Monday, January 26, 2009

GENDERANG TAKFIR BERBUNYI DI SELA-SELA DENTUMAN BOM ISRAELI


Sejak bertahun-tahun lamanya gerakan al-Ikhwan al-Muslimun cuba menyembunyikan hakikat bahawa mereka mengkafirkan kaum muslimin dengan kaedah takfir Khawarij.


Bau busuk takfir Ikhwanul Muslimin ini pertama kali dihidu apabila Ikhwan berpakat dengan Gamal Abdul Nasir, Presiden pertama Mesir, menggulingkan al-Malik Faruq, Raja Mesir terakhir.


Kemudian tembelang mereka bocor apabila Syed Qutub rahimahullah menulis Fi Zilalil Qur’an. Syed Qutub dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Qur’an menyatakan masyarakat Islam pada masa itu sebagai:


مجتمع جاهلي مشرك


Maksudnya: “Masyarakat Jahiliah Musyrik” [Fi Zilal al-Qur'an, 3/187].


Ucapan Syed Qutub ini menimbulkan fahaman Khawarij moden dan hakikat ini diakui sendiri oleh bekas pengikut setia Ikhwan, Dr. Yusuf al-Qardawi hafizahullah wa hadah. [Lihat: http://www.islamonline.net/Arabic/Karadawy/part3/2003/11/article02.shtml ].


Terdapat juga usaha-usaha pihak yang menyokong syed Qutub yang disebut Qutbiah menyatakan bahawa yang bersalah bukanlah Syed Qutub, tetapi mereka yang gagal memahami perkataan Syed yang kononnya mendalam dan sasterawan. Usaha mereka ini sama sahaja dengan pembela al-Hallaj dan Ibn Arabi al-Sufi, walaupun jelas mereka mengucapkan kalimah kufur, pengikut mereka terus membela dengan pelbagai takwil fasid.


Namun, baru-baru ini ketika Gaza sibuk menerima hujan fosforus daripada Saudara-saudara kera dan babi, Yahudi yang dilaknat Allah, Ikhwan al-Muslimun sekali lagi memalu genderang takfir apabila mengkafirkan Presiden Husni Mubarak, Presiden Mesir dengan alasan Presiden Husni berpakat dengan kaum Yahudi memerangi kaum muslimin di Gaza semata-mata kerana tidak membuka sempadan Rafah. Kenyataan yang diberi nama: Kenyataan 100 Ulama Berkenaan Gaza, turut melibatkan Ketuan Pertubuhan Ansar al-Sunnah Mesir, Syeikh Jamal al-Murakini hafizahullah. Namun, beliau dengan serta merta mendedahkan betapa jahatnya pihak yang mengeluarkan kenyataan ini dengan menyatakan beliau sama sekali tidak tahu berkenaan kenyataan itu dan tidak memberi apa-apa tandatangan. Bahkan Syeikh Jamal al-Murakibi menyatakan kenyataan itu menyalahi manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dan menyatakan bahawa dakwaan sempadan Rafah ditutup dan bantuan dihalang oleh kerajaan Mesir adalah satu pembohongan.


Selain itu, kenyataan itu juga tidak dapat disahkan penisbatannya kepada nama-nama Ulama yang dinyatakan sekaligus menunjukkan pihak Takfiri sanggup menipu kaum muslimin dalam usaha menghalalkan jenayah mereka.


Hakikat Yang Sengaja Dilupakan


Saya telah menyebut dalam artikel sebelum ini, Pengajaran daripada Gaza, terdapat pihak yang sengaja melupakan realiti demi mengambil peluang menjatuhkan kerajaan dan mendapat kuasa. Mereka menuduh kerajaan Mesir berpakat dengan Yahudi kerana tidak membuka sempadan Rafah, sedangkan mereka tahu sama ada sempadan Rafah dibuka atau tidak tentera Yahudi telah bersedia di seberang sana untuk menyekat apa-apa bantuan.


Pihak Yahudi juga dilaporkan membedil sempadan Rafah sehingga mencederakan beberapa rakyat Mesir. Ini menunjukkan kerajaan Mesir bukanlah sengaja tidak membuka sempadan Rafah, tetapi terdapat sesuatu maslahat yang menghalang mereka melakukannya.


Sunnguhpun demikian, kerajaan Mesir tetap berusaha menyampaikan bantuan dan berjaya meloloskan beberapa doktor ke Gaza melalui sempadan Rafah dan Presiden Husni Mubarak selepas tamatnya serangan mendedahkan memang sempadan Rafah telah dibuka tetapi dengan kawalan demi keselamatan Mesir.


Antara Semangat dan Syariat


Andaikan sungguh kerajaan Mesir tidak menolong saudara mereka di Gaza, tetapi kerana darurat dan maslahah rakyatnya, tentulah perkara ini diakui syarak. Dinyatakan dalam al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah:


وَمَحَل التَّعَيُّنِ عَلَى مَنْ بِقُرْبِهِمْ إِنْ لَمْ يَخْشَوْا عَلَى نِسَائِهِمْ وَبُيُوتِهِمْ مِنْ عَدُوٍّ بِتَشَاغُلِهِمْ بِمُعَاوَنَةِ مَنْ فَجَأَهُمُ الْعَدُوُّ ، وَإِلاَّ تَرَكُوا إِعَانَتَهُمْ .


Maksudnya: “dan keadaan yang mengubah Jihad menjadi fardu ain ke atas mereka yang berada dekat dengan negeri Islam yang diserang musuh adalah jika mereka tidak takut akan keselamatan wanita-wanita dan rumah-rumah mereka daripada serangan musuh kerana mereka membantu kaum muslimin yang diserang musuh, jika mereka takut akan diserang juga maka bolehlah mereka meninggalkan memberi pertolongan”. [al-Mausuah al-Fiqhiah al-Kuwaitiah, 16/131].


Jelas di sini, pihak Ikhwan dan seangkatannya sengaja membelakangkan hukum syariat dan mempergunakan emosi kaum muslimin terhadap keadaan Gaza untuk meraih sokongan dan menjatuhkan kerajaan Mesir. Mereka tidak berlaku adil dan insaf dalam menghukum kerajaan Mesir walaupun mereka tahu keadaan umat Islam di Mesir sama terancam dengan umat Islam di Palestin.


Kita mengakui kerajaan Mesir bukanlah kerajaan Islam yang sempurna bahkan terdapat penyelewengan yang ketara dalam pemerintahannya namun tidaklah mudah bagi kita untuk melancang lidah mengkafirkan pemerintahnya.


Hukum Membantu Orang Kafir Memerangi Kaum Muslimin


Andaikata benarlah kerajaan Mesir bersekongkol dengan Yahudi memerangi Hamas di Gaza, apakah dengan semata-mata perbuatan ini mereka menjadi kerajaan Kafir atau seperti kata Syed Qutub, ‘Masyarakat Jahiliah Musyrik’?


Jawapannya tidak sama sekali, terdapat dua keadaan yang perlu dibezakan:


Pertama: Seorang muslim membantu kafir memerangi muslim yang lain kerana benci kepada akidah tauhid dan ajaran Islam seperti Syiah Rafidah membantu Israeli memerangi pelarian Palestin di Tel al-Zaatar pada 1982 dan di Shabra dan Sahtilla pada 1985. Peperangan ini semata-mata kerana membenci ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah yang merupakan ajaran Tauhid. Maka kondisi sebegini ijmak ulama pelakunya kafir jika dia tahu keharaman perbuatannya ini.


Kedua: Pertolongan yang dilakukan itu adalah atas dasar duniawi semata-mata seperti tujuan politik duniawi semata-mata. Perbuatan ini tidak menjadikan muslim tadi kafir sama sekali. [Tahzib Tashil al-Aqidah, Ibn Jibrin, 149-150]


Dalil daripada kes ini adalah hadis sahih berkanaan Hatib bin Abu Balta’ah r.a yang cuba membocorkan rahsia kemaraan Rasulullah s.w. ke Mekah kepada kaum musyrikin dalam peristiwa Fathu Makkah. Hadis daripada Saidina Ali bin Abi Talib r.a katanya:


“Rasulullah s.a.w menghantar aku, Zubair dan Miqdad. Baginda s.a.w bersabda: Pergilah kamu ke Raudah Khah. Di sana terdapat seorang perempuan yang menunggang Unta, bersamanya ada sepucuk surat dan kamu hendaklah mengambil surat itu darinya. Kami berangkat dengan kuda dan ketika kami bertemu dengan perempuan itu kami berkata: Berikan surat kepada kami. Perempuan itu berkata: Aku tidak membawa surat. Kami berkata: Keluarkan surat atau kami periksa pakaian kamu. Setelah itu beliau mengeluarkan surat dari sanggul rambutnya dan surat itu kami serahkan kepada Rasulullah s.a.w. Isi kandungan surat berbunyi: Dari Hatib bin Abu Balta’ah kepada Musyrikin Mekah. Beliau memberitahu kepada orang-orang Musyrikin sebahagian dari urusan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w pun bersabda: Wahai Hatib! Apakah ini? Beliau berkata: Wahai Rasulullah! Jangan menuduh aku walaupun aku ada hubungan baik dengan orang-orang Quraisy. Abu Sufian berkata: beliau sememangnya berkawan baik dengan mereka tetapi bukan dari keturunan mereka. Aku tahu bahawa orang-orang Muhajirin yang tinggal bersama kamu mempunyai keluarga yang berada di bawah pengawasan mereka iaitu Quraisy. Sesungguhnya aku lakukan itu supaya mereka melindungi keluargaku dan aku lakukan itu bukanlah kerana aku kafir atau murtad dari agamaku. Aku juga tidak reda dengan kekufuran setelah aku memeluk Islam. Nabi s.a.w bersabda: Beliau benar. Umar berkata: Wahai Rasulullah! Biarkanlah aku membunuh orang munafik ini. Nabi s.a.w bersabda: Tidakkah kamu ketahui bahawa beliau dari tentera Badar? Mudah-mudahan Allah memberi keistimewaan kepada tentera Badar. Baginda bersabda: Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya aku telah memberi kemaafan kepada kamu. Oleh sebab itulah Allah menurunkan ayat:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّى وَ عَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ


Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhku dan musuh kamu menjadi teman rapat“. [al-Bukhari & Muslim, lihat: http://hadith.al-islam.com/bayan/display.asp?Lang=mal&ID=1447 ].


Jelas daripada hadis yang sangat sahih ini, Hatib bin Abu Balta’ah r.a tidak menjadi kafir dengan perbuatannya kerana tujuan dia melakukan perkara itu hanyalah bersifat duniawi semata-mata.


Berkata Imam al-Nawawi r.h :


وفيه أن الجاسوس وغيره من اصحاب الذنوب الكبائر لا يكفرون بذلك


Maksudnya: “pada hadis ini terdapat penjelasan bahawa pengintip (daripada kalangan muslimin bagi pihak kafir) dan selainnya daripada pelaku dosa besar tidak menjadi kafir dengan semata-mata melakukannya”. [al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim, 16/55].


Berkata pula al-Imam Abu Bakar Ibn al-Arabi r.h:


مَنْ كَثُرَ تَطَلُّعُهُ عَلَى عَوْرَاتِ الْمُسْلِمِينَ ، وَيُنَبِّهُ عَلَيْهِمْ ، وَيُعَرِّفُ عَدُوَّهُمْ بِأَخْبَارِهِمْ لَمْ يَكُنْ بِذَلِكَ كَافِرًا إذَا كَانَ فِعْلُهُ لِغَرَضٍ دُنْيَوِيٍّ ، وَاعْتِقَادُهُ عَلَى ذَلِكَ سَلِيمٌ


Maksudnya: “Sesiapa yang banyak mengetahui rahsia kaum muslimin dan memberitahu kepada musuh tidaklah menjadi kafir jika perbuatannya itu dengan tujuan duniawi sedangkan akidahnya sejahtera”. [Ahkam al-Qur'an, 7/295].


Dihubungkan juga dengan mengintip ini segala bentuk pertolongan seorang muslim kepada kafir memerangi saudarnya yang muslim dan perkara ini merupakan ijmak dalam kalangan Ahli Ilmu daripada Ahli Sunnah wal Jamaah. [Tahzib Tashil al-Aqidah, 149-150].


Oleh itu, jelas kepada kita kelompok al-Ikhwan al-Muslimun dan yang seangkatan dengannya bukanlah benar-benar berdakwah kepada akidah Islam yang murni tetapi mereka sanggup menggunakan pendekatan menyeleweng dalam usaha merebut kekuasaan. Wallahua’lam.

Sumber:

Lihat komen Syeikh Abdul Aziz Rais h.f berkenaan hal ini:

http://www.islamancient.com/mod_stand,item,27.html.

Lihat Penafian Ansar al-Sunnah dan ketidak sabitan nisbah kenyataan pada para ulama: http://www.islammemo.cc/hadath-el-saa/aza-fi-wagh-elehtelal/2009/01/16/75355.html ]

Lihat Kenyataan tersebut di:

http://www.almokhtsar.com/news.php?action=show&id=8357

Lihat pula seruan Ikhwani menggulingkan Husni Mubarak di:

http://maszleemalik.blogspot.com/2009/01/blind-spot.html

Wednesday, January 21, 2009

GOLONGAN YANG MENGIKUT MUTASYABIHAT

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

(http://mashoori.wordpress.com/2009/01/21/golongan-yang-mengikut-mutasyabihat/)


Pada zaman kita ini, telah muncul begitu ramai golongan yang menisbahkan diri mereka kepada pergerakan Islam dan mengaku memperjuangkan Islam tetapi mereka mengikut methode yang dilarang syarak dalam beragama. Mereka mengikut ayat-ayat mutasyabihat dan meninggalkan ayat-ayat yang muhkamat dalam al-Qur’an kemudian melakukan takwilan yang tidak diberi kemafaan kepada pelakunya.


Allah s.w.t melarang kita mengikut mutasyabihat dalam firman-Nya ayat ke-7 surah Ali Imran:


هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الأَلْبَابِ


Maksudnya: “Dia lah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:” Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran”.


Nabi s.a.w bersabda dalam mentafsirkan ayat ini:


إِذَا رَايْتُمُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ، فَاُولَئِكَ الَّذِينَ سَمَّى اللَّه ، فَاحْذَرُوهُمْ


Maksudnya: “Apabila kamu melihat kaum yang mengikut apa yang samar-samar daripadanya maka merekalah yang Allah nyatakan dalam ayat ini, jauhilah mereka”. [al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, Ahmad].


Apakah Makna Mutasyabih dan Muhkamat?


Muhkamat adalah ayat-ayat yang jelas maknanya, yang tidak membawa wajah yang banyak adapun mutasyabihat adalah yang tidak jelas maknanya dan mempunyai wajah makna yang pelbagai.


Termasuk juga dalam kategori muhkam adalah ayat-ayat nasikh dan dalam kategori mutasyabihat ayat-ayat mansukh. Ayat muhkamat tidak boleh menerima takwil seperti firman Allah s.w.t:


الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى


Maksudnya: “Dialah al-Rahman (Yang Maha Mengasihani); bersemayam di atas Arasyh” [Taha:5]


Tidak warid dalam al-Qur’an dan hadis perkataan al-Arsy melainkan dengan makna singgahsana dan tidak ada dalam al-Qur’an dan hadis perkataan istiwa’ melainkan maknanya adalah ‘Ala wa irtafa’a (meninggi) atau istaqarra (menetap) maka maknanya jelas. Adapun kaifitanya bukanlah bidang perbincangan tafsir.


Misal mutaysabihat seperti firman Allah s.w.t:


وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “dan wanita-wanita yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka (beriddah) tiga kali quru’..” [al-Baqarah: 228]


Kalimah quru’ dalam bahawa membawa makna sama ada suci atau haid kerana terdapatnya riwayat-riwayat para sahabat yang mentafsirkan dengan kedua-dua makna ini.


Demikian juga apabila terdapat dua ayat yang bertentangan sehingga tidak boleh menggabungkannya daripada segi hukum atau makna dan salah satu daripadanya turun dahulu dan satu lagi terkemudian, maka ayat yang terdahulu itu menjadi ayat mansuk (dihapuskan hukumnya) dan yang terkemudian menjadi nasikh(yang memansukhkan) yang perlu diikut.


Misal nasikh dan mansukh adalah firman Allah s.w.t :


لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ


Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam beragama (memeluk Islam)…” [al-Baqarah: 256]


Ayat ini telah dimansukhkan hukumnya dengan ayat Qital yakni surah al-Taubah yang memerintahkan memerangi kaum musyrik sehingga mereka memeluk Islam atau membayar jizyah. Termasuk juga makna muhkamat adalah ayat yang berdiri sendiri dan tidak memerlukan ayat lain mentafsirkannya manakala ayat mutasyabihat pula adalah ayat-ayat yang memerlukan pemahaman kolektif untuk memahami maksudnya.


Contoh Mereka yang Mengikut Mutasyabihat:


Golongan Nasrani: Golongan Nasrani menimbulkan syubhat berkenaan keesaan Allah s.w.t melalui kalimah ‘Kami’ yang sering Allah s.w.t gunakan dalam siyaq mutakallim(zat yang berbicara) seperti :


نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِنْ لَبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا


Maksudnya: “(Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: “Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat”. [Taha: 104]


Mereka menimbulkan syubhat bahawa penggunaan ‘Kami’ oleh Allah menunjukkan triniti. Ini adalah salah kerana ‘Kami’ digunakan oleh Arab sama ada untuk ramai atau untuk takzim (membesarkan diri). Mereka meninggalkan ayat Allah s.w.t yang jelas dalam urusan Tauhid seperti firman-Nya:


قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “Katakanlah: Dia lah Allah yang Maha Esa” [al-Ikhlas: 1]


Demikian juga mereka menggunakan ayat :


إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ


Maksudnya: “Sesungguhnya al-Masih Isa anak lelaki Maryam itu adalah Rasulullah dan kalimah-Nya yang dilontarkan kepada Maryam..” [al-Nisaa: 171]


Mereka berdalilkan bahawa Isa a.s adalah kalimah Allah dan kalimah Allah bukan makhluk maka Isa a.s bukan makhluk namun mereka mengabaikan ayat yang muhkam iaitu dalam ayat tersebut juga Allah menisbahkan Isa a.s sebagai anak Maryam dan kalimah itu dilontar kepada Maryam yang menunjukkan berlakunya proses penciptaan. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah Yasin ayat 82:


إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ


Maksudnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. maka ia terus menjadi”.


Mereka juga mengabaikan ayat muhkam yang hanya sambungan kepada ayat 171 surah al-Nisaa di atas:


فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَلَا تَقُولُوا ثَلَاثَةٌ انْتَهُوا خَيْرًا لَكُمْ إِنَّمَا اللَّهُ إِلَهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ


Maksudnya: “maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha suci Allah daripada mempunyai anak…”


Mereka menggunakan ayat-ayat mutasyabihat dan cuba mengalih perhatian daripada ayat-ayat muhkamat untuk menimbulkan syak dalam diri seorang muslim terhadap akidah Islam.


Golongan Yahudi: Yahudi menggunakan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 122:


يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ


Maksudnya: “Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).”


Untuk menunjukkan bahawa mereka adalah Bangsa Allah yang Terpilih dan mereka berhak memerintah bumi ini sesuka hati mereka. Mereka lupa bahawa Allah s.w.t berfirman juga:


وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ


Maksudnya: “dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”


Jika kita lihat pada tempat bergaris jelas bahawa mereka yang berlaku zalim, menyeleweng dan enggan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w tidak lah menjadi bangsa yang diutamakan Allah s.w.t. Allah mengangkat darjat mereka kerana mereka beriman kepada Allah s.w.t dan menjalankan perintah-Nya, namun apabila mereka berlaku zalim dengan memusuhi Rasulullah s.a.w dan enggan beriman kepadanya, maka keistimewaan ini hilang.


Demikian juga keutamaan yang diberi kepada mereka ketika itu adalah kerana Nabi dan Rasul berada dalam kalangan mereka, apabila Nubuwah dan Risalah berpindah kepada Muhammad s.a.w, maka keutamaan itu Allah s.w.t telah pindahkan kepada umat baginda sebagaimana firman Allah s.w.t:


كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ


Maksudnya: “kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”[Ali Imran, 110].


Ayat ini muhkam menjelaskan keutamaan telah berpindah kepada Umat Muhammad s.a.w jadi jika mereka hendak terus menjadi bangsa yang utama hendaklah mereka mengikut ajaran Islam yang dibawa Muhammad s.a.w.


Golongan Khawarij: Khawarij adalah antara fahaman Islam yang menyeleweng yang pertama muncul dan antara pertama mengikut ayat mutasyabihat dalam kalangan umat Ijabah (Umat Islam). Mereka menggunakan firman Allah s.w.t dalam surah al-Maidah ayat 44:


وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ


Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu adalah golongan kafir”.


Berdasarkan ayat ini mereka mengkafirkan semua pelaku dosa besar daripada umat Islam dan meninggalkan ayat 45 surah al-Maidah:


وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ


Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalpah golongan yang zalim”.


Dan ayat 47 Surah al-Maidah:


وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ


Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang yang fasiq”.


Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa tidak semua gpolongan yang melanggar hukum Allah s.w.t itu kafir, bahkan ada antara mereka dihukum zalim dan fasiq sahaja.


Golongan Jahmiyah: Golongan Jahmiyah Ghulah seperti Jaham bin Safwan menolak adanya sifat bagi Allah s.w.t sama sekali kerana mengikut hawa nafsu, kemudian datang pula Jahmiyah Muktadilah (pertengahan) seperti Muktazilah menafikan adanya sifat bagi Allah s.w.t dengan takwil. Punca mereka bertindak begini adalah kerana mengikut sebahagian al-Qur’an dan membuang sebahagian yang lain. Telah kita jelaskan bahawa ayat mutasyabihat merangkumi ayat yang perlu difahami secara kolektif tidak boleh cukup sekadar dengan ayat itu sendiri.


Jahmiyah menggunakan firman Allah s.w.t:


قَالَ لَنْ تَرَانِي


Maksudnya: “Allah berfirman: “engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu…” [al-A'raf : 143]


Untuk menunjukkan Allah s.w.t tidak akan dapat dilihat sama ada di dunia ataui akhirat. Mereka lupa sambungan ayat ini:


وَلَكِنِ انْظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي


Maksudnya: “akan tetapi lihatlah kepada gunung itu, jika dia kekal di tempatnya maka kamu akan melihat-Ku..”


Maka, kegagalan Musa a.s untuk melihat Allah s.w.t bukanlah kerana Allah s.w.t tidak dapat dilihat tetapi kerana faktor-faktor kemanusiaan dan keadaan alam dunia yang menghalang Musa a.s. Apabila kita berada di akhirat, berada dalam syurga, maka keadaan berbeza dan faktor penghalang telah tiada maka secara naqli dan aqli jelas bahawa Allah s.w.t boleh dilihat. Andainya Muktazilah mahu meneruskan membaca al-Qur’an sehingga habis tentu mereka tidak akan tersesat begitu jauh.


Golongan Harakiah[1]: Harakiah atau Hizbiah merupakan golongan yang paling banyak menggunakan ayat dan hadis mutasyabihat pada zaman kita ini. Antara conthnya mereka menggunakan ayat berikut:


لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ


Maksudnya: ” Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [al-Mumtahinah: 8].


Untuk membolehkan kita bermawaddah (berkasih sayang) dan memberi wala’ (kesetiaan) kepada orang kafir seperti menjadikan mereka teman rapat dan menjalankan usaha al-Taqrib (mendekatkan) antara agama dengan tujuan membiarkan manusia dengan agama masingp-masing. Mereka tidak memahami antara perintah berlaku adil dan berbuat baik kepada orang kafir dengan larangan berwala’ dan bermawaddah dengan orang kafir. Allah s.w.t jelas melarang kita bermawaddah dan berkasih setia dengan kaum kafir dalam firman-Nya :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَوَلَّوْا قَوْمًا غَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ قَدْ يَئِسُوا مِنَ الْآخِرَةِ كَمَا يَئِسَ الْكُفَّارُ مِنْ أَصْحَابِ الْقُبُورِ


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur”. [al-Mumtahinah: 13].


Dan firman Allah s.w.t:


لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ


Maksudnya: “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” [al-Mujadilah: 22].


Allah s.w.t jelas dalam dua ayat ini melarang kita berwala’ (memberikan kesetiaan dan ketaatan) kepada orang kafir secara mutlak sama ada dia memerangi kita atau tidak. Adapun Allah s.w.t tidak menghalang kita berjual beli, bermuamalat dengan kaum kafir yang tunduk kepada undang-undang Islam seperti tidak mengambil riba dan menjual barangan haram. Allah s.w.t juga membenarkan kita menegakkan hukum antara mereka dengan adil apabila mereka meminta kita menghukum atas sesuatu perselisihan antara mereka apabila mereka sanggup mengikut hukum syariat kita. Demikian juga apabila terbukti seorang muslim melakukan kejahatan terhadap seorang kafir zimmi yang tunduk pada negara Islam, maka syarak memerintahkan kita menegakkan keadilan terhadap kaum kafir yang terzalim tadi.


Adapun menjadikan mereka pemimpin umat Islam, melantik mereka menjadi menteri atau ahli Parlimen dan menyamakan mereka dengan panggilan saudara dan sebagainya (sedangkan dia tidak mempunyai pertalian darah dengan kita) maka ini dilarang dalam syarak secara mutlak.


Asal kesalahan harakiah dalam perkara ini gagal membezakan antara ‘mawaddah’(berkasih sayang) dan ‘al-birr’ (berbuat baik), al-wala’ (memberi kesetiaan) dan al-iqsat (berlaku adil).


Demikian lah beberapa contoh golongan yang mengikut mutaysabihat lalu mereka tersesat dan Allah s.w.t dan Rasul-Nya telah melarang kita mengikut jejak langkah mereka. Semoga kita dimasukkan dalam golongan yang kuat ilmu dan iman kepada Allah s.w.t. Amin.



[1] Maksud Harakiah adalah parti-parti politik Islam terutama Harakat Ikhwan al-Muslimun yang menjadikan politik matlamat dakwah mereka.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails