Khamis, 20 Disember 2007

RISALAH: DIMANA ALLAH?

[Risalah ini di petik daripada risalah nidaaul had Institut pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) yang di sediakan oleh Muhammad Asri bin Sobrie sekarang bertugas di Jabatan Mufti Perlis, beliau adalah seorang pelajar lepasan IPTIPs 2007]

Alhamdulillah[1], segala puji bagi Allah I yang telah memberi peluang kepada pihak Exco Dakwah & Tarbiah untuk meneruskan penerbitan risalah Nidaaul Haq ini dengan menjelaskan persoalan-persoalan semasa berdasarkan pandangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Persoalan yang ingin dibangkitkan adalah Di manakah Allah? Persoalan ini mungkin menggoncang pemikiran para pendengarnya yang kurang mendalami ilmu aqidah. Ini kerana sejak kecil kita tidak didedahkan dengan persoalan-persoalan seperti ini. Namun ketahuilah sahabat-sahabatku bahawa persoalan ini bukanlah bid’ah dalam agama bahkan soalan ini telah digunakan oleh Rasulullah r untuk menentukan kesahihan iman dan aqidah seseorang yang akan kami datangkan dalilnya nanti.

Firman Allah I:

(yaitu) Tuhan yang Maha Pemurah. yang bersemayam di atas 'Arsy. [Surah Taha ayat 5]

Dalam ayat di atas Allah dengan jelas telah menetapkan sifat bersemayam atau istiwa’ pada zatNya yang agung. Istiwa’ dalam bahasa Arab adalah Al-‘Uluww dan Al-Irtifa’العلو والارتفاع) ( maksud Al-‘Arsy pulak adalah ma’ruf iaitu Singgahsana dan Takhta kebesaran. Al-‘Arsy adalah ‘alam (makhluk) yang paling besar dan agung yang berada di langit ke tujuh di atas Syurga Al-Firdaus. Sabda Rasulullah r:

“Daripada Abu Hurairah t daripada Nabi r Baginda bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya dan mendirikan Solat dan berpuasa Ramadhan maka adalah menjadi hak atas Allah untuk memasukkannya ke dalam Syurga sama ada dia berhijrah di jalan Allah atau tinggal tetap di tanah airnya. Mereka (Sahabat) berkata: Apakah kami tidak memberitahukan hal ini kepada manusia? Maka bersabda Nabi r: Sesungguhnya dalam Syurga itu ada 100 darjat yang disediakan Allah bagi Mujahidin di jalanNya setiap di antara dua darjat itu seperti jarak antara langit dan bumi maka apabila kamu meminta kepada Allah maka mintalah Syurga Al-Firdaus kerana ia adalah yang paling tengah dan paling tinggi dan atasnya ‘Arsy Ar-Rahman dan darinyalah terpancar sunagi-sungai Syurga.” [Riwayat Al-Bukhari Kitab At-Tauhid Bab و كان عرشه على الماء وهو رب العرش العظيم]

Dalam melihat lebih jelas lagi berkenaan masalah ini saya datangkan Tafsiran para ulama’ Salaf terhadap ayat istiwa’ ini yang terdapat sebanyak 7 kali di dalam Al-Quran Kalamullah. Ayat yang pertama terdapat pada Surah Al-A’raf ayat ke 54:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang Telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu dia bersemayam di atas 'Arsy. dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.

Pada Surah Al-Hadid ayat 4:

Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian dia bersemayam di atas ´arsy dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepada-Nya. dan dia bersama kamu di mana saja kamu berada. dan Allah Maha melihat apa yang kamu kerjakan.

Berkata Ibn Katsir Rahimahullah:

“Dan adapun FirmanNya Ta’ala: ثم استوى على العرش maka bagi manusia pada masalah ini pendapat yang banyak dan bukanlah di sini tempat membahaskannya dan sesungguhnya hendaklah diikuti dalam masalah ini mazhab Salaf As-Soleh: Malik, Auza’i, As-Tsaury, Al-Laith bin Saad, Asy-Syafi’i, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahuwaih, dan selainnya daripada imam-imam muslimin dahulu dan sekarang iaitu melalukannya seperti mana datangnya tanpa takyif (memberi rupa), dan tidak pula tsaybih (penyerupaan), dan tidak pula ta’thil (membatalkan sifat)....”[Lihat tafsir Surah Al-A’raf ayat 54, Tafsir Al-Quran Al-Azhim, Ibn Katsir, Jilid 2, Idarah Bina al-Masajid Wal Masyari’ al-Islamiah 1992, ms 246] [2]


Dalam kenyataan di atas amat jelas bahawa aqidah Allah berada di atas Arsy adalah aqidah Imam Syafi’i dan lain-lainnya. Ibn Katsir sendiri adalah bermazhab Syafi’i dan merupakan anak murid yang utama kepada Ibn Taimiyyah Rahimahullah. Namun yang menjadi peliknya, terdapat segelintir pihak yang menolak Ibn Taimiah dan Ibn Qayyim tetapi menerima Ibn Katsir.

Berkata pula Al-Bagahwi dalam tafsirnya ketika mentafsirkan ayat yang sama:

“Dan telah menta’wilkan mu’tazilah Al-Istiwa’ dengan Al-Istila’ (menguasai) adapun Ahli Sunnah mereka berkata: Istiwa’ atas Al-‘Arsy adalah sifat bagi Allah Ta’ala tanpa Kaif (tanpa dibincang kaifiatnya) wajib atas setiap orang mengimaninya dan menyerahkan ilmu tentangnya (tentang kaifiatnya) pada Allah Azza wa Jalla. [Tafsir Al-Baghawi, Al-Baghawi, Jilid 2, Beirut-Dar Kutub Ilmiah 1993, 137][3].

Berkata pula Abu Su’ud:

وعن أصحابنا أن الاستواءَ على العرش صفة الله تعالى بلا كيف والمعنى أنه تعالى استوى على العرش على الوجه الذي عناه منزهاً عن الاستقرار والتمكن ، والعرشُ الجسم المحيط بسائر الأجسام سمي به لارتفاعه أو للتشبيه بسرير الملِك فإن الأمورَ والتدابير تنزِل منه
Maksudnya: “Dan daripada Ashab kami (Ahli Sunnah) bahawa istiwa’ di atas ‘Arasy adalah sifat Allah Ta’ala tanpa Kaif dan maknanya adalah Allah Ta’ala bersemayam di atas Arasy dengan cara yang dikehendakiNya tanpa Istiqrar dan tetap dan ‘Arasy adalah jisim yang meliputi segala jisim dinamakan ‘Arasy kerana ketinggiannya atau diserupakan dengan Takhta Raja kerana segala urusan turun darinya. [Rujuk Tafsir Abu Su’ud][4]

Berkata Asy-Syaukani[5] dalam Fathul Qadir[6]:

قد اختلف العلماء في معنى هذا على أربعة عشر قولاً ، وأحقها وأولاها بالصواب مذهب السلف الصالح أنه : استوى سبحانه عليه بلا كيف ، بل على الوجه الذي يليق به مع تنزهه عما لا يجوز عليه ، والاستواء في لغة العرب هو العلوّ والاستقرار .
Maksudnya: “Telah berselisih para ulama’(yakni dari setiap firqah islamiah) pada makna ayat ini kepada 14 pendapat dan yang paling benar dan paling utamanya dengan kebenaran adalah mazhab As-Salaf As-Soleh bahawa telah bersemayam Allah Ta’ala tanpa Kaif bahkan atas cara yang layak dengannya beserta Maha SuciNya dari apa yang tidak harus padanya dan Istiwa’ dalam bahasa ‘Arab adalah Tinggi dan Meninggi”.


Di Mana Allah di sisi Sahabat y:
Imam Al-Kaie meriwayatkan dalam kitab beliau Syarh Usul I’tiqad Ahli Sunnah, Hadis No.506:

عن أم سلمة في قوله الرحمن على العرش استوى قالت : « الكيف غير معقول والاستواء غير مجهول والإقرار به إيمان والجحود به كفر »

Maksudnya: “ Daripada Ummu Salamah R.A. (Isteri Rasulullah r) pada Firman Allah: الرحمن على العرش استوى (Surah Taha ayat 5) dia (Ummu Salamah R.A.): Kaifiat tidak boleh diketahui aqal, dan istiwa’ itu tidaklah majhul, dan meyakininya adalah Iman, dan mengingkarinya adalah kufur”.

Dari Abdullah bin Mas’ud t (Hadis 502):

عن عبد الله ، قال : « ما بين سما القصوى وبين الكرسي خمسمائة سنة ، وما بين الكرسي والماء خمسمائة سنة ، والعرش فوق الماء ، والله فوق العرش لا يخفى عليه شيء من أعمال بني آدم »

Maksudnya:“Dari Abdullah beliau berkata: Apa yang ada di antara Sama Al-Quswa (Langit dunia) dan Kursi 500 tahun (jaraknya), dan antara Kursi dan Air 500 tahun, dan Al-‘Arsy di atas dari Air dan Allah di atas ‘Arasy tidak tersembunyi sesuatupun dariNya amalan-amalan anak Adam”.

Pendapat Imam Asy-Syafi’i:

Imam Al-Baihaqi Rahimahullah dalam Kitabnya Al-Asma’ was Sifat ketika membahas masalah (الرحمن على العرش استوى) setelah mendatangkan riwayat-riwayat Salaf maka beliau berkata: “Dan atas jalan inilah menunjukkan mazhab Asy-Syafi’i t dan padanya juga telah berpendapat Ahmad bin Hanbal dan Al-Husain bin Fadhl Al-Bajali dan daripada Mutaakhirin Abu Sulaiman Al-Khattabi”.

Imam Az-Zahabi telah mendatangkan pula kata-kata Imam Syafi’i sendiri dalam masalah ini:
“Telah meriwayatkan Syeikhul Islam Abul Hasan Al-Hakari dan Al-Hafiz Abu Muhammad Al-Muqaddisi dengan isnad mereka kepada Abu Tsaur dan Abu Syuaib kedua-duanya daripada Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i Nasir Al-Hadis Rahimahullah Ta’ala beliau berkata: Aku berpendapat tentang sunnah yang aku beri’tiqad atasnya dan aku melihat beri’tiqad juga seperti aku ini Sufyan As-Tsauri dan Malik dan selain keduanya adalah berikrar dengan Syahadah tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah dan bahawa Allah berada atas ‘ArasyNya di LangitNya mendekat Dia kepada makhlukNya seperti mana dikehendakiNya dan Dia turun ke langit dunia seperti mana Dia kehendaki...lalu menyebut semua i’tiqad Ahli Sunnah. [Rujuk Al-Uluww lil ‘Aliyyi Al-Ghaffar, Juz 1, ms 165]

Fatwa-fatwa beberapa Ulama’ Ahli Sunnah yang lain:
Imam Malik: “Istiwa’ itu tidaklah Majhul (Ma’ruf), dan Kaifiatnya tidak diketahui, dan beriman dengannya adalah wajib, dan bertanya-tanya tentangnya (kaifiatnya) adalah bid’ah”. Imam Malik:
الاستواء غير مجهول ، والكيف غير معقول ، والإيمان به واجب ، والسؤال عنه بدعة
Maksudnya: “Istiwa’ itu tidaklah Majhul (Ma’ruf), dan Kaifiatnya tidak dapat dicapai aqal, dan Iman dengannya adalah wajib, dan bertanya-tanya tentangnya (menta’wilkannya) adalah bid’ah”. [Rujuk Al-Asma’ was Sifat li Al-Baihaqi][7].

Rabi’ah Ar-Ra’yi[8]:
الاستواء غير مجهول والكيف غير معقول ، ومن الله الرسالة وعلى الرسول البلاغ ، وعلينا التصديق
Maksudnya: “Istiwa’ itu tidak Majhul, Al-Kaif tidak dapat dicapai aqal, dan daripada Allah Ar-Risalah dan atas Rasul menyampaikannya dan atas kita membenarkannya”. [Rujuk Syarh Usul I’tiqad Ahli Sunnah lil Kalaie].

Imam Syafi’i:
آمنت بالله وبما جاء عن الله ، على مراد الله ، وآمنت برسول الله ، وبما جاء عن رسول الله على مراد رسول الله
Maksudnya: “Aku beriman kepada Allah dan apa yang datang dari Allah menurut kehendak Allah dan Aku beriman dengan Rasulullah r dan dengan apa yang dibawa Rasulullah menurut kehendak Rasulullah”[9] [Rujuk Lum’atul I’tiqad li Ibn Qudamah]

Imam Abu Hanifah Rahimahullah:

“Dan Aku mendengar Al-Qadhi Al-Imam Tajuddin Abdul Khaliq bin Ulwan berkata aku mendengar Imam Abu Muhammad Abdullah Ahmad Al-Muqaddisi pengarang kitab Al-Muqni’ Rahimahullah berkata : Telah sampai padaku dari Abu Hanifah Rahimahullah bahawa dia berkata: Sesiapa yang ingkar Allah U di langit maka dia telah Kafir. [Rujuk Al-Uluww lil Aliyyil Ghaffar Juz 1 m/s 136]

Imam Abul Hasan Al-Asy’ari:

“Semua ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Allah I tidak berada di dalam makhluk-Nya dan makhluk-Nya juga tidak berada di dalam Dzat-Nya, Dia yang Maha Suci bersemayam di atas ‘Arasy dengan tanpa bertanya akan rupa bentuk (kaifiat-Nya). Maha Suci Allah atas apa yang dikatakan orang-orang zalim dan ingkar dengan ketinggian yang sebesar-besarnya. Mereka tidak menetapkan terhadap Allah sifat yang hakiki dan tidak mewajibkan menyebut Allah yang Maha Esa-Nya. Semua perkataan mereka bermakna ta’thil (penafian sifat) dan semua sifat yang mereka tetapkan menunjukkan penafian sifat.” [Rujuk al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah, bab Istawa ‘ala al-‘Arsy, ms 144][10]

Seterusnya pada ayat: (وهو معكم أين ما كنتم) yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) bersama kamu di mana sahaja”.[11] Seakan-akan ayat ini ada pertentangan dengan ayat yang mengisbatkan Allah di Langit namun jika dirujuk pada Surah Al-Hadid ayat 4 maka jelas I’rab:


Adalah jumlah musta’nafah Haliah iaitu hal kepada ayat sebelumnya hingga apabila ditafsir maka bermakna: Dia bersemayam di atas ‘Arasy dalam keadaan Dia mengetahui apa yang masuk dan keluar di bumi dan apa yang turun dan naik ke langit dan Dia bersama kamu di mana kamu berada dan Allah Maha mengetahui perbuatan kamu dan Dia Maha Melihat.

Jadi Allah di atas ‘Arasy sedangkan ilmunya meliputi segala makhluknya.

عن مقاتل بن حيان ، عن الضحاك ، قال : ( ما يكون من نجوى ثلاثة إلا هو رابعهم ولا خمسة إلا هو سادسهم (1) قال : هو الله عز وجل على العرش وعلمه معهم

Dari Muqatil bin Hayyan dari Ad-Dhahhak[12] beliau berkata (mentafsirkan ayat ke-7 surah Al-Mujadalah): Dialah Allah di atas ‘Arasy dan ilmunya bersama mereka (makhluk)”.[Rujuk Al-Asma’ was Sifat li Al-Baihaqi]
Firman Allah :

Allah berfirman: "Janganlah kamu berdua khawatir, Sesungguhnya Aku beserta kamu berdua, Aku mendengar dan melihat".[Surah Taha ayat 45]

Di manakah Allah? Dia (hamba itu) menjawab: Di Langit, baginda bertanya lagi: Siapa aku? Hamba itu menjawab: Kamu Rasulullah. Lalu baginda bersabda: merdekakan dia kerana dia adalah seorang Mukminah. (Al-Hadis)
Ayat ini menjelaskan Sifat Al-Ma’iyyah bagi Allah iaitu sifat bersama. Allah bersama dengan makhluknya dengan Ilmunya, PendenganranNya, dan PenglihatanNya. Kita meyakini Muraqabah Allah bukan Muraqabah Syeikh seperti i’tiqad orang-orang yang melampau. Bagi mereka yang mempunyai ilmu tentang bahasa arab dan i’rabul Quran dan pengetahuan Tafsir yang betul maka tentulah dapat memahami maksud Istiwa’ dan Ma’iyyah dengan sebenar-benarnya.

Akhirnya kami bawakan hadis ketika mana Rasulullah r telah bertanya kepada seorang hamba wanita: Di manakah Allah? Dia (hamba itu) menjawab: Di Langit, baginda bertanya lagi: Siapa aku? Hamba itu menjawab: Kamu Rasulullah. Lalu baginda bersabda: merdekakan dia kerana dia adalah seorang Mukminah. [Hadis ini Sahih, dikeluarkan oleh Malik, Muslim, Abu Daud, dan lain-lain, rujuk: Sahih Muslim, no: 537].[13]

Kesimpulan:

Ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah telah ijma’ akan wajibnya beriman Allah itu di langit iaitu tempat yang tinggi di atas ‘Arasy dan ilmunya meliputi segala makhluknya. Aqidah ini tidak sama dengan Jahmiah yang berkata Allah di mana-mana lalu membawa kepada Fahaman Tasawwuf yang terkenal iaitu Hulul[14], ittihad[15] dan Wihdah Al-Wujud[16].

Sesiapa yang menyalahi aqidah ini maka dia telah terkeluar daripada golongan Ahli Sunnah. Ahli Sunnah tidak mentasybih sifat Allah dengan Makhluk tetapi menetapkan wujudnya sifat tanpa menetapkan cara wujudnya (إثبات الوجود لا إثبات الكيف). Aqidah ini juga berbeza dengan Mufawwidah Asya’irah[17] yang tidak menetapkan wujud mahupun kaif.

Untuk mengetahui lebih lanjut maka lihatlah kitab-kitab Aqidah seperti Al-Ibanah, Syarhu At-Tahawiyah[18], Majmu’ Fatawa Ibn Taimiyyah dalam masalah aqidah, Tauhid Ibn Khuzaimah, I’tiqad lil Baihaqi, Al-Uluww li Aliyyil Gahffar oleh Zahabi dan lain-lain lagi. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada terjebak ke dalam aqidah yang menyesatkan dan menetapkan kita dalam golongan Al-Firqah An-Najiyah...Amin..
__________________
[1] Risalah ini adalah disediakan oleh Saudara Muhammad Asri bin Sobrie ketika beliau menuntut dan memegang jawatan sebagai Exco Dakwah di IPTIPs dan saya (Mohd Safwan bin Rusydi) telah mengemas kini dan membuat sedikit gubahan pada risalah beliau ini. Semoga kita mendapat manfaat darinya, Insya-Allah.
[2] Ada dalam Maktabah IPTIPs juga terjemahannya dalam bahasa Inggeris.
[3] Ada dalam Maktabah IPTIPs begitu juga mukhtasarnya Ma’alim At-Tanzil.
[4] Ada dalam Maktabah IPTIPs.
[5] Pengarang Kitab terkenal Nailul Authar fi Syarhi Ahadith Muntaqal Akhbar.
[6] Ada dalam perpustakaan IPTIPs
[7] Rujuk juga Tafsir Al-Qurthubi Al-Jami’ li Ahkamil Quran.
[8] Guru Imam Malik dan Hanafi
[9] Ini jelas bahawa Imam Syafi’i menolak Ta’wil
[10] Ada dalam Maktabah IPTIPs bahagian Usuluddin.
[11] Pada ayat inilah golongan yang mengatakan Allah tidak bertempat itu berada dimana-mana. Akan tetapi ayat yang mereka ambil cumalah potongan dan tidak diambil secara keseluruhan. Walhal, ayat ini dimulakan pada awalnya “Dia bersemayam di atas ‘Arasy” kemudian barulah “Dia bersama di mana saja kamu berada”.
[12] Mufassir Agung antara anak murid Ibn Abbas.
[13] Ulama’ hadis telah meriwayatkan hadis ini tanpa sebarang takwil atau tahrif (pengubahan lafaz) dalam kitab-kitab mereka maka semoga kita termasuk dalam golongan yang mengikut jejak mereka..Amin..
[14]Aqidah batil Allah meresap dalam tubuh makhluk, dibawa Al-Hallaj Al-Sufi
[15] Aqidah Batil manusia meresap dalam Allah, dibawa Abu Yazid Al-Bisthami salah seorang dalam rantai sanad tarikat Naqsyabandiah Khalidiah.
[16] Allah dan Makhluk adalah satu, Aqidah batil Ibn Arabi. Kitabnya adanya dalam Maktabah, Futuhat Al-Makkiyyah.
[17] Asya’irah ada dua, Mutaawilin iaitu yang menta’wil sifat dan mufawwidah iaitu yang tidak menetapkan sifat khabariyah Cuma 13 sifat sahaja bagi Allah. Lihat kitab mereka Syarh Jauhirah At-Tauhid.
[18] Syarhu Thahawiyyah fil Aqidah As-Salafiyyah oleh Ibn Al-‘Izz Al-Hanafi anak murid kepada Ibn Kathir.

Rabu, 31 Oktober 2007

TUDUHAN DAN FITNAH TERHADAP WAHABI

Terlalu banyak fitnah-fitnah daripada kalangan mereka yang membenci wahabi (salafi) sedangkan tidak ada apa yang baru di bawa oleh mereka melainkan apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran dan juga Hadis-hadis. Tapi malangnya mereka (anti wahabi) tidak mahu pun merujuk Quran dan Hadis atau merujuk pandangan ulama-ulama salaf atau merujuk sendiri buku-buku Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang sudah pun dijawab beliau segala tuduhan-tuduhan ke atas diri beliau. Ini kerana Islam tidak suruh umatnya menerima terus khabar atau berita yang tidak diketahui sejauh mana kebenarannya tetapi hendaklah diteliti terlebih dahulu berita tersebut. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang Fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.[1]

Di kalangan anti-wahabi banyak membuat risalah-risalah untuk menyebarluaskan kesesatan puak wahabi. Malah saya sendiri telah menemui blog-blog dan lamanweb di internet yang mengumpul semua fitnah-fitnah mereka ini.[2] Antara tohmahan yang paling popular mereka ialah:

Muhammad bin Abdul Wahad berpegang dengan aqidah Ibn Taimiyyah iaitu fahaman Tajsim[3] atau Tasybih. Padahal yang sebenarnya fahaman Ibn Taimyyah tidaklah begitu. Kita lihat kata Ibn Taimyyah dalam kitabnya “Al-Aqidah Al-Wasitiyyah”:

“Maka ini adalah i’tiqad firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan dengan apa yang telah RasulNya Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).
Bahkan, mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya, tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Ta’ala…”[4]
Jelas di sini I’tiqad Ibn Taimiyyah tidak mentajsimkan Allah sama sekali. Hendaklah difahami betul-betul Aqidah ahli Sunnah Wal Jamaah tentang sifat-sifat Allah sebelum berkata sesuatu terhadap seseorang. Mereka (anti-wahabi) secara melulu keluarkan kenyataan bahawa Muhammad bin Abdul Wahab dan Ibn Taimyyah sebagai Mujassimah sedangkan apa yang di bawa oleh mereka adalah merupakan apa yang di bawa oleh ulama-ulama salaf seperti imam Hanafi, Imam Syafi’ie, Imam maliki dan Imam Ahmad juga Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dalam kitabnya Al-Ibanah.
Abu Hanifah berkata: “Allah tidak boleh disifati dengan sifat-sifat makhluk; MurkaNya dan RedhaNya adalah dua sifat di antara sifat-sifatNya tanpa takyiif. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Dia Murka dan Dia Redha; Dan tidak boleh dikatakan MurkaNya itu adalah seksa-Nya, dan Redha-Nya itu Ganjaran-Nya. Kita mestilah mensifati-Nya sebagaimana Dia sendiri yang mensifati diri-Nya; Al Ahad, Al-Shamad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa lam yakun Lahuu Kufuan Ahad. Dia Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Tangan Allah di atas tangan mereka, Tangan-Nya tidak sebagaimana tangan-tangan makhluk-Nya, dan Wajah-Nya tidak sebagaimana wajah-wajah makhluk-Nya”. [Al-Fiqh al-Absat, Hal. 56][5]
Imam Ibnu Al Qayyim pula menyebut dalam kitab Ijtima’il Juyuusy Al Islamiah bahawa Imam Al Syafi’ie berkata: “Mengikut Sunnah yang aku berada di atas jalannya dan begitu juga aku melihat sahabat-sahabatku daripada kalangan Ahli Hadis yang aku mengambilnya daripada mereka seperti Sofyan dan Imam Malik dan lain-lain lagi, ialah: Ikrar (pengakuan) bahawa sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, dan sesungguhnya Allah adalah di atas `Arasy-Nya dilangit-Nya, Dia mendekati makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan Allah turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki”. [Ijtima’ al-Juyuiusy al-Islamiyah; Hal. 165][6]

Antara tuduhan-tuduhan ke atas wahabi lagi adalah seperti wahabi adalah mazhab baru, wahabi menolak ulama, wahabi menyamakan Allah dengan makhluk, wahabi mengingkari syafaat Nabi, wahabi mengkafirkan orang yang tak sefahaman dengan mereka, wahabi membuat keganasan terhadap kubur di baqi’, wahabi sesat dan sebagainya.

Sebagai contoh terakhir, mereka (anti-wahabi) berkata wahabi membuat keganasan terhadap kubur Baqi’ di Madinah[7]. Padahal mereka menyedari di sana kubur-kubur tersebut telah ditinggikan dan dibinakan masjid di atasnya. Sedangkan Nabi melarang kubur-kubur di tinggikan apatah lagi di binakan masjid di atasnya. Sebuat atsar yang sahih diriwayatkan daripada Abdullah bin Hasanah berkata:
“Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur”. Maka dikatakan kepadanya: “Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan”.[8]
“Dari Abi al-Hayyah al-Asadi berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Talib: Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya”.[9]
“Dari Anas berkata: Rasulullah telah memakruhkan (makruh di sini bermaksud haram) membina masjid di antara kuburan”.[10] Dan “Daripada Ibrahim an-Nakh’ie: sesungguhnya Nabi menegah orang yang mendirikan masjid di atas perkuburan”.[11] Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda: “Semoga Allah membinasakan Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid”[12].

________________
[1] Surah al-Hujraat ayat 6.
[2] Anda sendiri boleh lihat betapa kejamnya mereka menuduh ulama-ulama salafi dengan memberi fatwa-fatwa dan dalil-dalil yang tidak tepat untuk membuktikan kesalahan wahabi. Mereka juga gemar memotong fatwa-fatwa menjadikan pendapat ulama-ulama salafi adalah dipihak yang salah. Antara blog-blognya: ahlsunnah.overblog.com, bankwahabi.wordpress.com, dan abu-syafiq.blogspot.com.
[3] Iaitu menjisimkan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
[4] Rujuk -, Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Ibn Taimyyah, Tahqiq: Muhammad Ibn ‘Abd Al-’Aziz Ibn Mani’, Ar-Riasah Al-’Ammah Li Al-Ifta’, Riyadh, Arab Saudi, 1412H, Hal: 5-7. Dinukil daripada Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, hal 47.
[5] Dinukil daripada risalah ustaz Dr. Abdullah Yassin yang bertajuk Aqidah Imam Empat Adalah Satu. Risalah ini merupakan teks seminar 'Ahli Sunnah Wal Jamaah Arus Perdana', anjuran Gabungan Profesional Kelantan.
[6] Ibid.
[7] Terdapat satu risalah yang bertajuk “Keganasan wahabi di Jannatul Baqi”. Mereka menyesatkan wahabi tidak lain dan tidak bukan mereka ingin di teruskan amalan khurafat di kubur-kubur wali kononnya mereka ingin mendapat berkat dengan berdoa dan bertawassul terhadap kubur-kubur wali.
[8] Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Zar’ah dengan sanadnya yang sahih dari Abdullah dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam “al-Jarah wa at-Ta’dil” Jilid 3, hal 81-82.
[9] Hadis Riwayat Muslim (3/61), Abi Daud (3/70), An-Nasaii (1/128), at-Tirmizi (2/153-154), Al-Baihaqi (4/3), At-Tayalisi (1/168), Imam Ahmad (741), dan ada beberapa jalan pada Ibn Abi Syaibah dan at-Tabrani dalam as-Saghir hal 29.
[10] Riwayat Ibn Abi Syaibah (2/185)
[11] Riwayat Ibn Abi Syaibah (4/134)
[12] Riwayat Bukhari dan Muslim.

KENYATAAN-KENYATAAN YANG MENYOKONG MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB [1]

1. Kenyataan Putera Shakib Arsalan[2]
Dalam buku sejarah kontemporari Dunia Islam bertajuk “Hadhir al-‘Aalam al-Islami”, jilid 4, Putera Arsalan telah menulis: “Muhammad Ibn Abdul Wahab menuntut ilmu di Damsyik, Baghdad dan Basra. Dia memeluk prinsip-prinsip Hujjatul Islam yang juga dipegang oleh Ibn Taimiyyah, muridnya Ibn al-Qayyim serta juga Ibn ‘Urwah al-Hanbali serta lain-lain ulama Hanbali yang terkenal. Kemudian dia bercita-cita mengembalikan kemurnian Islam. Kerana itulah Wahabi menyebut mazhab mereka Aqidah as-Salaf.[3] Muhammad Ibn Abdul Wahab menolak pemujaan kepada wali, menziarahi kubur serta menyeru kepada selain Allah untuk pertolongan serta lain-lain amalan yang dilihat sebagai mensyirikkan Allah. Dia menegaskan pendapatnya dengan memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis yang berkaitan. Saya (Putera Shakib Arsalan) tidak percaya bahawa dia (Muhammad Ibn Abdul Wahab) menyeru lebih dari apa yang diseru oleh Ibn Taimiyyah.

2. Syeikh Muhammad Hamid al-Fiqqi[4]
Syeikh Muhammad Hammid al-Fiqqi, adalah pemimpin Jama’at Ansar as-Sunnah al-Muhammadiah dan merupakan salah seorang ulama Universiti al-Azhar. Dia menulis kata-kata berikut: “Sebutan Wahabi” ini diberi kepada Muhammad Ibn Abdul Wahab, Mujaddid dan Imam nagi kurun ke-12 Hijriyah. Walaubagaimana pun gelaran ini tidak betul. Mengikut penggunaan bahasa arab yang betul, ia sepatutnya digelar “Muhammadiyyah”, kerana yang mewujudkan dakwah itu adalah Muhammad bukan Abdul Wahab. Mereka (Ibn Abdul Wahab dan pengikutnya) mematuhi fatwa-fatwa yang kecil dalam mazhab Hanbali, seperti kebanyakkan pengikut lain-lain mazhab. Mereka tidak mendakwa, dalam kenyataan mahupun tulisan bahawa mereka membawa mazhab baru. Dia tidak mempertahankan apa yang tidak dipertahankan oleh salaf as-soleh. Malah, usaha dan jihadnya adalah menghidupkan semula amalan-amalan yang betul yang termaktub dalam agama. Dia menyeru manusia supaya kembali kepada apa yang telah ditetapkan dalam al-Quran berkaitan dengan Tauhid al-Uluhiyyah, mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dengan penuh kerendahan diri. Menumpukan doa, ikrar dan sumpah, yakin dan taat (kepada Allah sahaja), seperti mana yang Allah telah perintahkan. Berkaitan dengan Tauhid Asma wa as-Sifat, Ibn Abdul Wahab percaya kepada ayat-ayat dengan makna sepertimana yang disebut tanpa membuat sebarang takwilan dengan menyamakan dengan sifat-sifat makhluk, atau memberi sifat-sifat tertentu. Dia beriman dengan Sifat-sifat dan Nama-nama Allah dengan makna yang jelas sepertimana yang tertulis dalam bahasa arab serta bagaimana dijelaskan oleh riwayat-riwayat yang dipetik dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam.

3. Syeikh Muhammad Abdah[5]
Berkata Hafidh Wahbeh dalam bukunya bertajuk “50 Tahun di semenanjung Arab” dia mendengar Imam Muhammad Abdah, bekas Mufti Mesir, memuji Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab semasa dia mengajar di kelas-kelasnya di Azhar. Muhammad Abdah menggelar Muhammad Ibn Abdul Wahab sebagai “pembaharu yang Hebat”. Dia juga menyalahkan pihak Turki dan Muhammad Ali Pasha, yang berasal dari Albania kerana menghalang usaha reformasi yang dibawa oleh dakwah Imam Muhammad Ibn Abdul Wahab. Dia (Muhammad Abdah) berkata mereka lakukan itu kerana kejahilan serta ingin mengambil hati ulama-ulama pada masa itu, yang mengikut amalan-amalan generasi yang terdahulu yang menggalakkan bid’ah, kepercayaan dan penentangan terhadap ajaran Islam sebenar.[6]

4. Ahmad Ameen
Beliau seorang ulama mesir yang terkenal dan juga penulis buku yang popular “Zu’amaa al-Islah al-Islami” yang bermaksud Pemimpin-pemimpin pergarakan Islam. Dia menulis kata-kata berikut dalam bab berkaitan dengan Najd: “semasa di Hijjaz dan perjalanannya ke beberapa tempat di dunia Islam, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab sedar bahawa Tauhid, prinsip asas dalam Islam telah hampir hilang dan tercemar. Intipati Tauhid adalah terletak pada iktikad bahawa hanya Allah satu-satunya Pencipta serta kuasa yang mengawal seluruh alam. Maha suci Allah yang tidak memerlukan pertolongan. Itulah intipati “Laa Ilaaha Illallah”. Sehubungan dengan itu, tiada sesuatupun kecuali Allah yang berhak disembah atau dipandang suci. Itulah intipati Tauhid seperti yang terdapat dalam al-Quran.

Apa yang berlaku di dalam dunia Islam hari ini adalah mereka telah terpisah dari Tauhid yang bersih ini. Mereka telah mengotorinya dengan mencampuri Allah dengan makhluk-Nya. Terdapat kubur-kubur Auliya (orang-orang Alim) menjadi tempat diziarahi untuk beribadat. Terdapat makam-makam di seluruh dunia Islam di mana manusia menziarahi dengan tujuan memohon pertolongan dan menghapus dosa. Setiap bandar mempunyai Wali atau Auliyanya. Setiap kawasan ada “makam” yang dianggap mempunyai kuasa menghalang keburukan dan boleh memberi kebaikan. Keadaan sebegini ibarat Allah seperti raja di mana terdapat pegawai-pegawai-Nya yang manusia merayu pertolongan supaya menyampaikan hasrat mereka kepada Allah, supaya Allah akan mengubah apa yang Allah telah tetapkan. Bukankah ini juga amalan yang dilakukan oleh kaum Musyrik Mekkah dizaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam?

Malangnya, orang-orang Muslim tidak berhenti di situ. Mereka juga menyamakan pokok-pokok dan objek-objek yang mati sama dengan Allah. Penduduk Manfu’ah dalam Yamamah, percaya pada sebatang pokok, kononnya mempunyai kuasa. Jika perempuan-perempuan yang belum kahwin ziarah ke pokok tersebut dan meminta kepada pokok itu, mereka akan berkahwin pada tahun itu. Juga terdapat sebuah gua di Dir’iyah di mana manusia ziarah untuk mendapat rahmat. Dalam setiap daerah Islam akan terdapat sesuatu yang seperti itu, seperti “pokok Hanafi” di mesir, “kasut Slippers” di kalshani dan “pintu pagar” di Mitwalli.

Bagaimanakah Tauhid boleh kekal suci dengan amalan-amalan kurafat dan syirik seperti ini. Sebenarnya ia telah membawa manusia jauh dari Allah yang maha Esa. Amalan-amalan seperti ini telah membawa kehinaan dan malu pada hati dan kemudian dipenuhi pula dengan kepercayaan-kepercayaan dan khurafat. Seterusnya hati telah kehilangan asas Tauhid dan saluran kemuliaan. Pemikiran Muhammad Ibn Abdul Wahab sentiasa memikir dan menilai Tauhid yang sempurna yang bebas dari unsur-unsur syirik yang tersebut di atas, serta menghidupkan kembali syari’at dengan merujuk hanya kepada al-Quran dan Sunnah.[7]

5. Sayyid Muhammad Rasyid Ridha
Ulama Sunnah dari Syria yang terkenal, Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata: “Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab an-Najdi adalah salah seorang ulama Mujahiddun. Dia menyeru membersihkan Tauhid dan menyembah hanya allah sahaja dengan penuh keikhlasan, sepertimana yang Allah telah perintahkan dalam kitabNya dan kata-kata RasulNya. Ibn Abdul Wahab menyeru supaya menjauhi bid’ah, dosa dan mengembalikan amalan-amalan Islam yang telah ditinggalkan. Dia menyeru supaya menghormati dan meninggikan Islam yang telah dicabul dan dihina. Walaubagaimana pun, tiga kuasa yang terdiri dari kuasa pemerintah, kuasa ulama-ulama suq yang menentang Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab. Senjata yang terbaik yang mereka gunakan terhadap Muhammad Ibn Abdul Wahab adalah meyebarkan bahawa Muhammad Ibn Abdul Wahab adalah Bedouin padang pasir, iaitu golongan yang lebih buruk dari orang-orang jahiliyyah dahulu.[8]

Demikianlah beberapa contoh kenyataan-kenyataan yang menyokong dakwah Muhammad bin Abdul Wahab yang dapat saya kemukakan. Antara yang menyokong juga adalah Ahmad Husain (pelupor Hizb Misr al-Fatah), Ameen Sa’id (Bukunya “Siirah al-Imam asy-Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab”), Abdul Muta’al as-Sa’idi, Dr. Muhammad Abdullah Madhi (Bukunya “Hadhir al-Alam al-Islami”), Syeikh Sayyid Mahmud Syukri al-Alusi (seorang ulama terkenal Iraq), Dr. Taha Husain (Seorang pakar Bahasa Arab yang terkenal serta juga seorang penulis Mesir), Khayr ad-Din az-Zirikli (Dikenali sebagai Az-Zarakli), Muhammad Dhiyaa ad-Deen ar-Rayyis (Professor sejarah Islam di Universiti Fuad al-Awwal), Abdul karim al-Khatib, Syeikh Muhammad Basyir as-Sahsawani (Dari India, bukunya bertajuk “Siyanat al-Insan An-Waswasati Dahlan”), Syeikh Ali Tantawi, Abdul Rahman al-Jabarti (penulis dan ahli sejarah yang terkenal), dan Syeikh Mas’ud an-Nadawi. Semua kenyataan-keyataan mereka ini terdapat dalam buku Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub halaman 473-504.

Pandangan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata di dalam kitabnya “Fiqh Al-Aulawiyyat”: “Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab memberi keutamaan dan tumpuan di dalam bidang Aqidah. Beliau memberi tumpuan utama terhadap penjagaan tauhid daripada sebarang perlakuan syirik terhadap Allah Subhanahu wa ta’ala dan juga berusaha membanteras semuajenis khurafat yang berlaku di sekitar dan pada zaman beliau. Beliau komited dan istiqamah di dalam memastikan dakwahnya berjalan seiring dengan perbuatan dan perilaku di dalam memusnahkan segala bentuk perlakuan syirik dan khurafat. Sehinggalah beliau banyak menulis kitab-kitab dan surat-surat di dalam menjelaskan manhajnya”.[9]

Dalam kitab Thaqafah Ad-Da’iyyaha, Muassasah Ar-Risalah cetakan pertama 1417H, halaman 107, Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengingatkan semua umat islam supaya memberi perhatian dan tumpuan kepada gerakan dan pejuang-pejuang pengislahan dan pentajdidan di dalam sejarah Islam. Mereka muncul bukan kerana ingin membuat pembaharuan terhadap Islam tetapi datang untuk membetulkan salah faham Umat Islam terhadap Islam. Antara para mujtahid ini ialah khalifah Umar bin Abdul Aziz, Nuruddin dan Sultan Salahuddin dan juga faqih-faqih seperti Imam Syafie, Imam Ghazali, Ibn Taimiyyah dan juga Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ada di antara mereka bergerak secara sendirian dan ada juga secara jemaah. Mereka bersungguh-sungguh di dalam membetulkan umat Islam keseluruhan dengan kaedah-kaedah dan cara-cara tertentu. Dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyifatkan Syeikh Muhammad Abdul wahhab dalam kitabnya “Hakikat At-Tauhid” sebagai “Syeikhul Islam”.[10]

______________
[1] Rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub, hal 473-504.
[2] Seorang penulis yang terkenal dan juga seorang ahli sejarah. Rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub, hal 473. Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 22.
[3] Aqidah as-Salaf atau Manhaj as-Salaf iaitu berkaitan dengan kaedah yang diikuti oleh tiga generasi Islam yang mempertahankan islam, Aqidahnya dan syari’atnya dengan berasaskan bukti-bukti sahih.
[4] Rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-story and Mission oleh Jalal Abualrub, hal 478. Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 22.
[5] Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 23.
[6] Al-Butami, hal 159, Imam Ibn Baz menulis dalam pengenalan dan komen dalam buku Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life and The Essence of His Call.
[7] Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab, oleh Qadhi Ahamad Ibn Hajar al-Butami, hal 159. Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 25.
[8] Dinukil daripada Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 26.
[9] Dinukil daripada kertas kerja Seminar Antarabangsa Mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab bertajuk “Jawapan kepada tohmahan-tohmahan terhadap Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab”, Syeikh Ihsan bin Muhammad bin ‘Ayish Al-‘Utaybi, hal 20.
[10] Ibid.

MUSUH-MUSUH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB

Fitnah terhadap beliau tidak pernah habis-habisan walaupun beliau telah lama meninggal dunia. Walaubagaimana pun Muhammad bin Abdul Wahab sendiri telah menjawab semua syubhat-syubhat ke atas dirinya. Malangnya ramai yang tidak membaca pun tulisan-tulisan Muhammad bin Abdul Wahab. Malah, dinukil lagi daripada tulisan-tulisan musuh beliau. Adalah lebih adil jika mereka membaca pendapat kedua-dua belah pihak. Antara musuh-musuhnya[1]:

Sulaiman Ibn Muhammad Ibn Suhaim

Beliau adalah salah seorang ulama Riyadh tetapi beliau telah meninggalkan Riyadh dan pergi ke Ahsaa setelah Riyadh jatuh ke tangan Kerajaan Saudi Pertama. Beliau merupakan orang pertama yang menimbulkan kenyataan palsu terhadap Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Beliau menghantar surat-surat yang mempunyai banyak pembohongan di dalamnya keseluruh negeri islam. [AbdulWahab, His Life And The Essence of his Call, Edisi Inggeris pertama 1420H/1990M, Bab 3, hal 158][2]

Muhammad Ibn Abdullah Ibn Fairuz an-Najdi

Beliau berasal dari Ahsaa dan merupakan di antara mereka yang mengisytiharkan musuh terhadap Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Antara karyanya yang menentang seruan Syeikh ialah bertajuk “Ar-Risalatul Murdhiyati Fir-Raddi ‘ala al-Wahabiyah” bermaksud satu perjanjian menentang wahabi. [AbdulWahab, His Life And The Essence of his Call, Edisi Inggeris pertama 1420H/1990M, Bab 3, hal 158][3]

Muhammad Ibn Abdul Rahman Ibn Afaliq

Beliau seorang ulama yang berkedudukan di Al-Ahsaa. Beliau menulis buku menentang Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab bertajuk “Tahakkumu al-Muqallidin min Mudda’I Tajdidi al-Din” yang bermaksud Kegusaran Dengan Penipu antara mereka yang menuntut Membaharui Agama. Beliau menulis buku ini disebabkan tidak mendapat sebarang jawapan daripada Ibn Muammar, Amir Uyainah atas suratnya yang menuntut bahawa Muhammad bin Abdul Wahab menentang Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim dalam isu berkaitan dengan keEsaan Allah.[4]

Abdullah Ibn Isa al-Muwais

Beliau merupakan musuh ketat kepada Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan gerakannya. Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab memberi amaran dalam suratnya dia menganggap Al-Muwais adalah seorang musuh yang sangat bahaya. Walaubagaimana pun Sheikh cuba menyakinkan Al-Muwais melalui debat tetapi tidak mendapat respon. Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab menerangkan sikap Al-Muwais, berkata: “Kami menerima tulisan Ibn Ismail dan Al-Muwais yang menunjukkan penolakan Islam. Kami menulis kepada mereka dengan memetik banyak ayat-ayat dan mengemukakan hujah-hujah yang cukup baik, tetapi tidak berjaya.[5]

Ahmad Ibn Zaini Dahlan

Beliau merupakan Mufti dari Mazhab Syafi’ie di Mekkah. Beliau berjaya menarik ramai pelajar disitu. Ahmad Dahlan menyebarkan khabar angina dan tuduhan palsu terhadap seruan salafi dan pembohongan ini terkesan pada jemaah-jemaah haji yang dating dari seluruh dunia Islam. Antara buku tulisan beliau menentang seruan salafi ialah “Ad-Duraru al-Sunniyati fil al-Raddi ‘ala al-Wahabiyyah” yang bermaksud Mutiara dari Sunnah Rasul s.a.w dalam menentang wahabbi. [AbdulWahab, His Life And The Essence of his Call, Edisi Inggeris pertama 1420H/1990M, Bab 3, hal 161][6]

Itulah di antara ulama-ulama yang menentang Muhammad bin Abdul Wahab seperti yang saya nyatakan di atas secara ringkas. Walaubagaimana pun terdapat ramai juga ulama-ulama yang sudahpun menulis menjawab tuduhan-tuduhan tersebut dan membela dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Untuk mengetahui mana yang benar hendaklah diperhatikan kedua-dua pendapat tersebut. Akan tetapi saya tidak bercadang untuk mengemukakan semuanya di sini. Adalah lebih baik dirujuk sendiri pada buku-buku berkenaan seperti yang tersenarai nota-nota rujukan dalam kurungan juga di dalam nota kaki.


Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

Mereka yang berusaha mendengarkan Perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka Itulah orang-orang yang mempunyai akal yang sihat (waras).[7]



[1] Rujuk buku Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life And The Essence of His Call oleh Prof. Sulaiman Ibn Abdurrahman Al-Huqail, dalam bab 3 yang mengandungi tuduhan-tuduhan terhadap dakwah Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab.

[2] Dinukil daripada Terjemahannya yang bertajuk Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahab Penentangan & Sokongan oleh Hamidun Abdullah, hal 4.

[3] Ibid, hal 5.

[4] Ibid.

[5] Ibid, hal 6.

[6] Ibid

[7] Surah Az-Zumar ayat 18

APA ITU WAHABI?

Dalam kitab Fatwa al-Lajnah ad-Da’imah juz 2, hal 174 diterangkan:

“Wahabiah adalah sebuah lafaz yang dilontarkan oleh musuh-musuh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab disebabkan dakwah beliau di dalam memurnikan tauhid, membasmi syirik dan membendung seluruh tatacara ibadah yang tidak dicontohkan dari Nabi Muhammad s.a.w. Tujuan mereka dalam menggunakan lafaz ini ialah untuk menjauhkan manusia dari dakwah beliau dan menghalangi mereka agar tidak mahu mendengarkan perkataan beliau”.[1]

Wahabi sebenarnya adalah diambil daripada nama Muhammad bin Abdul Wahab. Tetapi dinisbahkan kepada nama ayahnya iaitu Abdul Wahab sebagai “wahabi”. Padahal ayahnya tidak ada sangkut paut dengan dakwah yang di bawa oleh anaknya iaitu syeikh Muhammad bin AbdulWahab.[rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-Story and Mission oleh Jalal Abualrub]

Beliau berdakwah membasmi segala bid’ah dan syirik yang meluas ketika itu di tanah arab. Syeikh Ali Tantawi menyebut banyak jenis bid’ah berkembang sebelum kelahiran Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab sehinggalah kelahiran beliau:

“Orang awam percaya mereka boleh mendapat kebaikan dan menjauhkan musibah dengan meminta kepada kubur-kubur Nabi dan orang-orang alim, termasuklah pokok-pokok, busut-busut serta patung-patung. Mereka menyeru kepada benda-benda ini dan mereka berkorban atas nama orang-orang tersebut. Memuji yang mati menjadi popular. Daerah yang paling banyak amalan jahiliah baru ini”. [Petikan dari Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-Story and Mission, hal 22][2]

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab atau nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Abdul Wahab bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid At-Tamimi al-Najdi. Beliau lahir pada tahun 1115H, dibandar al-U’yainah sebelah sebelah utara bandar Riyadh, Saudi pada waktu pemerintahan Bani Uthman (Uthmaniah) semasa sultan Ahmad ketiga yang memerintah antara tahun 1115H hingga 1144H. Wafatnya Syaikh Muhammad pada bulan dzulkaedah 1206H dalam usia 86 tahun rahimahullah.[3]

Demikian di atas pengenalan secara ringkas yang saya nukilkan daripada kertas kerja Seminar Antarabangsa mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab pada 16 & 17 Mac 2006 di perlis.



[1] Dinukil daripada buku Hinpunan risalah dalam beberapa persoalan ummah buku 3 oleh Hafiz Firdaus Abdullah, hal 103

[2] Dinukil daripada terjemahan bukunya yang bertajuk Siapa Wahabi? Oleh Hamidun Abdullah, hal 8.

[3] Dinukil dari kertas kerja tajuk Penyebaran Ilmu Salafi Khususnya Penulisan Syeikh Muhammad Abdul Wahab oleh Dr. Abdul Halim Ahmad Saising.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails