Isnin, 23 Mac 2009

KURSI DAN 'ARASY ALLAH

Ada sebahagian pendapat mengatakan bahawa Kursi ialah 'Arasy. Yang benar adalah Kursi berbeza dengan 'Arasy. Kursi dan 'Arasy masing-masing merupakan dua benda yang berbeza. Ayat yang menyebutkan tentang Kursi ini ada di dalam bacaan ayat Kursi yang sering dibaca sebagai zikir, sama ada waktu setelah solat mahupun zikir pagi dan petang.


اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ


Maksudnya: "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha tinggi, lagi Maha besar." (Surah Al-Baqarah: 255)


Ibn Katsir rahimahullah berkata: "Yang benar Kursi berbeza dengan 'Arasy. 'Arasy lebih besar dari Kursi. Hal ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh beberapa atsar dan hadis." (Lihat: Tafsir Al-Quran Al-'Azhim, Ibn Katsir, I/310)


Ibn 'Athiyah rahimahullah berkata: "Kebanyakan hadis menunjukkan bahawa Kursi itu suatu makhluk yang agung yang berada di hadapan 'Arasy dan 'Arasy lebih besar darinya (Kursi)." (Lihat: Al-Muharrar Al-Wajiz fi Tafsiril Kitabil 'Aziz, Al-Qadhi Abdul Haqq bin Ghalib bin Athiyyah Al-Andalusi, I/342)


Imam Ar-Razi rahimahulah memberi komentar setelah memaparkan berbagai pendapat tentang maksud dari Kursi: "Yang dapat dijadikan sandaran adalah pendapat pertama iaitu bahawa kursi adalah sebuah benda agung yang berada di bawah 'Arasy kerana meninggalkan makna zahir tanpa dalil tidak diperbolehkan, Wallahua'lam." (Lihat: Mafatihul Gha'ib, Imam Fakhruddin Ar-Razi, VII/12)


Menurut pendapat sahih, Kursi adalah tempat meletakkan kedua-dua belah kaki Allah.


Ibn 'Abbas radhiallahu'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:


الكرسي موضع القدمين والعرش لا يقدر قدره إلا الله تعالى


Maksudnya: "Kursi adalah tempat letak kedua-dua kaki dan 'Arasy tiada siapa yang mengetahui keluasannya kecuali Allah Ta'ala." (Hadis riwayat Hakim dalam Mustadraknya. Dia berkata: "Hadis ini sahih menepati syarat Bukari dan Muslim, no: 3071. Al-Albani menilai sebagai sahih mauquf di dalam Syarah Al-Aqidah Ath-Thahawi, 311)


Ibn Mas'ud radhiallahu'anhuma berkata:


بين السماء الدنيا والتي تليها خمسمائة عام وبين كل سماء خمسمائة عام، وبين السماء السابعة والكرسي خمسمائة عام، وبين الكرسي والماء خمسمائة عام، والعرش فوق الماء، والله فوق العرش لا يخفى عليه شيء من أعمالكم


Maksudnya: "Jarak antara langit dunia dengan langit berikutnya adalah sejauh 500 tahun. Dan jarak antara langit dengan langit berikutnya adalah sejauh 500 tahun. Jarak antara langit ketujuh dengan Kursi adalah sejauh 500 tahun. Jarak antara Kursi dengan air adalah sejauh 500 tahun. 'Arasy berada di atas air. Dan Allah berada di atas 'Arasy dan tiada tersembunyi sedikit pun amalan kamu dihadapanNya." (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dalam Kitab At-Tauhid, no: 105 dan Al-Baihaqi dalam Al-Asma' wa As-Sifat, no: 401. Lihar: Ijtima' Al-Juyusy Al-Islamiyyah, ms. 100 dan Az-Dzahabi dalam Al-'Uluw, ms. 64)


'Arasy pula merupakan makhluk yang terbesar sekali. Ia merupakan tempat Allah bersemayam mengikut cara yang sesuai bagiNya dengan kebesaran dan keagunganNya.


Firman Allah Ta'ala:


اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ مَا لَكُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا شَفِيعٍ أَفَلا تَتَذَكَّرُونَ


Maksudnya: "Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?" (Surah As-Sajdah: 4)


Telah sepakat (ijmak) para salafus soleh serta didokongi dalil-dalil melalui Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih bahawa Allah itu bersemayam di atas 'ArasyNya. Sesungguhnya Dia Maha Mulia dan Maha Tinggi. Dia berada di atas semua benda dan tidak ada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadaNya.


Firman Allah Ta'ala:


يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ


Maksudnya: "Mereka (para malaikat) takut kepada Tuhan mereka yang berada di atas mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah An-Nahl: 50)


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ


Maksudnya: "Dan Engkaulah Yang Maha Zahir dan tiada sesuatu pun di atas-Mu." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Ibn Majah)


Adalah 'Arasy tersebut mempunyai tiang-tiang dan ia dipikul oleh malaikat-malaikat yang pemikul 'Arasy.


Abu Sa'id Al-Khudri radhiallahu'anhu berkata bahawa Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:


النَّاسُ يَصْعَقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُفِيقُ فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى آخِذٌ بِقَائِمَةٍ مِنْ قَوَائِمِ الْعَرْشِ فَلا أَدْرِي أَفَاقَ قَبْلِي أَمْ جُوزِيَ بِصَعْقَةِ الطُّورِ


Maksudnya: "Manusia akan pengsan pada hari kiamat. Akulah orang pertama yang akan bangkit. Tiba-tiba aku berjumpa dengan Nabi Musa yang sedang memegang salah satu tiang 'Arasy. Aku tidak pasti, sama ada dia bangkit sebelumku atau dia dikecualikan kerana pernah pengsan ketika berada di gunung." (Hadis riwayat Bukhari, no: 3217)


Firman Allah Ta'ala:


الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ


Maksudnya: "Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepadanya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! rahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka." (Surah Al-Mu'min: 7)


Dari Jabir bin Abdillah berkata bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


أُذِنَ لِي أَنْ أُحَدِّثَ عَنْ مَلَكٍ مِنْ مَلائِكَةِ اللَّهِ مِنْ حَمَلَةِ الْعَرْشِ إِنَّ مَا بَيْنَ شَحْمَةِ أُذُنِهِ إِلَى عَاتِقِهِ مَسِيرَةُ سَبْعِ مِائَةِ عَامٍ


Maksudnya: "Aku diberi keizinan untuk memberitahu tentang malaikat pemikul 'Arasy. Sesungguhnya jarak antara cuping telinga dengan bahunya adalah sejauh perjalanan 700 tahun." (Hadis riwayat Abu Daud, no: 4727. Al-Albani mensahihkannya dalam Silsilah As-Sahihah, no: 151)


Perbandingan antara Kursi dengan 'Arasy adalah ibarat baju perisai yang dilemparkan ditengah-tengah padang pasir. Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Dzar radhiallahu'anhu bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


ما الكرسي في العرش إلا كحلقة من حديد ألقيت بين ظهري فلاة من الأرض


Maksudnya: "Tidaklah Kursi dibanding 'Arasy melainkan ibarat baju besi yang dilemparkan di tengah-tengah padang pasir yang luas." (Hadis ini dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Syarah Aqidah Ath-Thahawiyah, 312)


Demikianlah penjelasan yang singkat berkenaan Kursi dan 'Arasy. Malaikat yang memikul 'Arasy sahaja besarnya antara cuping telinga dengan bahunya sejauh 700 perjalanan. Apatah lagi 'Arasy yang bila dibandingkan dengan Kursi seperti baju besi yang berada si tengah-tengah padang pasir. Sedangkan Kursi itu pula meliputi langit dan bumi. Menurut riwayat, langit yang tujuh dan bumi yang tujuh apabila dibandingkan dengan Kursi, ibarat sebuah cincin yang dilemparkan di tengah-tengah padang pasir. Alangkah betapa besarnya 'Arasy tersebut yang merupakan makhluk Allah. Sudah tentulah Allah lebih besar dari itu, kerana diantara sifat Allah ialah Allahu-Akbar iaitu Allah Yang Maha Besar.


Firman Allah Ta'ala:


ذَلِكُمْ بِأَنَّهُ إِذَا دُعِيَ اللَّهُ وَحْدَهُ كَفَرْتُمْ وَإِنْ يُشْرَكْ بِهِ تُؤْمِنُوا فَالْحُكْمُ لِلَّهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيرِ


Maksudnya: "Demikian itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur; dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya. Maka Kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha tinggi, lagi Yang Maha besar". (Surah Al-Mu'min: 12)


Wallahua'lam.

Jumaat, 6 Mac 2009

AWAL WAJIB: ANTARA NAS DAN LOGIKA

http://mashoori.wordpress.com/2009/03/03/awal-wajib-antara-nas-dan-logika/


Apa itu Awal Wajib?

Maksud perbincangan kita adalah berkenaan mengetahui apakah kewajipan pertama seorang mukallaf dalam kehidupan di dunia ini. Tajuk Awal Wajib ini dibincangkan dalam kitab-kitab akidah dan antara perbezaan ketara antara Ahli Sunnah wal Jamaah dengan Ahli Bidaah daripada Ahli Kalam dan Falsafah.


Pentingnya mengetahui awal wajib ini supaya kita dapat mengetahui dalam usaha dakwah apakah perkara pertama yang perlu dilakukan seorang dai dan sebagai seorang mukmin apakah perkara pertama yang perlu dia faham dalam kehidupannya sebelum mencebur dan mencampak diri dalam bidang-bidang yang lain.


Kegagalan memahami Awal Wajib telah merosakkan anak-anak muda kita pada hari ini kerana mereka diberikan pendidikan yang kurang utama terlebih dahulu berbanding yang paling utama demikian juga kegagalan gerakan dakwah Islam juga berpeunca daripada kegagalan mengenal pasti apakah Awal Wajib seorang mukallaf.

Awal Wajib Adalah Akidah Dengan Ittifaq

Kaum Muslimin semenjak zaman salaf telah bersetuju awal wajib adalah akidah dan Iman kerana telah sabit dalam hadis rukun Islam yang pertama adalah Iman kepada Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul. Sabda Nabi s.a.w:


بُنِيَ الإِسْلامُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلهَ إِلا اللهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ ، وَإِقَامِ الصَّلاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَحَجِّ الْبَيْتِ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ .


Maksudnya: “Islam itu dibina atas lima perkara: Mengucap kesaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu sesungguhnya hamba dan pesuruhNya, mendirikan solat, membayar zakat, haji ke Baitullah dan puasa Ramadan”. [al-Bukhari & Muslim].


Namun apa yang menjadi perselisihan antara Ahli Sunnah dan Ahli Bidaah dalam akidah itu apakah yang awal wajib, apakah mengenal Allah s.w.t dan menetapkan wujudNya atau mentauhid dan beribadah kepadaNya?.

Awal Wajib Di Sisi Kaum Ahli Kalam

Ahli Kalam meletakkan awal wajib bagi makhluk adalah al-Makrifah yakni mengenal yang dimaksudkan di sini mengenal Allah s.w.t melalui sifat-sifatNya, apa yang wajib bagi hak Allah, apa yang mustahil, dan apa yang harus. Demikian juga berkenaan dengan Rasul-rasul daripada sifat wajib, mustahil dan harus bagi mereka.

Berkata al-Laqqani:


واجزم بأن أولا مما يجب* معرفة وفيه خلف منتصب


Maksudnya: “dan yakinlah bahawa yang pertama wajib itu Makrifah (mengenal) dan padanya terdapat perbezaan pendapat”. [Syarhul Bajuri, 64].


Perbezaan pendapat ini adalah sebagaimana yang dinyatakan al-Bajuri Abul Hasan al-Asy’ari r.ah (yakni semasa beliau menganut mazhab Kullabiah) berpendapat awal wajib itu makrifah, Al-Isfirayini menyatakan awal wajib adalah mengkaji, al-Baqilani menyatakan awal wajib adalah awal kajian yakni muqaddimah pertama dalam ilmu mantiq Aristo seperti perkataan kita: “Alam ini baharu, setiap yang baharu adalah mesti ada pencipta…”maka jumlah ‘alam ini baharu’ adalah awal wajib. Imam al-Haramain menyatakan awal wajib adalah niat untuk mengkaji.


Namum, al-Bajuri memilih untuk merajihkan penggabungan tiga-tiga pendapat ini sesuai menurut sudut pandang setiap pendapat. [Lihat: Syarhul Bajuri 'ala al-Jauhirah, 66-67].

Adapun pendapat Ahli Sunnah sebagaimana yang akan kita sebutakan nanti awal wajib adalah Tauhid itu sendiri ditolak oleh mereka. [Ibid].


Said Faudah, seorang tokoh Ilmu Kalam terkini memilih untuk merajihkan awal wajib adalah nazar sebagaimana katanya:


“dan perkara pertama yang wajib dimulakan oleh insan dalam bab ini (akidah) adalah merenung (mengkaji) perkara yang diketahuinya untuk dia dapat mengetahui perkara yang dia tidak ketahui dan perkara yang paling jelas diketahui seorang insan adalah alam yang mengelilingi seorang insan…” [Syarhu Aqidah Ibn Hajib, 21].

Apakah Maksud Makrifah?

Makrifah maksudnya di sisi Ahli Kalam adalah mengenal sifat-sifat wajib, harus, dan mustahil bagi Allah s.w.t dan RasulNya.


Syeikh Muhammad Abduh mentakrifkan ilmu tauhid sebagai:


“Ilmu yang membicarakan wujud Allah, dan apa yang tetap bagiNya daripada sifat, apa yang harus bagiNya daripada sifat, dan apa yang perlu dinafikan daripadaNya dan berbicara berkenaan Rasul untuk menetapkan risalah mereka dan apa yang wajib bagi mereka, apa yang harus bagi mereka, dan apa yang ternafi daripada mereka”. [Risalah Tauhid, m.s 8, dinakal daripada: al-Ra'yu al-Sadid fi Syarhi Jauhirah al-Tauhid, m.s 14].


Ilmu Tauhid dalam dunia melayu terkenal juga dengan nama sifat 20 dan sifat 50 kerana tumpuan utama Tauhid di sisi mereka adalah menegtahui 20 sifat yang wajib bagi Allah, maka dinamakan Ilmu Sifat 20.


Selain itu terdapat lagi 20 sifat mustahil, dan 1 sifat harus bagi Allah maka jumlahnya 41 sifat, kemdian berkenaan Rasul pula ada 4 sifat wajib, 4 sifat mustahil dan 1 sifat harus maka dicampur dengan 41 sifat tadi jadilah ia 50 sifat. Maka inilah yang dinamakan Ilmu Sifat 50.


Kesimpulannya, Ahli Kalam atau Tauhid Asyairah ini hanya memberikan fokus membincangkan Tauhid Rububiyah dan al-Asma’ wa al-Sifat semata-mata bahkan pemahaman mereka dalam dua tauhid ini juga mengandungi penyimpangan seperti mentakwil makna sifat atau mentafwid makananya dalam sifat-sifat khabariyah seperti Istiwa’, al-Yadan, al-Ainan, dan lainnya.

Apakah Maksud Nazar (النظر)?

Nazar maksudnya mengkaji, melihat, merenung, dan berfikir.


Nazar di sisi Mutakallimin (Ahli Kalam) adalah:


“Menyusun perkara-perkara yang diketahui untuk mengetahui perkara yang tidak diketahui”. [al-Ra'yu al-Sadid,94].


Contohnya seperti kata pengarang al-Ra’yu al-Sadid: ‘Kita ragu-ragu alam ini baharu atau qadim, dalam masa yang sama kita tahu setiap yang berubah adalah baharu, maka kita menyusun muqaddimah: “Setiap yang berubah adalah baharu, alam ini berubah-ubah, maka alam ini baharu”.


Maksud kedua Nazar adalah:


“Fikiran yang membawa kepada ilmu atau iktikad atau zan”. [al-Ra'yu al-Sadid, 94].


Maka kesimpulan yang kita dapat adalah ilmu kalam menggunakan ilmu logik akal semata-mata dalam menetapkan wujud al-Bari s.w.t. Menurut ilmu kalam, hendaklah setiap manusia itu memerhati alam dan melakukan qiyas mantiqi untuk mengetahui kewujudan Tuhan dan sifat-sifatNya.


Mereka yang melihat kepada kitab-kitab ilmu kalam mereka akan mengetahui hal ini seperti kitab Tuhfatul Murid ‘ala Jauhirah al-Tauhid karangan al-Bajuri, al-Ra’yu al-Sadid fi Syarhi Jauhirah al-Tauhid (Kitab Muqarrar Aqidah al-Azhar), Akidah Ibn Hajib, Aqidah al-Nasafi, al-Tamhid dan lainnya.

Natijah Manhaj Ahli Kalam

Maka kesimpulan yang dapat kita lihat, Manhaj Asyairah dan yang sewaktu dengannya hanya menitik beratkan soal Rububiyah Allah s.w.t dan masalah penetapan kewujudanNya. Ringkasnya awal wajib di sisi mereka adalah mengetahui kewujudan Allah s.w.t dan sifat-sifatNya.


Mereka mengabaikan sisi yang lebih penting dalam Tauhid iaitu Tauhid Uluhiyah yang menjadi garis pemisah sebenar antara seorang Muwahid (Ahli Tauhid) dengan Musyrik (Ahli Syirik).

Awal Wajib Di Sisi Ahli Sunnah wal Jamaah

Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan awal wajib adalah mengucap dua kalimah syahadah dan mengakui keesaan Allah s.w.t dalam UluhiyyahNya. Maka awal wajib di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah adalah Ibadah kepada Allah s.w.t bukan nazar, bukan qasad untuk nazar, dan bukan makrifah wujud Allah s.w.t kerana menegetahui wujud Allah s.w.t itu adalah Fitrah yang tersedia ada dalam diri setiap manusia.


Dalilnya adalah banyak sekali antaranya:


1- Firman Allah s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 59:


لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ


Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya…”


2- Dalam ayat ke-65 surah al-A’raf:


وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلَا تَتَّقُونَ


Maksudnya: “dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadanya? “


3- Surah yang sama ayat ke-73:


وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ


Maksudnya: “dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada Dia…”


4- Surah yang sama ayat ke-85:


وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ


Maksudnya: “dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib. ia berkata: “Wahai kaum Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada Dia…”


5- Surah al-Nahl ayat ke-36:


وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ


Maksudnya: “dan Sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut…”


6- Surah al-Anbiya’ ayat ke-25:


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ


Maksudnya: “dan Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaku”.


Ayat-ayat ini semuanya menetapkan bahawa awal-awal dakwah para Rasul adalah menyeru kaum mereke untuk mengikhlaskan ibadah kepada Allah s.w.t. Mensucikan Allah s.w.t daripada sekutu dalam sifat Uluhiyah-Nya kerana manusia itu diciptakan Allah s.w.t dengan fitrah mempercayai adanya pencipta dalam alam ini dan pencipta itu satu.


Firman Allah s.w.t:


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ


Maksudnya: “(setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.[al-Rum: 30]


Ulama Tafsir menyatakan maksud Fitrah Allah adalah agama Islam dan ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w: “Setiap bayi yang dilahirkan itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasarani, atau Manjusi”.[al-Bukhari & Muslim].


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Ankabut ayat ke-61:


وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ


Maksudnya: “dan Sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. maka Bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?”


Dalam surah al-Ankabut ayat 63 pula Allah s.w.t berfirman:


وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ


Maksudnya: “dan Sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik)”.


Surah al-Zukhruf ayat 87:


وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ


Maksudnya: “dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?”


Maka jelaslah daripada ayat-ayat ini, Tauhid yang menjadi seruan para Rasul pada awal-awal dakwah mereka adalah Tauhid Uluhiyah, adapun Tauhid Rububiyah yang mana para Ahli Kalam memenatkan diri mereka untuk menetapkannya telah pun sedia diketahui oleh manusia dengan fitrahnya.


Dalam hadis yang dikeluarkan al-Bukhari dan Muslim Nabi s.a.w berpesan kepada Muaz bin Jabal r.a apabila baginda mengutuskan Muaz berdakwah di Yaman:


إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ فَإِذَا صَلَّوْا فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ غَنِيِّهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فَقِيرِهِمْ فَإِذَا أَقَرُّوا بِذَلِكَ فَخُذْ مِنْهُمْ وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِ النَّاسِ


Maksudnya: “Sesungguhnya kamu akan pergi kepada kaum Ahli Kitab, maka hendaklah perkara pertama yang kamu dakwah kepada mereka Ibadah kepada Allah, apabila mereka mengenal Allah maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam, apabila mereka telah melakukannya maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat harta mereka, diberi kepada kaum fakir dalam kalangan mereka apabila mereka taat dalamnya maka ambillah zakat mereka dan jagalah kemuliaan harta manusia”. [al-Bukhari & Muslim].


Imam al-Haramain daripada Ahli Kalam al-Asyairah berpegang dengan hadis ini menetapkan bahawa Tauhid yang perlu diseru adalah Tauhid Makrifah dan Isbat (Rububiyah & al-Asma’ wal Sifat) kerana sabda Nabi s.a.w : فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ (Apabila mereka mengetahui hal itu) tetapi dakwaan beliau ini dengan mudah dipatahkan melalui ayat-ayat al-Qur’an yang jelas menyatakan maksud Tauhid yang dikehendaki adalah Tauhid Ibadah demikian juga dalam lafaz Muslim menyatakan:


فليكن أول ما تدعوهم إليه عبادة الله عز و جل


Maksudnya: “Maka hendaklah perkara pertama yang kamu serukan mereka beribadat kepada Allah Azza wa Jalla”.


Imam Abul Abbas al-Qurtubi r.h menyatakan:


فلا يكونُ في حديث معاذٍ حُجَّةٌ لمن تمسَّكَ به من المتكلِّمين على أنَّ أوَّلَ واجبٍ على كلِّ مكلَّفٍ : معرفةُ الله تعالى بالدليل والبرهان ، بل هو حُجَّةٌ لمن يقول : إنَّ أَوَّلَ الواجباتِ التلفُّظُ بكلمتَيِ الشهادةِ ، مُصَدِّقًا بها .


Maksudnya: “Maka tidaklah hadis Muaz ini menjadi hujah bagi mereka yang berpegang daripada Ahli Kalam bahawa Awal Wajib atas mukallaf itu mengenal Allah Taala dengan dalil dan bukti bahkan hadis ini hujah bagi mereka yang menyatakan awal wajib adalah menutur dua kalimah syahadah membenarnkannya (dalam hati)”. [al-Mufhim, 1/97].


Abul Abbas al-Qutubi juga menjelaskan bahawa pendapat Ahli Kalam awal wajib itu Makrifatullah (Mengenal Allah) dan lainnya adalah bersalahan dengan ulama salaf:


وقد اختلف المتكلِّمون في أوَّل الواجبات على أقوالٍ كثيرةٍ ، منها ما يَشْنُعُ ذكره ، ومنها ما ظَهَرَ ضعفه.

والذي عليه أئمَّةُ الفتوى ، وبهم يُقْتَدَى - كمالكٍ ، والشافعيِّ ، وأبي حنيفةَ ، وأحمدَ بن حنبل ، وغيرِهِمْ من أئمَّةِ السلف ـ رضى الله عنهم ـ - : أنَّ أوَّلَ الواجباتِ على المكلَّف : الإيمانُ التصديقيُّ الجَزْمِيُّ الذي لا رَيْبَ معه بالله تعالى ورسلِهِ وكُتُبِه ، وما جاءتْ به الرسلُ - على ما تقرَّرَ في حديثِ جبريلَ ِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ - كيفما حصَلَ ذلك الإيمان ، وبأيِّ طريقٍ إليه تُوُصِّلَ


Maksudnya: “dan telah berbeza pendapat Ahli Kalam itu tentang awal wajib kepada beberapa pendapat yang banyak dan ada antaranya sangat jelik untuk disebut dan ada yang sangat jelas lemahnya pendapat itu. Adapun yang menjadi pegangan Imam-imam Fatwa dan dengan merekalah diikut seperti Malik, al-Syafii, Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal dan selain mereka daripada Imam-imam Salaf –Reda Allah ke atas mereka- bahawa awal wajib adalah : Beriman dengan benar dan jazam (yakin) yang tiada ragu padanya dengan Allah Taala, Rasul-rasulNya, Kitab-kitabNya dan apa yang dibawa para Rasul sebagaimana yang telah sabit dalam hadis Jibril (rukun Iman yang enam) –selawat dan sejahtera Allah ke atasnya- dengan apa cara sekalipun iman itu terhasil dan dengan apa jalan sekalipun ia dapat”. [Ibid].

Maka demikianlah awal wajib itu di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah adalah menyebut dua kalimah Syahadah dan membenarkannya dalam hati iaitulah lambang kepada Tauhid Uluhiyah.


Berkata Ibn Abil Izz r.h :


بل أئمة السلف كلهم متفقون على أن أول ما يؤمر به العبد الشهادتان


Maksudnya: “Bahkan para Imam-imam Salaf bersepakat awal wajib yang diperintahkan kepada hamba adalah dua kalimah syahadah (Tauhid al-Uluhiyah)”. [Syarhul Aqidah al-Tahawiah, m/s 78].

Syubhat Kaum Bidaah:

Ahli Kalam menyatakan bahawa dalam al-Qur’an ada menyatakan perintah untuk memerhatikan alam dan menetapkan Rububiyah Allah s.w.t dengan nazar (melihat dan fikir) terhadap ciptaan Allah s.w.t misalnya firman Allah s.w.t:


أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ (35) أَمْ خَلَقُوا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بَلْ لَا يُوقِنُونَ (36)


Maksudnya: “(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (sudah tentu tidak!) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya)”. [al-Thur: 35 & 36].


Dalam surah al-Baqarah ayat 164 Allah berfirman:


إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنْفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ


Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada Kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; Sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran”.


Jawabnya:

Namun, ayat-ayat ini bukanlah untuk menyatakan bahawa awal wajib itu Tauhid Rububiyah atau mengenal Wujud Allah tetapi Allah s.w.t mendatangkan dalil-dalil RububiyahNya yang telah sedia ada dalam pemikiran manusia dan fitrah mereka untuk mengisbatkan Tauhid Uluhiyah. Inilah cara Ulama Salaf radiallahuanhum menetapkan Tauhid Uluhiyah dengan mendatangkan dalil dan bukti Rububiyah Allah s.w.t sebagai peringatan kepada mereka.


Tidak ada satu ayat pun dalam al-Qur’an yang membincangkan berkenaan kaum yang ingkar wujudnya Rabb yang satu melainkan Allah s.w.t akan kembalikan kepada dalil fitrah dan musyahadah sebagaiman firman Allah s.w.t berkenaan Firaun:


وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ


Maksudnya: “dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan”. [al-Naml: 14].


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbiya’ ayat 22:


لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا


Maksudnya: “kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya…”


Ayat ini jelas menunjukkan Allah s.w.t menetapkan UluhiyyahNya dengan mentakrirkan RububiyahNya maka Dia menggunakan kalimah ‘ آلِهَةٌ‘ (sembahan-sembahan) dan maksudnya sebagaimana yang dinyatakan ulama Tafsir: Jika ada sembahan-sembahan yang mempunyai kuasa mencipta dan mentadbir (Rububiyah) seperti Allah, maka rosaklah keduanya yakni langit dan bumi. [al-Tabari, 18/425].


Demikian juga Syeikhul Islam Ibn Taimiah r.h menjawab syubhat Ahli Kalam ini dengan menyatakan cara Ahli Kalam tidak sama dengan Wahyu dalam menetapkan Tauhid Rububiyah dalam beberapa wajah:


Pertama: Nas-nas al-Qur’an yang menetapkan wujud pencipta menggunakan ayat-ayat yang dengan adanya ilmu berkenaan tanda-tanda tersebut secara otomatis manusia dapat mengetahui wujudnya pencipta tanpa perlu melalui qiyas kulli mantiq seperti perkataan mereka: “Semua yang baharu itu memerlukan pencipta”. Demikian juga tidak memerlukan illah seperti perbincangan kalam: “Sebab perlunya pencipta kerana makhluk baharu sahaja atau kerana ia juga mumkin al-Wujud (mungkin wujud sahaja)”.


Maka dalam al-Qur’an, penetapan wujudnya pencipta tidak memerlukan kepada qias yang menjadi perantara untuk menyambung antara mukaddimah dan natijah bahkan dengan otomatis pengetahuan seseorang wujudnya tanda kebesaran yang disebut Allah dia mendapat ilmu berkenaan wujudnya pencipta dan tidak perlu kepada sebab atau illah kenapa dia memerlukan pencipta kerana perkara tersebut telah tetap dalam hatinya melalui fitrah.


Kedua: Al-Qur’an apabila menetapkan Rububiyah Allah dan kewujudan Allah sebagai penctipta alam tidak akan mengasingkannya dengan Tauhid Uluhiyyah yang menuntut hamba itu menyembahNya dan beribadat kepadaNya. Ini berbeza dengan cara Ahli Kalam yang hanya memerlukan muqaddimah akal tanpa memerlukan kepada ibadah. Pengiktirafan terhadap wujudnya pencipta secara ilmu kalam sama seperti Iblis yang menetapkan pencipta tanpa menyembahNya. Maka metode Ilmu Kalam ini berbeza dengan al-Qur’an kerana ia hanya memberi faedah ilmu tanpa amal tetapi metode al-Qur’an memberi faedah ilmu dan amal serentak.


Oleh itu, kita lihat kitab-kitab akidah yang bermanhaj kalami tidak menyentuh langsung atau amat sedikit membincagkan masalah Tauhid Uluhiyyah. Tidak ada perbincangan berkenaan masalah syirik, masalah kufur, masalah nifaq, dan perkara-perkara yang merosakkan Tauhid Uluhiyyah.


Mauduk Ilmu Tauhid pada mereka hanyalah mengetahui sifat wajib, mustahil, dan harus pada Allah dan Rasul-rasulNya. Adapaun bagaimana caranya kita hendak beribadat kepada Allah s.w.t tidak dibincangkan.

Kesan Akidah Awal Wajib Dalam Metode Dakwah

Oleh kerana Ahli Sunnah wal Jamaah melihat awal wajib adalah Tauhid Ibadah yang mengandungi juga Tauhid Rububiyah dan al-Asma wal Sifat, maka kaum Salaf dan pengikut mereka yang dikenali sebagai Salafi memulakan dakwah mereka dengan Tauhid dan mengakhirinya juga dengan Tauhid.


Dakwah Salaf dibina atas dua dasar iaitu :


Pertama: Tasfiah atau Tazkiah bermaksud menyucikan dan membersihkan Umat Islam daripada Bidaah, Syirik, Khurafat, Kufur, Nifaq dan segala macam amalan dan akidah yang bertentangan dengan Islam. Demikian juga membersihkan akhlak Umat Islam daripada sifat-sifat mazmumah (tercela) untuk diganti dengan Makarimul Akhlak (Akhlak-akhlak Terpuji).


Kedua: Tarbiah dan Taklim yakni mendidik dan mengajar Umat Islam dengan akidah yang benar, ibadah yang sahih,dan akhlak yang solih.


Dasar Manhaj ini adalah firman Allah s.w.t:


لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. [Ali Imran: 164]


Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Jumuah ayat 3:


هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ


Maksudnya: “dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka; dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.


Maka dalam dua ayat ini Allah s.w.t menjelaskan diutuskan Rasul-rasul itu untuk mentazkiah dan mentaklim umat manusia. Diketahui daripada metode dakwah Nabi s.a.w baginda memulakan dengan menyeru kepada Tauhid yakni membersihkan akidah daripada syirik maka inilah tazkiah dan kemudian mendidik sahabat baginda dengan Iman dan Tauhid maka inilah Taklim atau Tarbiah. Wallahua’lam.

DITULIS OLEH: AL-FAQIR ILALLAH MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI AL-SALAFI

8 RABIUL AWAL 1430 H/ 3 MAC 2009 M.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails