Thursday, November 27, 2008

MENJAWAB BUKU AHL SUNNAH AL-ASYA'IRAH



Sebuah lagi buku menjawab syubhat-syubhat buku "Ahl al-Sunnah Al-Asya'irah" selain buku "Al-Asya'irah fi al-mizan." Segala kedustaan tuduhan terhadap ahli sunnah daripada pihak al-Asya'irah dijawab dengan baik oleh ulama-ulama ahl sunnah yang benar-benar tulus ikhlas dalam dakwah mereka. Semoga buku dapat menjelaskan kekeliruan mereka.

Wednesday, November 26, 2008

077 - Mempercayai Allah Di atas ‘Arsy: “Benarkah Mereka Ada Penyakit Hati?”

Mempercayai Allah Di Atas ‘Arsy: “Benarkah Mereka Ada Penyakit Hati?”

Oleh: Nawawi Subandi.
http://bahaya-syirik.blogspot.com/

Keratan akhbar yang dipaparkan kepada anda di bawah adalah dipetik dari:

Akhbar “Mingguan Malaysia” bertarik 9 November 2008, Agama, m/s. 10 (ruangan “Kemusykilan Anda Dijawab”), Mohd. Yusof Abas.

Penulis menyatakan bahawa mereka yang ber-i’tiqad (mempercayai) Allah di atas ‘Arsy adalah mereka yang berpenyakit hati. Ini dijelaskan oleh penulis adalah sebagaimana dalam keratan akhbar di bawah:

Katanya:

“Apa yang ditimbulkan oleh kawan anda itu hanyalah kekeliruan yang sengaja dibawa oleh mereka yang berpenyakit hati.”... (selanjutnya beliau menjelaskan) “... Itulah sebenarnya tanda hati kawan anda yang berpenyakit tadi.”

Sebelumnya, beliau (Mohd. Yusof Abas) ditanya:

“Ada kawan saya cuba memperkenalkan akidah Ibnu Taimiah yang mengatakan Allah berada di atas ‘Arsy (sepertimana firman Allah di dalam Surah Thoha ayat 5). Bolehkah tuan jelaskan maksud sebenarnya ayat tersebut?”




Maka, di sini kami cuba menjelaskan beberapa kekeliruan yang telah ditimbulkan oleh beliau (Mohd. Yusuf Abas).

Berkenaan Ayat 7, Surah Ali Imran:

“Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Qur’an) kepadamu. Di antara (isinya) ada ayat-ayat yang muhkamat, itulah dasar-dasar kandungan al-Qur’an. Dan yang lain (ayat-ayat mutasyabihat). Adapun orang-orang yang hatinya (berpenyakit) cenderung kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat mutsyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Rabb kami”. Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran, 3: 7)

Syaikh Abdur Rahman b. Nashir as-Sa’di menjelaskan (Berkenaan Surah Ali Imran, 3: 7),

“Adapun orang-orang yang berilmu lagi mendalam ilmunya dan hati mereka penuh dengan keyakinan, mereka ini mengetahui bahawa al-Qur’an itu semuanya adalah dari sisi Allah. Semua yang ada di dalamya adalah haq, sama ada yang mutasyabih atau pun yang muhkam, dan bahawasanya yang haq itu tidak akan saling bertentangan dan saling berbeza. Dan kerana ilmu mereka bahawa ayat-ayat yang muhkam mengandungi makna yang tegas dan jelas, dan kepadanya mereka mengembalikan ayat-ayat mutasyabih yang sering menimbulkan kebingungan bagi orang-orang yang kurang ilmu dan pengetahuannya. Mereka mengembalikan ayat-ayat yang mutaysabih kepada ayat-ayat muhkam sehingga akhirnya mereka berkata “kami beriman dengan kepada ayat-ayat mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami. Dan tidak dapat mengambil pelajaran daripadanya melainkan orang yang berakal”. Iaitu orang yang memiliki akal yang sihat. Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sikap inilah yang menandakan orang-orang yang berakal, dan bahawa mengikuti (mempergunakan) ayat-ayat mutasyabih adalah sifat-sifat orang yang rosak pemikirannya, akalnya rendah, dan memiliki tujuan yang buruk.” (Rujuk Tafsir as-Sa’di di bawah perbahasan ayat 7 Surah Ali Imran)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan:

“Ayat-ayat muhkam adalah seperti ayat-ayat yang menasakh (ayat yang lain), atau ayat-ayat yang berkenaan dengan permasalahan halal dan haram, masalah hudud (hukuman atau sanksi), kewajiban-kewajiban, serta perkara-perkara yang diperintahkan dan harus diamalkan.

Manakala ayat mutasyabihat adalah ayat-ayat yang dinasakh, didahulukan, diakhirkan, perumpamaan-perumpamaan, sumpah dan apa yang harus diimani tetapi bukan berupa amal perbuatan.

Muhammad bin Ishaq bin Yasar rahimahullah berkata: Firman Allah (maksudnya): “Di antara (isinya) ada ayat-ayat yang muhkamat”, iaitu di dalamnya berisi hujjah Allah, pedoman bagi para hamba, dan menolak bantahan yang batil. Ayat-ayat muhkam tidak mengalami perubahan yang menyimpang dari apa yang telah ditetapkan.

Seterusnya beliau menjelaskan: Adapun ayat-ayat mutasyabihat mengandungi perkara-perkara yang harus diyakini, yang ada kemungkinan padanya untuk dihuraikan, diubah, bahkan ditakwil. Allah menguji hamba-Nya dengan ayat-ayat tersebut sebagaimana Dia menguji mereka dalam masalah halal dan haram. Ayat-ayat tersebut tidak boleh dibawa kepada makna yang batil dan tidak boleh diselewengkan dari kebenaran.

Kerana itulah Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya): “Adapun orang-orang yang dalam hatinya (berpenyakit) cenderung kepada penyimpangan (zaigh)”, iaitu kesesatan (dhalal). Dan mereka pun keluar dari kebenaran menuju kebatilan. Firman Allah (maksudnya): “Maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat mutasyabihat”, ertinya mereka hanya mengambil ayat-ayat mutasyabihat yang boleh untuk mereka selewengkan dan mereka menggunakannya bagi tujuan yang buruk. Kerana lafaz ayat tersebut boleh mereka bawa kepada makna yang mereka mahu.

Tetapi, tiada ruang bagi mereka untuk menyelwengkan ayat-ayat muhkamat. Kerana ayat-ayat muhkam merupakan penghalang sekaligus hujjah yang mengalahkan mereka. Kerana itulah Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (maksudnya): “Untuk menimbulkan fitnah”. Iaitu untuk menyesatkan para pengikut mereka dengan seakan-akan mereka itu membawakan hujjah mereka berdasarkan dalil al-Qur’an. Padahal al-Qur’an adalah hujjah yang membatalkan bid’ah mereka, bukan mendukungnya.

Firman Allah (maksudnya): “Dan untuk mencari-cari takwilnya”, iaitu menyelewengkan maksud bersesuaian dengan apa yang mereka kehendaki. Dan seterusnya (maksudnya): “Tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah”. (Lihat Tafsir Ibnu Katsir di bawah penafsiran ayat 7 surah Ali Imran)

Daripada penjelasan tersebut, jelaslah bahawa orang-orang yang berpenyakit hatinya adalah orang yang menyelewengkan ayat-ayat mutasyabihat, mereka mentakwilkannya keluar dari maksud yang dikehendaki oleh Allah yang di mana hanya Allah sahaja yang mengetahuinya iaitu mereka mentakwilkannya dengan cara mengubah kepada maksud-maksud yang lain (melarikan maknanya) atau seumpamanya daripada maksud zahirnya yang asal. Perkara ini adalah sebagaimana terdapat sebahagian pihak yang menggunakan ayat seperti Allah istiwa (bersemayam) di atas 'Arsy dengan diberi makna sebagai “Allah berkuasa” iaitu mereka menyelewengkan kalimat istiwa' kepada istawla' dan seumapamanya.

Berkenaan Allah di Atas ‘Arsy:

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan berkenaan firman Allah (yang maksudnya), “...kemudian Dia beristawa di atas ‘Arsy.” (Surah al-A’raaf, 7: 54) dan juga surah Thoha (20: 5) sebagaimana yang ditanyakan oleh si penanya, begitu juga di dalam beberapa ayat yang lain iaitu Yunus, 10: 3, ar-Ra’d, 13: 2, al-Furqon, 25: 59, as-Sajdah, 32: 4, katanya:

“Di dalam menafsirkan ayat ini (al-A’raaf, 7: 54), manusia memiliki pelbagai pandangan yang sangat banyak dan tidak mungkin pada kesempatan ini kami menghuraikannya. Tetapi, pandangan yang kami ikuti berkenaan dengan permasalahan ini adalah pandangan Salaf as-Soleh, seperti Malik, al-Auza’i, ats-Tsauri, al-Laits bin Sa’ad, asy-Syafi’i, Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, dan selainnya yang terdiri dari para imam kaum Muslimin sejak dahulu hingga kini. Mereka berpandangan supaya mengambil (memahami) ayat ini sebagaimana adanya tanpa menanyakan bagaimana (takyif), tidak menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya (tasybih), serta tidak meniadakan sifat tersebut (ta’thil). Sementara itu, yang terlintas di dalam pemikiran kaum mutasyabbih adalah dinafikan dari-Nya kerana Dia tidak serupa dengan sesuatu pun dari makhluk-Nya. Tidak ada sesuatu yang seperti Allah dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Dalam perkara ini, pendapat orang-orang yang menganggap bahawa jika kita menetapkan sifat-sifat itu bagi Allah, bererti kita telah menyerupakan Allah adalah tidak benar. Malahan, yang benar adalah seperti yang diucapkan olrah para imam salaf, di antaranya Imam Nu’aim bin Hammad, syaikh (guru) al-Bukhari rahimahullah, ia berkata: “Barang siapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, bererti ia kufur. Barang siapa yang mengingkari apa yang Allah sifatkan untuk diri-Nya, bererti dia kafir. Tidak ada tasybih (penyerupaan Allah dengan makhluk) pada semua sifat yang dengannya Allah dan rasul-Nya mensifati diri-Nya Subhanahu wa Ta’ala.”

Maka, orang yang menetapkan bagi Allah apa yang disebutkan oleh ayat-ayat yang sharih dan hadis-hadis yang sahih adalah bersesuaian dengan kebesaran Allah dan menafikan dari Allah sifat-sifat kekurangan, bererti ia telah menempuh jalan hidayah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir & Adhwa’ ul Bayan di bawah penafsiran ayat 54 surah al-A’raaf)

Daripada Muawiyah bin Hakam As-Sulami radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaiyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing gembalaannya (peliharaannya). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam (keturunan adam) dari manusia kebanyakan. Maka aku mengeluh sebagaimana mereka (memiliki rasa marah/tidak berpuas hati). Atas sebab itu (apabila kambingnya dimakan serigala) wanita itu aku pukul dan aku marahi. Kemudian aku pergi berjumpa Rasulullah, maka baginda mempersalahkan aku. Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?” Jawab Rasulullah: “Bawalah wanita itu ke sini”. Maka Rasulullah bertanya kepada wanita itu. “Di mana Allah?” Dijawabnya: “Di langit”. Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Dijawabnya: “Engkau Rasulullah”. Maka baginda bersabda: “Merdekakanlah wanita ini, kerana dia adalah seorang mukminah”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 537. al-Bukhari, Juz al-Qira’ah, 70. asy-Syafi’i, ar-Risalah, 242. Malik, al-Muwaththa’, 2/77. Ahmad, al-Musnad, 5/447)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah menjelaskan berkenaan hadis ini:

“Dengan itu, Rasulullah memutuskan keimanan budak wanita (jariyah/hamba wanita) tersebut ketika ia mengakui bahawa Rabbnya di langit dan dia tahu tentang Rabbnya melalui sifat ‘uluw dan fauqiyah (di atas).” (al-Umm, asy-Syafi’i, 5/280. al-Manaqib, al-Baihaqi, 1/398)

Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Salam bersabda: “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: “Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku perkenannya, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1145. Muslim, 758)

Imam Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah berkata berkenaan hadis ini:

“Dalam hadis ini terdapat dalil bahawasanya Allah berada di atas langit, di atas ‘Arsy sebagaimana dikatakan oleh para ulama. Hadis ini adalah salah satu hujjah Ahli Sunnah terhadap kelompok Mu’tazilah dan Jahmiyah yang berpendapat bahawa Allah ada di mana-mana, bukan di atas ‘Arsy.” (at-Tamhid lima fi al-Muwaththa’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, Ibnu ‘Abdil Barr, 3/338. Kitab at-Tauhid, Ibnu Khuzaimah, m/s. 126)

Fatwa Para Ulama Salaf (terdahulu):

1 – Imam al-Auza’i berkata: “Kami dan seluruh Tabi’in bersepakat menyatakan bahawa: “Allah berada di atas ‘Arsy-Nya”. Dan kami semua mengimani sifat-sifat yang dijelaskan dalam as-Sunnah.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Asma’ wa Shifat, m/s. 408. adz-Dzhabi, al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, m/s. 102)

2 – Imam ‘Abdullah Ibnul Mubarak berkata: “Kami mengetahui Rabb kami, Dia beristiwa’ di atas ‘Arsy berpisah dari makhluk-Nya. Dan kami tidak mengatakan sebagaimana kaum Jahmiyah yang menyatakan bahawa Allah ada di sini (beliau menuding/menunjukkan ke bumi).” (Diriwayatkan oleh ash-Shabuni, Aqidah Salaf Ashabul Hadis, m/s. 28)

3 – Imam Qutaibah bin Sa’id berkata: “Inilah pendapat para imam Islam, Ahli Sunnah wal Jama’ah, bahawa kami mengetahui Rabb kami di atas langit-Nya yang ketujuh di atas ‘Arsy-Nya.” (Dar’u Ta’arudh Naql wal Aql, Ibnu Taimiyah, 6/260)

4 – Imam ‘Utsman bin Sa’id ad-Darimi berkata: “Telah bersepakat kalimat kaum muslimin dan kafirin bahawa Allah di atas langit.” (Naqdhu Abi Sa’id ala Mirsi al-Jahmi al-Anid, 1/228)

5 – Imam Abu Zur’ah dan Abu Hatim berkata: “Ahli Islam telah bersepakat untuk menetapkan sifat bagi Allah bahawasanya Allah di atas ‘Arsy berpisah dari makhluk-Nya dan ilmu-Nya di setiap tempat. Barangsiapa yang menyatakan selain ini maka baginya laknat Allah.” (Syarh Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, al-Lalika’i, 1/198)

6 – Ibnu ‘Abdil Barr berkata tentang hadis turunnya Allah ke langit dunia: “Dalam hadism ini terdapat dalil bahawa Allah di atas ‘Arsy, di atas langit-Nya sebagimana dikatakan oleh Jama’ah kaum muslimin.” (at-Tamhid lima fi al-Muwaththa’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, Ibnu Abdil Barr, 7/129)

7 – Imam ash-Shabuni berkata: “Para ulama umat dan imam dari Salafush Soleh tidak berselisih pendspat bahawa allah di atas ‘Arsy-Nya dan ‘Arsy-Nya di atas langit-Nya.” (Dar’u Ta’arudh Naql wal Aql, Ibnu Taimiyah, 6/250. al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, adz-Dzahabi, 246)

8 – Imam Ibnu Qudamah menyatakan: Sesungguhnya Allah mensifati diri-Nya bahawa Dia tinggi di atas langit, demikian juga Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Salam (penutup para Nabi) mensifati Allah dengan ketinggian juga, dan perkara tersebut disepakati oleh seluruh ulama dari kalangan sahabat yang bertaqwa dan para imam yang mendalam ilmunya, hadis-hadis berkaitan dengannya juga mutawatir sehingga mencapai darjat yakin, demikian pula Allah menyatukan semua hati kaum muslimin dan menjadikannya sebagai fitrah semua makhluk.” (Itsbati Shifatul Uluw, Ibnu Qudamah, m/s. 12)

9 – Imam adz-Dzahabi menyatakan: “Mereka yang menjelaskan Allah di atas langit, hujjah-hujjah mereka adalah hadis-hadis dan atsar-atsar yang sangat banyak.” (al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, 143)

10 – Imam asy-Syafi’i berkata: “Kekhalifahan Abu Bakar ash-ShiddiQ adalah haq (benar), yang telah diputuskan Allah Ta’ala dari atas langit-Nya, dan Dia telah menghimpun hati hamba-hamba-Nya kepada Abu Bakar ash-ShiddiQ.” (Majmu’ al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, 5/139) “...bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah (ilah) melainkan Allah, dan Muhammad Rasulullah, dan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu di atas ‘Arsy-Nya di langit-Nya yang dekat dengan makhluk-Nya bersesuaian dengan kehendak-Nya, dan bahawa Allah turun ke langit dunia bersesuaian dengan kehendak-Nya.” (Rujuk: Itsbati Shifatul Uluw, Ibnu Qudamah, 124. Majmu’ al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, 4/181-183. al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, adz-Dzahabi, 120. Mukhtashar al-‘Uluw lil ‘Aliyyil ‘Azhim, al-Albani, 176)

11 – Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Kita beriman kepada Allah bahawa Dia di atas ‘Arsy bersesuaian dengan kehendak-Nya tanpa dibatasi dan tanpa disifati dengan sifat yang kepadanya seseorang cuba mensifatinya (dengan mentakwil-takwil). Sifat-sifat Allah itu (datang) dari-Nya dan milik-Nya. Ia mempunyai sifat seperti yang Dia sifatkan untuk diri-Nya, yang tidak dapat dijangkau oleh pandangan (pancaindera).” (Dar’u Ta’arudh Naql wal Aql, Ibnu Taimiyah, 2/30. I’tiqadatul Aimmatil Arba’ah, Dr. Muhammad al-Khumais, 69 & 71. Lihat juga: Thabaqat al-Hanabilah, Abu Ya’la, 1/56)

12 – Imam Abu Hanifah berkata: “Sesiapa yang berkata, “Aku tidak tahu Rabbku di langit atau di bumi” bererti dia kafir. Begitu juga seseorang menjadi kafir apabila mengatakan bahawa Allah itu di atas ‘Arsy, namun dia tidak mengetahui sama ada ‘Arsy itu di langit atau di bumi.” (al-Fiqhul Absath, Abu Hanifah, 46. I’tiqadatul Aimmatil Arba’ah, Dr. Muhammad al-Khumais, 11)

13 - Sebagaimana di dalam soalan si penanya, beliau menyatakan Ibnu Taimiyyah berpegang dengan Akidah tersebut (Allah di Atas ‘Arsy). Maka dalam persoalan ini, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menjelaskan:

“Pendapat bahawa Allah di atas ‘Arsy adalah pendapat yang disepakati oleh para Nabi seluruhnya, dan ianya disebutkan dalam setiap Kitab yang diturunkan kepada setiap nabi yang diutus sebagai Rasul. Persoalan itu telah disepakati pula oleh generasi pendahulu dari umat ini serta dari kalangan imam mereka dari semua golongan.” (Naqdhu at-Ta’sis, Ibnu Taimiyyah, 2/9)

“Permasalahan ini begitu luas, kerana orang-orang yang menukil ijma’ ahli Sunnah atau ijma’ (kesepakatan) Sahabat dan Tabi’in bahawa Allah di atas ‘Arsy, berpisah dari makhluk-Nya tidak dapat dihitung/dikira jumlah ramainya melainkan hanya Allah saja yang tahu...” (Bayanu Talbis Jahmiyah, Ibnu Taimiyah, 3/531)

Maka, dengan ini semoga si penjawab (Mohd. Yusof Abas) yang sudah berulang kali membawakan jawaban yang merancukan berkenaan persoalan yang sama, supaya menilai kembali penjelasannya yang tersebut (sebagaimana yang kami nukilkan). Semoga dengan penjelasan ringkas ini kita tidak bermudah-mudah menggelarkan orang lain sebagai berpenyakit hatinya, ditakuti ia terkena diri sendiri.

Ad-Daruquthni mentakhrijkan dari Walid bin Muslim, dia berkata:

Aku pernah berkata kepada Malik, ats-Tsauri, al-‘Auza’i, dan Laith bin Sa’ad berkenaan nash-nash sifat Allah. Mereka menjawab, “Fahamilah sebagaimana adanya bersesuaian dengan apa yang didatangkan (tanpa ditakwilkan)” (ash-Shifat, ad-Daruquthni, 75. asy-Syari’ah, al-Ajuri, 314. al-I’tiqad, al-Baihaqi, 118. at-Tamhid lima fi al-Muwaththa’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, Ibnu Abdil Barr, 7/149)

Wallahu a’lam.

Sumber: http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/11/077-mempercayai-allah-di-atas-arsy.html

Saturday, November 22, 2008

KAEDAH DALIL-DALIL AL-ASMA’ WA AL-SIFAT [I]

Dalam menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t , Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) mempunyai beberapa kaedah yang telah ditetapkan oleh para ulama salaf semenjak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Kaedah ini perlu difahami dengan baik supaya dalam menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t kita menggunakan dalil yang betul serta memahami dalil tersebut dengan betul juga. Berikut adalah kaedah-kaedahnya:


1- Nama-nama dan Sifat-sifat Allah s.w.t Hanya Sabit Melalui al-Qur’an dan al-Sunnah yang Sahih Sahaja.


Berdasarkan kaedah ini, akal manusia tidak berperanan untuk menetap atau menafikan apa-apa sifat kepada Allah s.w.t kerana memikirkan bagaimana Allah s.w.t itu bukanlah peranan akal.


Apa-apa lafaz sifat dan nama yang Allah tetapkan bagi diri-Nya maka wajib kita terima dan beriman sesuai dengan lafaz dan maknanya seperti mendengar, melihat, ar-Rahman, ar-Rahim, mata, tangan, dan sebagainya demikian juga apa-apa yang Allah nafikan wajib kita nafikan seperti beranak, diperanakkan, cacat dan lain-lainnya.


Adapun, jika sifat atau nama itu tidak sabit dalam al-Qur’an atau Hadis yang sahih maka kita bertawaqquf (mendiamkan diri) pada lafaznya dengan tidak menafikan dan tidak pula menetapkannya kepada Allah s.w.t.


Adapun dari segi makna maka dilihat apakah yang hendak dimaksudkan dengan kalimah (lafaz) tersebut. Misalnya kalimah Jisim, Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menggunakan kalimah Jisim sama ada menetap atau menafikan maka kita tidak menceburkan diri dalam membincangkan perkara ini. Dilihat pula apakah maksud Jisim itu. Jika yang dikehendaki dengan jisim adalah zat maka kita katakan Allah mempunyai zat jadi dalam konsep ini tidaklah kufur orang yang mengatakan allah berjisim dengan makna zat tetapi penggunaan kalimah jisim itu perlu dijauhi kerana tidak digunakan Allah dan Rasul-Nya. Adapun jika maksud jisim itu Allah menyamai makhluk maka dalam konteks ini perkataan Allah berjisim dengan makna sama dengan makhluk adalah kufur.


Demikian juga penggunaan kalimah المكان iaitu ‘tempat’ bagi Allah s.w.t. Kita tidak boleh berkata Allah bertempat dan tidak juga Allah tidak bertempat kerana tidak sabit perbincangan ini dalam al-Qur’an dan Hadis Sahih. Dilihat pula maksud kepada mereka yang mengatakan Allah bertempat, jika yang dikehendaki dengan tempat adalah Arasy maka ianya benar tetapi penggunaan kalimah ‘tempat’ tidak sesuai namun jika dikehendaki Allah terhad dan tertentu (terkurung) dalam suatu tempat maka ianya jelas kufur.


Dalil kaedah ini firman Allah s.w.t :


فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ


Maksudnya: “oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. [al-A'raf : 158].

Dan sabda Nabi s.a.w:


إنَّ الله فَرَضَ فرائِضَ ، فَلا تُضَيِّعُوها ، وحَدَّ حُدُوداً فلا تَعْتَدوها ، وحَرَّمَ أَشْياءَ ، فلا تَنتهكوها ، وسَكَتَ عنْ أشياءَ رَحْمةً لكُم غَيْرَ نِسيانٍ ، فلا تَبحَثوا عَنْها


Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepada kamu beberapa kewajipan maka janganlah disia-siakan danDia menetapkan batasan maka jangan kamu lampauinyadan Dia mengharamkan beberapa perkara maka jangan kamu langgarnya dan Dia ‘mendiamkan’ tentang beberapa perkara sebagai Rahmat bagi kamu bukan kerana lupa maka jangan kamu mencari-cari ia[al-Daruqutni dll].


2- Wajib Menetapkan Nas-nas Sifat Sesuai dengan Makna yang Zahir daripada Lafaznya Tanpa Tahrif (pengubahan).


Berkata Imam al-Zuhri r.h:


“من الله تعالى الرسالة وعلى الرسول صلى الله عليه وسلم البلاغ وعلينا التسليم، أمروا أحاديث رسول الله كما جاءت”


Maksudnya: “Daripada Allah Taala datangnya Risalah (agama), dan atas Rasulullah s.a.w (kewajipan) menyampaikan dan atas kita (kewajipan) menerima; Jalankanlah (berimanlah) kepada hadis-hadis Rasulullah sebagaimana ia datang” [Aqwal al-Tabiin fi al-Tauhid wal Iman, 809].


Berkata Imam al-Khattabi r.h:


مذهب السلف في الصفات إثباتها وإجراؤها على ظاهرها ونفي الكيفية والتشبيه عنها


Maksudnya: “Mazhab al-Salaf (ASWJ) dalam sifat-sifat (allah) adalah menetapkannya dan beriman sesuai dengan zahirnya dan menafikan kaifiat dan penyerupaan (dengan makhluk)”- [Mukhtasar al-Uluww,31]


Berkata pula Imam Ibn abdil Barr r.h:


أهل السنة مجمعون على الإقرار بالصفات الواردة في الكتاب والسنة وحملها على الحقيقة لا على المجاز إلا أنهم لم يكيفوا شيئا من ذلك


Maksudnya: “Ahli Sunnah telah ijmak berikrar (beriman) dengan sifat-sifat (Allah) yang warid (sabit) dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan membawa (maknanya) dengan makna hakiki bukan majazi (kiasan) tetapi mereka tidak memberikan kaifiat (bagaimana) terhadap sifat-sifat tersebut”- [Mukhtasar al-Uluww,32]


Berdasarkan kaedah ini, semua lafaz sifat dalam al-Qur’an dan Hadis Sahih mesti difahami dengan makna yang zahir daripada bahasa Arab yang asli yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w dan para Sahabat.


Maka, apabila Allah berfirman:


الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى


Maksudnya: “Dialah al-Rahman yang bersemayam di atas Arasy (Takhta Kebesaran Allah s.w.t)”- [Taha:5]


Kalimah استوى dalam ayat itu perlu difahami dengan bahasa arab yang zahir iaitu العلو (Meninggi) dan الارتفاع (Teratas) kerana di ta’addi dengan huruf jarr على. [Rujuk al-Mukjam al-Wasit, 466].


Demikian juga sifat السمع (Mendengar) maka dalam bahasa arab maksud mendengar adalah إدراك المسموعات والأصوات” (Mendapat dengar perkara yang boleh didengari dan suara) bukan diterjemah sebagai “Mengetahui perkara-perkara yang boleh didengari” sebagaiman takwilan Asyairah kerana ini bertentangan dengan bahasa asli.


Dalil Kaedah ini sabit melalui Naqli dan Akli. Dalil Naqli adalah firman Allah s.w.t:


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ


Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran Yang dibaca Dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya”. [Yusuf:2]


Dan firman Allah s.w.t:


مِنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا


Maksudnya: ” di antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata Dalam hati): “Kami tidak akan menurut…” [al-Nisaa:46].


Dalam dalil yang pertama menunjukkan wajibnya memahami dalil sesuai dengan bahasa Arab dan dalam dalil kedua menjadi bukti laranagn mengubah makna nas daripada zahirnya kecuali dengan dalil yang kukuh pula.


Adapun dalil akli adalah Penutur nas ini sama ada al-Qur’an yang ditutrkan oleh Allah atau Hadis Nabawi yang penuturnya adalah Rasulullah s.a.w lebih mengetahui maksudnya dan mereka bertutur dengan bahasa Arab yang jelas maka perlulah difahami sesuai dengan kehendak penuturnya.


Adalah mustahil kita hendak memahami bahasa Arab melalui bahasa Yunani Greek sebagaimana yang dibuat oleh Ahli Kalam sama ada Muktazilah mahupun Asyairah.


3- Zahir Nas-nas Sifat adalah Maklum kepada Kita dari segi Makna dan Majhul dari segi Kaifiat.


Asal kaedah ini adalah ucapan para salaf dan yang masyhur adalah ucapan Imam Malik bin Anas r.h:


الاستواء غير مجهول، والكيف غير معقول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعة


Maksudnya: “Istiwa’ itu bukanlah majhul (yakni diketahui maknanya bukanlah tidak diketahui) dan caranya itu tidak diketahui oleh akal dan beriman dengannya wajib dan bertanya berkenaan (caranya) adalah bidaah” [Tafsir al-Baghawi,3/236].


Kaedah ini menjadi pembeza di antara ahli Sunnah wal Jamaah dengan al-Asyairah al-Mufawwidah (الأشاعرة المفوضة) kerana mereka ini berkata sifat Allah (sifat Khabariah) itu Majhul Makna dan Kaif.


Maka, atas kaedah ini, apabila ditanya kepada mereka apakah makna Istiwa’? maka jawabnya: “Hanya Allah sahaja yang tahu”. Adapun jika Ahli Sunnah ditanya apakah makna Istiwa maka jawabnya : “Istiwa’ itu adalah meninggi dan tertatas tetapi bagaimana caranya Allah meninggi dan teratas di atas Arasy hanya Dia jua yang Maha Mengetahui”.


Dalil Kaedah ini sabit dengan Naqli dan Akli. Dalil Naqli adalah firman Allah s.w.t:


كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ


Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami Dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang Yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” [Sod:29]


Maka, hikmah allah menurunkan al-Quran adalah untuk diteliti maknanya, jika maknanya majhul ternafilah hikmah ini. Ayat ini merupakan tamparan Allah s.w.t kepada al-Asyairah al-Mufawwidah.


Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nahl ayat 44:


وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ


Maksudnya: “dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran Yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa Yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”


Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w diperintah supaya menjelaskan al-Qur’an maka amat mustahil baginda menjelaskan al-Qur’an tanpa menjelaskan makna. Demikian juga hikmah al-Qur’an itu diturunkan supaya manusia berfirkir maka bagaimana mereka hendak berfikir jika maknanya majhul?!subhananllah.


Adapun dalil akli, adalah mustahil Allah s.w.t menurunkan kitab-Nya yang merupakan kalam-Nya dan Rasul-Nya bertutur menjelaskan kitab-Nya dan kedua-dua kalam ini merupakan hidayah (petunjuk bagi manusia) serta menjelaskan kepada mereka perkara-perkara paling mustahak untuk diketahui tetapi maknanya majhul seperti huruf-huruf hijai (abjad arab) kerana ini menisbahkan kebodohan dan kejahilan kepada Allah dan Rasul-Nya.Maha Suci Allah daripada kekejian lidah Asyairah!!


4- Maksud Zahir Nas-nas itu adalah Apa yang Segera ditangkap Oleh Akal (Zihin) dan Ia Berbeza-beza dengan Berbezanya Siaq Ayat (Gaya Bahasa Sesuatu Ayat).


Kaedah keempat ini sangat penting untuk menjelaskan syubhat ahli bidaah terhadap beberapa tafsiran salaf terhadap ayat-ayat yang disangka ayat sifat.


Perlu difahami bahawa kalimah dalam bahasa arab itu membawa maksud yang berbeza apabila dihubungkan dengan kalimah yang berbeza atau disusun dalam gaya bahasa yang berbeza.


Ambil contoh yang mudah kalimah رغب apabila dihubung dengan huruf jar في yakni (رغب في…) ia membawa makna ’suka kepada…’ tetapi apabila dihubung kepada huruf عن (رغب عن…) ia membawa maksud ‘benci akan..’.


Terdapat 3 perkara yang mempengaruhi makna sesuatu kalimah:


1-al-Siaq (السياق) yakni Gaya Bahasa

2-al-Idhafah (الإضافـــة) yakni penisbatan

3-at-Tarakib(التراكيب) yakni susunan ayat.


Contoh pengaruh al-Siaq seperti kalimah القريــــــــــة kadangkala membawa maksud kaum dan kadangkala bermaksud tempat tinggal sesuatu kaum

.

Dalam firman Allah s.w.t:


وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا


Maksudnya: ” dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; “. [al-Israa: 58].


Maksud qaryah adalah suatu kaum dan dalam firman yang lain:


إِنَّا مُهْلِكُو أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ


Maksudnya: “Sebenarnya Kami hendak membinasakan penduduk bandar ini…” [al-Ankabut:31]


Qaryah dalam ayat ini bermaksud tempat tinggal suatu kaum.


Misal Idhafah pula seperti kita berkata:


قبضت الكتاب بيدي


Maksudnya: “Saya memegang buku dengan tangan saya”


Kalimah اليد (tangan) di sini bermaksud tangan makhluk yang merupakan anggota tubuhnya kerana diidafahkan pada makhluk. Kemudian dalam al-Qur’an digunakan kalimah al-Yad dan diidafah kepada Allah s.w.t:


لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيّ

َ


Maksudnya: “..kepada apa yang Aku (Allah) cipta dengan dua tangan-Ku”


Maka apabila kita mendengar kalam yang pertama sebaik mendengar kalimah ‘tangan’ kita akan terbayang tangan mempunyai lima jari, ruas-ruas jari, kuku dan tapak tangan kerana zahir daripada idafah tangan kepada makhluk. Tetapi bila kita mendengar firman Allah s.w.t maka tersegera dalam akal kita sebaik mendengar kalimah ‘tangan’ suatu sifat Tuhan yang tidak tergambar bagaimana rupanya.


Misal Tarkib pula seperti kita berkata:


ما عندك إلا زيد


Maksudnya: “Tidak ada di sisi kamu kecuali Zaid”


Dan kata kita:


ما زيد إلا عندك


Maksudnya: “Tidaklah Zaid itu kecuali bersama kamu”


Dalam contoh pertama tarkib yang digunaan adalah قصر الصفة على الموصوف yang membawa maksud di sisi kamu hanya ada Zaid seorang sahaja. Adapun dalam tarkib kedua kita terbalikkan قصر الموصوف على الصفة bermakna Zaid hanya berada dengan kamu tetapi tidak bermakna tiada orang lain bersama kamu.


Ini merupakan keajaiban bahasa Arab oleh sebab itulah Allah s.w.t memilih untuk bertutur menggunakan bahasa Arab dalam al-Qur’an.


Oleh itu, perlu difahami bahawa yang dimaksudkan ‘Makna Zahir yang segera tergambar di fikiran’ adalah apa yang tergambar sesuai dengan siaq ayat atau idafahnya atau tarkibnya.


Kesimpulannya, setiap makna kalimah itu perlu dirujuk kepada qarinah-qarinah yang menunjuk kepada sesuatu makna.


Oleh: Ustaz Abu Rubayyi' Muhammad Asrie As-Salafiy

Sumber: http://mashoori.wordpress.com/2008/11/22/kaedah-dalil-dalil-al-asma-wa-al-sifat-i/

Tuesday, November 18, 2008

PUJIAN TERHADAP SAYYID MUHAMMAD RASYID REDHA DALAM MENYEBARKAN DAKWAH SALAFIYYAH

Terdapat segelintir kaum muslimin pada hari ini telah menuduh bahawa Syaikh Rasyid Redha seorang Aqlani-Mu'tazili dan tidak kurang juga sebahagian kaum muslimin yang mendakwa bahawa Syaikh Rasyid Redha seorang yang sangat menentang salafiyyah. Apakah dakwaan ini benar atau dusta?

Firman Allah S.W.T:

"Kelak mereka akan mengetahui siapakah yang sebenarnya amat pendusta lagi sombong" (al-Qomar : 26)


"Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong."
(an-Nahl : 23)


"(Yaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenang." (al-Mu'min : 35)


"Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka mengerjakannya, Kami katakan kepadanya: "Jadilah kamu kera yang hina" (al-A'raf : 166)

Maka di sini dibawakan kesaksian daripada beberapa Ulama' terhadap Sayyid Rasyid Redha dalam menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan. Semoga dapat diambil pelajaran dan menjaga lisan-lisan kaum jufat dari kedengkian dan kejahatan jiwanya.


1. Kitab Hayatul Albani (Perikehidupan Albani, pengaruhnya dan pujian ulama terhadapnya) oleh Muhammad Ibrahim asy-Syaibani hal. 400-401.


Berkata al-Imam al-Albany -Rahimahullah- : "Sayyid Muhammad Rasyid Redha rahimahullah mempunyai jasa yang besar terhadap dunia Islam secara umum dan khususnya kepada salafiyun. Semuanya ini kembali kepada eksistensinya sebagai seorang da'i yang mana langkahnya yang telah menyebarkan Manhaj Salaf di seluruh penjuru dunia melalui majalahnya al-Manar. Dan sungguh beliau telah berjuang di dalam menjalankan tugas ini dengan perjuangan yang sepatutnya dan selayaknya disyukuri dan semoga balasan pahala baginya yang telah tertimbun di sisi Rabb-nya. Selain sebagai seorang da'i yang mengajak kepada ittiba' Manhaj Salaf baik Aqidah, Fikrah maupun Akhlaq, beliaupun memiliki perhatian yang patut disyukuri terhadap hadits-hadits sahih dan dha'if. Hal ini merupakan suatu yang tidak tertutup/tersembunyi bagi seorang muslim yang memiliki sedikit pengetahuan tentang Islam, bahawasanya hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alahihi wa sallam adalah satu pengetahuan tentang Islam, bahawasanya hadits-hadist Rasulullah Shallallahu 'alahihi wa sallam adalah satu-satunya jalan untuk memahami kitabullah dengan pemahaman yang benar. Banyak ayat-ayat al-Qur'an yang tidak mungkin dapat difahami kecuali dengan penjelasan dari Sunnah Nabawiyah."


Kemudian beliau berkata, "Sayyid Muhammad Rasyid Redha Rahimahullah memiliki perhatian yang besar terhadap Ilmu Hadis, hal ini dilakukan sebatas kemampuan beliau secara ilmiah, sosial dan politik. Maka dengan banyaknya sanad-sanad hadis lemah yang diingatkan oleh beliau melalui majalahnya al-Manar yang merupakan benih yang baik, menjadikan kaum Muslimin mengarahkan perhatian mereka kepada hadis-hadis Rasulullah. Dan manakala pengakuan suatu keutamaan/jasa oleh ahlul fadhl (ahli yang utama) terhadap mereka yang memiliki jasa/keutamaan merupakan suatu haq (kebenaran), maka pada kesempatan yang baik ini saya pun menulis kalimah ini agar dapat dibaca dan diketahui oleh siapa saja yang sampai kepadanya tulisan ini bahwasanya -berkat kurnia Allah- aku (Albani), beserta apa yang aku berada di dalamnya mulai dari berittijah (menuju) kepada pemahaman salafiyyah hingga memisahkan hadis-hadis sahih dan dha'if, semuanya itu jasa dan keutamaannya yang pertama, kembali kepada Sayyid Muhammad Rasyid Redha rahimahullah melalui beberapa edisinya majalah al-Manar yang aku mengenalnya pada awal aku mulai kegiatanku di dalam menuntut ilmu."


2. Kitab "Dakwah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan pengaruhnya terhadap gerakan Islam moden" karya Syaikh Sholahudin Maqbul Ahmad, yang dibaca kembali oleh Syaikh Rabi' bin Hadi al-Madkhaly hal. 59-63, sebagai berikut :


"Majalah al-Manar dan Peranannya di dalam Menyebarkan Pemahaman Salafiyyah"

Sayyid Muhammad Rasyid Redha rahimahullah, pendiri majalah al-Manar tahun 1315H belajar tentang kebebasan berpendapat dan berfikir dari al-Afghani dan Muhammad Abduh, hal ini mendorong beliau untuk mempelajari kitab-kitab Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnul Qoyyim al-Jauziyyah serta tokoh-tokoh pendukung mereka seperti Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Sementara waktu itu, membaca buku-buku tersebut dilarang di lingkungan beliau. Kebetulan sekali tulisan-tulisan mereka sesuai dengan keinginan beliau yang luhur untuk mengajak ummat agar kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah Shallallahu 'alahihi wa sallam. Maka mulalah beliau mengarah kepada pemahaman salaf di dalam beraqidah dan beramal, dan membebaskan diri beliau dari penyimpangan-penyimpangan Syaikhnya Muhammad Abduh.


Beliau (Syaikh Rasyid Redha) berkata, "Bahwasanya setelah aku bebas berbuat sepeninggal beliau (Muhammad Abduh), akupun menyelisihi manhajnya (rahimahullah) dengan memperluas dari hadis-hadis sahih apa-apa yang ada kaitannya dengan suatu ayat baik dalam penafsirannya atau pengambilan hukum darinya." (Tafsir al-Manar I/16 Muqoddimah).


Al-Allamah Muhammad Kurdi Ali berkata : "beliau (Rasyid Redha) mendirikan majalah al-Manar dan menjadikan temanya yang pertama 'reformasi islam', beliau meninggalkan sufisme dan kembali ke manhaj salaf, dalam memainkan peranan ini, beliau termasuk orang yang banyak mengambil ilmu dari kitab-kitab salaf dan menukil dari mereka serta berjalan di atas petunjuk melalui pendapat-pendapat mereka seperti Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnul Qoyim al-Jauziyah, maka tersebarlah majalah al-Manar di seantero dunia Islam, diantara mereka ada yang pro dan kontra dan yang paling banyak kontranya adalah para syaikh dari al-Azhar. Sebagaimana beliaupun menulis dalam masalah politik. Dan kerana terdorong oleh keikhlasan dan ghairah terhadap kemaslahatan jama'ah kaum muslimin, beliau dengan terang-terangan mengingkari dengan keras para ulama' amatiran dan para mubtadi'."


3. Syaikh Ahmad bin Hajar al-Buthami dalam kitabnya "Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab" berkata :


"Benar-benar dakwah yang diberkahi ini (da'wah tauhid yang dibawa oleh Syaikh Muhammad Abdul Wahhab) telah tersebar di Hadramaut dan Jawa dengan perantara Syaikh Rasyid Ridha dan didirikannya Jum'iyyah Al-Irsyad di sana yang mengajak kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah, memberantas bid'ah dan khurafat, selaras dengan minda "Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab."


4. Dr. Abdurrahman al-Furyawa'i berkata : "Dengan menelaah tulisan-tulisan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, Ibnul Qoyim, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan hubungannya dengan ulama salafiyyah di Nejad, Hijjaz dan India, telah memperngaruhi keperibadiannya dan mendorong semangat beliau untuk berdakwah kepada pemahaman salaf. Membela da'wah salafiyah dan para imam-imamnya serta memberantas I'tiqod bid'ah, syirk dan tasawwuf. Sebagaimana hal ini ketara dengan jelas melalui tulisan-tulisan beliau dalam mendukung gerakan Wahabiyah, membela negeri tauhid (Saudi Arabia) dan penguasanya Raja Abdul Aziz Alu Su'ud serta menyebarkan kitab "Menjaga manusia dari godaan Syaikh Dahlan" yang ditulis oleh al-Allamah Muhamamd basyir as-Sahwani yang diberi kata pengantar dan ta'liq oleh beliau.


5. Dr. Muhammad bin Abdullah Alu Salman berkata : "Kemudian muncul Sayyid Muhammad Rasyid Redha tahun 1345H. yang hijrah dari Syam ke Mesir pada tahun 1315H, beliau dianggap sebagai sebuah keperibadian salafi, beliau adalah salah satu murid al-Afghani dan Muhammad Abduh. Dan adalah benar beliau sebagai penopang dan da'i terbesar bagi gerakan salafiyyah di Mesir khususnya dan di negeri-negeri Arab pada umumnya. Beliau telah menyusun banyak kitab sebagai penunjang da'wah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, mendirikan majalah al-Manar di Mesir pada tahun 1315H yang terus terbit sampai wafatnya tahun 1354/1935M. Demikan pula percetakan al-Manar di Mesir telah banyak mencetak tulisan-tulisan ualam penyebar da'wah salafiyyah dari Nejad. Sayyid Muhammad Rasyid Redha dengan kegiatan salafinya telah mencapai hasil yang besar di Mesir dan dunia Islam lainnya, sehingga munculnya banyak pengikut yang menopang da'wah salafiyyah bertebaran dengan munculnya organisasi-organisasi yang berwala' dan mengikuti da'wah salafiyyah seperti Jum'iyyah Ansharus Sunnah di Kairo Mesir, tahun 1345H yang didirikan oleh al-Allamah Syaikh Muhamad Hamid al-Faqihi, seorang murid syaikh Muhammad Rasyid Ridha."


6. Syaikh Muhammad al-Maghrawi berkata, "Syaikh Muhammad Rasyid Redha benar-benar telah menampakkan Madzhab salaf yang baik, terlihat dari apa-apa yang beliau kumpulkan dalam tafsirnya al-Manar, beliau menetapkan mazhab salafus soleh di dalam kebanyakan ayat sifat dan membelanya. Walaupun terkadang beliau terjerumus ke dalam ta'wil dalam beberapa ayat, namun beliau tetap dianggap sebagai orang yang lebih banyak mendapatkan shibghoh (celupan) salafiyah. Pujian beliau terhadap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, Muhammad Abdul Wahhab dan pengikut manhaj mereka berdua di dalam dakwah dan aqidah seperti Jamaludin al-Qoshimi, semuanya itu menunjukkan kekaguman beliau terhadap madzhab salaf,"


7. Dari Kitab 'Aqidah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab as-Salafiyah wa atsaruha fil 'alamil Islami' (Aqidah Syaikh Muhammad Abdul Wahhab salafiyah dan dampaknya bagi dunia Islam) oleh Syaikh Sholih bin Abdullah al'Abud, hal. 683


"..Sehingga Allah Ta'ala memberikan kesempatan untuk kembali kepada Aqidah Salafus Soleh melalui raja Abdul Aziz bin Abdirrahman al-Faishol. Pada saat itu, kami mendapatkan percetakan al-Manar di Mesir serta pemiliknya Sayyid Muhammad Rasyid Redha, menerima kebaikan dan mempunyai hubungan kerjasama dengan raja Abdul Aziz di dalam menyebarkluaskan tulisan-tulisan dan atsar-atsar ulama da'wah yang dipimpin oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Sebagai contoh adalah kitab Majmu'ah Rasa`il dan Masa`il an-Najdiyyah (4 jilid besar) dan kitab-kitab para salafus soleh di bidang fiqh, tafsir dan hadis yang mencapai jumlah besar, dimana beliau (Imam Muhammad bin Abdul Wahhab) mempunyai pengaruh sangat besar dalam menyatukan kaum muslimin dan menyebarkan al-Haq yang telah hilang melaui tulisan-tulisan salafiyyah tersebut. Sementara Syaikh Muhammad Rasyid Ridha berkhidmah dengan memberi komentar (ta'liq) dan mengawasi percetakan/penerbitannya. Beliau juga memiliki sifat-sifat terpuji, tulisan-tulisan yang adil dan penjelasan-penjelasan tentang kebenaran al-Haq dalam majalahnya yang besar al-Manar, yang terbit selama bertahun tahun, dan beliau menyebarkan semua itu sebagai suatu pembelaan yang mulia terhadap da'wah salafus soleh, dan tidaklah beliau terdorong untuk membelanya kecuali lantaran terpengaruh oleh Aqidah Salafus Soleh dan pandangan beliau akan kebangkitan muslimin jika terbangun dari kelalaian mereka, agar kembali kepada agama mereka dengan berpegang kepada aqidah yang selamat ini. Dan diantara tulisan-tulisan beliau, saya menemukan beberapa risalah yang telah diterbitkan dalam majalah al-Manar dan surat kabar al-Ahram. Risalah-risalah tersebut dikumpulkan dan diterbitkan dengan judul al-Wahabiyun wal Hijjaz diterbitkan pertama kali pada 1344H. dan sekarang menjadi sebuah kitab dengan memakai judul tersebut dan ditambahkan beberapa pembahasan yang menerangkan dengan jelas hakikat aqidah salafiyyah sebagiamana tulisan beliau, Syahadatul Tarikh lil Wahabiyin."


http://wahabiah.blogspot.com


Friday, November 14, 2008

BERHATI-HATI TERHADAP BEBERAPA FAHAMAN BID'AH YANG MENYELEWENGKAN AQIDAH UMAT ISLAM

Dengan masuknya pengaruh konsep falsafah kepada kebanyakan umat Islam, maka banyaklah penyimpangan-penyimpangan yang dikemukakan oleh para ahli ilmu kalam (ahlul kalam) dan golongan sufi. Banyak di antara penyimpangan-penyimpangan tersebut dilakukan oleh pembuat bid'ah untuk mempertahankan hujah-hujah palsu mereka dengan memperkenalkan faham-faham tertentu.

Kebanyakan siswazah dari universiti-universiti yang ada di dunia Islam mahupun di luar dunia Islam pada masa kita sekarang ini, telah terpengaruh oleh guru-guru mereka yang berpegang pada fahaman Mu'tazilah, Asy'ariyah atau Maturidiyah dalam konsep 'aqidah dan manhaj. Kesemua fahaman tersebut mendakwa bahawa akal merupakan asas bagi pegangan kepercayaan mereka. Beberapa fahaman pula mengikut kaedah gaya Barat di mana mereka mengajar dogma berbeza dalam bentuk akedemik yang sesungguhnya. Cuma ada terlalu sedikit tempat yang mengajar konsep ad-din yang benar dan lurus mengenai sifat-sifat dan nama-nama Allah, al-Qur'an, sunnah dan cara hidup golongan salaf. Segala puji hanya bagi Dia Subhanahu wa Ta'ala, yang telah membolehkan saudara-saudara semuslim kita untuk berpegang dengan kepada 'aqidah dan manhaj yang benar dan menyebarkan kebenaran tersebut ke banyak bahagian-bahagian dunia Islam, menjelaskan penyimpangan-penyimpangan falsafah, menghapuskan bid'ah dan menegakkan sunnah.

Sebahagian daripada penyimpangan yang dilakukan oleh orang-orang yang menentang jalan para salaf dalam memahami ad-din berbohong apabila menggunakan istilah-istilah tertentu dalam hal untuk menolak dan (atau) menyimpangkan sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi.

Berikut adalah perbincangan terperinci mengenai istilah-istilah tersebut:

(1.) Istilah: Hayyiz حَيِّز

Berkaitan dengan golongan ahli-ahli 'ilm al-kalam, mereka memberi maksud hayyiz dengan: ''Bahagian ruang khayalan yang diduduki oleh suatu benda yang mempunyai hadnya, yang berupa tubuh; atau diduduki oleh suatu benda yang tiada hadnya, berupa tubuh, berupa satu unit atau atom benda yang tidak dapat dibahagikan.'' Apa-apa yang diarahkan padanya atau menuju ke arahnya adalah mutahayyiz (iaitu yang menempati hayyiz), meskipun keterangan seperti ini tidak memiliki dasar ilmu bahasa. Menurut istilah mereka, ''tubuh'' tersebut adalah sesuatu yang boleh ditujui oleh seseorang atau menuju seseorang dan oleh kerana itu, ia adalah mutahayyiz. Dengan demikian, langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antaranya adalah termasuk mutahayyiz.

Perbincangan ini sangat penting dikemukakan ke hadapan umat Islam seluruhnya agar kita dapat memahami matlamatyang diinginkan di sebalik penggunaan istilah seperti itu. Jadi, apabila kita mendengar dan (atau) membaca sesuatu istilah umum/baru yang menolak/menafikan bahawa Allah bukan mutahayyiz, maka tidak harus bagi kita menolak atau mengakuinya sehinggalah kita tahu apakah maksud tersembunyi yang ada disebalik penggunaan istilah kebid'ahan tersebut. Secara praktiknya hal ini diterjemahkan seperti berikut:

1. Katakanlah seseorang itu mengatakan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak boleh diertikan sebagai mutahayyiz. Jika sekiranya dia faham istilah mutahayyiz menurut pengertian ilmu bahasa (iaitu sesuatu yang dikelilingi oleh sesuatu benda wujud), maka hal ini benar, kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala memang sesungguhnya tidak diliputi oleh sesuatu, sedangkan Dia Subhanahu wa Ta'ala terbeza dan terpisah secara total daripada makhlukNya. Dia Maha Tinggi dan kursiNya meliputi langit dan bumi! Dia Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّماوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ


''Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kananNya.'' [Az-Zumar 39: 67]

2. Disamping itu, secara bahasa hayyiz tidak terbatas bagi benda luaran yang terpisah yang mengandungi atau meliputi sesuatu yang lain. Ia juga merujuk kepada batas tertentu atau bahagian sisi suatu kewujudan itu sendiri, dan dengan demikian ia tidak berada di luar. Jadi, jika seseorang mengatakan bahawa Allah yang berada di atas alam ini ada di dalam sesuatu yang wujud sehingga tidak termasuk mempunyai Zat, maka dia dusta. Sesungguhnya apa-apa yang di luar dari Zat Allah Yang Maha Tinggi terbeza dan terpisah dari ala mini.

3. Jika seseorang mengatakan, ''Saya mengakui istilah hayyiz itu memberi maksud bahawa Allah berbeza dan mengatasi segala makhluk, tidak bersatu dengan makhluk.'' Maka kita katakana bahawa maksud tersebut adalah benar dan diperkui oleh al-Qur'an dan sunnah yang sahih. Namun, mengakui istilah tersebut merupakan bid'ah yang diada-adakan.

(2.) Istilah: Jihah جهة

Para ulama ilmu kalam (ahli falsafah) dan ahlu ta'til menyangkal bahawa Allah berada di atas langit dan mengatakan bahawa Allah bukan mutahayyiz berdasarkan definisi mereka bahawa mutahayyiz itu adalah suatu ''arah'' atau suatu ''tubuh''. Mereka mendakwa bahawa mengakui suatu arah (jihah) menjadikan Allah disertai oleh makhluk. Sekali lagi kita menjelaskan kesamaran tersebut menurut cara salafus soleh memberikan penjelasannya. Istilah ''arah'' ini boleh bermaksud sesuatu yang wujud (maujud) atau tidak wujud (ma'dum). Ada dan tiada adalah keadaan yang relatif bagi ciptaan, sedangkan Ada pula relatif untuk Khaliq dan makhluk. Jadi, di mana saja terdapat makhluk, maka jihah (arah) itu ada disebabkan adanya, dan dengan ketiadaannya maka ''arah'' itu sesuatu yang tiada. Jadi, barangsiapa mengatakan bahawa Allah ada di dalam suatu jihah (arah), maka kita menanyakannya, ''Apakah anda maksudkan bahawa Dia Subhanahu wa Ta'ala ada dalam suatu jihah yang dengannya ada sesuatu selain Dia, seperti 'arasy, langit, dan lain-lain makhluk? Atau yang anda maksudkan ialah Dia berada pada suatu arah di mana tidak ada sesuatu yang lain selain Dia? (iaitu, ''di atas langit'' di mana tiada makhluk di sana)?'' Istilah ''arah'' itu dimaksudkan sama ada sebagai sesuatu yang wujud selain allah, maka sebab itu ia mestilah sesuatu yang dicipta (makhluk, seperti 'arasy, langit dan lain-lain) atau ia dimaksudkan juga sebagai ''di atas para makhluk'' di mana di sana tiada sesuatu yang wujud melainkan Allah Yang maha Tinggi. Istilah yang kedua ini boleh diterima maksudnya kerana Khaliq itu terbeza dan terpisah dari makhluk. Dia Subhanahu wa Ta'ala bukan sebahagian daripada alam ciptaan ini dan bukan pula alam itu sebahagian daripadaNya. Oleh kerana itu, barangsiapa yang:

  1. Menafikan ketinggian ('Uluw) berdasarkan ke atas penyangkalannya terhadap arah (di atas makhluk), maka pegangannya salah, sedangkan mengakuinya menurut para salaf mengakui maksudnya yang betul, maka itulah yang benar.

  1. Menggunakan istilah jihah untuk mengertikan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala ada di atas langit dan Istiwa' di atas 'arasyNya menurut cara yang sesuai dengan keagunganNya, dan bahawa Dia berbeza (tidak serupa) dari makhlukNya, maka hal itu adalah benar. Namun, golongan salaf lebih suka agar menghindarkan diri dari menggunakan istilah-istilah sedemikian dan agar kaum muslimin tetap berpegang pada istilah-istilah dari nash-nash al-Qur'an dan sunnah. Tetapi oleh kerana para pelaku bid'ah menggunakan istilah-istilah tersebut menurut pemahaman mereka, maka seseorang itu haruslah menjelaskan kepada umat Islam tentang bahaya syubhat (kesamaran) yang didapati daripada penyelewengan mereka.

(3.) Istilah: Jisim جسم

Kesamaran dan penyelewengan juga terdapat pada penggunaan istilah umum jism. Ada dua makna yang betul dalam bahasa Arab bagi istilah ini, iaitu:


  1. Tubuh atau suatu yang sangat besar. Makna ini menunjukkan sesuatu yang digambarkan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

وَإِذَا رَأَيْتَهُم تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُم


''Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum.'' [Al-Munafiquun 63: 4]


  1. Ia menunjukkan darjatnya, seperti darjat kebesaran, dan lain-lain lagi. Seperti anda mengatakan ''Benda ini lebih besar, sangat besar daripada sekian dan sekian, atau yang sangat besar…''

Ahli-ahli falsafah dan golongan yang suka menta'til telah mengemukakan pelbagai makna yang berbeza bagi istilah ini untuk disesuaikan dengan pemahaman bid'ah mereka. Makna istilah jism menjadi lebih umum daripada makna bahasanya. Benda-benda seperti udara , nyala api, nafas, dan lain-lain dipanggil ajsam (masdar bagi kata jism), yang merupakan sesuatu yang tidak diketahui yang sebenarnya dalam bahasa arab. Mereka menganggap berikut ini sebagai jism:


    1. Segala sesuatu yang dicita-citakan.
    2. Apa-apa yang secara fizikal dianggap ada ''di sini'' atau ''di sana''.
    3. Apa saja benda yang wujud.
    4. Yang ada dengan sendirinya.
    5. Suatu benda yang boleh panjang, bernafas dan tebal.
    6. Yang tergubah, terdiri atau disatukan; Sebahagian orang mengatakan bahawa ia terdiri dari al-jawahir al-mufradah (unit benda atau atom yang tak terbahagi), sebagaimana dakwaan kebanyakan ahli falsafah. Sedangkan, sebahagian besar ahli-ahli falsafah tersebut menyatakan ia adalah gubahan bentuk dan benda. Sebahagian mengatakan ia bukan terdiri daripada al-jawahir al-mufradah dan bukan pula dari benda dan bentuk.

Hakikatnya istilah jism menjadi suatu istilah yang bid'ah walaupun maknanya betul, dan kita harus waspada terhadap tujuan penggunaannya.

Penyangkalan atau pengakuan bahawa Allah Ta'ala merupakan jism itu sendiri adalah bid'ah kerana nash tidak menggunakan istilah ini untuk tujuan persaksian atau penyangkalan. Oleh kerana itu, apabila seseorang mengatakan bahawa Allah merupakan suatu jism, atau bukan suatu jism, maka kita harus bertanyakan padanya mengenai maksud yang diinginkannya itu, sama ada termasuk dalam persaksiannya atau penyangkalannya. Jika makna tersebut bersesuaian dengan nash al-Quran dan as-Sunnah yang sahih, maka boleh diterima, tetapi penggunaan istilah tersebut ditolak kerana ia bid'ah, disebabkan seseorang itu mesti berpegang kepada nash-nash dari firman Allah dan sabda RasulNya. Disamping itu, jika maknanya bertentangan dengan makna yang ada pada nash wahyu, maka ia juga ditolak bersama dengan penggunaan istilah tersebut. Hal ini disebabkan nash-nash wahyu mengesahkan semua sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah Ta'ala dan meninggikan ZatNya di atas sekalian bentuk kekurangan dan kelemahan. Oleh itu:

  1. Orang yang menginginkan makna bahasa bagi jism (iaitu ''tubuh'' atau sesuatu yang sangat besar) dan disifatkan kepada Allah Ta'ala maka sam'i (bukti-bukti nash) dan aqal (rasional) menolak makna sedemikian, dan Allah Maha Tinggi di atas kelemahan ini.

  1. Ahli-ahli falsafah yang terpengaruh dengan filosof Yunani berbantahan mengenai sama ada jism itu murakkab (sebatian) atau bukan. Ramai di kalangan mereka menganggap bahawa sesungguhnya langit tidak terdiri dari benda dan bentuk. Jadi, bagaimanaa dapat dikatakan bahawa Allah Yang Maha Tinggi dan jauh dari segala kekurangan dan ketidaksempurnaan itu ''terdiri'' daripada unit benda-benda yang tak terbahagi (atom) atau benda dan bentuk?

  1. Orang yang menolak pensifatan “penubuhan” bagi Allah itu benar, namun dia perlu menyatakan penolakannya menurut cara yang menjelaskan tujuannya. Jadi, kita katakan, “Apakah anda bermaksud bahawa mengakui sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah tidak menjadikan ZatNya murakkab (gabungan yang terdiri dari penyatauan bahagian-bahagian)?” Jika dia mengatakan, “Ya,” maka pendapatnya sesuai dengan nash-nash wahyu. Allah maha Esa sesuai dengan semua sifat-sifat kesempurnaan. Oleh kerana itu, bila nash mengakui/mengesahkan bahawa Allah ada di atas langit istiwa’ (bersemayam) di atas ‘ArasyNya, bahawa Dia Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Mendengar, akan dapat dilihat oleh orang-orang mukmin di akhirat, dan seterusnya, maka ini tidak membuktikan bahawa Dia “tergabung dari beberapa unit individu sebagai suatu “tubuh” atau dari benda yang pelbagai bentuknya!” Sesungguhnya Allah Ta’ala sangat jauh mengatasi kekurangan dan kelemahan tersebut.

  1. Jika seseorang menyangkal bahawa Zat Allah seharusnya layak dengan sifat-sifat sempurna berdasarkan atas dugaannya semata-mata, maka ini menandakan bahawa Allah murakkab, “terdiri” atau “tergabung”, maka anggapannya itu salah sama sekali dan penyangkalannya itu bukan tanzih (meninggikan Allah di atas segala bentuk ketidaksempurnaan). Pemahaman ini tidak betul menurut hokum naql dan akal. Sudah merupakan hakikat bahawa tiada Zat tanpa sifat. Allah adalah al-‘alim (Maha Mengetahui) yang mempunyai ilmu yang murupakan sifatNya yang tertegak bersama ZatNya. Ilmu Allah bukan ZatNya (seperti dakwaan tukang bid’ah dan ahli falsafah). Sebagai tambahan, ilmu sebagai sifat yang layak bagi Yang Maha Esa (Allah) tidak berbeza dan terpisah dari Allah, menurut pengertian ini, ilmuNya bukan lain dariNya. Oleh sebab Allah layak dengan segala kesempurnaan dan Dia semestinya ada, Dia sama sekali tidak memerlukan sesuatu untuk “menyempurnakan” keEsaanNya. Contohnya, golongan Mu’tazilah yang menolak bahawa sifat itu mempunyai hubungan yang perlu bagi Zat, merendahkan Allah Ta’ala sehingga menjadi suatu konsep abstrak. Dan bagi Allah lah nama-nama dan sifat-sifat yang Maha agung dan indah.

  1. Dakwaan yang dikemukakan oleh ahli-ahli falsafah bahawa jism tersebut adalah murakkab dari kumpulan atom yang tidak dapat terbahagi itu sangat meragukan dari sudut penemuan saintifik. Kita tahu bahawa suatu “tubuh” mudah terpecah menjadi molekul-molekul dan, lalu menjadi atom-atom. Dalam proses tersebut, kualiti tubuh tersebut “hilang” dan menjadi suatu yang lain. Contohnya air mengandungi dua atom hidrogen dan satu atom oksigen. Satu molekul air boleh terpecah menjadi hidrogen dan oksigen, setiap satunya mempunyai cirri-ciri sifat yang berbeza dari air. Dalam sebuah reaktor nuklear, perpecahan komponen-komponen atom yang bersambung, terutamanya elektron, proton, neutron, positron... berubah menjadi tenaga sangat penting (contohnya pecahan terkawal dari Uranium-235), yang dipanggil tenaga nuklear. Pecahan yang tidak terkawal itu menghasilkan bom nuklear yang membinasakan.

Nota: Ibnu Taimiyyah berkata: “(Jika seseorang bertanya) Apakah jism itu sentiasa boleh terbahagikan? (Maka jawapannya ialah) “Tidak, ia tidak dapat terbahagi sentiasa.” Orang yang mengatakan bahawa ia terpecah menjadi unit-unit yang sebaliknya, yang tidak menerima pecahan adalah salah, kerana setelah ia berterusan membahagi ia mengalami perubahan.”

  1. Orang yang mendakwa bahawa jism bermakna sesuatu yang mudah terpecah, terbahagi atau hancur, maka Allah sangat jauh daripada kekurangan dan kelemahan tersebut, apatah lagi dakwaan yang mangatakan bahawa Dia merupakan suatu yang terbentuk semula! Barangsiapa mensifatkan istilah ini menurut maksud sedemikian maka dia kufur. Sesungguhnya, salah satu dari asma’ Allah ialah “الصمد maknanya, “Yang layak dengan segala sifat kesempurnaan dan yang menjadi tempat bergantung sekalian makhluk.”
  2. Orang yang mengatakan bahawa jism itu berkait pada apa saja yang wujud atau bertapak pada zatnya sendiri dan tidak bermaksud bahawa ia murakkab mensifatkan nama ini kepada Allah sebagai suatu kewujudan dan bertapak pada ZatNya. Mereka dipanggil golongan mujassimah (yang mensifatkan istilah jisim ke atas Allah) Namun, mereka menyangkal bahawa Dia murakkab. Mereka yang beranggapan bahawa istilah jism itu berkait dengan apa apa yang murakkab menolak dakwaan golongan Mujassimah. Dari segi makna bahasa, kedua-dua aspek bagi istilah jism ini tidak mempunyai dasarnya.[1] Ia tetap harus disebutkan bahawa meskipun penggunaan istilah jism untuk mentakrifkan apa yang ada pada ZatNya dan wujud padanya, tetapi maknanya ialah Allah wujud dan sedia ada pada ZatNya, maka makna tersebut benar. Pengakuan ini bukan suatu perbuatan tajsim (mensifatkan Allah sebagai suatu “tubuh”). Maka perhatikanlah manfaat ini.

Orang yang bermaksud menggunakan istilah jism sebagai sifat yang layak, sedia ada pada zatNya, terbeza dan terpisah dari segala sesuatu yang lain, boleh menuju padanya, dan bahawa boleh mengangkat tangan ke arahNya berdoa, maka al-Quran dan as-Sunnah mengesahkan bahawa Allah Ta’ala layak dengan sifat-sifat tertinggi: Ilmu, Kuasa, Kasih sayang, Wajah, Tangan, Dia bersemayam di atas ‘arasyNya yang ada di atas tujuh lapisan langit, Dia di atas makhalukNya, dan kepadaNya naik segala amal yang baik dan juga para malaikat, dan seterusnya. Sesungguhnya manusia terbaik yang paling tahu tentang Allah ialah Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam telah menyatakan di depan ribuan para sahabat pada peristiwa Haji Wada’ bahawa baginda telah menyampaikan risalah ad-din, lalu berkata: “Ya Allah, saksikanlah, Ya Allah, saksikanlah, baginda mengucapkannya tiga kali.” Tentulah baginda menunjukkan ke arah Yang Esa yang ada di atas langit, iaitu Allah Yang Kekal dan sedia ada pada ZatNya. Jadi, kalau inilah pemahaman anda mengenai jism, maka maknanya telah pun diperakui dalam al-Quran dan as-Sunnah tetapi tanpa mensifatkan Allah dengan menggunakan istilah yang syubhat dan bid’ah itu. Bahkan ilmu bahasa tidak dapat membantu mereka yang mengakui makna-makna ini kepada Allah Ta’ala kerana yang layak dengan sifat-sifat ini tidak dipanggil jism.

Akhirnya, umat Islam haruslah berhati-hati apabila dia membaca atau mendengar dari seseorang, “Allah bukan jism (tubuh) atau benda yang zahir” kerana penyangkalan ini boleh menjadikan kita menyangkal sebahagian behkan semua sifat-sifat Allah. Jadi, perhatikanlah apa maksudnya!

4. Pernyataan: “Allah bukan merupakan suatu bentuk “fizikal”!

Anda juga boleh menemui dan mendengar pernyataan-pernyataan yang menyangkal bahawa Allah itu “fizikal” (badan)! Sekali lagi, hendaklah kita mengkaji maksudnya. Kerana mereka yang melakukan syubhat penyangkalan ini kerap menolak as-sifat khabariyyah yang kita ketahui melalui al-Quran dan sunnah, seperti Wajah, Tangan, Jari-jari Allah, dan seterusnya. Kita mengakui sifat-sifat tersebut sebagaimana RasulNya Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam mensifatkan padaNya. Pengakuan ini sama sekali tidak menyerupakan Allah dengan makhlukNya, kerana tiada sesuatu pun yang serupa dengan Dia. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang paling tahu tentang Allah membenarkan sifat-sifat ini kepadaNya. Lalu, apakah ini menunjukkan bahawa nabi itu musyabbih (yang menyerupakan Allah dengan makhlukNya)? Tidak sama sekali. Dengan itu, tanzih (menyatakan Allah sangat jauh dari kekurangan dan ketidaksempurnaan) ialah dengan mengakui bahawa Allah dan RasulNya membenarkan sifat-sifat tertinggi yang layak bagi Allahtanpa tamstil (menyerupakan, menyamakan), tahrif (menyimpangkan makna zahirnya), takyif (menanyakan bagaimana), dan ta’til (menolak atau menafikan sifat-sifat tersebut).

(5.) Istilah Makaan مكان

Anda kerap baca atau dengar bahawa Allah itu tidak berada di satu tempat (makaan). Jadi, apa yang benar mengenai istilah ini? Pertama, kita hendaklah ingat bahawa istilah makaan (tempat) boleh memberi makna seperti berikut:

1. Yang memagari suatu benda dan menutupinya pula dari bahagian-bahagian sisinya.

2. Yang ada di atas suatu benda tempat ia bergantung, seperti seorang lelaki berada di atas bumbung.

3. Yang suatu benda ada di atasnya tetapi tidak diperlukan, seperti burung-burung di atas bumi, langit di atas atmosfera, dan para malaikat di atas bumi dan udara.

4. Yang berada di atas langit (alam) ini meskipun bukan sesuatu yang wujud.

Makna yang terakhir ini bersetuju dengan ‘uluw Allah berada di atas langit dan Dia bersemayam (istiwa’) di atas ‘arasyNya. Penyair terkenal bangsa arab dan salah seorang sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam iaitu Hasan bin Thabit radiallahu ‘anhu menyebutkan dalam salah satu syairnya:

وكان مكان الله أعلى وأعظما تعالى علوا فوق عرش إلهنا

“Yang sangat Tinggi di dalam ketinggianNya di atas ‘arasyNya itulah Ilah kita, Dan makaan (tempat) Allah itu sesungguhnya yang tertinggi di atas segala sesuatu dan Maha Besar.”

Sesungguhnya Hasan Radiallahu a’nhu membenarkan tempat yang ada di atas langit di mana di sana tidak ada makhluk yang wujud. Dia mengetahui sebagaimana pengetahuan para sahabat yang lain, bahawa Allah jauh dari semua kekurangan, dan sesungguhnya ‘arasy, seperti juga segala makhluk yang selain daripadaNya bergantung kepadaNya, dan tiada sesuatu meliputiNya Subhanahu wa Ta’ala. Jadi jika seseorang menyangkal bahawa Allah berada di suatu tempat dalam pengertian bahawa Allah berada di suatu tempat dalam pengertian bahawa Allah terkandung dalam sesuatu yang lain yang Dia memerlukannya, maka Allah sesungguhnya jauh dari hal ini dan semua ketidaksempurnaan. Oleh kerana itu, kita katakan bahawa Allah berada di atas langit, mengatasi segala makhluk, bersemayam di atas ‘arasyNya, terbeza dan terpisah dari makhlukNya. Sama ada apakah tukang bid’ah akan faham atau tidak daripada penjelasan mengenai Dia berada di suatu tempat, maka hal itu tidak ada kaitannya.

Jika orang yang mengatakan bahawa Allah tidak berada di suatu tempat dengan maksud dia menafikan bahawa Allah dikelilingi di suatu tempat atau Dia memerlukan suatu tempat, maka penyangkalan menurut pengertian ini adalah benar dan dipersetujui menurut manhaj golongan salaf.

Namun, sekiranya penyangkalan tersebut dimaksudkan untuk menafikan hakikat bahawa Allah berada di atas langit dan mengatasi makhlukNya, maka hal itu adalah penyimpangan.

Para tukang bid’ah dari kalangan ahli-ahli falsafah dan orang-orang ahli ta’til mengemukakan takrif mereka sendiri mengenai istilah-istilah di atas agar sesuai dengan pemahaman sesat mereka. Semoga Allah yang layak dengan segala kesempurnaan memelihara kaum muslimin dari terjerumus ke segala jalan dan cara penyesatan.

Sumber:

Judul buku: Tafsiru Ayatil Kursi, Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin

Penyusun: Dr. Salih al-Salih

Terjemahan: oleh Siti Sujinah Sarnap, Al-Faqir Ibn Hussin, hal 94-109



[1] Karya Ibn Taimiyyah Syarah Hadis An-Nuzul (Riyadh, Arab Saudi: Darul ‘Asimah, 1414/1993), ms. 250-251 dan Al-Jawabus-Sahih Liman Baddala Dinal-Masih (Riyadh, Arab Saudi: Darul-‘Asimah, 1414/1993), jil. 3, ms. 432-433.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails