Oleh: Halim Abdurrahman Halim
Apa kata Dr.Yusof Al-Qaradawi berkenaan Istawa' Allah atas Arasy? Kata beliau:
"Apabila kita mengarahkan diri kepada Allah S.W.T, maka arah atas adalah arah yang layak untuk-Nya. Bukan arah yang difahami dengan kefahaman sesuatu yang berjisim. Kita mengetahui secara umum dan pasti. Kita tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Semoga Allah memberi taufik kepada kita ke arah kebenaran.
Sesiapa yang mempelajari keadaan alam pasti mengetahui ia berkisar pada ilmu falak. Sebenarnya, tiada arah selain daripada arah atas dan bawah. Apabila kita pasti kewujudan Pencipta dan kewujudan alam, maka kita pasti sebutkan Allah dengan arah atas. Seluruh alam ini berada di atas kita dan kita berada di tengah-tengah."
[Fusul Fil Aqidah baina Salaf wa Khalaf, hlm.229-230.]
Dalam hal ini, itulah juga yang dimaksudkan oleh Dr.Zakir Naik apabila ditanya tentang 'Dimana Allah'. Tiada masalah dari sudut soalan mahupun jawapan dalam hal tersebut. Cumanya sebahagian pihak ASWAJA, pro aliran tradisional yang berpegang kepada pemikiran Muktazilah dan Jahmiyyah, mereka mengakui diri mereka sebagai Asy'ariyyah padahal mereka termasuk golongan pelampau dalam Asy'airah yang begitu gemar menyesatkan aliran salaf dah ahlul hadith.
Jika ikutkan 'standard' piawai penyesatan mereka, Dr.Yusof Al-Qaradawi, beberapa ulama dunia hari ini, ulama terdahulu dan golongan Salaf juga termasuk dalam kategori sesat oleh mereka. Tidak terkecuali juga Imam Ahmad, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi'e, Ibnu Khuzaimah, Adz-Dzahabi dan ramai lagi.
_________________________
Pelengkap hujah:
1. Al-Imam adz-Dzahabi rahimahullah (748H) telah berkata:
"Ucapan para Salaf dan Imam-Imam Sunnah bahkan para sahabat, Allah, Nabi dan seluruh kaum muslimin Allah di atas langit dan di atas ‘Arasy, dan bahawasanya bahawa Allah turun ke langit dunia. Hujah-hujah mereka adalah hadis-hadis dan atsar-atsar yang sangat banyak."
[Lihat al-’Uluw, ms. 143; dalam Di Mana Alloh? Pertanyaan Penting Yang Terabaikan! karya Abu Ubaidah As-Sidawi, ms. 18.]
_______
2. Al-Imam adz-Dzahabi rahimahullah (748H) menerusi kitabnya, al-’Uluw lil ‘Aliyyil Ghaffar meriwayatkan bahawa al-Imam al-Hafiz Ishaq bin Rahawaih rahimahullah (238H) ketika mengomentari surah Taha, ayat 5 yang bermaksud: Rabb Yang Pemurah Yang Bersemayam di atas ‘Arasy, berkata: .
"Para ulamak bersepakat bahawa Dia bersemayam di atas ‘Arasy dan mengetahui segala sesuatu di bawah lapisan bumi yang tujuh."
[Lihat al-Wajiiz fii ‘Aqiidatis Salafish Shaalih karya ‘Abdullah bin ‘Abdul Hamid al-Atsari, ms. 81.]
______
3. Al-Imam Ibn Qudamah berkata ketika menjelaskan kesepakatan para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang bermanhaj al-Salaf al-Shalih terhadap penetapan sifat Allah di atas ‘Arasy di atas langit-Nya:
"Amma ba’du: Sesungguhnya Allah mensifati diri-Nya bahawa Dia tinggi di atas langit, demikian juga Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam – penutup para Nabi – mensifati Allah dengan ketinggian juga dan hal itu disepakati oleh seluruh para ulamak dari kalangan sahabat yang bertakwa dan para imam yang mendalam ilmunya, hadis-hadis tentangnya juga mutawwatir sehingga mencapai darjat yakin, demikian pula Allah menyatukan semua hati kaum muslimin dan menjadikannya sebagai fitrah semua makhluk."
[Lihat Ithbat Shifat al-’Uluw, ms. 12; dalam Di Mana Alloh? Pertanyaan Penting Yang Terabaikan! karya Abu Ubaidah As-Sidawi, ms. 23.]
_______
4. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:
"Pendapat bahawa Allah di atas ‘Arasy adalah pendapat yang disepakati oleh para Nabi seluruhnya dan itu disebutkan dalam setiap kitab yang diturunkan kepada setiap Nabi yang diutus sebagai Rasul. Soal itu telah disepakati pula oleh generasi pendahulu umat ini (generasi al-Salaf al-Shalih) serta oleh kalangan imam mereka dari semua golongan."
[Lihat Manhaj al-Imam asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala fii Itsbat al-’Aqidah karya Dr. Muhammad bin A.W. al-’Aqil, ms. 441.]
______
5. Al-Imam al-Auza’i rahimahullah yang dianggap Imam ahli Syam di zamannya telah menegaskan:
"Adalah kami dan generasi tabi’in seluruhnya bersepakat berkata: Sesungguhnya Allah Ta’ala menyebut diri-Nya berada di atas ‘Arasy-Nya, dan kami beriman dengan apa yang datang dari al-Sunnah tentang sifat-sifat-Nya (yang Maha) Agung dan Tinggi."
[Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Shifat, ms. 515 dan sanadnya dinilai sahih oleh Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah dalam Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah, ms. 69. Lihat Manhaj al-Imam asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala fii Itsbat al-’Aqidah karya Dr. Muhammad bin A.W. al-’Aqil, ms. 441.]
_______
6. Berkata Syaikh Nashr al-Maqdisi rahimahullah (490H) dalam kitabnya al-Hujjah ‘ala Taraka al-Mahajjah, sekiranya ada orang bertanya:
"Sesungguhnya anda telah menyebut bahawa yang wajib ke atas umat Islam ialah mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta apa yang menjadi kesepakatan para imam dan ulamak sehingga menjadi dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Maka sebutlah mazhab mereka umat Islam dan apa yang telah mereka sepakati dalam perkara akidah dan apa yang patut kita ikut berdasarkan kesepakatan mereka.
Maka jawapannya:
Apa yang telah saya terima daripada para ilmuan dan orang yang saya temui dan orang yang saya ambil (riwayat) daripada mereka ialah (maka dia menyebut sejumlah dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah... di antaranya) sesungguhnya Allah al-Istawa’ di atas ‘Arasy-Nya (dan Dia) terpisah daripada makhluk-Nya."
[Lihat Dar’u Ta’arudh, jld. 6, ms. 251; dalam Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah karya Syaikh Murad Syukri, ms. 84-85.]
_______
7. Al-Imam asy-Syafie rahimahullah berkata:
"Pegangan dalam sunnah Rasulullah yang aku berada di atasnya dan aku lihat sahabat-sahabat kita (para ulamak) yang berada di atasnya. Mereka itu Ahl al-Hadis (ulamak hadis) seperti Sufyan bin ‘Uyainah, Malik (Imam mazhab Malik) dan selain mereka. Aku ambil daripada mereka: Ikrar dengan penyaksian bahawa tiada Ilah (Tuhan yang diabdikan diri) selain Allah dan Muhammad itu Rasulullah. Sesungguhnya Allah berada di atas ‘Arasy-Nya di langit. Dia menghampiri sesiapa yang dikehendaki-Nya di kalangan makhluk-Nya dengan cara yang Dia kehendaki. Allah turun ke langit dunia mengikut kehendak-Nya."
[Al-Imam asy-Syafi’ie dalam Wasiyyah al-Imam asy-Syafi’ie, ms. 53-58, adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’, jld. 1, ms. 79-80, adz-Dzahabi dalam Mukhtasar al-’Uluw li al-’Ali al-Ghaffar, ms. 176. Riwayat ini sahih. Para muhaqqiq (penganalisa) bagi kedua-dua kitab adz-Dzahabi, iaitu Syaikh al-Albani dan Syaikh Syu’aib al-Arnauth mengakui kesahihannya. Lihat penjelasan ini dalam al-Imam al-Syafi’i: Kegemilangan Ilmu & Pemikiran selenggaraan Sakinah Ariff Johor, ms. 67.]
Dalam kesempatan yang lain, al-Imam asy-Syafie rahimahullah berkata:
"Aku beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah datang dari Allah sesuai dengan yang dimaksudkan oleh Allah, dan aku beriman kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta apa yang telah datang dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sesuai dengan apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah."
[Dinukil daripada Lum’atul I’tiqad al-Hadi ila Sabilir Rasyad karya al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, ms. 44-45.]
__________
8. Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Yunus Ibn ‘Abd al-’Ala, katanya:
"Aku mendengar (al-Imam) asy-Syafie berkata: Allah mempunyai nama-nama dan sifat-sifat (al-Asma’ wa al-Sifat) yang tidak boleh sesiapa pun menolaknya, dan sesiapa yang menyalahinya setelah nyata hujah ke atasnya, maka sesungguhnya dia telah kufur. Adapun sebelum tertegaknya hujah, maka sesungguhnya dia dimaafkan di atas kejahilan itu kerana ilmu yang demikian itu tidak boleh dicapai melalui akal, mimpi, atau fikiran. Maka kita menetapkan (ithbat) sifat-sifat ini dan kita juga menafikan tasybih (penyerupaan) dari-Nya sebagaimana dia menafikan dari diri-Nya."
[Lihat Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? karya Dr. Azwira Abdul Aziz, ms. 77-68.]
__________
9. Terdapat riwayat yang sahih dari Ali Ibnu al-Hasan bin Syaqiq guru al-Imam al-Bukhari, dia berkata:
"Saya pernah bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak bagaimana kita mengetahui Tuhan kita? Katanya: Di langit ke tujuh di atas ‘Arasy-Nya. Dalam lafaz lain: Di atas langit ketujuh di atas ‘Arasy-Nya dan kita tidak mengatakan sebagaimana yang dikatakan al-Jahmiyah bahawasanya Allah di sini, di bumi."
Ali juga berkata:
"Saya pernah bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak: Bagaimana seharusnya kita mengenal Tuhan kita?. Dia menjawab: Di atas langit ketujuh di atas ‘Arasy-Nya dan kita tidak mengatakan sebagaimana orang al-Jahmiyyah berkata bahawasanya Allah ada di bumi ini."
[Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Khalqu Af’al al-Ibad, ms. 8, ad-Darimi dalam ar-Raddu Ala al-Marisi, ms. 103, juga dalam ar-Raddu Ala al-Jahmiyah, ms. 50, Abdullah bin al-Imam Ahmad dalam as-Sunnah, jld. 1, m.s 111 (no.2), dan jld. 1, ms. 174-176 (no.216), Ibn Baththah dalam al-Ibanah, jld. 3, ms. 155-156 (no. 112), Ibn Mandah dalam at-Tauhid, jld. 3, ms. 308 (no. 899), ash-Shobuni dalam Akidah as-Salaf, ms. 20 (no. 28), al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Shifat, jld. 2, ms. 336 (no. 903), Ibn Abdil Barr dalam at-Tamhid, jld. 7, ms. 142 dan Ibn Qudamah dalam Itsbat Shifat al-’Uluw, ms. 117-118 (no. 99, 100). Disebutkan juga oleh Ibn Taimiyyah dalam Dar’u Ta’arud an-Naql wa an-Naql, jld. 6, ms. 264 dan al-Fatawa al-Hamwiyah, ms. 91 dan dia berkata: Abdullah bin al-Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin al-Mubarak dengan sanad-sanad yang sahih. Kemudian disebutkan pula oleh adz-Dzahabi dalam al-’Uluw, ms. 110, Siyar A’lam al-Nubala’, jld. 8, ms. 402, dalam al-Arba’in, ms. 40 (no.10) dan al-’Arsy, jld. 2, ms. 187 (no. 161-162). Lihat al-Ma’iyyah karya Dr. M. Khalifah Ali At-Tamimi, ms. 65.]
________
10. Al-Imam al-Asy’ari rahimahullah (324H) dalam sebuah risalahnya yang ditujukannya kepada penduduk negeri Tsaghar berkata:
"Dan mereka berijmak bahawasanya Allah berada di atas langit-langit-Nya di atas ‘Arasy-Nya, bukan di bumi."
[Lihat Pokok-Pokok Akidah Salaf Yang Diikrarkan Imam al-Asy’ari karya Dr. Muhammad Abdurrahman al-Khumais (Darul Haq, Jakarta), ms. 22.]
________
11. Syaikh al-Islam Abd al-Qadir al-Jailani rahimahullah (561H) berkata sebagaimana yang dinukil daripada kitabnya, Ghinyah, jld. 1, ms. 54:
"Dia berada di atas, bersemayam di atas ‘Arasy di atas singgahsana, Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu. (Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang salih dinaikkan-Nya). (Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu)."
[Lihat asy-Syaikh Abdul Qadir al-Jailani wa Arauhu al-I’tiqadiyah wa ash-Shufiyah karya Dr. Sa’id bin Musfir al-Qahthani, ms. 144.]
_______
12. Dalam keterangannya yang lain sebagaimana nukil Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah dalam Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah, ms. 79, beliau berkata:
وَالله ُ تَعَالَى بِذَاتِهِ عَلَى الْعَرْشِ، عِلْمُهُ مُحِيْطٌ بِكُلِّ مَكَانٍ.
Dan dzat Allah bersemayam di atas ‘Arasy sedangkan ilmu-Nya meliputi di setiap tempat.
[Lihat Di Mana Allah?: Akidah Wahhabi, Asy’ari Atau Asy-Syafie? karya Ustaz Rasul Dahri, ms. 61.]
______
13. Abu Bakar Muhammad bin Ishaq Khuzaimah rahimahullah (311H) berkata:
"Barangsiapa yang tidak menetapkan (ithbat) bahawa Allah ‘Azza wa Jalla berada di atas ‘Arasy-Nya (Dia beristiwa’) di atas tujuh langit-Nya, maka dia adalah kafir terhadap Tuhannya. Halal darah ke atasnya. Dia diminta agar bertaubat. Sekiranya dia enggan, dia boleh dipancung lehernya (dibunuh) dan mayatnya dilemparkan ke tempat pembuangan kotoran agar kaum Muslimin dan (المعاهدون) (orang-orang bukan Islam yang telah membuat perjanjian damai dengan pemerintah kaum Muslimin) tidak terkena kotorannya itu dan bau mayatnya.
Adalah hartanya menjadi harta rampasan, tidak ada seorang pun kaum Muslimin yang boleh mewarisi hartanya kerana seorang Muslimin tidak berhak untuk mewarisi harta daripada orang kafir sepertimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (yang bermaksud): Seorang Muslim tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Muslim."
[Lihat al-Risalah fi I’tiqad Ahlus Sunnah wa Ashabi al-Hadith wa al-Aimmah au ‘Aqidah as-Salaf Ashabi al-Hadith karya asy-Syaikh Abu Osthman Ismail bin Abdur Rahman ash-Shobuni, ms. 31-32.]
Nota: Dalam Mukhtasar Siyar 'Alam An-Nubala', Adz-Dzahabi menganggap kalam beliau sebagai keras (sebab ketegasan Imam Ibn Khuzaimah). Namun beliau dianggap tokoh hadith besar dan Imam oleh Adz-Dzahabi.
_____
14. Berkata al-Imam Utsman bin Sa’id ad-Darimi rahimahullah (280H) ketika menegaskan:
"Allah Subhanahu wa Ta’ala berada di atas ‘Arasy, berada di atas langit-Nya, dan meliputi makhluk-Nya. Barangsiapa yang tidak mengetahui hal ini bererti dia tidak mengetahui (mengenal) Tuhannya yang disembah. Pengetahuan Allah terhadap hujung pangkal ciptaan-Nya dari atas ‘Arasy-Nya adalah satu, tidak jauh dari-Nya seperti firman-Nya (dalam surah Saba’, ayat 3 yang bermaksud):
Tidak ada tersembunyi daripada-Nya seberat zarah pun yang ada di bumi dan tidak ada (pula) yang lebih kecil itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam kitab nyata (Lauh Mahfuzh). Maha Suci Allah daripada orang-orang yang menolak sifat-sifat-Nya, sesungguhnya dia Maha Tinggi lagi Maha Besar."
[Lihat asy-Syaikh Abdul Qadir al-Jailani wa Arauhu al-I’tiqadiyah wa ash-Shufiyah karya Dr. Sa’id bin Musfir al-Qahthani, ms. 153.]
_____
15. Al-Imam Abu Hanifah rahimahullah (150H) berkata:
مَنْ أَنْكَرَ أَنَّ اللهَ عَزَّوَجَلَّ فِيْ السَّمَاءِ فَقَدْ كَفَرَ.
"Barangsiapa yang mengingkari bahawa Allah ‘Azza wa Jalla berada di atas langit maka dia kafir."
[Lihat Mukhtasar al-’Uluw lil ‘Aliyyil Ghaffar, ms. 137 (no. 119) tahqiq Syaikh al-Albani dan Syarhul ‘Aqidah ath-Thahawiyyah, ms. 386-387 takhrij dan ta’liq Syu’aib al-Arnauth dan ‘Abdullah bin ‘Abdil Muhsin at-Turki; dalam Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, ms. 207.]
_____
16. Berkata Al-Imam Abu Zur’ah dan Abu Harim:
"Ahli Islam telah bersepakat untuk menetapkan sifat bagi Allah dan bahawasanya Allah di atas ‘Arsy berpisah dari makhluk-Nya dan ilmu-Nya di setiap tempat. Barangsiapa yang mengatakan selain ini maka baginya laknat Allah."
[Lihat Syarh Ushul I’tiqad Ahl al-Sunnah, jld. 1, ms. 198 karya al-Lalika’i; dalam Di Mana Alloh? Pertanyaan Yang Terabaikan! karya Abu Ubaidah As-Sidawi, ms. 22.]
_____
17. Abu Nu’aim mentakhrijkan dari Ja’far bin Abdillah, berkata:
Ketika kami berada di samping (al-Imam) Malik bin Anas, datanglah seorang pemuda lalu bertanya:
"Wahai Abu Abdillah, ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih) bersemayam di ‘Arasy, bagaimana bersemayam-Nya? Mendengar pertanyaan ini, al-Imam Malik menjadi berang dan marah. Lalu dia menundukkan muka ke bumi seraya menyandarkannya ke tongkat yang dipegangnya hingga tubuhnya bersimbah peluh.
Setelah ia mengangkat kepalanya, dia lantas berkata: Cara bersemayam-Nya tidak diketahui (tidak dapat digambarkan), sedang al-Istiwa’ (bersemayam) telah jelas dan diketahui, beriman kepadanya adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah. Aku menyangka engkau si pelaku bid’ah. Lalu beliau menyuruh orang itu keluar."
[Lihat Hilyatul Auliya’ , jld. 6, ms. 325-326. Juga ditakhrijkan oleh asy-Syabuni dalam ‘Aqidatus Salaf Ashab Hadith, ms. 17-18 dari jalur Ja’far bin Abdillah dari Malik. Ibn Abdil Barr dalam at-Tamhid, jld. 5, ms. 151 dari jalur Abdullah bin Nafi’ dari Malik. Al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Shifat, ms. 498 dari jalur Abdullah bin Wahb dari Malik. Ibn Hajar dalam Fath al-Baari, jld. 13, ms. 406-407 berkata: Isnadnya jayyid (baik) dan disahihkan oleh adz-Dzahabi dalam al-’Uluw, ms. 103. Lihat penjelasan ini dalam I’tiqadul Aimmatil Arba’ah karya Dr. Muhammad Abdurrahman al-Khumais, ms. 26.]
Nota: Imam Malik beriman bahawa Allah Istawa' di 'Arasy, namun menjadi bidaah apabila bertanyakan bagaimana Allah bersemayam (beristiwa'). Dikatakan bid’ah kerana bertanyakan tentang kaifiyyat sifat al-Istiwa’ Allah Subhanahu wa Ta’ala itu tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada seorang jua manusia yang mengetahui hakikat sifat al-Istiwa’ Allah Subhanahu wa Ta’ala kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri. Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerima secara langsung khabar-khabar mengenai sifat-sifat Allah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak pernah bertanyakan hal tersebut meskipun mereka memiliki kesempatan untuk bertanyakan hal terpenting seumpama itu kepada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Itu sebenarnya dimaksudkan oleh Imam Malik. Malangnya, para pemfitnah memutar belit makna dalam kalam Imam Malik.
______
18. Yahya bin Mu’az ar-Razi (258H) berkata:
"Allah Ta’ala di atas ‘Arasy, terpisah dari hamba-hamba-Nya. Allah telah meliputi segala sesuatu dengan Ilmu-Nya dan telah menghitung segala sesuatu. Tidak ada yang ragu terhadap pandangan ini kecuali dia adalah seorang al-Jahmiyyah yang busuk, sesat, binasa dan ragu-ragu kerana dia mencampuradukkan Allah dengan makhluk-Nya dan membaurkan dzat-Nya dengan kotoran dan benda-benda busuk."
[Lihat al-Majmu’ al-Fatawa, jld. 5, ms. 49 dan Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah, ms. 270; dalam al-Ma’iyyah karya Dr. M. Khalifah Ali At-Tamimi, ms. 75.]
______
19. Abu Bakar al-Baqillani rahimahullah (403H) berkata di dalam kitab al-Ibanah:
"Jika ada yang bertanya, apakah kalian berpandangan bahawasanya Allah ada di setiap tempat, maka jawablah, aku berlindung kepada Allah dari pandangan seperti itu. Dia bersemayam di atas ‘Arasy-Nya, sebagaimana yang Dia khabarkan di dalam kitab-Nya:
Allah Yang Maha Penyayang bersemayam di atas ‘Arasy.
Kepada-Nya naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh yang dinaikkan-Nya.
Apakah kalian merasa aman terhadap Allah yang di langit.
Jika Dia di setiap tempat, nescaya juga akan berada di dalam perut dan mulut manusia, perut binatang melata serta akan bertambah dengan bertambahnya tempat. Kita juga nescaya dapat menghadap kepada-Nya (dalam solat dan doa) ke setiap arah bumi, ke arah belakang kita, ke sebelah kanan atau sebelah kiri. Dan kaum Muslimin telah ijma’ dalam menentang pandangan ini dan menyalahkan orang yang mengatakannya."
[Disebutkan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam al-Majmu’ al-Fatawa, jld. 5, ms. 98-99 dan telah dinukil oleh adz-Dzahabi dalam al-’Arasy, jld. 2, ms. 338 (no. 261) dan disebutkan secara ringkas dalam Siyar A’lam al-Nubala’, jld. 17, ms. 558-559. Lihat al-Ma’iyyah karya Dr. M. Khalifah Ali At-Tamimi, ms. 82.]
______
20. Ibn Abil ‘Izz rahimahullah berkata di dalam kitab Syarh al-’Aqidah ath-Thahawiyyah, ms. 389-390:
"Ketinggian Allah di samping ditetapkan melalui al-Qur’an dan al-Sunnah ditetapkan pula melalui akal dan fitrah. Adapun tetapnya ketinggian Allah melalui akal dapat ditunjukkan dari sifat kesempurnaan-Nya. Sedangkan tetapnya ketinggian Allah secara fitrah, maka perhatikanlah setiap orang berdoa kepada Allah pastilah hatinya mengarah ke atas dan kedua tangannya menengadah, bahkan barangkali pandangannya tertuju ke arah yang tinggi.
Perkara ini terjadi pada sesiapa sahaja, yang besar mahupun yang kecil, orang yang berilmu mahu pun orang yang bodoh, sampai-sampai di dalam sujud pun seseorang mendapat kecenderungan hatinya ke arah itu. Tidak seorang pun dapat memungkiri hal ini, dengan mengatakan bahawa hatinya itu berpaling ke arah kiri dan kanan atau ke bawah."
[Lihat Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah karya Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, ms. 200.]
_________
P/S: Sebenarnya ada banyak lagi bahkan terlalu banyak dalil menyebutkan hal ini. Moga cukup 20 hujah ini, kecuali bagi hati yang tertutup untuk menerima kebenaran mereka akan berasalan dengan seribu macam helah.