Rabu, 30 April 2008

ALLAH BERSEMAYAM DI ATAS ARASY

Hadis daripada Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Salami menceritakan ketika beliau hendak membebaskan (Jariah) hamba perempuannya, maka beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w. kemudian baginda (Nabi s.a.w) menyuruh agar hamba tersebut dipanggil lalu baginda bersabda:

أَيْنَ اللَّهُ قَالَتْ فِي السَّمَاءِ قَالَ مَنْ أَنَا قَالَتْ أَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ قَالَ أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ

Di manakah Allah? dia menjawab: Di Langit baginda bertanya lagi : Siapa aku? Jawab Jariah: Kamu Rasulullah. Lalu baginda berkata: merdekakan dia kerana dia adalah Mukminah.
Takhrij hadis ini seperti berikut:

Muslim bin Hajjaj dalam Sahih Muslim, no: 537.
Malik bin Anas dalam al-Muwattha', no: 1468.
Abu Daud al-Tayalisi dalam al-Musnad, no: 1105.
Muhammad bin Idris as-Syafi'i dalam al-Umm, no: 242.
'Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf, no: 16851.
Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf, no 30333.
Ahmad bin Hanbal dalam al-Musannaf, no: 7906, 23762, 23765 & 23767.
Abu Daud al-Sajastani dalam Sunan Abu Daud, no: 930 & 3282.
Ibn Qutaibah dalam Ta'wil Mukhtalaf al-Hadis, no: 272.
'Utsman bin Sa'id al-Darimi dalam al-Rad 'ala al-Jahmiyyah, no: 62.
al-Harith bin Abi Usamah dalam al-Musnad, no: 015.
'Amr bin Abi 'Ashim al-Shaibani dalam al-Sunnah Li Ibn Abi 'Ashim, no: 489.
al-Nasai dalam Sunan al-Nasai, no: 1142, 7708, 8535 & 11401.
Ibn Jarud dalam al-Muntaqa, no: 212.
Ibn Khuzaimah dalam Kitab al-Tauhid wa Itsbat Sifat al-Rabb 'Azza wa Jalla, no: 178, 179, 180, 181 & 182.
Abi 'Uwanah dalam al-Musnad, no: 1727 & 1728.
Abu al-Husain 'Abd al-Baqi' dalam al-Mu'jam al-Sahabah, 735.
Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban, no: 165 & 2247.
al-Thabrani dalam Mu'jam al-Kabir, no: 937 & 938.
Muhammad bin Ishaq bin Manduh dalam al-Iman, no: 091.
al-Lalaka'I dalam Syarah Usul I'tiqad Ahl al-Sunnah, no: 652.
Abu Nu'aim al-Asbahani dalam al-Musnad al-Mustakhraj 'ala Sahih Imam Muslim, no: 1183.
Ibn Hazm dalam al-Muhalla, no: 1664.
al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, no: 15266, 15268, 19984 & 19985.
'Abd Allah bin Muhammad bin 'Ali al-Harawi dalam al-'Arba'in fi Dalail al-Tauhid, no: 011.

Hadis di atas adalah SAHIH. Imam Muslim telah memasukkan hadis ini kedalam kitab Sahihnya pada kitab ( المساجد والمواضع الصلاة ) dalam bab (تحريم الكلام في الصلاة ونسخ ما كَان مِن إباحتِه ). Bahkan sangat masyhur kerana banyaknya hadis ini diriwayatkan sepertimana takhrij di atas. Ada sebahagian golongan yang sangat anti kepada wahabi atau salafi, mereka kononnya berhujah berlandaskan al-Quran dan Sunnah padahal hanyalah mengikut nafsu semata kerana mereka ingkar aqidah para salaf bahawa Allah di atas ‘Arasy. Mereka mempertahankan aqidah “ALLAH WUJUD BILA MAKAN” tidak di atas, tidak dibawah, tidak di depan, tidak di belakang, tidak di dalam dan tidak di luar. Bahkan, mereka ingkar dengan hadis di atas dengan menjatuhkan darjatnya kepada dha’if semata-mata ingin membenarkan hujah mereka. Kemudian mereka pula mencerca ulama hadis yang tidak bersalah dengan tuduhan yang tidak berasas seperti Muhammad Nasiruddin Al-Albani dengan tuduhan menipu awam dan sebagainya. Lihat di bawah:

Para Salafus Soleh tidak pernah pun mentakwil ataupun menukar (tahrif) makna hadis ini. Hadis ini juga menunjukkan tidak salah jika berkata Allah itu di atas langit kerana Allah itu di atas 'Arasy dan 'Arasy itu adalah di atas langit. Sebagaimana Firman Allah:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
Tuhan yang Maha Pemurah beristiwa di atas 'Arasy. [Surah Taha: 5]

ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلْأَرْضِ اِئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ

Kemudian Dia beritiwa ke arah langit dan langit itu masih merupakan asap. [Surah Fushsilat: 11]

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
Allah, Dialah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia beristiwa di atas 'Arasy. [Surah al-Sajdah: 4]


Apakah yang dimaksudkan dengan "Istiwa"? Istiwa (استوى) bermaksud tinggi di langit (ارتفع إلى السماء). Ini sebagaimana pendapat yang dikuatkan oleh Ibn Jarir r.a dalam Tafsir At-Tobari. Setelah itu Ibn Jarir r.a menyebut: "Makna yang paling benar tentang firman Allah (ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ) adalah tinggi di atas langit dan meninggi, kemudian Ia mengatur langit dengan kekuasaan-Nya dan menciptakannya menjadi tujuh langit."

Berkata Ibn Kathir Rahimahullah:

وأما قوله تعالى: { ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ } فللناس في هذا المقام مقالات كثيرة جدا، ليس هذا موضع بسطها، وإنما يُسلك في هذا المقام مذهب السلف الصالح: مالك، والأوزاعي، والثوري،والليث بن سعد، والشافعي، وأحمد بن حنبل، وإسحاق بن راهويه وغيرهم، من أئمة المسلمين قديما وحديثا، وهو إمرارها كما جاءت من غير تكييف ولا تشبيه ولا تعطيل. ...

“Dan adapun FirmanNya Ta’ala: (ثم استوى على العرش) maka bagi manusia pada masalah ini pendapat yang banyak dan bukanlah di sini tempat membahaskannya dan sesungguhnya hendaklah diikuti dalam masalah ini mazhab Salaf As-Soleh: Malik, Auza’i, As-Tsaury, Al-Laith bin Saad, Asy-Syafi’i, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuwaih, dan selainnya daripada imam-imam muslimin dahulu dan sekarang iaitu melalukannya seperti mana datangnya tanpa takyif (memberi rupa), dan tidak pula tsaybih (penyerupaan), dan tidak pula ta’thil (membatalkan sifat)....” –Tafsir al-'Adzhim.

Inilah pandangan Salafus Soleh dan inilah pendapat yang lebih patut didahulukan berbanding pendapat ulama-ulama mutaakhirin yang telah mengubah atau mentakwil Istawa dengan makna 'menguasai' seperti golongan pelampau asya’irah.

Ibn 'Abd al-Barr menjelaskan tentang hadis ini:

وأما قوله في هذا الحديث للجارية: أين الله ؟ فعلى ذلك جماعة أهل السنة وهم أهل الحديث، ورواته المتفقهون فيه، وسائر نقلة، كلهم يقول ما قال الله تعالى في كتابه: ((الرحمن على العرش الستوى)) وأن الله عز وجل في السماء وعلمه في كل مكان.

"Dan adapun hadis jariah: Di manakah Allah? Maka menjadi pegangan atasnya oleh jamaah ahli sunnah dan mereka mereka adalah juga ahli hadis dan seluruh perawi yang memahaminya, mereka semua berkata sebagaimana firman Allah dalam kitabnya: "al-Rahman Bersemayam di atas 'Arasy." Dan bahawa sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla di langit dan Ilmunya pada setiap tempat. –Al-Istizkar: al-Jamii' li mazhab Fuqaha al-Ansor wa 'Ulama al-Aqtar

Perkataan Ulama Imam Empat Mazhab

1. IMAM ABU HANIFAH

Imam Abu Hanifah berkata: “Tidak patut bagi seseorang untuk mengatakan sesuatu tentang Zat Allah kecuali kepada diriNya, dan tidak boleh seseorang mengatakan sesuatu tentang Allah dengan pendapat (ra’yu)nya. Maha Suci serta Maha Tinggi Allah Ta’ala, Rabb semesta Alam.” –Syarhul Aqidah at-Tahawiyah (2/472), tahqiq Dr. At-Turky, Jalaulm’Ainain, ms. 368

Ketika Imam Abu Hanifah ditanya tentang nuzulul Ilah (turunnya Allah), ia menjawab: “Ia turun dengan tidak kita menanyakan bagaimana (kaifiatnya) caranya.” –Aqidatus salaf Ashabil Hadis, ms. 42, al-Asma’ Was Sifat oleh al-Baihaqi, ms. 456

Imam Abu Hanifah berkata lagi: Barangsiapa yang berkata: “Aku tidak tahu Rabbku, di langit atau di bumi?” bererti ia kafir. Begitu juga seseorang menjadi kafir apabila mengatakan bahawa Allah itu di atas ‘Arasy, tetapi aku tidak tahu adakah ‘Arasy itu di langit atau di bumi. –al-Fiqhul Absath, ms. 46

Imam Abu Hanifah berkata kepada seseorang wanita yang bertanya: “Dimanakah Ilahmu yang engkau sembah itu?” Ia menjawab: “Sesungguhnya Allah itu ada di langit bukan di bumi.” Lalu datanglah seorang pemuda mengajukan pertanyaan: “Bagaimana dengan ayat: وهو معكم اين ما كنتم? “Dia bersama kamu dimana kamu berada.” (Surah al-Hadid: 4).

Imam Abu Hanifah menjawab: “Dia seperti engkau menulis surat kepada seorang lelaki dengan mengatakan, sesungguhnya aku selalu bersamamu, padahal engkau tidak ada di sampingnya.” –al-Asma’ was Sifat, ms. 429

2. IMAM MALIK BIN ANAS

Abu Nu’aim mentakhrijkan dari Ja’far bin Abdillah berkata: “Ketika kami sedang berada di samping Malik bin Anas, datanglah seorang pemuda lalu bertanya: “Wahai Abu Abdillah, Ar-Rahman (Allah yang Maha Pengasih) bersemayam di atas ‘Arasy bagaimana bersemayamNya?” Mendengar pertanyaan ini, Imam Malik menjadi berang dan marah. Lalu ia menundukkan muka ke bumi seraya menyandarkannya ke tongkat yang dipegangnya hingga tubuhnya bersimbah peluh. Setelah ia mengangkat kepalanya, ia lantas berkata: “Cara bersemayamNya tidak diketahui (tidak dapat digambarkan), sedang istiwanya (bersemayamnya) telah jelas dan diketahui, beriman kepadanya adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah. Aku menyangka engkau adalah si pelaku bid’ah.” Lalu beliau menyuruh orang itu keluar. –Hilyatul Aulia’ (VI/325-326), Ibn Abdil Barr dalam at-Tauhid (VI/151), Al-Baihaqi dalam al-Asma’ Was Sifat, ms. 498, Ibn Hajar dalam Fathul Bari (XIII/406-407), Az-Zahabi dalam al-Uluw, ms. 103

3. IMAM MUHAMMAD IDRIS AS-SYAFI’I

Imam Syafi’i Rahimahullah berkata: “Allah Tabaraka wa Taala memiliki asma’ (nama-nama) dan sifat-sifat yang telah disebutkan oleh KitabNya dan diberitakan oleh NabiNya s.a.w. kepada umatnya, yang tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun dari makhluk Allah S.W.T. yang telah sampai kepadanya dalil bahawa al-Quran turun membawa keterangan tentang hal tersebut, juga sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh perawi yang adil dan tsiqah telah jelas-jelas sahih yang menerangkan masalah itu. Maka barangsiapa yang mengingkari atau berbeza dengan semuanya itu padahal hujah (dalil/ keterangan) tersebut telah jelas baginya, bererti ia kafir kepada Allah S.W.T. Adapun jika ia menentang kerana belum mendapat hujah/ keterangan tersebut, maka ia diampuni kerana kebodohannya, kerana pengetahuan tentang semuanya itu (sifat-sifat Allah dan asma’Nya) tidak dapat dijangkau oleh akal dan pemikiran.

Yang termasuk ke dalam keterangan-keterangan seperti itu adalah juga keterangan-keterangan Allah S.W.T. bahawa Dia Maha Mendengar dan bahawa Allah itu memiliki tangan sesuai dengan firmanNya: “Bahkan Tangan Allah itu terbuka.” (Surah al-Maidah: 64). Dan bahawa Allah memiliki tangan kanan, sebagaimana dinyatakan: “...Dan langit digulung dengan tangan kananNya.” (Surah az-Zumar: 67) dan bahawa Allah itu memiliki wajah, berdasarkan firmanNya yang menetapkan: “Dan tiap-tiap sesuatu itu pasti binasa, kecuali Wajah Allah...” (Surah Al-Qasas: 88), “Dan kekallah wajah Rabbmu yang mempunyai keagungan dan kemulian.” (Surah Ar-Rahman: 27). Juga bahawa Allah mempunyai tumit, sesuai dengan pernyataan Rasulullah s.a.w: “Sehingga Rabb Azza wa Jalla meletakkan tumitNya pada Jahannam.” (Riwayat Bukhari, no: 4848 dan Muslim, no: 2848) dan Allah ketawa berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. tentang orang yang mati fi sabilillah: “Ia akan bertemu dengan Allah Azza wa Jalla sedang Allah tertawa kepadanya....” (Riwayat Bukhari, no: 2826 dan Muslim, no:1890).

Dan bahawa Allah turun ke langit dunia pada setiap malam berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. tentangnya. Begitu juga keterangan bahawa Allah S.W.T. itu tidak buta sebelah mataNya berdasarkan pernyataan Nabi s.a.w. ketika baginda menyebut dajjal, baginda bersabda: “Dajjal itu buta sebelah matanya, dan sesungguhnya Rabbmu tidaklah buta (sebelah mataNya).” (Riwayat Bukhari, no: 7231 dan Muslim, no: 2933). Dan bahawa orang-orang mukmin pasti akan melihat Rabb mereka pada hari kiamat dengan pandangan mata mereka seperti halnya mereka melihat bulan di malam purnama, juga bahawa Allah S.W.T. mempunyai jari-jemari seperti ditetapkan oleh sabda Nabi s.a.w: “Tidaklah ada satu jari pun melainkan ia berada di antara dua jari dari jari-jari ar-Rahman Azza wa Jalla.” (Riwayat Ahmad IV/182, Ibnu Majah I/72, Hakim I/525 dan Ibn Mandah ms.87. Imam Hakim mensahihkannya dipersetujui oleh az-Zahabi dalam at-Talkhis)

Semua sifat-sifat ini yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. sendiri bagi diriNya dan oleh Rasulullah s.a.w. untukNya, hakikatnya tidaklah dapat dijangkau oleh akal atau fikiran dan orang yang mengingkarinya kerana bodoh (tidak mengetahui keterangan-keterangan tentangnya) tidaklah kafir kecuali jika ia mengetahuinya tetapi ia mengingkarinya, barulah ia kafir. Dan bilamana yang datang tersebut merupakan berita yang kedudukannya dalam pemahaman seperti sesuatu yang disaksikan dalam apa yang didengar, maka wajib baginya sebagai orang yang mendengar berita tersebut untuk mengimani dan tunduk kepada hakikat hal tersebut dan mempersaksikan atasnya seperti halnya ia melihat dan mendengar dari Rasulullah s.a.w.

Namun kita tetapkan sifat-sifat ini dengan menafikan (meniadakan) tasybih sebagaimana Allah telah menafikannya dari diriNya dalam firmanNya: “Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai Dia, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah As-Syura: 11). –Dinukil daripada I’tiqadul Aimmatil Arba’ah oleh Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais

4. IMAM AHMAD BIN HANBAL

Syeikh Ibn Taimiyyah menyebut kata-kata Imam Hanbal: “Kita beriman kepada Allah itu di atas ‘Arasy sesuai dengan kehendaknya tanpa dibatasi dan tanpa disifati dengan sifat yang kepadanya seseorang yang berusaha mensifatinya telah sampai atau dengan batas yang kepadanya seseorang yang membatasinya telah sampai. Sifat-sifat Allah itu (datang) dariNya dan milikNya. Ia mempunyai sifat seperti yang Ia sifatkan untuk diriNya, yang tidak dapat dijangkau oleh pandangan.” –Ta’arudh al-‘Aqli wa al-Naqli (II/30)

Ibnul Jauzi dalam al-Manaqib menyebutkan tulisan (surat) Imam Ahmad bin Hanbal kepada Musaddad yang di antara isinya ialah: “Sifatilah Allah dengan sifat yang denganNya Ia telah mensifati diriNya dan nafikanlah dari Allah apa-apa yang Ia nafikan dari diriNya. –Manaqib Imam Ahmad, ms. 221

Di dalam kitab ar-Raddu ‘ala al-jahmiah tulisan Imam Ahmad, ia mengucapkan: “Jahm bin Safwan telah menyangka bahawa orang yang mensifati Allah dengan sifat yang dengannya Ia mensifati diriNya dalam kitabNya, atau dengan yang disebutkan Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya adalah seorang kafir atau termasuk Musyabbihah (orang yang menyerupakan Allah dengan makhluk).” –Ar-Raddu ‘ala al-Jahmiah, ms. 104

Demikian di atas saya nukulkan kenyataan-kenyataan para Imam empat bagi membuktikan aqidah para salaf adalah sama dan tidak ada penambahan juga tidak ada pengurangan. Tidak ada takwil dengan makna tahrif apatah lagi menta’tilkan iaitu mengosongkan dari sebarang sifat. Maka, jelas aqidah yang benar dan selamat adalah mengatakan Allah bersemayam di atas ‘Arasy sebagaimana hujah-hujah telah diberikan di atas tadi. Mereka puak-puak asya’irah bermati-matian hendak menyelengkan fakta yang ada sebaliknya jawapan mereka sendiri menguburkan hujah mereka kerana ketidakjujuran mereka dalam menaqalkan tulisan ulama-ulama silam. Semoga Allah membukakan hati mereka agar terus mengkaji sehingga menemui kebenaran yang amat lazat jika dapat dirasakan oleh sesiapa yang pernah merasakannya yang dinamakan sebagai al-Hidayah.

SalafiahWahabiah
www.wahabiah.blogspot.com

Selasa, 8 April 2008

HAKIKAT TASAWWUF

Akhir zaman kini ramai orang mahu mencari suatu amalan untuk membersihkan dirinya dan amalan yang lebih cepat untuk mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga ramai orang yang berlumba-lumba untuk melakukan ibadat tak kira ibadat tersebut benar-benar diambil daripada sumber islam yang tulen ataupun tidak. Oleh sebab itulah kita lihat ramai yang suka beribadat dengan banyaknya akan tetapi jahil ilmu agama. Ada juga yang akhlaknya sangat baik tetapi pegangan agamanya sangatlah karut. Mereka mempercayai wali-wali boleh membantu mereka disamping Allah. Doa mereka berbunyi: "Wahai Imam Syafi'i tolonglah kami".. sedangkan jelas pertolongan (isti'anah/ istighatsah) hanyalah kepada yang Maha Satu. Bukan kepada Imam Syafi'i tidak juga Nabi s.a.w. kerana ianya bercanggah dengan nas-nas yang akan saya paparkan selepas ini.

Saya ingin mengajak para pembaca agar melihat sejenak serta berfikir suatu golongan yang tidak asing lagi yang dinamakan "Sufi" atau lebih popular dengan nama "tasawwuf". Nama yang sangat tidak asing ini telah mendapat tempat di seantero dunia dari timur ke barat dari utara ke selatan. Akan tetapi benarkah golongan ini benar-benar isi ajarannya selari dengan tuntutan agama islam yang sebenar? Ataukah ia sebenarnya cuma ibarat bunga plastik yang hanya cantik luaran tetapi tidak dapat memberi manfaat melainkan hanya indah di mata, itupun mata yang yang telah didorongi dengan hawa nafsunya yang sebenarnya tidak dapat dibandingkan dengan bunga-bunga yang benar-benar hidup di bawah kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta sekalian makhluknya.

Menurut kajian para agamawan dan ulama-ulama islam, perkataan sufi bukanlah berasal dari bahasa arab. Ada yang mengatakan ia berasal dari kata suf (baju dari kulit domba) yang menjadi pakaian bagi golongan zuhud di zaman Nabi, ada juga yang berpendapat ianya berasal dari kata sufiya yang merupakan bahasa yunani yang bermaksud hikmah. Ada juga pendapat yang mengatakan ianya berasal dari kata As-Safaa' yang bermaksud suci dan jernih. Akan tetapi pendapat ini telah disanggal kerana jika ditambah dengan ya' nisbah ia akan menjadi safaa'ie bukannya sufi.

Selalunya sufi ini dikaitkan dengan tarikat yang bermaksud jalan. Ada juga yang berpendapat sufi ini hanya kaitannya dengan zuhud, tawadhu' dan warak dan tidak ada kaitannya dengan tarikat-tarikat tertentu. Akan tetapi yang menjadi mejoritinya hari ini bila disebut sufi atau tasawwuf ia mesti dikaitkan dengan tarikat. Tarikat ini telah diterima umum oleh banyak ilmuan-ilmuan islam yang kebanyakan mereka ini dipelopori oleh pengikut asya'irah maturidiyah. Antara tarikat-tarikat yang popular seperti Tijaniyah, Naqsyabandiyah, Syaziliyah, Qadiriyah, Ahmadiah, dan sebagainya.

Nama sufi ini sebenarnya telah memecah-belahkan kaum muslimin disebabkan oleh kaum sufi itu sendiri. Apa tidaknya, masing-masing daripada kelompok sufi yang menamakan kelompok mereka dengan tarikat-tarikat tertentu mengakui merekalah yang paling benar. Malah menuduh sesama mereka sebagai tidak betul. Malah jika diperhati setiap peribadatan kaum sufi ini, ternyata amat berbeza antara satu tarikat dengan tarikat yang lain. Malah setiap tarikat-tarikat pasti tidak akan terlepas daripada rekaan-rekaan bentuk peribadatannya. Sedangkan islam menganjurkan untuk bersatu-padu dan jangan berpecah-belah serta beribadat sebagaimana yang telah disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah Ta'ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا

Dan berpegang-teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. (Surah Ali Imran : 103)

وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (31) مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (32)

Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta Dirikanlah shalat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, Yaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Surah Ar-Rum : 31-32)

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ

Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. (Surah An-Nisaa' : 59)

من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو ردّ

Siapa yang mengamalkan suatu amalan yang tiada daripada ajaran kami, maka ia ditolok (tidak diterima). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengapa perlu berkelompok-kelompok? Tidak cukupkah ajaran islam yang dibawa oleh Rasulullah? Tidak cukupkah Al-Quran dan As-Sunnah menurut fahaman sahabat (salafus soleh) sebagai petunjuk dan pembimbing hidup? Inilah yang kurangnya pada kelompok sufi sebenarnya. Mereka mengamalkan zikir-zikir yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadis yang sahih. Mereka mengamalkan tawassul (perantaraan/ Wasilah) yang melampaui batas syariat. Dan mereka juga sering guluw (melampau) dalam segala perbuatan yang direkayasa oleh mereka.

Seperti yang saya sebut pada awal tulisan ini, mereka ini suka berdoa dengan cara yang salah kerana mereka beristighatsah dan beriti'anah selain Allah seperti: "Wahai Jailani, Wahai Rifa'I, Wahai Rasulullah tolonglah kami!" atau terkadang juga mereka berdoa "Wahai Rasulullah hanya kepadamu kami bersandar!" Padahal jelas daripada Al-Quran menyatakan tidak boleh berdoa meminta pertolongan melainkan hanya pada Allah semata.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya pada-Mu kami menyembah dan hanya pada-Mu kami meminta pertolongan. (Surah Al-Fatihah : 5)

وَلا تَدْعُ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لا يَنْفَعُكَ وَلا يَضُرُّكَ فَإِنْ فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِنَ الظَّالِمِينَ

Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak dapat memberi mudharat kepadamu selain Allah; kerana jika kamu berbuat demikian itu, sesungguhnya kalau begitu kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim. (Surah Yunus : 106)

Maksud zalim dalam ayat di atas adalah syirik (mempersekutukan Allah) sebagaimana Firman Allah dalam surah Luqman ayat 13 yang berbunyi:

لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.

Satu lagi cara ibadat yang telah disepakati oleh kaum-kaum sufi adalah berzikir secara kuat serta berjemaah. Sebagaimana pada hari ini, bukan sahaja para sufi yang berzikir secara kuat, malah ramai yang telah tertipu dengan cara ini yang disangka ianya sunnah padahal ia bertentangan dengan sunnah Nabi yang jelas tertera di dalam Al-Quran maupun Hadis Nabawiyah.

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai. (Surah al-A’raaf : 205)

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. (Surah al-A’raaf : 55)

Suatu hadis yang tidak asing lagi dalam menolak hujah mereka yang mengatakan zikir berjemaah adalah sunnah adalah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Darimi dalam musnadnya menunjukkan bahawa zikir secara berjemaah adalah bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah sahabat r.a.

Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman (gelaran kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.

Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”

Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka (ini merupakan salah satu sifat khawarij seperti diterangkan dalam hadis-hadis). Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.

Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” (Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis as-Sahihah jilid 5, ms 11)

Bukan setakat itu penyelewengan kaum sufi, malah banyak lagi penyelewengan mereka sehinggakan ada yang sampai ketahap pemujaan para wali dan keramat serta menyembah kubur wali dan meminta tolong darinya, dan ada yang menerima konsep wahdatul wujud (bersatunya makluk dengan Tuhannya) yang dipelopori oleh Ibn 'Arabi sebagaimana termaktub fahamannya ini dalam kitab Futuhat Al-Makiyyah. Sehingga Ibn 'Arabi pernah berkata: "Sesungguhnya seorang lelaki yang meniduri isterinya, sebenarnya sedang meniduri Allah Al-Haq." Sungguh kufur perkataan ini wal 'iyazubillah.

Jika sesiapa yang pernah ke Mesir boleh melihat sendiri kebatilan cara para sufi ini berzikir secara kuat (jahar) sambil menari dan bertepuk-tepuk tangan serta meraung-raung nama Allah sehinggalah mereka hanya menyebut seringkas-ringkasnya sebutan Al-Haq seperti: "Hu-Hu, Hu-Hu, atau Ah-Ah-Ah seperti orang yang mabuk kerana meminum arak. Kononnya inilah zikir tahap yang tertinggi sekali. Sedangkan sabda Rasulullah:

أفضل الذكر : لا إله إلا الله

"Sebaik-baik zikir adalah kalimah Laa Ilaaha Illallah." (Hadis riwayat Tirmizi)

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Anfal ayat 35 berbunyi:

وَمَا كَانَ صَلاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

Sembahyang mereka (orang-orang musyrikin) di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.

Dengan sedikit infomasi tentang sufi ini, semoga para pembaca lebih terbuka minda untuk mencari kebenaran. Jangan hanya melihat luaran tanpa mengkaji dalamannya. Seperti juga ramai pengikut tarikat yang mempunyai akhlak yang baik akan tetapi aqidahnya sangatlah batil. Ibadatnya sangatlah banyak rekaan-rekaan yang tidak dijumpai daripada sunnah nabi serta amalan salafus soleh.

Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada sahabatnya yang umat islam akan berpecah kepada 73 puak semuanya menuju ke neraka kecuali satu. Apabila sahabat bertanya siapakah yang satu tersebut maka Rasulullah menjawap: "Al-Jamaah". Dalam riwayat lain Nabi s.a.w. bersabda:

وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي

“Dan akan terpecah umatku manjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku. (Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dan lain-lain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 2641)

Hanya satu jalan (tarikat) yang selamat iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ibn Mas'ud r.a. berkata: "suatu hari rasulullah s.a.w. membuat satu garisan lurus dengan tangannya lalu bersabda:

هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ {وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ}

"Inilah jalan Allah yang lurus, kemudian baginda menggariskan beberapa garis disebelah kiri dan kanan garis yang lurus itu, sambil bersabda: "Inilah jalan-jalan (kesesatan). Tidak ada satu jalan pun dari jalan ini melainkan ada syaitan yang mengajak manusia untuk mengikuti jalan tersebut. Kemudian baginda membacakan surah Al-An'am ayat 153 : "Dan bahawa yang (kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)". (Hadis riwayat Ahmad; berkata Al-Arnauth: Hadis hasan, rujuk Musnad Ahmad takhrij al-Arnauth, no: 4437)