Isnin, 7 Julai 2008

PELAJARAN TENTANG SIFAT-SIFAT ALLAH (1)

Adalah menjadi kewajipan untuk kita berhenti di atas nas dari al-Kitab dan al-Sunnah dalam masalah-masalah Nama-nama dan Sifat-sifat Allah. Ini kerana akal manusia tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah. Kita tidak dapat mengetahui nama-nama dan sifat-sifat yang sesuai bagi Allah melainkan apa yang telah di sampaikan melalui sumber wahyu. Firman Allah:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. [Al-Israa’: 36]

Firman Allah lagi:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Katakanlah: "Tuhanku Hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) kamu untuk berkata tentang Allah dengan apa-apa yang tidak kamu ketahui." [Al-A’raf: 33]

KESEMPURNAAN SIFAT ALLAH

Sifat-sifat Allah S.W.T seluruhnya adalah sempurna dan tidak ada kekurangan di dalamnya. Antara sifat-sifat tersebut adalah sifat Hayah (hidup), ‘ilmu, qudrah (kemampuan), sami’ (mendengar) basher (melihat), rahmah, ‘izzah, hikmah, ‘uluw (tinggi), ‘adzamah (agung) dan lain-lain.

1. Dalil Naqli

لِلَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآَخِرَةِ مَثَلُ السَّوْءِ وَلِلَّهِ الْمَثَلُ الأَعْلَى وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, mempunyai sifat yang buruk; dan Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi (yang menunjukkan kesempurnaanNya); dan Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. [An-Nahl: 60]

2. Dalil ‘Aqli

Setiap sesuatu pasti mempunyai hakikat sehingga setiap benda yang wujud pasti ada sifat sama ada sifat kesempurnaan ataupun sifat kekurangan. Sifat kekurangan tersebut adalah batil sama sekali jika dinisbahkan kepada Allah Yang Maha Sempurna. Sebab itulah Allah memperlihatkan batilnya penyembahan terhadap berhala dengan cara menyifati berhala-berhala tersebut dengan kekurangan dan kelemahan. Sebagaimana FirmanNya:

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَنْ لاَ يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ

Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sembahan-sembahan selain Allah yang tiada dapat memperkenankan (doa) nya sampai hari kiamat dan mereka lalai dari (memperhatikan) doa mereka? [Al-Ahqaf: 5]

وَالَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لاَ يَخْلُقُونَ شَيْئًا وَهُمْ يُخْلَقُونَ (20) أَمْوَاتٌ غَيْرُ أَحْيَاءٍ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ (21)

Dan berhala-berhala yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun, sedang berhala-berhala itu (sendiri) dibuat orang. (Berhala-berhala itu) benda mati tidak hidup, dan berhala-berhala tidak mengetahui bilakah penyembah-penyembahnya akan dibangkitkan. [An-Nahl: 20-21]

Dari sudut logik lain, adalah secara inderawi dan realiti dapat dilihat bahawa makhluk juga mempunyai sifat-sifat kesempurnaan. Kesempurnaan pada makhluk itu berasal dari Allah Ta’ala. Maka adalah Yang Maha Pemberi kesempurnaan lebih-lebih lagi layak untuk memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Perlu diketahui kesempurnaan makhluk adalah berbeza dengan kesempurnaan Pencipta.

PEMBAHAGIAN SIFAT-SIFAT ALLAH

Sifat Allah terbahagi kepada 2 iaitu:

  1. Tsubutiyah
  2. Salbiyah

Sifat tsubutiyah adalah sifat yang Allah tetapkan bagi diriNya di dalam Al-Quran atau melalui lisan RasulNya. Seluruh sifat tsubutiyah adalah merupakan sifat yang sempurna yang tiada kekurangan di dalamnya dari sisi manapun. Berkenaan sifat tsubutiyah ini pula terbahagi kepada 2 iaitu:

  1. Dzatiyah (zat)
  2. Fi’liyah (perbuatan)

Berkenaan sifat ini akan diterangkan selepas ini.

Sifat salbiyah pula adalah sifat-sifat yang Allah nafikan dari diri-Nya dalam kitab-Nya atau melalui lisan RasulNya. Semua sifat salbiyah adalah sifat-sifat kekurangan bila disandarkan kepada Allah. Contohnya: sifat mati, tidur, bodoh, lupa, lemah, penat dan sebagainya. Sifat ini wajib dinafikan dari Allah kerana apa yang dinafikan dari diri-Nya adalah bermaksud untuk menetapkan kesempurnaan daripada sifat salbiyah tadi. Sebagai contoh:

وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لاَ يَمُوتُ...

Dan bertawakkallah kepada Allah yang hidup (kekal) yang tidak mati… [Al-Furqan: 58]

Penafian sifat kematian dari diri Allah mengandungi penetapan kepada sifat kesempurnaanNya iaitu Hidup.

...وَلاَ يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

…Dan Tuhanmu tidak menzalimi walau seorang pun. [Al-Kahfi: 49]

Penafian kezaliman dari diri Allah mengandungi sifat kesempurnaanNya iaitu Sifat ‘Adil. Begitulah seterusnya sifat-sifat lain yang dinafikan dari diriNya adalah mengandungi penetapan sifat yang sempura bagi diri Allah Ta’ala.

SIFAT TSUBUTIYAH

Sebagaimana diterangkan sebelum ini adalah sifat tsubutiyah terbahagi lepada 2 iaitu sifat dzatiyah dan sifat fi’liyah. Sifat dzatiyah adalah sifat yang Allah sentiasa dan seterusnya bersifat dengannya, seperti sifat maknawi berupa Al-Ilmu, Al-Qudrah, As-Sam’u, Al-Bashar, Al-‘Izzah, Al-Hikmah, Al-‘Uluw, Al-‘Azamah dan lain-lain. Dalam sifat tsubutiyah terdapat juga sifat khabariyah iaitu seperti Al-Wajhu (wajah), Al-Yadain (dua tangan), dan Al-‘Ainain (dua mata).

Sifat fi’liyah pula adalah sifat terkait dengan kehendak Allah. Bila Allah berkehendak maka ia akan melakukannya dan bila ia tidak berkehendak maka sebaliknya. Seperti beristiwa (bersemayam) di atas ‘Arasy dan nuzul (turun) ke langit dunia.

Terkadang juga sebuah sifat merupakan sifat dzatiyah serta sifat fi’liyah kerana dilihat dari dua tinjauan. Seperti sifat kalam. Asalnya sifat kalam adalah sifat dzatiyah kerana Allah selalu dan sentiasa berkata-kata. Dari segi lain pula sifat kalam juga adalah sifat fi’liyah kerana sifat kalam berhubungan dengan kehendakNya. Allah Ta’ala berkata-kata apabila ia berkehendak dan dengan apa yang Ia inginkan. Ini sebagaimana firman Allah:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila dia menghendaki sesuatu hanyalah Berkata kepadanya: "Jadilah!" Maka terjadilah ia. [Yasin: 82]

Setiap sifat yang terkait dengan kehendak Allah, maka sifat tersebut pasti mengikuti hikmah-Nya. Terkadang hikmah tersebut kita ketahui dan terkadang tidak kita ketahui. Namun kita mengetahui dengan pasti bahawa Allah tidaklah menghendaki sesuatu kecuali perkara tersebut dengan hikmah-Nya, sebagaimana diisyaratkan dalam firman-Nya:

وَمَا تَشَاءُونَ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan kamu tidak akan menghendakinya, kecuali bila Allah menghendaki. Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. [Al-Insan: 30]

PENETAPAN SIFAT BAGI ALLAH WAJIB MENGHINDARI DARI TAMTSIL DAN TAKYIF

Tamtsil adalah keyakinan seseorang yang menetapkan sifat bahawa sifat-sifat Allah yang ia tetapkan itu sama dengan sifat-sifat makhluk. Ini adalah keyakinan yang batil berdasarkan dalil Naqli dan dalil ‘Aqli.

Firman Allah:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan Melihat. [As-Syura: 11]

أَفَمَنْ يَخْلُقُ كَمَنْ لاَ يَخْلُقُ أَفَلاَ تَذَكَّرُونَ

Maka apakah (Allah) yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa) ?. Maka Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran. [An-Nahl: 17]

هَلْ تَعْلَمُ لَهُ سَمِيًّا

Adakah engkau mengetahui ada yang sama dengan-Nya? [Maryam: 65]

وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Dan tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya. [Al-Ikhlas: 4]

Adapun dalil ‘aqli tentang kebatilan tamtsil adalah seperti berikut:

  • Secara dharuri (semulajadi/ tanpa belajar) bahawa antara pencipta dan makhluk terdapat perbezaan pada zat. Setiap makhluk pasti ada sifatnya yang sesuai dengan penciptaannya. Maka setiap makhluk juga berbeza-beza sifat yang dimiliki oleh mereka. Sebagai contoh, Unta mempunyai kekuatan dan semut juga mempunyai kekuatan. Akan tetapi kekuatan mereka tidak sama. Jika antara makhluk dengan makhluk mengalami perbezaan sifat yang begitu jelas, sedangkan mereka sama-sama makhluk, maka perbezaan antara makhluk dengan pencipta (Allah) tentu sekali jauh lebih jelas.

  • Katakanlah: bagaimana mungkin Tuhan Yang Maha Sempurna dalam seluruh aspek itu serupa dengan makhluk-makhluk yang hanya setiap harinya memerlukan pada zat yang menyempurnakannya? Tidakkah keyakinan begini seakan-akan hanya meletakkan sebuah pengurangan terhadap Sang Pencipta? Ini kerana menyamakan sesuatu yang sempurna dengan sesuatu yang kurang, pasti akan menjadikan yang sempurna itu juga menjadi kurang.

  • Kita dapat lihat bahawa di antara makhluk ada perkara-perkara yang namanya sama, akan tetapi berbeza dari sudut hakikat serta bentuknya. Sebagai contoh, manusia memiliki tangan, gajah juga memiliki tangan. Namun tangan manusia berbeza dengan tangan gajah. Begitu juga dengan kekuatan. Manusia memiliki kekuatan yang tidak sama dengan kekuatan unta. Padahal persamaannya tangan dengan tangan, kekuatan dengan kekuatan. Namun kedua-duanya mempunyai perbezaan pada kaifiat (bentuknya) dan sifat. Oleh itu, hendaklah diketahui dengan persamaan sifat tidak semestinya sama dari sudut hakikat.

Tasybih adalah istilah yang sama seperti tamtsil dan adakalanya keduanya berbeza. Kerana tamtsil adalah penyamaan pada sifat manakala tasybih adalah penyamaan dalam sebahagian besar sifat. Namun perkataan “penafian tamtsil” lebih sesuai berdasarkan firman Allah:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ...

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya… [As-Syura: 11]

Takyif pula adalah keyakinan seseorang yang menetapkan sifat bagi Allah bahawa bentuk sifat-sifat Allah adalah seperti begini dan begitu. tanpa mengaitkan sesuatu yang serupa. Ini adalah keyakinan yang batil berdasarkan dalil Naqli dan dalil Aqli.

Firman Allah:

وَلاَ يُحِيطُونَ بِهِ عِلْمًا

Dan Ilmu mereka tidak dapat meliputi Allah. [Thaha: 110]

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولاً

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. [Al-Israa’: 36]

Telah kita ketahui bahawa kita tidak mempunyai ilmu tentang kaifiat (bentuk) sifat-sifat Allah. Kerana Ia hanya memberi tahu tentang sifat-sifatNya, namun tidak diceritakan bagaimana kaifiatNya. Sehingga apabila kita melakukan takyif, perbuatan ini termasuk mengikuti sesuatu yang kita tidak memiliki ilmu tentangnya, dan juga merupakan ucapan tentang sesuatu yang tidak mungkin kita liputi (ketahui).

Dalil ‘Aqli dalam masalah ini:

· Sesuatu tidak akan dapat diketahui kaifiat sifat-sifatnya kecuali bila diketahui kaifiat zatnya. Contohnya: Apabila seseorang ingin bertemu dengan rakannya yang ia berkenalan melalui pesanan ringkas (sms) atau chatting tetapi belum pernah ditemui secara berdepan, pasti tidak mengetahui secara hakikat bentuk dan sifat-sifat rakannya tersebut. Adakah tinggi atau rendah orangnya? Adakah cerah atau gelap warna kulitnya? Adakah ia seorang yang sopan ataupun tidak? Ini semua hanya dapat diketahui hanya dengan bertentang mata, bertemu dan bersemuka untuk melihat sendiri hakikat dan sifat-sifat rakannya tersebut.

· Kita katakana kepada orang yang melakukan takyif, “Kaifiat apakah yang engkau lakukan terhadap sifat-sifat Allah? Sesungguhnya kaifiat apapun yang engkau cuba lakukan, maka Allah itu jauh lebih agung dan lebih mulia dari apa yang engkau lakukan itu. Kaifiat apapun yang engkau tetapkan bagi Allah, sesungguhnya tetap saja engkau akan dikatakan sebagai seorang pendusta dalam perkata itu, kerana engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya.”

Dengan demikian, wajib bagi kita untuk menahan diri dari takyif baik dengan menetapkannya di hati, di lisan, atau menggambarkannya dengan tulisan. Oleh sebab itulah Imam Malik ketika ditanya tentang firman Allah:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Al-Rahman (Yang Maha Pemurah) beristiwa di atas ‘Arasy. [Thaha: 5]

Beliau ditanya: “Bagaimana Allah beristiwa’?” Beliau menundukkan kepala sampai keluar air peluh membasahinya, kemudian ia berkata: “Istiwa’ itu tidaklah majhul (diketahui maknanya), dan kaifiatnya tidaklah diketahui. Beriman dengannya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bid’ah.” [Atsar ini Sahih, Riwayat oleh Az-Dzahabi dalam Al-‘Uluw (hal. 141-142), Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah (6/325-326), Utsman bin Sai’d Ad-Darimi dalam Ar-Radd ‘alal Jahmiyah (hal. 55), Al-Lalikai dalam Syarah Ushul I’tiqad Ahli al-Sunnah (664), Abu Utsman As-Sobuni dalam ‘Aqidatus Salaf (24-26) dan Al-Baihaqi dalam Al-Asma’ wa al-Sifat (hal. 408).]

Berhati-hatilah dari takyif dan berusaha melakukan takyif. Kerana bila seseorang melakukannya, ia sebenarnya telah terjatuh ke dalam padang pasir yang luas, yang anda tidak akan sanggup keluar darinya. Apabila syaitan melemparkan takyif di hati seseorang, ketahuilah itu adalah gangguannya. Larilah memohon perlindungan kepada Tuhan, kerana Ia pelindung kita, kerana Ia adalah penyembuh kita. Firman Allah:

وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, Maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. [Fushshilat: 36]

[Rujukan: Al-Qawa’id Al-Mutsla fi Shifatillahi wa Asma’ihil Husna, Oleh Asy-Syeikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin, Dita’liq oleh Abu Muhammad Asyraf bin Abdul Maqshud, Maktabah Adhwa’is Salaf – Riyadh.]

www.wahabiah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan