kelapan: Sifat al-Nur (Cahaya)

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Nur ayat ke-35:

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لاَ شَرْقِيَّةٍ وَلاَ غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: "Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Berkata Ibn Abbas Radhiallahu 'anhuma (w.68H) dalam mentafsirkan makna Allah cahaya langit-langit dan bumi':

الله سبحانه هادي أهل السماوات والأرض

Maksudnya: "Allah –Maha Suci Ia- adalah pemberi hidayah kepada penduduk langit-langit dan bumi (sekaliannya)" - [al-Tabari, Muhammad bin Jarir, Jami'ul Bayan fi Takwil Ayil Qur'an, 19/177, al-Maktabah al-Shamilah].

Sebahagian salaf pula mentafsirkan dengan makna "Allah adalah penerang (menjadikan cahaya) bagi langit dengan bumi" - [Ibn Kasir, Tafsir al-Qur'an al-Azim, 6/57].

Jawapan:

Dalam nas al-Qur'an dan Hadis kalimah 'Nur' atau 'cahaya' diidafahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam dua bentuk; pertama: sebagai sifat bagi zat-Nya seperti dalam hadis Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam:

حجابه النور لو كشفه لأحرقت سبحات وجهه ما انتهى إليه بصره من خلقه

Maksudnya: "Hijab-Nya adalah cahaya, jika Dia menyingkapnya maka cahaya-cahaya wajah-Nya akan membakar apa sahaja yang dicapai penglihatan-Nya daripada makhluk-Nya" [17]

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Zumar ayat 69:

وَأَشْرَقَتِ الأرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا

Maksudnya: "Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya.."

Berkata Ibn Kasir Rahimahullah (w.774H):

أي: أضاءت يوم القيامة إذا تجلى الحق، تبارك وتعالى، للخلائق لفصل القضاء

Maksudnya: "Yakni: (cahaya Allah) menerangi pada hari Qiamat ketika Tuhan yang Maha Benar menampakkan diri-Nya yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi kepada sekalian makhluk-Nya untuk membuat perhitungan" - [Ibn Kasir,7/118].

Berkata al-Baghawi Rahimahullah [w.516H]:

بنور خالقها، وذلك حين يتجلى الرب لفصل القضاء بين خلقه، فما يتضارون في نوره كما لا يتضارون في الشمس في اليوم الصحو

Maksudnya: "(Yakni) diterangi dengan cahaya pencipta-Nya dan ia berlaku ketika Tuhan menampakkan diri-Nya untuk pengadilan antara makhluk, maka mereka tidak akan terkesan dengan cahaya itu seperti mana mereka tidak terkesan dengan cahaya matahari pada hari biasa (hari yang matahari tidak terik)" - [al-Bagahwi, 7/132].

Ayat dan hadis ini menetapkan bagi zat Allah Subhanahu wa Ta'ala itu cahaya hakiki yang layak bagi-Nya.

Kedua kalimah Nur diidafahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai idafah maful (yang dibuat) kepada fai'l (pembuat) dan contohnya seperti ayat ini.

Zahir ayat ini menunjukkan makna 'Allah cahaya langit sekaliannya dan bumi' sebagai makna 'Allah pemberi hidayah kepada isi alam' sesuai dengan qarinah ayat ini iaitu firman-Nya: يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ (Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu).

Begitu juga ayat sebelumnya (al-Nur ayat 34):

وَلَقَدْ أَنْزَلْنَا إِلَيْكُمْ آيَاتٍ مُبَيِّنَاتٍ وَمَثَلاً مِنَ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: "Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa."

Tafsiran ayat ini sebagai Allah cahaya pula adalah tafsir dengan lawazim (perkara-perkara yang melazimi sesuatu kalimah) kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menetapkan bagi diri-Nya cahaya, maka lazim daripada Dia sebagai zat yang bersifat bercahaya menerangi makhluk-Nya dan berdasarkan inilah Abdullah bin Mas'ud Radhiallahu 'anhuma mentafsirkannya:

"ليس عند ربكم ليل ولا نهار، نور السماوات والأرض من نور وجهه"

Maksudnya: "Tidak ada di sisi Tuhan kamu malam dan siang, cahaya sekalian langit dan bumi adalah dari cahaya wajah-Nya".

Berkata Ibn Taimiah Rahimahullah [w.728 H]:

وَكَذَلِكَ مَنْ قَالَ : مُنَوِّرُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ لاَ يُنَافِي أَنَّهُ نُورٌ وَكُلُّ مُنَوِّرٍ نُورٌ فَهُمَا مُتَلاَزِمَانِ ثُمَّ إنَّ اللَّهَ تَعَالَى ضَرَبَ مَثَلَ نُورِهِ الَّذِي فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ بِالنُّورِ الَّذِي فِي الْمِصْبَاحِ وَهُوَ فِي نَفْسِهِ نُورٌ وَهُوَ مُنَوِّرٌ لِغَيْرِهِ فَإِذَا كَانَ نُورُهُ فِي الْقُلُوبِ هُوَ نُورٌ وَهُوَ مُنَوِّرٌ فَهُوَ فِي نَفْسِهِ أَحَقُّ بِذَلِكَ وَقَدْ عُلِمَ أَنَّ كُلَّ مَا هُوَ نُورٌ فَهُوَ مُنَوِّرٌ

Maksudnya: "Dan mereka yang menafsirkan dengan makna: Dia (Allah) menerangi langit sekaliannya dan bumi tidak menafikan bahawa Allah itu bersifat dengan cahaya kerana setiap yang menerangi itu adalah cahaya maka keduanya saling berkait. Kemudian Allah memberikan misal cahaya-Nya yang berada dalam hati kaum mukminin dengan cahaya lampu di mana lampu itu sendiri cahaya dan dia menerangi bagi selainnya. Maka apabila cahaya-Nya dalam hati (orang mukmin) itu adalah cahaya dengan sendirinya dan ia juga menerangi (hati) maka Dia (Allah) lebih berhak untuk bersifat dengan cahaya dan diketahui tadi setiap cahaya itu menerangi" - [Ibn Taimiah, Abdul Halim, Majmuk al-Fatawa, 6/392, al-Maktabah al-Shamilah].

Lebih lagi, mereka yang mentafsirkan dengan: "Allah adalah pemberi cahaya.." membaca ayat ini dengan:

اللَّهُ نَوَّر السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ

Maksudnya: "Allah adalah pemberi cahaya kepada langit dan bumi"

Maka bagi mereka, zahir ayat ini sama sekali tidak menunjukkan cahaya di sini adalah cahaya zat Allah, tetapi tetap tidak menafikan wujudnya sifat cahaya bagi zat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana sabit dengan dalil yang lain dan sabit juga dengan kelaziman ayat ini.

Perbincangan ini lebih kurang sama sahaja dengan masalah tafsiran salaf pada sifat mata dengan 'penglihatan dan pemerhatian' di mana tafsiran itu tidak menafikan kewujudan mata hakiki bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana penglihatan dan pemerhatian adalah sifat lazim bagi mata. Wallahua'lam.

_________
Nota kaki:

[1]
al-Idhafah (الإضافـــة) yakni penisbatan
[2] al-Siaq (السياق) yakni Gaya Bahasa
[3] Ini jika kita menerima adanya Majaz dalam bahasa dan al-Qur'an tetapi yang sahihnya tidak ada pembahagian kalam kepada hakiki dan majazi sebagaimana yang difahami oleh ulama balaghah tekemudian ini sama ada dalam bahasa mahupun al-Qur'an.
[4]
Meluaskan langit bermkasud mengembangkannya dan menambah keluasannya sebagaimana sabit dalam ilmu sains bahawa langit itu 'expand' atau bertambah keluasannya.
[5]
Takwil pada bahasa bermaksud 'mengembalikan sesuatu kepada asal'. Takwil dalam istilah Ulum Qur'an bermaksud Tafsir iaitu : 'Menjelaskan maksud ayat al-Qur'an sesuai dengan makna yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya'. Adapun Takwil dalam istilah ulama Asyairah dan Muktazilah bermaksud Tahrif yakni mengubah makna al-Qur'an.
[6]
Al-Murisi; Bisyr bin Ghias, Pemuka Mazhab Jahmiyah dan kepadanya dinasabkan firqah al-Murisiah (mazhab Murjiah). Beberapa Ulama mengkafirkannya. Wafat tahun 218 H.
[7]
Ibn al-Salji; Muhammad bin Syuja' al-Baghdadi, Ulama terkemuka Mazhab Hanafi tetapi dia menganut aqidah Jahmiyah Muktazilah. Seorang yang kuat beribadat tetapi aqidahnya rosak dan dinilai sebagai 'Pendusta' oleh ulama Jarah dan Takdil. Wafat tahun 266 H.
[8]
Lihat: Bahjat Abdul Wahid Soleh, al-I'rab al-Mufassal li Kitabillah al-Murattal, 1/239, Dar al-Fikir.
[9]
Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari (2992, 4206, 6348, 6610, 7386), Muslim (2704), Ahmad (19538, 19614, 19760) , al-Nasai dalam Amal al-Yaum wa al-Lailah (538)
[10]
Ibn Kasir, al-Hafiz, abul Fida' Ismail, Tafsir al-Qur'an al-Azim, 7/398, al-Maktabah al-Shamilah.
[11]
Bahjat Abdul Wahid Soleh, al-Mufassal fi I'rab al-Kitab al-Murattal, Jil 11, m/s 194, Dar al-Fikir.
[12]
Riwayat al-Bukhari (6502) 8/105.
[13]
Takhrij: al-Bukhari (7536), Ahmad (12258), (12312), (13908), (12344), (12432), Abdun bin Humaid (1168) dan (1169). Lihat: al-Musnad al-Jami', (1584)
[14]
Harwalah maksudnya berjalan cepat.
[15]
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Asma' wa al-Sifat (437), al-Maktabah al-Shamilah.
[16]
Ibn Manzur, Lisanul Arab, Harful Ba', 1/275, al-Maktabah al-Shamilah.
[17]
Muslim (179), tahkik; Fuad Abdul Baqi.

Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2008/12/04/syubhat-takwil-dalam-akidah-salafiah/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan